HyperX merupakan salah satu jenama yang agak popular sama ada di Malaysia atau luar negara. Kini mereka telah melancarkan beberapa produk baru yang ada dalam barisan Pulsefire termasuk mouse dan mouse pad. Kami berpeluang untuk mencuba HyperX Pulsefire Haste dan Pulsefire Mat dan hasilnya amat memuaskan hati.
Tanpa melengahkan masa lagi, ini adalah review bagi kedua-dua produk tersebut.
HyperX Pulsefire Haste
Reka Bentuk

HyperX Pulsefire Haste didatangkan dengan reka bentuk yang sangat mudah. Ia mempunyai banyak lubang berbentuk “honeycomb” atau dikenali sebagai “Ultra-light hex” pada cengkerangnya. Dengan adanya lubang “honeycomb”, ia menjadikan mouse ini lebih ringan daripada mouse yang ditutup secara penuh. Bukan itu sekadar ringan sahaja, ia juga membenarkan pengudaraan yang lebih baik.

Berat Pulsefire Haste adalah sebanyak 60g sahaja dan menjadikan mouse ini dalam kategori “ultra-light weight”. Mouse ini mempunyai saiz panjang: 124.2mm x tinggi: 38.2mm x lebar: 66.8mm. Pada saya, ianya sangat sesuai untuk digunakan oleh pelbagai saiz tangan dan juga grip. Walaupun saya mempunyai tangan yang kecil dan gemuk, saya rasa agak selesa dan tidak kekok untuk menggunakan sepanjang hari.

Tambah pula, dengan bentuk mouse yang simetri, ia rasa lebih selesa dan memudahkan kerja saya sepanjang penggunaannya. Mouse ini didatangkan dengan 6 button yang boleh digunakan iaitu kiri, kanan, tengah, DPI, kembali dan ke hadapan. Kesemua button boleh diubah suai dengan menggunakan aplikasi NGenuity. Walaupun ia berbentuk simetri, butang tambahan seperti di bahagian kiri tidak tersedia di bahagian kanan.

Yang seronoknya, ia didatangkan dengan wayar USB HyperFlex yang direka khas daripada bahan paracord yang ringan dan fleksibel bagi melancarkan pergerakan mouse. Sudah pasti mouse menjadi salah satu bahagian yang penting dan panjang wayar mouse ini adalah 1.8m dan boleh bergerak dengan mudah tanpa wayar mengganggu anda.

Nak bercakap tentang RGB, mouse ini mempunyai lampu RGB yang sangat sedikit dan hanya di bahagian butang skrol sahaja. Jika anda mahukan lebih banyak lampu RGB dalam mouse seperti ini, ia berkemungkinan akan menambah berat dan tidak menjadi mouse “ultra-light weight”. Walaupun RGB itu kecil, anda boleh mengubahnya dengan menggunakan aplikasi NGenuity.
Switch & Sensor

Pulsefire Haste dilengkapi dengan switch kalis habuk mikro TTC Golden. Switch ini memberikan anda klik yang memuaskan supaya anda tahu bahawa ianya berfungsi. Tambah pula ia datang dengan salutan anti habuk. Jadi, anda tidak perlu risau tentang habuk masuk ke dalam switch.
Sensor yang disertakan dengan mouse ini adalah Pixart 3335 yang akan memberikan anda keseimbangan yang baik antara berat dan prestasi serta boleh mengesan sehingga 16000 DPI. Bercakap tentang sensor, gabungan tersebut tidak terhenti begitu sahaja. HyperX memberikan “Pure virgin-grade PTFE skate” untuk memudahkan anda senang bergerak dan tidak menggunakan banyak keupayaan untuk menggerakkan mouse.

Yang disediakan dalam kotak adalah HyperX Pulsefire Haste, Grip tape, Extra PTFE skate dan manual.
HyperX Pulsefire Mat
Reka Bentuk

Ia didatangkan dengan hanya satu saiz sahaja iaitu XL dan berukuran lebar: 900mm x panjang 420mm x tebal: 4mm. Jadi, ianya sangat besar dan anda boleh menggerakkan mouse dengan bebas ke seluruhnya.
Permukaan mouse pad didatangkan dengan “Densely woven cloth”. Apabila saya mencubanya, ianya agak kasar di tangan dan tidak rasa yang saya boleh menggerakkan mouse di permukaan kasar seperti ini dengan lancar. Tetapi apabila saya mencuba dengan beberapa mouse, saya terkejut dengan hasil yang saya dapat. Mouse boleh bergerak dengan sangat lancar, bebas dan mudah tanpa sebarang masalah.

