Asalnya dikeluarkan pada 2018 oleh Santa Monica Studio, God of War merupakan salah satu game terbaik di PlayStation 4 dan sepanjang sejarah walaupun legendanya sudah lama wujud sejak zaman PS2. Walaupun sekuel God of War Ragnarok akan datang pada tahun ini, kami dapat peluang dahulu untuk mencuba unit review God of War versi PC. Cuba punya cuba, inilah review saya!
Ini adalah spec PC yang saya guna:
- Ryzen 5 3600
- 16GB RAM
- RTX 2060

Bagi korang yang tidak tahu tentang God of War (GoW), game ini diilhamkan oleh mitologi Norse dan berlaku di alam Midgard (amat berbeza dengan game sebelum yang berdasarkan mitologi Yunani). Buat pertama kali dalam siri, kita ada dua protagonis iaitu Kratos, bekas God of War dan anak lelakinya, Atreus. Selepas kematian isteri kedua Kratos dan ibu Atreus, mereka berdua melakukan perjalanan epik untuk menyebarkan abunya di puncak tertinggi antara sembilan alam.
Pada masa yang sama, Kratos merahsiakan sejarah silamnya yang kejam daripada Atreus, yang tidak sedar dia keturunan Dewa. Bersama, mereka harus menghadapi pelbagai jenis raksasa/dewa-dewa baru dan pada masa yang sama, mencari jawapan kepada persoalan peribadi.
Itu sahaja untuk sinopsis.

Bagi God of War versi PC, ia mempunyai semua content yang disertakan dengan versi PS4 ori dengan beberapa bonus tambahan yang terdiri daripada “in-game cosmetic”. Semua yang pernah kami katakan dalam review lama God of War masih sama. Dunia dan persekitaran masih seronok untuk terokai, jalan cerita utama sangat menarik, dan sistem pertempuran memang mengancam habis. Walau bagaimanapun, pengalaman bermain GoW di PC terasa amat berbeza.
Mouse keyboard vs controller

Selepas menghabiskan berpuluh-puluh jam di PS4 (masih belum Platinum), versi PC terasa lebih “intuitif”. Apa yang saya nak jelaskan adalah GoW sangat selesa di mouse/keyboard walaupun direka untuk controller. Menggunakan mouse, ia membolehkan saya target musuh dengan lebih tepat pada kadar yang berterusan.
Beralih ke controller, pertempuran GoW kekal cemerlang di PC. Frame rate yang tinggi dan lancar menjadikannya lebih mudah untuk saya mengesan serangan musuh, dan animasi pertempuran yang terperinci untuk Kratos dan musuh menyerlahkan lagi frame rate yang tinggi. Di PS4, untuk target musuh tertentu yang sentiasa bergerak sebenarnya sangat susah dan memerlukan kemahiran yang tinggi, tetapi pada PC, ia sedikit lebih mudah kerana kelebihan yang saya sebutkan tadi.

Grafik tiada tandingan
Versi PC termasuk pelbagai preset dan option grafik supaya korang boleh menentukan pengalaman visual paling selesa berdasarkan setup PC. Daripada resolusi bayang hingga ke pantulan cahaya – God of War menawarkan kualiti visual tip-top di platform PC.


Ditambah lagi dengan kerjasama NVIDIA, pemain PC yang mempunyai GPU GeForce NVIDA RTX dapat memanfaatkan sepenuhnya setiap ciri-ciri untuk menjadikan game ini terasa lebih sharp dan responsif termasuk fitur DLSS dan NVIDIA Reflex. Bukan NVIDIA sahaja, game ini turut menyokong AMD FidelityFX Super Resolution (FSR) supaya gamer dengan GPU AMD boleh memanfaatkan teknologi bersama segala peningkatan visual baru.
Jika hardware cukup handal, memang tiada masalah untuk mencapai hasil visual yang tinggi. Walaupun begitu, korang tidak memerlukan PC teramat canggih untuk mencapai grafik hebat. Game ini dioptimumkan (kecuali isu screen tearing), dan membenarkan kawalan lancar ke atas penampilan dan prestasi permainan. Jika digandingkan dengan monitor ultra wide screen, perghh memang lagi seronok lah pengalaman gaming.


Saya ulang balik – Jika mempunyai setup PC yang bagus, pengalaman visual korang pasti menakjubkan tidak kira di mana anda memandang. Di samping itu, peningkatan kualiti visual menjadikan keseluruhan sesi penerokaan lebih menyeronokkan. Untuk mereka yang baru main buat kali pertama, saya pasti korang pun akan tertarik ke dalam dunia mitologinya yang besar termasuk hutan rimbun dan gunung berbatu yang cerun curam.
Sokongan DualShock 4 dan DualSense

Saya menggunakan DualShock 4 dan DualSense untuk bermain God of War di PC dan semuanya berjalan lancar. Untuk DualSense, ia hanya menyokong ciri haptic feedback (tanpa tambahan adaptive trigger) yang boleh dirasakan apabila Kratos melontar kapak Leviathan Axe, aksi memanjat bukit atau melakukan heavy attack.
Sama ada DualShock 4 atau DualSense, anda hanya perlu mencucuknya ke PC dan game ini secara automatik bersambung kepada setting sama seperti versi PS4. Semua butang ditetapkan seperti konsol dan anda tidak perlu menukar lagi. Hanya “plug and play” saja.
Lawa tapi masih ada beberapa isu teknikal

Berjam-jam main God of War PC demi review tetapi syukur alhamdulilah, tidak banyak isu bug yang menjengkelkan. Cuma kadang-kadang berlakunya masalah apabila Kratos melontar kapaknya, dan kita “terperangkap” dalam posisi tersebut tanpa ada cara lain untuk kembali ke posisi asal. Di sini, saya saya terpaksa load save file lama untuk membetulkan isu.
Satu lagi bug yang saya jumpa ialah semasa menghidupkan Vsync di Display Setting. Ia menyebabkan framerate saya terus jatuh seolah-olah kena rasuk. Jadi saya recommend korang semua untuk mematikan option Vsync untuk prestasi lebih lancar.
Pendapat

Pertama kali, apa yang saya ingin kata adalah God of War PC adalah port terbaik daripada Sony setakat ini dari segi ciri dan prestasi. Secara langsung, ini pun menjadi bukti bahawa Sony sangat serius untuk mengeluarkan game mereka yang sebelum ini eksklusif di PlayStation ke platform lain.
Selain itu, penambahbaikan grafik dan teknikal bukan sahaja menjadikan dunia lebih menarik untuk terokai, malah frame rate yang tinggi dan keupayaan untuk menggunakan mouse/keyboard dalam pertempuran menjadikan pengalaman keseluruhan terasa amat berbeza tetapi dalam cara yang masih seronok. Bukan nak kata versi PS4 tak bagus, cuma PC membolehkan God of War mencapai tahap kualiti maksimum.

Maka tamatlah review saya untuk God of War PC! Jika anda tidak pernah bermain game ini, maka inilah masanya. Nak tahu segala gameplay dan mekanik, korang boleh rujuk review asal di SINI. Bukan setakat best game of all time, malah salah satu game terbaik di PC juga.
God of War versi PC akan dilancarkan 15 Januari melalui Steam dan Epic Games. Game original boleh dimainkan di PS4 dan PS5 (backwards compatibility) sekarang.
@gamersantaimy
Discussion about this post