Bercerita tentang game Sonic, kadang-kadang ada yang menarik ada yang biasa-biasa sahaja tetapi kedatangan Sonic Frontiers sememangnya membawa satu impak yang besar malah hebat. Kalau anda ingin tahu, game ini merupakan game pertama Sonic yang mempunyai dunia semi Open-zone dan memberikan perubahan yang bagus kepada francais ini. Ingin tahu best atau tidak Sonic Frontiers? Teruskan membaca review kami ini!
Plot Cerita Sonic Frontiers
Anda akan dibawa melihat Sonic, Tails dan Amy mengembara ke sebuah pulau baru melalui kapal terbang Tail. Tiba-tiba datang pula gelombang tenaga yang menyebabkan mereka terhempas di kawasan baru yang misteri. Sonic telah bangun dan mendapati bahawa rakan-rakannya telah tiada tetapi dia akhirnya berjumpa dengan Amy. Nampaknya Amy dan rakan-rakannya yang lain telah kelihatan seperti glitch hologram. Kini, Sonic memutuskan bahawa dia mesti menyelamatkan rakan-rakannya dan mencari jalan untuk melarikan diri dari dunia aneh yang didiami oleh sekumpulan makhluk batu yang dipanggil Cocos.

Sepanjang perjalanannya, Sonic sedang diperhatikan dan diburu oleh watak baru misteri bernama Sage. Dia nampaknya bekerja untuk Dr. Eggman yang turut bertanggungjawab dengan mengubah pulau tersebut menjadi keadaan yang sekarang. Misteri di sebalik Sage, Cocos dan pulau itu adalah sebahagian cerita yang perlahan-lahan terungkai semasa game dimainkan.
Cara plot didedahkan dalam game agak stabil dengan cutscene baru selepas setiap misi cerita utama. Walaupun permulaannya agak minimalis tetapi apabila cerita makin dirungkai, ia menjadi menjadi lebih menarik dengan segala misteri yang didedahkan.

Dalam setiap semi-open zone, Sonic akan bertemu salah seorang rakannya. Jadi terdapat lima Open-zone yang anda akan terokai. Penulisan untuk personaliti mereka kini lebih baik berbanding media lain malah mempunyai perkembangan yang baik dengan Sonic. Rasanya peminat akan menyukainya nanti. Agak susah untuk ceritakan tentang Sage tanpa memberitahu spoiler besar. Tetapi apa yang anda perlu tahu ialah dia seorang antagonis yang mempunyai simpati dan mungkin dia akan mempunyai ramai peminat setelah game habis dimainkan.
Cuma satu sahaja yang kurang iaitu lakonan suara dalam game. Watak seperti Tails, Eggman, Sage dan Knuckles kedengaran baik-baik sahaja tetapi suara Amy agak kaku manakala Sonic pula mempunyai suara yang agak dalam. Tetapi anda akan biasa mendengarnya setelah lama bermain.

Open Zone yang luas
Seperti yang kami ceritakan di atas, terdapat lima Open Zone untuk diterokai merentasi game dengan setiap satu daripadanya mempunyai reka bentuk serta halangan game Sonic seperti boost pad dan grind rail.
Secara ringkas, Sonic Frontiers merupakan collect-a-thon, lebih kurang seperti Mario Odyssey atau Banjo Kazooie. Anda perlu mengumpul Gear, untuk membuka stage “Cyberspace” yang kelihatan seperti level Sonic terdahulu tetapi dengan lebih dunia berwarna dan muzik hard rock. Level ini boleh menjadi 3D atau 2D. Dengan mengalahkan Cyberspace, anda akan mendapat kunci yang boleh digunakan untuk membuka Chaos Emerald untuk teruskan penceritaan. Anda juga boleh mencari memory item untuk rakan Sonic pada setiap pulau, yang juga penting untuk kemajuan cerita.

Memory item, gear dan kunci juga boleh dijumpai sebagai item tersembunyi, di mana anda akan jumpa dengan melengkapkan pelbagai halangan di sekitar Zone atau dijatuhkan oleh musuh. Tetapi peratusannya agak rendah, jadi lebih baik mainkan sahaja level Cyberspace. Anda juga boleh mendapatkan item dengan bermain mini-game memancing bersama Big The Cat.

Setiap penghujung setiap Zone akan adanya Boss Battle. Bagi kami, ia seperti bermain Shadow of The Colossus di mana ia membuatkannya kelihatan hebat dan mengagumkan serta menarik untuk bertarung. Terdapat juga boss mini yang berkeliaran merata tempat yang memerlukan Sonic untuk menggunakan pelbagai serangan untuk mengalahkannya. Ini secara tidak langsung mengajar pemain untuk menggunakan setiap kebolehannya.
Sonic Frontiers juga membenarkan anda untuk mencuba segala cara untuk mendapatkan item pada bila-bila masa atau mengikut rentak anda tersendiri. Ini menjadikan ia menyeronokkan apabila menerokai Zone dan berlari ke mana sahaja dengan kelajuan pantas menghadapi segala halangan. Ini barulah seperti game Sonic.

