Walaupun bukan pencipta asal XCOM, Firaxis Games telah memberikan banyak sumbangan kepada francais dan genre taktikal strategi secara keseluruhan. Itulah sebabnya ramai yang tertarik apabila mendapat tahu studio ini akan menguruskan Marvel’s Midnight Suns, dan cuba untuk memperkenalkan gameplay baru pada multiverse Marvel. Dalam game ini, pemain akan menyertai pasukan Midnight Suns yang terdiri daripada watak superhero terkenal seperti Ghost Rider, Wolverine, Dr. Strange dan lain-lain. Sempena itu, kami menerima peluang untuk mengadakan temu ramah bersama Jake Solomon selaku pengarah kreatif Marvel’s Midnight Suns di Firaxis Games. Tanpa melengahkan masa lagi, jom kita mulakan!

Perkembangan gameplay
Adakah permainan mempunyai had masa untuk menyelamatkan dunia seperti XCOM, atau dapatkah kita bermain mengikut rentak sendiri?
Anda boleh bermain mengikut rentak sendiri. Had masa di XCOM merupakan sesuatu yang masuk akal secara naratif dan mekanik manakala Marvel’s Midnight Suns adalah jenis permainan berbeza dan mempunyai matlamat reka bentuk serta mekanik yang berbeza.
Berapa banyak masa yang diperlukan untuk menamatkan permainan? Adakah kita boleh meneroka semua pilihan persahabatan dengan setiap superhero dalam satu playthrough?
Bergantung pada pemain, Marvel’s Midnight Suns akan mengambil masa sekitar 40 hingga 60 jam untuk dimainkan. Untuk memaksimumkan persahabatan antara semua watak – itu tidak mungkin dalam satu playthrough!

XCOM 1 dan 2 terkenal kerana tahap difficulty yang tinggi. Adakah Midnight Suns sama susah dan memiliki mekanik permadeath?
Kami mempunyai banyak tahap difficulty dalam Marvel’s Midnight Suns jadi anda dapat menaikkan atau menurunkan tahap bergantung pada apa yang sesuai. Kami mereka Marvel’s Midnight Suns untuk bermain lebih pantas daripada XCOM, mahupun dalam aksi yang anda lakukan dan juga tempoh misi, di mana beberapa pemain mungkin akan merasa lebih mudah. Tetapi kami tidak mengorbankan tahap kedalaman atau kerumitan, kerana ini penting untuk mengasilkan permainan taktikal yang baik.
Untuk permadeath, kami mempunyai pengalaman RPG yang lebih tradisional di mana jika semua superhero dikalahkan, anda gagal dalam misi dan harus mengulang semula. Permadeath adalah mekanik penting dalam XCOM, secara naratif dan tematik, tetapi tidak sesuai dengan apa yang kami cuba bina di Marvel’s Midnight Suns.
Pembentukan pasukan dan watak

Nampaknya kita hanya boleh bermain sebagai superhero. Adakah kita dapat merekrut penjahat ke dalam pasukan?
Malangnya bagi Hunter, hanya Lilith sahaja yang memiliki abiliti untuk merekrut penjahat untuk bantu dalam misinya!
Adakah Hunter merupakan pilihan wajib dalam parti kita?
Hunter diperlukan untuk misi jalan cerita utama, tetapi anda dapat memilih pasukan tanpa Hunter untuk misi sampingan. Di War Room, anda dapat memilih dari satu set misi untuk lakukan. Terdapat misi utama, yang Hunter sentiasa perlu mengambil bahagian, dan juga misi sampingan yang memerlukan superhero berbeza. Untuk misi sampingan itu, anda tidak perlu membawa Hunter dan boleh memilih dari mana-mana superhero yang tersedia atau sudah dibuka.
Terdapat campuran antara superhero Marvel yang terkenal seperti Captain America, Iron Man, Captain Marvel dengan superhero yang kurang terkenal seperti Blade, Magik, dan Ghost Rider. Bolehkah anda terangkan tentang proses pemilihan senarai watak?
Memilih siapa yang akan termasuk dalam senarai superhero adalah salah satu keputusan paling sukar untuk kami buat di Marvel’s Midnight Suns. Tetapi kami sangat bangga dan teruja dengan pilihan sekarang. Kami sengaja memilih superhero dari seluruh universe Marvel termasuk Avengers, Runaways, X-Men dan lain-lain dan salah satu tema cerita adalah pertembungan antara yang lama dan baru.
Itulah sebabnya anda melihat watak-watak seperti Captain America, Iron Man, dan Captain Marvel -ahli The Avengers yang sudah biasa menguruskan ancaman apokaliptik, tetapi kurang mahir mengenai hal supernatural. Pada masa yang sama, hero Midnight Suns yang lebih muda iaitu Blade, Magik, Ghost Rider dan Nico Minoru – mereka sudah biasa dengan alam ghaib tetapi masih perlu berusaha untuk menghadapi ancaman sebesar ini. Sebagai Hunter, peranan anda adalah untuk menghubungi kedua-duan pihak.

