Anda peminat filem seram? Ada satu filem seram bertajuk The Black Phone yang sedang ditayangkan sekarang ini. Kalau anda ingin tahu, ia merupakan adaptasi daripada cerita pendek yang ditulis oleh Joe Hill. Ingin tahu berbaloi atau tidak menontonnya, jom baca review kami ini!
Plot
Kisahnya berlaku pada tahun 1970 di sebuah bandar kecil, di mana satu-persatu kanak-kanak telah hilang diculik. Keadaan itu membuatkan penduduk berasa risau malah anggota polis juga gagal menemukan mangsa-mangsa tersebut. Protagonis kita, Finney (Mason Thames) merupakan mangsa terbaru penculikan tersebut. Finney yang terperangkap di dalam bilik bawah tanah telah menerima panggilan fon daripada mangsa-mangsa terdahulu yang telah mati, melalui fon lama yang ada di bilik itu.
Daripada perbualannya bersama mereka, Finney akhirnya mengetahui beberapa cara yang digunakan oleh mangsa untuk melepaskan diri, tetapi semakin berputus asa setelah gagal berkali-kali. Tetapi selepas mendapat panggilan terakhir, dia akhirnya nekad untuk bergantung kepada dirinya sendiri dan menggabungkan semua jalan keluar dan melepaskan diri daripada penculiknya, The Grabber (Ethan Hawke).
Watak
Sudah tentu anda akan menonton Finney hampir keseluruhan filem kerana dia watak utama cerita. Perwatakannya yang pemalu dan lembut membuatkannya menjadi mangsa buli di sekolahnya. Tetapi sepanjang filem anda akan lihat sisi lain Finney, seorang yang lebih lebih tenang apabila sesuatu berlaku. Ini mungkin juga disebabkan bapanya yang alkoholik dan ganas atau disebabkan buli yang berlaku di sekolah. Walaupun kelihatan lemah, dia sebenarnya memiliki kekuatan yang hebat. Sayangnya dia agak introvert.
Finney mempunyai kakak bernama Gwen, yang juga memainkan peranan dalam filem ini. Dia mempunyai kuasa yang boleh bermimpi untuk melihat masa depan. Dalam filem, dia ingin menggunakan kuasanya untuk membantu polis mencari adiknya, tetapi sudahnya dia biarkan sahaja polis menjumpai rumah, di mana mangsa sebelum ini ditanam. Agak pelik juga apabila filem ini memperkenalkan kuasanya tetapi tidak menggunakannya untuk membantu Finney. Sampai habis filem, Finney banyak bergantung pada pertolongan mangsa terdahulu dan menggunakan kebijaksanaannya sendiri untuk membunuh penculik dan keluar daripada rumah itu. Kalaulah kuasa itu dimanfaatkan mungkin filem ini boleh menjadi lebih menarik.
The Grabber, seorang penculik psycho yang suka menculik tanpa sebab. Tetapi dia suka apabila melihat mangsanya nakal dan cuba untuk melepaskan diri. Jadi dia mempunyai sebab untuk menyeksa mereka dan membunuh mereka secara perlahan. Lakonan Ethan Hawke sebagai The Grabber memang membuatkan bulu roma meremang. Ini membuatkan The Grabber seseorang yang anda tidak mahu jumpa di dunia sebenar.
Persembahan filem
Selalunya kalau filem seram, hantu mesti satu entiti yang mengganggu protagonis tetapi berbeza dengan The Black Phone, entiti inilah yang membantu protagonis. Jump scare juga ada tetapi tidaklah begitu menyeramkan cuma muzik latar yang mungkin membuatkan anda terkejut. Topeng The Grabber memang menarik reka bentuknya. Ia seakan-akan setan bertanduk campur pula dengan senyuman badut. Memang menyeramkan juga kalau ditenung.
Disebabkan filem ini berlatarkan tahun 1970, kesemua tempat penggambaran nampaknya direka untuk lihat seperti era itu. Beberapa scene juga menggunakan blur dan filter retro. Tetapi apabila kuasa Gwen ditunjukkan, ianya agak memeningkan untuk ditonton kerana shot itu agak bergoyang. Untuk anda yang mudah pening, mungkin scene seperti ini boleh menyakitkan kepala.
Bunyi latar memang memainkan peranan penting dalam filem seram. Kadang-kadang keadaan yang sunyi sepi juga boleh memberikan rasa tidak tenang kepada penonton dan boleh tahu sesuatu yang buruk akan berlaku. Tetapi itulah yang menjadi petunjuk untuk penonton siap sedia dengan jump scare yang akan muncul. Kalau anda selalu menonton filem seram, mesti anda sudah biasa dengannya.
Kesimpulan
Senang cerita, ia sebuah filem seram yang menarik malah penceritaannya juga bagus, kerana tidak begitu terkejar-kejar mahupun “dragging”. Tetapi kalaulah beberapa perkara diperjelaskan lagi, mungkin plot ceritanya boleh menjadi lebih kukuh. Contohnya motif penculikan The Grabber. Kalau ada sedikit latar belakang diberikan, mungkin impak lagi besar boleh dirasai oleh penonton. Selain itu, kuasa Gwen yang diperkenalkan juga seperti tidak diterokai dengan baik. Buat apa perkenalkan kuasa itu kalau tidak menggunakannya dalam filem, betul tidak?
Apapun, kalau anda jenis yang suka lihat filem seram, The Black Phone boleh dimasukkan dalam watchlist. Tetapi jangan harapkan tahap keseraman yang melampau kerana ia hanya biasa-biasa sahaja. Filem ini kini ditayangkan di pawagam, jadi jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman filem seram ini. Untuk membaca review lain daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post