DOOM: The Dark Ages merupakan game first-person shooter yang sedang dibangunkan oleh id Software dan diterbitkan oleh Bethesda Softworks. Akan dilancarkan pada tahun 2025, game ini bertindak sebagai prekuel kepada DOOM (2016), membawa pemain untuk meneroka kisah asal Doom Slayer dalam dunia yang diinspirasikan oleh zaman pertengahan.
Melalui trailer rasmi pertama pada Jun 2024, peminat telah disajikan dengan beberapa elemen menarik.
Super Shotgun kembali menjadi senjata utama, bersama pelbagai senjata baharu seperti perisai yang boleh dilempar dan digunakan untuk menangkis serangan, flail untuk pertempuran jarak dekat, Nailgun, Skull Crusher, dan senjata klasik Plasma Gun.
Lebih mengujakan, pemain juga akan berpeluang mengawal naga yang boleh ditunggang serta mecha. Walau bagaimanapun, ini hanyalah permulaan kepada apa yang bakal ditawarkan!
Baru-baru ini, kami telah menghadiri sesi media khas yang memberikan gambaran lebih mendalam tentang kandungan baharu yang menanti pemain dalam DOOM: The Dark Ages. Inilah yang kami temui:
Pandangan Lebih Intim Ke DOOM: The Dark Ages
Dalam DOOM: The Dark Ages, pengalaman pertempuran kali ini menekankan gaya yang lebih berat dan berasaskan kekuatan fizikal, menjadikan Doom Slayer seperti “kereta kebal” yang kukuh. Ini adalah peralihan jelas daripada aksi akrobatik lebih tangkas dalam DOOM Eternal.
Fokus utama kini diberikan kepada pergerakan sisi ke sisi untuk mengelak serangan musuh sambil menyasar, memberikan sentuhan nostalgia kepada peminat lama.

Satu tambahan menarik kepada Doom Slayer ialah Shield Saw, senjata pelbagai fungsi yang boleh digunakan untuk menangkis peluru musuh, dilemparkan untuk memotong berbilang musuh, mematahkan serangan jarak dekat, atau memantulkan serangan projektil musuh.
Dengan hanya satu butang, Shield Saw dapat disesuaikan mengikut situasi pertempuran. Kemampuan ini menjadikannya alat yang sangat penting, terutamanya ketika berhadapan dengan musuh bersaiz besar. Jika pemain berjaya melakukan parry dengan tepat, mereka diberi kelebihan untuk melumpuhkan musuh buat seketika.

Game ini juga memperkenalkan tiga senjata jarak dekat baharu: flail, gauntlet, dan mace. Setiap senjata ini mempunyai kombo tersendiri serta upgrade yang boleh dilakukan, membolehkan pemain menyesuaikan senjata mengikut gaya permainan mereka.
Bahkan, gauntlet asas yang diperoleh di awal permainan tetap relevan dan berkesan hingga ke peringkat endgame.
Sistem glory kill juga telah diperbaharui. Pemain kini boleh melancarkan serangan dari pelbagai sudut tanpa terkunci dalam animasi tertentu seperti dalam game terdahulu. Ini memberikan kawalan sepenuhnya kepada pemain, menjadikan pertempuran lebih lancar dan responsif.

Seterusnya, satu ciri baharu ialah sistem difficulty yang boleh disesuaikan. Buat pertama kali dalam game id Software, pemain boleh melaras pelbagai tetapan seperti “Damage to Player”, “Damage to Demons”, “Enemy Projectile Speed”, “Enemy Aggression”, “Parry Window”, “Daze Duration”, “Game Speed”, dan “Resources Values”.
Dengan ciri ini, game boleh dioptimumkan mengikut keperluan pemain, sama ada mereka seorang pemain kasual atau tegar.

Kini, kita pergi ke elemen paling dinantikan ialah keupayaan untuk mengendalikan mecha gergasi yang dikenali sebagai Atlan, membolehkan pemain bertarung dengan raksasa bersaiz titan menggunakan tumbukan gauntlet.
Pada masa yang sama, pemain juga akan mendapat naga sibernetik yang boleh menyemburkan api dan dilengkapi dengan gatling gun di kepalanya. Kedua-dua elemen ini bukan sekadar bahagian naratif tetapi hadir dengan abiliti khas dan pertarungan mini-boss tersendiri.
Dari segi skala peta, id Software mengesahkan bahawa DOOM: The Dark Ages akan menampilkan kawasan permainan terbesar dalam sejarah siri ini.
Walaupun ia bukan open-world, peta kali ini lebih besar, dipenuhi dengan gua tersembunyi dan kawasan lombong seperti dungeon, di mana pemain boleh meneroka dan mencari sumber penting seperti nyawa, perisai, dan peluru.