Adakah terdapat mekanik untuk sentiasa menukar ahli parti?
Ya! Sepanjang permainan, anda memerlukan sumber daya untuk meningkatkan abiliti, fasiliti di Abbey, dan banyak lagi. Misi menawarkan ganjaran tertentu. Anda memerlukan “credit” untuk meningkatkan Forge, jadi anda harus mencari misi yang menawarkan credit sebagai ganjaran. Setiap misi mempunyai superhero yang perlu anda pakai, jadi ini adalah salah satu cara kami mendorong pemain untuk mencuba (sekurang-kurangnya) setiap wira.
Semakin banyak kali anda membawa hero tertentu dalam pertempuran, semakin banyak risikonya di mana mereka boleh menerima terlalu banyak damage dan akan tercedera. Hero yang cedera masih boleh digunakan dalam pertempuran, tetapi mereka akan mempunyai beberapa jenis debuff. Contoh, mereka mungkin memulakan pertarungan dengan jumlah HP yang lebih sedikit. Di Abbey, kadang-kala ada hero akan meminta anda untuk membawa mereka bertarung sekali dan anda akan mendapat ganjaran sekiranya melakukannya.
Sistem pertempuran

Sebagai penggemar permainan taktikal, sistem kad amat berbeza kepada RNG dari XCOM. Bolehkah anda menerangkan maksud reka bentuk di sebalik keputusan ini?
Di XCOM, pertempuran dicerminkan pada premis permainan. Anda membawa sekumpulan tentera baru untuk melawan musuh yang lebih kuat, dan harus maju ke depan walaupun ada pelbagai perkara bahaya di setiap sudut. Dalam Marvel’s Midnight Suns – anda lah perkara bahaya itu. Anda adalah seorang superhero bernama Hunter dan mempunyai legenda seperti Iron Man dan Captain Marvel di sisi. Kami mahu pemain berasa hebat semasa berada di medan perang.
Ini kerana setiap superhero mempunyai pelbagai kuasa dan abiliti, dan kita perlu mencari jalan untuk menyeimbangkan semua orang. Oleh kerana kad dipilih secara rawak, kita dapat mencipta abiliti yang hebat dan kuat dari awal. Dengan cara ini, anda tidak perlu menaikkan level atau grinding untuk membuka setiap senjata Iron Man. Anda sudah memperolehnya, tetapi tidak ada jaminan anda dapat menggunakan kuasa tersebut serta merta.
Pertempuran di Marvel’s Midnight Suns amat bertentangan dari XCOM. Di XCOM, anda tahu dengan tepat apa yang boleh dilakukan pada setiap giliran, tetapi tidak pasti sama ada ia akan berjaya. Di Marvel’s Midnight Suns, anda tidak tahu kad apa yang akan keluar, tetapi setelah mempunyai abiliti atau kuasa itu -ia akan sentiasa memberi hasil. Kad memberi kaedah yang baru dan menarik untuk menawarkan taktik kepada pemain, dan saya gembira orang dapat mencubanya.

Watak superhero jauh lebih kuat daripada watak taktik biasa, dan kurang bergantung kepada perkara seperti berlindung. Bolehkah anda membincangkan bagaimana untuk mewajibkan gaya permainan yang lebih strategik ketika bermain sebagai superhero?
Di Marvel’s Midnight Suns, pertempuran sepatutnya membuat anda merasa seperti superhero dan ia memang direka seperti itu. Kami tidak mempunyai vertikaliti atau aspek berlindung di Marvel’s Midnight Suns, kerana superhero memang kuat atau tidak perlu bimbang untuk berlindung. Disebabkan mereka sangat kuat, anda tidak perlu takut dengan satu atau dua tentera. Oleh itu, daripada terus berjalan melalui peta, orang jahat terperangkap di medan perang bersama anda.
Terdapat banyak musuh dan abiliti yang dipilih secara rawak, jadi anda harus memikirkan cara untuk memaksimumkan jumlah damage yang dilakukan dan meminimumkan jumlah damage yang diterima. Anda hanya mempunyai tiga kad, tetapi sistem pertempuran mempunyai banyak fleksibiliti kerana beberapa abiliti akan mengembalikan kad apabila musuh ditewaskan, ada yang memberikan kad tambahan pada giliran seterusnya, dan ada juga yang membenarkan kita memilih kad semula bagi mendapatkan kad yang lebih baik.
Bersama mekanik “Heroism”, yang merupakan sumber penting untuk melakukan serangan istimewa dan interaksi persekitaran, seperti membuang kotak atau meletupkan balang, ia adalah sistem yang sangat mendalam dan saya teruja untuk melihat jenis strategi dan kombo yang boleh dibuat oleh pemain.

