Ejen Ali merupakan salah satu siri animasi hebat di Malaysia dan sudah tentu ia mempunyai ramai peminat. Seperti siri animasi yang lain, ramai peminat yang menghasilkan fanart untuk animasi ini tetapi nampaknya ada yang menghasilkan kandungan eksplisit untuk Ejen Ali. Wau Animation, studio yang menghasilkan animasi Ejen Ali telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.
Melalui siaran dari akaun Twitter rasmi Ejen Ali, satu kenyataan akhbar telah dilepaskan mengenai penyalahgunaan watak dan trademark Ejen Ali di laman sosial tersebut. Pihak mereka ingin menyatakan bahawa sebarang kandungan eksplisit tersebut bukanlah daripada pihak mereka mahupun Primeworks Studios Sdn Bhd. Mereka juga menyatakan mereka tidak menyokong penciptaan, penerbitan dan pengedaran karya eksplisit tersebut.

Selepas mendapat tahu mengenai karya eksplisit yang menular di media sosial, pihak Wau Animation telah mengambil langkah sewajarnya dan melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Buat masa ini, mereka akan meneliti tentang perkara ini dan mungkin mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial atau artis yang mencipta kandungan tersebut.
Jika anda memang mengikut peminat-peminat Ejen Ali, rasanya anda juga sudah tahu banyak mengenai “drama” ini. Memang ramai yang melaporkannya kepada pihak Wau Animation kerana kita semua tahu, Ejen Ali sudah tentu mempunyai ramai penonton kanak-kanak. Kandungan ekpslisit itu sudah tentu sesuatu yang buruk untuk ditayangkan kepada peminat yang masih bawah umur. Jadi, jika anda masih menjumpai karya-karya seperti ini, jangan takut untuk melaporkannya dan jaga komuniti ini bersama-sama.
Ejen Ali musim ketiga juga telah dijadualkan untuk tayangan pada tahun ini melalui platform Disney+ Hotstar. Kami pasti ramai daripada anda sudah tidak sabar untuk menonton musim terbaru ini. Alang-alang menunggunya, anda boleh lihat game mobile MOBA daripada siri ini bertajuk Ejen Ali: Agents’ Arena. Ianya tersedia untuk Android melalui Google Play Store dan iOS melalui App Store.
Sumber: Twitter
@gamersantaimy
Discussion about this post