Dari segi muzik pula, game ini masih mengekalkan elemen soundtrack metal yang menjadi ciri khas siri DOOM, namun kini dengan tambahan elemen zaman pertengahan. Muzik untuk game ini digubah oleh Finishing Move, pasukan di sebalik runut bunyi untuk game seperti The Callisto Protocol, Grounded, dan Borderlands 3.
Bagi peminat jalan cerita DOOM, The Dark Ages menawarkan naratif baharu yang lebih mudah difahami oleh pemain baru. Cerita kini disampaikan melalui adegan sinematik, bukan lagi melalui codex seperti sebelumnya.
Namun, bagi pemain lama, mereka akan mendapati kisah ini berkait rapat dengan peristiwa dalam Slayer’s Testaments dari DOOM 2016.
Sesi Q&A
Selepas pembentangan, sesi soal jawab bersama Marty Stratton (Pengarah Studio) dan Hugo Martin (Pengarah Kreatif) dari id Software turut diadakan. Mereka membincangkan pelbagai aspek, termasuk peralihan daripada latar sci-fi dan neraka yang menjadi tanda sinonim francais ini kepada suasana zaman pertengahan.
Perubahan ini timbul daripada keinginan untuk meneroka latar belakang Slayer. Mereka menyamakan pendekatan ini dengan francais ikonik seperti Lord of the Rings, yang terkenal dengan dunia dan naratifnya yang kaya.
Satu ciri utama yang diketengahkan ialah sistem difficulty yang boleh disesuaikan, di mana pemain boleh melaras elemen seperti kelajuan permainan, durasi parry, dan tahap damage. Ciri ini memberikan fleksibiliti kepada pemain, sama ada mereka mahukan lebih cabaran atau pengalaman yang lebih santai.
Sistem ini juga dirancang dengan mempertimbangkan pemain yang mungkin menghadapi cabaran, menjadikan game ini lebih inklusif tanpa mengorbankan intensiti.
Game mode DOOM: The Dark Ages akan tertumpu sepenuhnya kepada kempen single-player tanpa elemen multiplayer. Keputusan ini membolehkan sumber pembangunan fokus kepada elemen unik seperti mengendalikan naga dan bertempur menggunakan mecha Atlan, yang digambarkan sebagai “mini-game dalam game.”
Elemen-elemen ini dirancang untuk menambah variasi sambil mengekalkan identiti asas francais.

Dari sudut pertempuran, game ini mengambil inspirasi daripada tajuk sebelumnya tetapi memperkenalkan pendekatan yang lebih kukuh dan berasas. Doom Slayer kini digambarkan lebih “kuat dan grounded,” menjauhkan diri daripada aksi akrobatik seperti dalam DOOM Eternal dan kembali kepada gaya klasik pertempuran DOOM.
Maklum balas daripada pemain terdahulu memainkan peranan penting dalam perubahan ini, termasuk memudahkan kawalan supaya pemain lebih fokus kepada pertempuran dengan musuh berbanding mengurus input yang kompleks.
Dunia dalam DOOM: The Dark Ages adalah yang terbesar dalam sejarah francais, dengan kawasan luas yang menawarkan pelbagai objektif dan peluang penerokaan. Konsep “eksplorasi untuk kuasa” memberi ganjaran kepada pemain dengan sumber seperti upgrade senjata, perisai, dan abiliti melee.
Peringkat/stage masih mengekalkan elemen maze klasik, di mana pemain akan kembali ke lokasi tertentu untuk membuka kawasan baru. Struktur mata wang dan skill tree juga dipermudahkan berbanding DOOM Eternal, tetapi tetap mengekalkan cukup kerumitan untuk pemain yang mahukan pengalaman strategik.

Dari segi penceritaan, walaupun codex masih tersedia untuk mereka yang ingin mendalami naratif, pendekatan kali ini lebih fokus kepada cutscene. Penyampaian naratif yang lebih visual ini bertujuan memudahkan pemain mengikuti jalan cerita tanpa perlu bergantung pada bacaan teks yang terlalu banyak.
Reka bentuk musuh juga telah disesuaikan dengan gaya permainan yang lebih berat, di mana corak serangan projektil dan pergerakan musuh direka untuk mencipta cabaran strategik.
Projektil yang bergerak lebih perlahan memberikan pengalaman seperti shoot ’em up, di mana pemain perlu mengelak serangan sambil menghampiri musuh untuk serangan maut. Fokus utama pertempuran adalah pada jarak sederhana hingga dekat, memastikan aksi yang sengit dan dinamik sepanjang permainan.

Reka bentuk musuh pula disesuaikan dengan gaya permainan yang lebih berat. Corak serangan projektil dan pergerakan musuh kini direka untuk mencipta cabaran.
Projektil yang bergerak lebih perlahan memberikan elemen seperti game shoot ’em up, di mana pemain perlu mengelak serangan sambil mendekati musuh untuk melancarkan serangan maut. Fokus utama adalah pada pertempuran jarak sederhana hingga dekat, menjadikan setiap pertempuran sengit dan dinamik.
Pembangun juga mengesahkan bahawa DOOM: The Dark Ages akan menerima DLC kempen, yang disertakan dalam edisi Deluxe.

Akhirnya, para pembangun turut berkongsi inspirasi di sebalik game ini. Antara sumber utama ialah karya Frank Miller seperti Batman: Year One (pada awalnya mereka bercadang menamakan game ini sebagai Slayer Year One, sebelum memilih nama The Dark Ages).
Tema zaman pertengahan pula banyak mengambil inspirasi daripada filem 300, khususnya adegan di mana Leonidas bertempur di Hot Gates menggunakan perisai, lembing, dan pedang Spartan.
Pendapat
DOOM: The Dark Ages dijangka menjadi satu lagi tambahan yang mengujakan dalam francais ikonik ini.
Dengan membawa kita menyelami asal-usul Doom Slayer dalam suasana zaman pertengahan, id Software berjaya menggabungkan intensiti klasik siri ini dengan elemen-elemen baru yang segar – daripada sistem kesukaran yang boleh diubah suai hingga kepada pertarungan dengan naga dan mecha.

Gaya pertempuran yang lebih berpusat di darat, sistem glory kill yang diperbaharui, serta reka bentuk peringkat yang lebih luas menjanjikan pengalaman yang menghormati asas DOOM sambil membawa inovasi baru.
Jika semua ini menarik minat anda, DOOM: The Dark Ages akan dilancarkan secara rasmi pada 15 Mei 2025 untuk platform PS5, PC, dan Xbox Series X/S, seperti yang diumumkan dalam pembentangan terbaru. Layari laman web rasmi untuk maklumat lanjut.
@gamersantaimy
Discussion about this post