Pulsefire Mat dilengkapi dengan dua zon lampu RGB. Yang pertama, ia bermula daripada bahagian atas kiri sehingga bahagian bawah kanan dan yang kedua adalah sebaliknya. Anda boleh mengubah warna lampu RGB dengan menggunakan aplikasi NGenuity tetapi tidak boleh ubah mengikut zon.
NGenuity

Di sinilah pusat segala tetapan yang anda boleh lakukan untuk segala produk daripada HyperX termasuk mouse dan mouse pad. Jika anda buka aplikasi ini, anda akan lihat tetapan di bahagian kiri. Untuk mengubah lampu RGB pada setiap produk HyperX, anda mempunyai dua pilihan iaitu “connected device” dan “light sync”.
Terdapat perbezaan antara dua pilihan tersebut. Mari kita mula dulu dengan “light sync”. Ia didatangkan dengan pelbagai efek lampu RGB termasuk solid, breathing, cycle dan banyak lagi. Tetapi apabila anda pergi ke tetapan “connected device”, ia cuma menyediakan satu efek iaitu cycle.
Untuk Pulsefire Haste, terdapat banyak tetapan yang boleh gunakan untuk mengubah suai mouse anda. Yang pertama adalah lampu RGB. Seperti yang saya katakan di atas, anda boleh mengubah lampu RGB dengan pelbagai warna tetapi terhad pada efek. Walaupun ia menyediakan hanya satu efek sahaja, anda masih boleh menambah pelbagai efek yang disediakan kepada mouse seperti “solid” dan “breathing.”
Selain itu, anda juga boleh mengubah fungsi button mouse. Contohnya, anda adalah seorang kidal dan ingin menukar “left click” kepada “right click.” Anda boleh menukarnya dengan sangat mudah tanpa sebarang masalah.

Dan bahagian yang penting dalam mouse adalah DPI. Pada awalnya mereka telah menyediakan empat preset DPI iaitu bermula daripada 400, 800, 1600 dan 3200. Anda boleh mengubah DPI dengan mengikut keselesaan anda kerana ia boleh diubah daripada 200 sehingga 16000. Jika anda hanya menggunakan satu DPI dan tidak menggunakan DPI yang lain, saya sarankan untuk membuang DPI yang lain supaya tidak mengganggu anda semasa bekerja atau bermain game.
Manakala untuk Pulsefire Mat pula, hanya satu tetapan saja yang disediakan iaitu lampu RGB. Cara mengubah lampunya juga sama seperti mouse. Ia menyediakan hanya satu efek sahaja dan boleh ditambah jika anda mahu. Efek yang boleh ditambah adalah “solid, cycle, wave” dan “breathing.”
Selepas menggunakan selama seminggu, saya cadangkan anda untuk menggunakan “light sync” kerana terdapat banyak efek yang anda boleh gunakan bagi padankan pada mouse dan mouse pad.
Kesimpulan

HyperX Pulsefire Haste adalah mouse ultra-light weight yang bagus. Anda boleh gunakan bukan sahaja untuk gaming tetapi bermacam-macam kerja boleh buat. Anda boleh ubah DPI dengan sangat mudah dengan button DPI. Bukan itu sahaja, ada juga boleh mengubah fungsi button pada mouse untuk memudahkan kerja anda tanpa sebarang masalah.
Lagi seronok bila dapat kombo dengan HyperX Pulsefire Mat. Walaupun ia mempunyai permukaan yang kasar, ia masih memberikan pergerakan mouse yang sangat lancar.

Tambah pula dengan aplikasi NGenuity, anda boleh ubah suai mouse dan mouse pad dengan mudah dan cepat. Memandangkan mouse tidak didatangkan dengan memori didalamnya untuk menyimpan profil DPI, NGenuity lengkap dengan profil bagi memudahkan anda menukar preset yang lain dengan cepat.

Secara keseluruhannya, HyperX Pulsefire Haste dan Pulsefire Mat adalah kombo yang bagus. Jika anda sedang mencari mouse gaming ultra-light weight yang tidak mempunyai banyak RGB, saya akan mencadangkan HyperX Pulsefire Haste untuk upgrade setup sedia ada.
Harganya pula tidak terlalu mahal bagi kedua-dua produk. Anda boleh dapatkan Pulsefire Haste pada harga RM299 manakala Pulsefire Mat pada harga RM219. Untuk mendapatkan spesifikasi penuh bagi kedua-dua produk, anda boleh pergi ke laman rasmi HyperX di sini. Kalau anda berminat untuk mendapatkan lebih banyak review berkenaan game dan teknologi, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post