Walaupun begitu, terdapat beberapa masalah kecil dengan game ini bagi kami tetapi pendapat orang semua berbeza. Frame rate semasa berada dalam Open Zone adalah baik tetapi terdapat banyak pula pop-in. Anda akan berlari tetapi keluar pula halangan secara tiba-tiba. Ini mungkin memberikan masalah semasa bermain kerana anda mudah untuk sesat dan halangan mengejutkan ini agak menjengkelkan.
Kadang-kadang masa loading yang diperlukan untuk sesetengah stage agak lama. Ia tidaklah lama sampai anda boleh buat kopi tetapi ia cukup lama sampai ada stage tutorial kecil untuk anda mainkan. Kalau takda tutorial mini ini, memang termenunglah anda. Kalau ia boleh loading dengan lebih cepat, rasanya itu lebih baik. Memandangkan kami bermainnya pada PS4, ada kemungkinan besar masa loadingnya lebih singkat di PS5.

Sistem pertempuran yang baru
Pertempuran Sonic Frontiers antara benda yang membuatkan game ini bersinar. Jika game Sonic terdahulu, bagi kami ia mempunyai kawalan dan hit detection yang agak menjengkelkan. Sonic juga mudah tergelincir malah setiap dia melangkah, melompat atau memukul musuh ada kemungkinan dia akan jatuh daripada tebing.
Kali ini, game Sonic mempunyai dua mode game seperti berikut:
- Speed Mode: Sama seperti game klasik Sonic
- Power Mode: Membuatkan Sonic sedikit perlahan tetapi lebih kuat

Kami telah bermain dengan Power Mode dan ini membuatkan Sonic mudah untuk dikendalikan. Anda akan menekan butang “X” untuk melompat dan butang “▢” untuk menggunakan Homing Attack yang menghantar Sonic terus ke musuh. Dengan menekan “▢” lagi, akan membolehkan Sonic untuk melancarkan kombo serangan di mana dia akan menumbuk dan menyepak musuh. Berbeza dengan game Sonic terdahulu, walaupun anda dipukul, jumlah cincin yang anda hilang hanyalah sedikit. Ia jauh lebih tepat dan menjadikannya seronok untuk mengawal Sonic semasa berlawan.

Sonic juga mempunyai beberapa gerakan baru yang boleh dibuka melalui skill tree kecil. Ini termasuklah kebolehan kombo lanjut yang membolehkannya melakukan beberapa gerakan yang sangat menarik serta kebolehan praktikal seperti Cyloop. Ini melibatkan berlari mengelilingi musuh untuk membuat gelungan untuk stun mereka dan lancarkannya ke udara. Cyloop juga penting untuk mencari item tersembunyi.

Sonic boleh mengelak dengan menekan R1 dan L1 dan menangkis serangan musuh dengan menahan kedua-dua butang bahu dan melepaskannya pada masa yang betul. Ini sangat membantu semasa berlawan dengan bos.
Senang cerita, ini merupakan sistem pertempuran terbaik dalam game Sonic. Ia jauh lebih mudah dan lebih senang untuk bergerak dan bertarung. Pemain juga terasa bebas untuk melakukan apa sahaja dengan kebolehan baru dan item merentasi dunia. Malah boleh bereksperimen dengan Sonic dalam mengalahkan musuh. Memang satu evolusi gameplay yang menarik untuk game Sonic.

Kesimpulan
Sonic Frontiers ialah permulaan baru yang hebat dalam francais Sonic. Tetapan dunia Open Zone membolehkan watak untuk bergerak lebih bebas ditambah pula dengan serangan dan penyesuaian yang membolehkan anda untuk teruskan penceritaan yang penuh misteri ini dengan lebih pantas. Walaupun ia mengambil masa yang lama untuk loading, tetapi ia bukanlah sesuatu masalah yang besar. Jika ia dapat dipendekkan, mungkin lebih baik.
Kami harap Sonic Team akan terus meneroka konsep gameplay Open-Zone ini. Ia sesuai dengan “vibe” game Sonic, yang pantas dan bebas, membolehkan pemain menangani musuh dan meneroka stage dengan retak tersendiri. Tidak sabar untuk melihat sejauh mana konsep ini akan dikembangkan lagi oleh pembangun.
Game ini akan dilancarkan pada 8 September ini di pelbagai platform. Anda boleh layari laman web rasmi game untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

@gamersantaimy
The Review
Sonic Frontiers
PROS
- Open zone menyeronokkan untuk diterokai dan membolehkan pemain melakukan sesuatu mengikut pacing mereka sendiri.
- Sonic lebih mudah dikawal dan mempunyai banyak gerakan baharu yang menyeronokkan
- Cerita menarik dan watak ditulis dengan baik.
CONS
- Skrin pop-in dan loading agak menjengkelkan
- Beberapa lakonan suara mungkin boleh diperbaiki
Discussion about this post