Berapa banyak jenis kad yang boleh digunakan untuk setiap hero? Adakah ada jumlah kad minimum atau maksimum semasa bertarung?
Anda mengawal hingga tiga hero, masing-masing dengan dek unik sendiri. Dek terdiri daripada lapan kad yang boleh anda pilih antara abiliti ketika berada di luar pertempuran. Anda boleh memiliki kad yang sama untuk meningkatkan peluang mendapatkan kad tersebut, dan juga untuk mengubah suai playstyle watak agar sesuai dengan keperluan. Memang boleh sahaja untuk membuatkan Captain America yang sangat defensif atau sangat ofensif.
Memandangkan skuad hanya boleh diisi tiga watak, adakah ada cara untuk menambahkan giliran?
Anda mempunyai tiga kad pada setiap giliran, tetapi itu tidak bermaksud anda hanya akan melakukan tiga pergerakan. Abiliti yang mempunyai atribut Quick akan mengembalikan kad semasa menewaskan musuh, yang sangat berguna untuk menewaskan minion yang lemah. Anda akan mempunyai kad yang memberi lebih banyak kad pada giliran seterusnya, atau beberapa kad yang sama sekali tidak menelan giliran. Terdapat banyak keunikan pada sistem dan banyak cara bagi pemain untuk “melanggar” peraturan.

Bolehkah setiap watak mempunyai pelbagai gaya permainan? Contohnya, Wolverine yang berorientasikan defensif memandangkan dia lebih ke ofensif.
Sudah tentu. Ini adalah salah satu kelebihan menggunakan kad. Anda dapat mengubah suai dek lantas mengubah playstyle watak. Hunter adalah yang paling fleksibel, manakala hero lain mempunyai sifat atau abiliti tertentu yang membuatkan mereka unik. Sebagai contoh, Ghost Rider melakukan damage yang tinggi, tetapi mempunyai kesan sampingan. Nico Minoru mempunyai abiliti support dan debuff yang kuat, tetapi juga memerlukan proses tertentu untuk memanfaatkan potensinya. Walau bagaimanapun, sifat ini tidak menghalang anda untuk membuat watak-watak ini lebih ofensif atau defensif.
Bolehkah kita skip sinematik serangan?
Anda tidak boleh skip animasi untuk serangan, tetapi Marvel’s Midnight Suns direka untuk bermain secara pantas.
Marvel Universe secara keseluruhan
Bolehkah peminat komik Ghost Rider, khususnya mereka yang mengikuti Rise of the Midnight Sons, mengharapkan apa-apa easter egg?
Sekiranya anda adalah peminat kepada salah satu superhero dalam Marvel’s Midnight Suns, akan ada banyak perkara menarik yang boleh nantikan dalam permainan. Harapkan banyak easter egg, dan perkara baru! Kami ingin menunjukkan banyak hero yang sudah terkenal ini dalam suasana yang kamu tidak biasa.
Adakah akan ada kostum yang diilhamkan oleh MCU untuk watak-watak ini?
Kami akan mempunyai pelbagai kostum berinspirasikan Marvel secara keseluruhan, yang pasti menggembirakan mana-mana peminat!
Ramai yang mengenali Marvel melalui filem Marvel Cinematic Universe. Bolehkah anda membincangkan bagaimana rasanya menghasilkan sesuatu yang tidak mempunyai kaitan dengan MCU?
Marvel’s Midnight Suns merupakan projek impian bagi saya. Saya peminat komik dan siri kegemaran saya berasal pada tahun 90-an dan bernama Rise of the Midnight Sons. Jadi bagi saya, menghasilkan permainannya dengan kisah naratif ini sangat seronok. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk menjadi peminat Marvel, sama ada anda suka filem, rancangan TV, komik atau permainan video.
Saya sangat teruja untuk pemain menemui beberapa watak baru di Marvel’s Midnight Suns yang mereka mungkin tidak kenal, (seperti kegemaran saya, Magik!) sambil melihat beberapa wajah terkenal dalam situasi yang baru, seperti Iron Man di rumah agam yang menyeramkan atau Captain America sedang berlawan dengan setan. Ini akan menjadi pengembaraan yang hebat.
Masih lama lagi sebelum Midnight Suns dikeluarkan pada tahun depan, jadi harapkan banyak lagi info menarik pada masa akan datang. Itu sahaja untuk temu ramah kami bersama Jake Solomon tentang Marvel Midnight Suns yang bakal dikeluarkan pada Mac 2022 di PC, PS4, PS5, Switch, Xbox One, dan Xbox Series X/S. Untuk segala liputan kami tentang Marvel Midnight Suns, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post