Sekiranya anda peminat francais Assassin’s Creed, maka anda pasti tahu bahawa Ubisoft Singapore mempunyai peranan besar semasa menghasilkan Assassin’s Creed Valhalla, terutamanya expansion Siege of Paris di mana mereka mengetuai perkembangan dari A hingga Z buat pertama kalinya. Walaupun studio ini mendapat perhatian kerana permainan yang bertaraf AAA, ia juga dilanda beberapa isu toksik. Untuk menangani kontroversi tersebut, Ubisoft Singapore memberi respon semasa sesi Q&A baru-baru ini.

Sebuah laporan dari Kotaku telah menjelaskan mengenai budaya toksik di Ubisoft Singapore. Selepas bercakap dengan lebih daripada 20 kakitangan (bekas dan pekerja semasa) dari studio, salah satu menggambarkan cawangan Singapura sebagai “salah satu studio Ubisoft paling teruk dari segi budaya.” Tuduhan termasuk gangguan seksual, kes buli oleh pengurus, dan perbezaan gaji kerana kaum, di bawah kepimpinan Hugues Ricour. Ricour dituduh melakukan gangguan seksual oleh beberapa orang dalam laporan Gamasutra pada bulan Ogos 2020. Pada bulan November pada tahun yang sama, ia dilaporkan dia telah dibuang dari jawatannya sebagai ketua studio Ubisoft Singapore dan digantikan oleh Darryl Long. Malangnya, ada sumber yang mendakwa isu gaji dan masalah lain masih berkelanjutan.
Selain itu, Kotaku melaporkan perbezaan gaji yang tinggi untuk pekerja tempatan berbanding mereka yang berpindah ke Singapura untuk bekerja di studio. Untuk beberapa kes, bekas pekerja masih harus tinggal bersama ibu bapa kerana perbezaan gaji dilaporkan antara $ 5,000 hingga $ 10,000 setiap tahun (Singapore dollar). Terdapat juga isu “French ceiling” yang bermaksud ia lebih sukar bagi sesiapa yang bukan dari Perancis atau fasih dalam berbahasa Perancis untuk berjaya. Perkara ini dikatakan benar oleh pekerja Asia Tenggara. Laporan juga menunjukkan jabatan HR yang tidak efektif. Walaupun majoriti dikendalikan oleh penduduk tempatan, mereka terpaksa mengikuti arahan pihak pengurusan dan produksi.

Kebanyakan isu gangguan seksual diabaikan. Satu kes berjaya mendapat siasatan formal tetapi si pesalah hanya diberi amaran formal dan harus menghadiri ceramah tentang budaya. Wanita yang melaporkan kes itu tidak setuju dengan hukuman yang diberi tetapi akhirnya si pesalah telah berpindah ke bangunan lain. Seluruh proses ini mengambil masa selama sembilan bulan.
Seperti saya kata di atas, Ubisoft Singapore telah mengadakan persembahan keynote untuk Assassin’s Creed Valhalla: The Siege of Paris. Ini bersambung kepada sesi Q&A yang terdiri dari Darryl Long (Pengarah Urusan), Joel Janisse (Pengarah Naratif), Paul Fu (Pengarah Kandungan), Joan Hsu (Ketua Animasi), Choogs Tans (Ubisoft Philippines), dan Gwen Guo (Pengerusi Singapore Games Association). Mereka ditanya tentang tindakan apa yang diterapkan selepas kejadian dan penambahbaikan yang dilakukan. Darryl Long, selaku Pengarah Urusan Ubisoft Singapore memberi respon kepada isu-isu yang bikin kontroversi di bawah:

“Sangat penting untuk kita bercakap mengenai perkara-perkara ini dan mengetahui apa yang berlaku dalam industri kita sekarang. Di Ubisoft, tujuan kami adalah untuk mewujudkan persekitaran, budaya studio, yang boleh dibanggakan oleh sesiapa sahaja. Setiap anggota masyarakat sudah membincangkan hal ini.. orang masuk, dan sudah letih. Bukan itu yang kita mahukan dan itu pun diri kami.
Oleh itu, kita perlu mencari dan memikirkan tentang cara yang kita faham dan juga cara kita bertindak secara dalaman. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan, gangguan atau diskriminasi dalam bentuk apa pun. Melangkah depan, kami mempunyai dasar toleransi sifar terhadap segala jenis kesalahan.
Matlamat saya adalah untuk membina budaya tempat kerja berdasarkan pada kasih sayang, inovasi dan memimpin industri. Kita perlu menjadi tempat kerja yang boleh dicontohi. Apa yang saya maksudkan adalah seperti menyediakan persekitaran di mana pasukan dapat mengekspresikan diri dan merasa selamat untuk mengekspresikan diri secara kreatif supaya mereka dapat membuat permainan yang luar biasa untuk semua pemain. Di studio, kami telah mengambil tindakan konkrit untuk menangani setiap jenis salah laku.
Kami merumuskan semua proses untuk menangani tuduhan salah laku. Kami menggunakan pihak ketiga untuk membenarkan pemberian maklumat tanpa nama dan penyiasatan. Kami kemudian ikuti cadangan pihak ketiga yang bebas. Ini adalah pendekatan dari dua belah pihak. Ditambah dengan toleransi sifar terhadap salah laku, sebahagian daripadanya hanya adalah satu sisi. Yang lain, mewujudkan persekitaran di mana orang merasa lebih selamat supaya mereka dapat melakukan yang terbaik.
Bagi saya, itu bermaksud bahawa kepelbagaian dan penyertaan harus menjadi inti untuk semua yang kita lakukan. Beberapa komitmen yang kami buat, seperti SG WIT (inisiatif Singapore Women In Tech). Kami telah berjanji untuk SG WIT pada tahun ini, dan bersamanya adalah beberapa kewajiban yang diperlukan, untuk meningkatkan kepelbagaian – secara khususnya jantina, dalam industri kami.
Perkara-perkara seperti menyediakan laluan pembelajaran istimewa bagi wanita untuk membantu beralih ke peranan yang lebih besar secepat mungkin adalah sesuatu yang kita laksanakan di studio Singapura dan juga inisiatif lain seperti membantu rakyat Singapura maju lebih cepat ke peranan kepimpinan dan pengurusan. Jadi ini adalah beberapa perkara yang kita lakukan untuk menjadikan tempat kerja yang selamat.”
Darryl Long (Pengarah Urusan Ubisoft Singapore)
Semoga keadaan bertambah lebih baik selepas ini di Ubisoft Singapore atau mana-mana studio pun di Asia Tenggara supaya kita dapat menjayakan lagi industri permainan hingga ke tahap antarabangsa. Selain urusan dalaman bagi kontroversi yang berlaku, buat masa ini, Ubisoft Singapore ditugaskan untuk menghasilkan expansion terbaru Assassin’s Creed Valhalla: The Siege of Paris dan saya berpeluang untuk mencubanya. Anda boleh baca ulasan penuh saya di sini. Untuk segala liputan lain tentang AC Valhalla, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post