Koei Tecmo dan pembangun Team NINJA secara rasmi mengumumkan pelancaran NINJA GAIDEN II Black untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam dan Microsoft Store. Lebih menarik lagi, game ini boleh didapati bermula hari ini dan turut tersedia melalui Game Pass.
NINJA GAIDEN II Black adalah versi remaster dan dipertingkat sepenuhnya daripada game aksi klasik dari 2008, Ninja Gaiden II. Dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5, remaster ini menampilkan peningkatan visual yang ketara, termasuk reka bentuk semula kepada peringkat, watak, efek, dan pencahayaan. Grafik yang diperbaharui ini menjanjikan pengalaman lebih realistik, memberikan nafas baharu kepada tajuk berusia 15 tahun.

Pemain akan mengambil peranan sebagai ninja legenda Ryu Hayabusa, yang menggunakan “Dragon Sword” ikonik untuk melawan musuh di seluruh dunia. Selain Ryu, watak seperti Rachel, Momiji, dan Ayane turut kembali dan juga boleh dimainkan, membolehkan pemain meneroka gaya unik mereka. Watak-watak ini, yang pertama kali diperkenalkan dalam Ninja Gaiden Sigma 2, menambah variasi pada gameplay.

Menjaga keaslian game asal, NINJA GAIDEN II Black mengekalkan aksi pantas dan “intense” yang menjadikan siri ini kegemaran ramai. Gameplay merangkumi pelbagai senjata dan teknik, seperti pedang Jepun, shuriken, Kusari-gama, dan tonfa, membolehkan pemain bereksperimen dengan gaya pertarungan berbeza. Unsur gore dan keganasan—elemen besar kepada francais ini—turut dikekalkan dan diperbaharui. Menariknya, mekanik dismemberment telah dipertingkat, menawarkan pengalaman yang lebih nyata dan boleh dihidupkan atau dimatikan melalui menu Options.

Untuk lebih menghampiri versi asal di Xbox 360, sistem peningkatan senjata telah diselaraskan, memastikan pengalaman gameplay yang seimbang. Game ini juga memperkenalkan sistem sokongan pertempuran yang diperbaharui dan mod baharu “HERO PLAY STYLE” yang direka untuk pemula. Mod ini memberikan sokongan automatik semasa pertembungan sukar, menjadikan game ini lebih mudah diakses oleh pemain baharu sambil tetap memenuhi keperluan pemain veteran.

Jangan Lepaskan Peluang Ini! Jom alami perjalanan epik Ryu Hayabusa. NINJA GAIDEN II Black kini tersedia untuk PS5, Xbox Series, dan PC.
@gamersantaimy
Discussion about this post