CD Projekt RED secara rasmi telah mengumumkan The Witcher IV, menandakan permulaan saga baharu dalam dunia The Witcher. Malangnya, platform dan tarikh pelancaran masih dirahsiakan.
Didedahkan semasa The Game Awards tahun ini, The Witcher IV—sebelum ini dikenali dengan nama kod Polaris—akan mengikuti perjalanan Ciri, anak angkat Geralt of Rivia, sebagai protagonis baharu.
Sebagai kesinambungan kepada The Witcher 3: Wild Hunt, yang diiktiraf sebagai salah satu game terbaik sepanjang zaman, sekuel ini membawa siri ke arah baharu.
Trailer pengumuman hampir enam minit ini membawa penonton ke dalam kisah yang mendebarkan. Ciri tiba di sebuah kampung terpencil yang diganggu oleh raksasa menakutkan yang menuntut korban manusia selama beberapa generasi.

Sinematik ini memperkenalkan pelbagai abiliti baharu Ciri, termasuk penggunaan rantai sebagai senjata dan kuasa ajaib, menampilkan evolusinya sebagai seorang witcher.
Trailer ini menekankanperanan Ciri sebagai seorang witcher. Apabila penduduk kampung bersiap sedia untuk mengorbankan seorang gadis muda demi meredakan kemarahan raksasa tersebut, Ciri memilih untuk campur tangan.
Dia berusaha untuk membunuh makhluk itu dan menyelamatkan gadis tersebut, tetapi tindakannya mencabar kepercayaan karut dan prasangka penduduk kampung. Tema ini menyerlahkan salah satu elemen utama dalam The Witcher: hakikat sebenar tentang “raksasa”, sama ada secara literal mahupun metafora.

Trailer ini dihasilkan menggunakan versi khas Unreal Engine 5 dengan aset dan model daripada game itu sendiri. Kerjasama antara CD Projekt RED dan Platige Image—yang terkenal dengan sumbangan sinematik mereka dalam siri ini—menyajikan gambaran awal tentang kualiti visual canggih yang boleh diharapkan oleh pemain.

Sebagai bab pertama dalam saga baharu ini, The Witcher IV berjanji untuk meneroka wilayah baharu sambil kekal setia kepada akar siri ini.
Dengan meletakkan Ciri sebagai tumpuan utama, CD Projekt RED bukan sahaja “menyerahkan obor” daripada Geralt tetapi juga membuka pintu kepada naratif baharu dalam dunia The Witcher yang kompleks.
@gamersantaimy
Discussion about this post