Pada masa sekarang, Malaysia merupakan salah satu negara dengan pasaran gaming terbesar di rantau Asia Tenggara. Disebabkan netizen kita sangat berdedikasi terhadap gaming, ini membawa kepada beberapa watak Malaysia di dalam game popular sejak beberapa tahun lalu. Watak ini bukan NPC ya tetapi playable character daripada beberapa francais paling popular seperti Badang dari Mobile Legends dan Noor Casulink dari Hyperscape. Selain watak-watak ini, jom kita lihat watak Malaysia lain yang berasal dari game popular!
Terima kasih kepada kawan-kawan di Ahakspedia kerana berkongsi info ini di halaman YouTube mereka!
1. Noor Casulink (Hyper Scape)

Dikenali sebagai “wajah Asia Tenggara”, Noor Casulink atau nama sebenarnya, Noor Azimah binti Yusof berusia 23 dan digambarkan sebagai fashionista yang popular di kalangan wanita muda dalam game shooter battle royale Hyper Scape. Sebagai salah satu playable character, Ubisoft sendiri menjelaskan bahawa Noor Azimah menetap di Kuala Lumpur, manakala kampung halamannya adalah Pekan, Pahang.
Dari segi reka bentuk, Noor Azimah melihatnya memakai jaket oren-kelabu biasa, tetapi dengan selendang merah jambu ala-ala Yuna. Adakah dia pun peminat Yuna?
2. Badang (Mobile Legends: Bang Bang)

Mobile Legends tahu pasaran Asia Tenggara sangat kuat, jadi mereka membuat keputusan untuk menambah pelbagai watak dari rantau itu ke dalam game mereka termasuk Malaysia. Untuk negara kita, MLBB memperkenalkan Badang berdasarkan kisah dongeng klasik melayu yang sama tetapi ini bukan Badang sama yang kita kenal yang memakan muntah hantu.
Tergolong dalam kategori ‘fighter’, Badang dikenalkan pada tahun 2019 dan walaupun bukan pilihan yang konsisten dalam meta sekarang, dia masih seronok untuk dimainkan.
3. Sun Bird (Marvel Future Fight)

Wahh, Malaysia siap ada watak Marvel lagi! Pertama kali diperkenalkan dalam game mobile Marvel Future Fight, Sun Bird (Burung Matahari) merupakan lanun Malaysia dari zaman 1600-an yang dilahirkan semula selepas menggunakan kuasa kerisnya.
Selepas menyertai ‘Warriors of the Sky’, dia ingin menggunakan kehidupan barunya sebaik mungkin dengan menyelesaikan masalah-masalah di bumi.
4. Kestrel (Marvel Strike Force)

Marvel memang suka Malaysia agaknya kerana mereka menambah seorang lagi watak dari negara kita, tetapi kali ini untuk game Marvel Striker Force. Kestrel atau nama sebenarnya Sybil Tan berdarah campuran Malaysia/Amerika Syarikat dan merupakan seorang juruterbang, ahli fizik, jurutera dan angkasawan hebat yang menyertai organisasi S.T.R.I.K.E.
Kestrel ialah watak original pertama yang diperkenalkan dalam Marvel Strike Force, dan dicipta sebagai sebahagian daripada perayaan ‘Asian/Pacific American Heritage Month’.
5. Miss Til (Battle Arena Toshinden)

Miss Til ialah watak rahsia dalam Battle Arena Toshinden 3 tetapi malangnya, hanya muncul satu kali sahaja dalam francais. Dikenali sebagai penilik nasib yang bekerja di bawah antagonis utama. Sebagai salinan kepada seorang lagi watak bernama Shizuku Fuji, Miss Til mempunyai move set yang serupa dengannya, tetapi boleh melakukan lebih banyak damage.
Semasa bertarung, dia menggunakan seruling panjang ala-ala tongkat serta boleh melemparkan pisau tajam. Berbeza sikit daripada watak dalam senarai ini, Miss Til tergolong dalam kategori orang jahat.
6. Pemain antarabangsa Malaysia (FIFA 21 + 22, 2010 FIFA World Cup South Africa, FIFA Online 3)

FIFA… Memandangkan game ini berdasarkan pemain bola sepak profesional daripada dunia sebenar, memang tidak mengejutkanlah kita akan melihat beberapa nama popular dari tanah air kesayangan.
Untuk game 2010 FIFA World Cup South, korang boleh bermain sebagai pasukan kebangsaan Malaysia; di FIFA Online 3, Dollah Salleh, Shebby Singh, dan Ong Kim Swee boleh dimainkan; FIFA 21 + 22 mempunyai Luqman Hakim, Dions Cool, dan Wan Kuzain. Sebenarnya ada beberapa pemain lagi, tapi min tak cukup info.
7. Pasukan Johor Darul Takzim (PES 2020)

Menurut VocketFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama yang dimasukkan ke dalam Pro Evolution Soccer 2020 (eFootball PES 2020).
Apabila berita ini baru diumumkan, pemilik JDT – Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi pengalamannya bermain PES 2020 dengan memilih JDT menentang Juventus.
8. Hafizh Syahrin (MotoGP 18)

Dato’ Hafizh Syahrin Abdullah merupakan seorang pelumba motosikal dari Malaysia dan merupakan pelumba pertama dari Malaysia yang berjaya bertanding dalam kategori MotoGP.
Disebabkan dia adalah pelumba rasmi, memang patutlah dia masuk dalam game rasmi MotoGP sekali.
9. The Malays (Age of Empires II: Rise of the Rajas)

Min simpan “the best for last”. Dalam game RTS (real-time strategy) Age of Empires II HD: Rise of the Rajas, mereka memfokuskan kepada tamadun Asia Tenggara. Agaknya tamadun mana yang muncul sekali? Ya benar geng, ada melayu!
Lebih khusus lagi, game ini mengelar melayu sebagai ‘The Malays’ dan merupakan salah satu tamadun yang boleh kita kawal di dalam game. Lebih tertumpu pada bahagian infantry dan tentera laut, ‘The Malays’ dicipta berdasarkan pelbagai kerajaan di Kepulauan Melayu sebelum penaklukan Eropah, seperti Srivijaya dan Melaka
Untuk bonus, ‘The Malays’ mempunyai unit istimewa bernama Karambit Warrior. Bergaya abis!

Itu antara watak-watak game yang berasal dari Malaysia. Ada yang korang pernah main tak? Jika saya ada terlepas mana-mana watak, jangan segan silu untuk berkongsi di ruang komen!
Sumber – YouTube@Ahakspedia
@gamersantaimy
Discussion about this post