Pasukan pembangunan Blizzard Entertainment baru-baru ini berkongsi pandangan mengenai perkembangan terkini bagi World of Warcraft melalui expansion The War Within, termasuk reaksi pemain, pendekatan penceritaan, dan kejayaan yang tidak dijangka.
Berikut adalah sorotan utama daripada perbincangan bersama Maria Hamilton, Associate Design Director, dan Morgan Day, Associate Game Director.
Naratif dan Perkembangan Watak
Pasukan pembangunan memberi penekanan kepada usaha mereka menyatukan jalan cerita baharu dan lama. Hamilton menekankan kepentingan keseimbangan dalam penceritaan:
“Penting bagi kami memastikan jalan cerita yang merangkumi trilogi ini adalah lengkap dan mendalam, memberikan kisah menarik dan perjalanan watak yang berbeza, tetapi pada masa yang sama, setiap expansion mempunyai ceritanya tersendiri, dengan permulaan, perkembangan, dan pengakhiran yang lengkap.”
Day mengulas tentang watak legasi permainan:
“Anduin, ialah watak penting dalam War Within dan Worldsoul Saga. Watak ini telah berada dalam game selama 20 tahun… kita telah melihat dia berkembang dan melalui trauma Shadowlands.”
“Ia seperti gabungan baharu watak-watak muda yang sangat karismatik dan membawa perspektif baharu,” tambah Day.
“Semua hero lama mempunyai “tukul besar”, jadi setiap masalah dilihat seperti paku yang perlu diketuk, tetapi ternyata World of Warcraft dan dunia ini jauh lebih rumit daripada itu.”
Reaksi Pemain Tidak Dijangka
Fungsi Delves dalam World of Warcraft: The War Within mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai jenis pemain.
“Kami menyangka ada sekumpulan pemain yang akan menyukainya, tetapi kami tidak menyangka betapa banyak pemain, dengan gaya bermain yang berbeza, yang begitu berminat dan terlibat dengan Delves,” kata Hamilton.
“Bahkan pemain tegar juga sangat menikmatinya dan mempunyai banyak pandangan tentang betapa mereka menghargai peluang bermain ini.”
Day turut menyebut kejayaan lain yang tidak disangka:
“Populariti Xal’atath dan bagaimana komuniti menyukainya, bukan hanya sebagai watak jahat, tetapi sebagai watak antagonis yang aneh tetapi disukai… Dia mempunyai kedalaman, kompleksiti, dan lapisan-lapisan wataknya yang kami masih sedang dedahkan sedikit demi sedikit. Saya rasa ramai pemain kami sudah biasa dengan watak jahat dalam World of Warcraft yang hanya mahu mengakhiri dunia.”
Perubahan Falsafah dan Kejayaan Sistem Warbands
Satu pencapaian besar pada tahun ulang tahun ke-20 WoW ialah kejayaan sistem Warbands, yang melambangkan perubahan falsafah utama dalam reka bentuk game. Morgan Day menjelaskan perubahan ini:
“Di pertengahan Shadowlands, berlaku perubahan falsafah besar dalam pasukan di mana kami benar-benar mahu menilai semula banyak prinsip asas yang dulunya menjadi panduan World of Warcraft.”
Perubahan ini mencabar konvensi RPG yang telah lama ada, seperti yang dihuraikan oleh Day:
“Selama bertahun-tahun, ramai pemain meminta keupayaan untuk berkongsi sumber atau memiliki reputasi yang boleh digunakan di semua watak mereka, tetapi sebelum ini kami sentiasa melihat watak dalam World of Warcraft sebagai individu unik dalam dunia ini… watak mage saya telah memperoleh reputasi dengan Nerubians di Ashkahet, tetapi warlock saya tidak. Jadi kenapa Nerubians ini akan mesra dengan warlock saya sedangkan mereka mesra dengan mage saya?”
Akhirnya, pasukan memberi keutamaan kepada pengalaman pemain daripada elemen RPG tradisional.
“Kami mahu menemui pemain di mana mereka berada dan menghargai masa mereka di hadapan keyboard,” tegas Day. “Kami sangat teruja dengan sambutannya… ini benar-benar menjadi asas bagi semua keputusan kami ke depan.”
Tahun ulang tahun ini juga membawa peningkatan ketara berdasarkan maklum balas pemain. Day menyatakan:
“Kami baru sahaja mengeluarkan kemas kini ulang tahun ke-20 dengan ganjaran dan kosmetik baharu… kami telah meningkatkan kadar di mana pemain memperoleh ganjaran tersebut, dan kebanyakan ini datang daripada maklum balas pemain dan keupayaan kami bukan sahaja untuk mendengar, tetapi juga untuk bertindak balas dengan cepat.”
Kejayaan Reka Bentuk Persekitaran
Tema bawah tanah dalam expansion ini mencipta cabaran unik yang memerlukan pendekatan kreatif.
“Salah satu kebimbangan besar kami pada awalnya ialah, aduh, kita akan berada di bawah tanah sepanjang expansion ini. Bukankah ia hanya akan menjadi gelap dan suram?” kata Day. Beliau menyorot zon Hallowfall sebagai “salah satu zon terindah yang pernah dibina dalam World of Warcraft.”
Day menjelaskan keunikan Hallowfall:
“Terdapat gua yang sangat luas dan kelihatan seperti lautan, walaupun anda berada di bawah tanah. Yang paling menakjubkan adalah adanya sumber cahaya, kristal yang masih diselubungi misteri, yang berubah dari terang ke gelap.”
Pembangunan Berdasarkan Komuniti
Pasukan pembangunan menegaskan komitmen mereka terhadap maklum balas pemain. di mana Hamilton menjelaskan pendekatan mereka yang inklusif:
“Kami ingin cuba untuk mempertimbangkan pemain yang tidak mempunyai banyak masa, mereka yang sibuk dengan keluarga, sekolah, atau kerja… Kami mahu semua orang merasa dialu-alukan dan merasa seperti pulang ke Azeroth setiap kali mereka masuk ke dalam game.”
Morgan Day menekankan falsafah pembangunan mereka yang responsif:
“Mengurus game sebagai live service dan memastikan kami sentiasa mengemas kini dan memberikan kandungan baharu… Kami mempunyai alat sangat kuat yang membolehkan kami mengemas kini game dengan cepat… Malah pada minggu lepas, kami mengemas kini salah satu mekanik utama sistem tersebut berdasarkan maklum balas daripada komuniti kami.”
Maria Hamilton turut memberikan pandangan mengenai perkembangan cross-faction:
“Jika abang saya sangat suka rupa bangsa Horde dan saya suka Alliance, kami sepatutnya masih boleh bermain bersama. Kami berusaha mengekalkan persaingan dalam cerita tetapi pada masa yang sama, mempertimbangkan pemain sebenar di sebalik watak-watak itu.”
Bagi mereka yang berminat, World of Warcraft: The War Within sudah dikeluarkan sejak 27 Ogos. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post