Rise of the Ronin adalah game terbaru daripada Team Ninja, melihat dengan persembahan mereka melalui trailer dan teaser, boleh nampak mengapa game ini merupakan projek besar mereka yang paling bercita-cita tinggi. Walaupun dikenali sebagai pasukan di sebalik beberapa francais RPG seperti Ninja Gaiden dan Nioh, nampaknya kali ini mereka menyediakan pilihan kesukaran untuk pemain. Walaupun begitu, ia masih lagi memberikan cabaran yang hebat. Ini secara teknikal menjadikan Rise of the Ronin, game AAA kedua selepas Elden Ring yang menggabungkan gameplay seperti soulslike dan dunia terbuka. Jom kami ceritakan lebih lanjut dalam preview baharu ini!

Mula sahaja game, anda boleh memilih tahap kesukaran yang tersedia iaitu Dawn, Dusk dan Twilight. Pilihan yang diberikan agak fleksibel, jadi kalau anda terasa seperti game terlampau senang, anda boleh sahaja menukar tahap kesukaran secara bebas. Selepas itu, anda akan membina watak anda tersendiri. Anda boleh menyesuaikan kedua-dua protagonis lelaki dan wanita sekaligus, kerana cerita game kali ini membawa hubungan rapat sebagai pasangan kembar “Veiled Edge.”

Pilihan yang ditawarkan untuk penyesuaian agak banyak juga dan boleh dikatakan hampir sama seperti game Team Ninja sebelumnya. Walaupun anda boleh menyesuaikan kedua-dua watak, anda hanya boleh memainkan salah satu daripada protagonis tersebut daripada awal sehingga habis cerita. Jadi baik anda pilih baik-baik watak yang anda ingin gunakan. Setelah selesai menyesuaikan protagonis, anda perlu memilih “Blade Sharpening Origin” yang akan berfungsi sebagai kelas watak anda.
Kelas yang anda boleh pilih adalah Killer, Breaker, Seducer, Sapper, Beginner dan Unsharpened. Bergantung kepada kelas yang anda pilih, protagonis boleh mendapat kelebihan daripada permulaan game daripada segi akses kepada kemahiran khas dan cadangan senjata yang berbeza. Kami rasa Killer adalah pilihan yang ideal untuk pemain kerana ia memberi keutamaan pada keupayaan combat, ini termasuklah pilihan tiga jenis senjata yang berbeza dan kemahiran penting untuk memesongkan anak panah atau tembakan senjata api.

Sudah selesai kesemua perkara di atas, barulah anda bersedia untuk meneroka dunia Rise of the Ronin dan anda akan diperkenalkan dengan latar belakang dunia, misi penting yang perlu anda laksanakan sebagai Veiled Edge, akhirnya anda akan menemui takdir baru dan mengembara sebagai Ronin. Sesi awal game dibahagikan kepada urutan tutorial yang mengingatkan kami kepada Nioh. Tetapi bezanya, Rise of the Ronin membenarkan watak anda untuk melakukan lebih banyak aksi seperti menyelinap untuk membunuh, melompat dan menggunakan grappling hook untuk mencapai kawasan yang lebih tinggi.
Penambahbaikan kepada mobiliti watak juga sangat baik termasuklah keupayaan untuk menyelinap kerana ramai juga yang mengeluh mengenainya oleh pemain Wo Long. Anda masih akan diberikan slot untuk beberapa senjata utama sebagai melee dan kedua untuk anak panah atau senapang. Terdapat Combat Style yang berfungsi agak serupa dengan sistem Stance di Nioh, di mana setiap combat style memberi anda akses kepada pelbagai kemahiran bergantung pada senjata pilihan anda yang juga boleh dicampur menjadi kombo yang lancar.

Sepanjang sesi tutorial, kami sempat menghadapi pertempuran bos yang sangat menyeronokkan kerana mereka memberi tumpuan kepada aksi melawan pedang. Oleh kerana Rise of the Ronin berlatarkan era Jepun yang lebih realistik berbanding game Team Ninja sebelum ini, jenis musuh yang anda hadapi juga disesuaikan dan kebanyakannya adalah manusia biasa. Memandangkan tumpuan utama adalah untuk melawan musuh manusia, anda juga dikehendaki menguasai sistem parry game yang dipanggil Counterpark. Daripada apa yang kami cuba, rasanya sangat tipikal dalam pertempuran soulslike Team Ninja. Anda juga boleh melihatnya seperti gabungan Nioh dan Wo Long, tetapi dengan sedikit twist.

Selepas sesi tutorial tersebut, kami terus maju ke dalam cerita game, di mana pemain terus dilemparkan dunia terbuka yang luas. Dari sini, anda boleh menerokanya dengan bebas, melakukan pelbagai aktiviti sampingan atau terus maju ke misi utama. Ini menjadikan pengalaman gaming yang lebih segar pada pendapat kami, kerana Team Ninja sentiasa membahagikan kemajuan kandungan dalam game mereka kepada misi dengan lokasi yang berasingan. Tetapi Rise of the Ronin benar-benar memenuhi cita-citanya sebagai game dunia terbuka, dan ia adalah dunia yang menyeronokkan untuk diterokai dengan begitu banyak aktiviti untuk mengekalkan perhatian anda.
Salah satu bahagian utama untuk dunia terbuka Rise of the Ronin dipanggil Public Order. Ini berkaitan dengan keadaan pelbagai kawasan yang ditakluki oleh penyamun, dan jika anda berjaya membanterasnya, maka hubungan anda dengan penduduk kawasan itu akan dieratkan. Anda juga akan melihat mereka mendiami kawasan dan perkampungan yang sebelum ini ditakluki oleh penyamun, yang seterusnya membuka akses kepada ganjaran serta keupayaan untuk membeli atau membuat barangan. Ini hanyalah salah satu daripada banyak aktiviti yang bersedia untuk membuat anda sibuk dalam Rise of the Ronin.

Kesimpulan
Walaupun masih terlalu awal untuk melihat sepenuhnya apa yang ditawarkan oleh Rise of the Ronin, tetapi kami yakin bahawa game ini mungkin game terbaik Team Ninja. Mereka telah berjaya membawa gabungan gameplay daripada tajuk-tajuk mereka sebelum ini sambil membawakan sebuah dunia terbuka yang direka dengan baik. Jika game itu sudah boleh membuat kami tertarik sejak awal, sudah pasti kami tidak sabar untuk mainkan versi penuhnya pula! Apa pun nantikan review penuh kami mengenainya pada masa akan datang!
Rise of the Ronin bakal dilancarkan pada 22 Mac 2024 di PS5. Untuk mendapatkan segala liputan mengenainya daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post