Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Revolusi Indie Game Jepun – Interviu Bersama Penganjur BitSummit, Masahiko Murakami

Razin Syafiq by Razin Syafiq
May 15, 2025
in Acara, Artikel, Berita, Eksklusif, Indie, Industri, Pameran/Expo, Temuramah
0 0
0
Revolusi Indie Game Jepun – Interviu Bersama Penganjur BitSummit, Masahiko Murakami
Share on FacebookShare on Twitter

Di tengah-tengah kota Kyoto, satu pergerakan indie yang bermula dengan sekitar 200 peserta—terdiri daripada pembangun game, media, dan tetamu industri—telah berkembang menjadi festival game indie terbesar di Jepun, menarik hampir 40,000 pengunjung pada tahun 2024. Baru-baru ini, kami berpeluang berbual secara eksklusif dengan Masahiko Murakami, CEO Skeleton Crew Studio dan salah seorang pengasas awal BitSummit, bagi mengupas kisah menarik di sebalik pertumbuhan festival ini serta pengaruhnya terhadap dunia permainan indie di Jepun.

Dari Langkah Kecil ke Mercu Tanda Industri

Kisah asal-usul BitSummit mencerminkan semangat pantang menyerah yang menjadi nadi dunia pembangunan game indie. “BitSummit bermula pada tahun 2013,” kata Murakami. “Waktu itu, PlayStation Store baru sahaja memberi peluang kepada pembangun kecil untuk menerbitkan game mereka sendiri. Namun, di Jepun, ramai masih kurang memahami apa sebenarnya budaya ‘indie’.”

Walaupun PlayStation Store pertama kali diperkenalkan pada November 2006 bersama pelancaran PlayStation 3, tahun 2013 menjadi titik perubahan besar apabila Sony melancarkan versi web browser dan menyediakan alat penerbitan khusus untuk pembangun indie.

Apa yang bermula sebagai acara kecil di sebuah lokasi muzik kini telah berkembang menjadi sebuah festival budaya besar yang merangkumi beberapa tingkat ruang pameran, disokong oleh penaja utama seperti Nintendo, PlayStation, dan Microsoft. Perkembangan ini bukanlah hasil perancangan yang teliti—malah, ia hampir tidak terjadi sama sekali.

Kehadiran BitSummit Drift | Kredit: BitSummit

“Selepas acara kedua, sebenarnya kami tidak bercadang untuk meneruskannya. Bebannya terlalu besar untuk kami tanggung,” jelas Murakami. “Tetapi kemudian, para pembangun mula bertanya, ‘Tahun ini ada BitSummit lagi tak?’ Dan itulah saat Indie Megabooth—salah satu pameran indie terbesar di Amerika Syarikat—mula menghubungi kami.”

Membina Jambatan dalam Dunia Industri

Salah satu kejayaan terbesar BitSummit adalah kemampuannya untuk menyatukan syarikat-syarikat gergasi yang biasanya bersaing sengit. Apabila ditanya bagaimana Murakami menguruskan hubungan sensitif ini, beliau menjawab dengan prinsip yang jelas:

“Sejak dari awal, saya tekankan bahawa BitSummit bukanlah tentang persaingan komersial—tetapi tentang menyokong para pencipta. Saya jelaskan kepada penaja bahawa tujuan mereka di sini adalah membantu pembangun indie, bukan untuk mempromosikan produk mereka atau bersaing siapa yang lebih menonjol.”

BitSummit Drift (Julai 2024) | Kredit: BitSummit

Prinsip ini telah melahirkan sebuah ruang unik di mana pesaing industri boleh bekerjasama, semuanya demi memajukan pembangunan game indie.

Menghadapi Cabaran dan Keutamaan Platform di Pasaran Jepun

Industri game indie di Jepun memiliki keunikan tersendiri berbanding di Barat, terutama disebabkan oleh halangan bahasa. “Kebanyakan pembangun di Jepun hanya fasih berbahasa Jepun, jadi akses mereka kepada maklumat global sangat terbatas,” jelas Murakami. “Akibatnya, mereka kurang terpengaruh oleh trend global dan lebih cenderung mencipta game dengan gaya dan identiti sendiri.”

Pengasingan ini melahirkan game indie Jepun yang unik di peringkat antarabangsa, tetapi ia juga menjadikan usaha mereka untuk menembusi pasaran global lebih mencabar.

BitSummit Drift (Julai 2024) | Kredit: BitSummit

Walaupun game PC semakin mendapat tempat di Jepun—dengan pengguna Steam melebihi 17 juta dan terus berkembang—konsol masih menjadi pilihan utama. “Kebanyakan pembangun indie lebih suka memberi tumpuan kepada Nintendo Switch,” kata Murakami. “Namun, dari sudut pembangunan, PC lebih mudah diurus, jadi ramai yang memilih untuk melancarkan game mereka di Steam dan Switch.”

Murakami turut menambah bahawa penerbitan di platform PlayStation agak jarang berlaku dalam kalangan pembangun indie Jepun, manakala kehadiran di Xbox hampir tidak wujud, kecuali melalui sokongan program seperti Xbox Game Pass.

Mengharungi Cabaran Ketika Pandemik

Seperti banyak acara lain, BitSummit turut menghadapi kesukaran besar semasa pandemik COVID-19. Pada tahun 2020, mereka terpaksa beralih sepenuhnya ke format online, walaupun sukar untuk menggantikan pengalaman interaktif secara bersemuka. Menjelang 2021, acara fizikal kembali diadakan, tetapi terhad kepada pembangun, media, dan penaja sahaja.

“Anehnya, ramai sebenarnya menyukai format itu,” kata Murakami. “Tanpa kesesakan pengunjung, pembangun dapat berbincang dengan lebih mendalam, manakala media dan penaja lebih mudah berinteraksi dengan para pencipta.”

BitSummit Drift (Julai 2024) | Kredit: BitSummit

Pengalaman ini akhirnya melahirkan format hibrid yang kini menjadi standard—dengan hari khusus untuk urusan industri dan hari terbuka untuk orang awam—dan format ini telah diterapkan sejak 2022.

Menuju BitSummit 2025

Murakami dan pasukannya merancang sesuatu yang lebih besar untuk edisi BitSummit akan datang. Dengan lebih daripada 600 game yang menghantar penyertaan untuk merebut 100 slot pameran, mereka turut membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu.

“Untuk menyokong pencipta muda, kami memperkenalkan BitSummit Student Game Jam. Tahun ini, sekitar 250 pelajar dari seluruh Jepun membentuk pasukan dan mencipta game, dan kami mempamerkan semua karya mereka semasa acara berlangsung,” jelas Murakami.

BitSummit Edisi ke-13: Summer of Yokai | Kredit: BitSummit

BitSummit 2025 juga akan membawa elemen baharu yang diinspirasikan oleh Osaka Expo. “Kami bekerjasama dengan pelbagai rakan antarabangsa untuk mewujudkan zon khas antarabangsa, dan kami berharap dapat membawa beberapa game ini ke Expo selepas itu,” kata Murakami.

Ketika ditanya bagaimana beliau akan menggambarkan festival akan datang dalam satu ayat, Murakami menjawab, “Tahun ini adalah tahun expo bagi Jepun dan wilayah Kansai, dan kami mahu BitSummit benar-benar mencerminkan semangat antarabangsa tersebut.”

Karya dan Kisah Pencipta yang Meninggalkan Kesan

Meskipun melihat ratusan game setiap tahun, ada beberapa yang tetap melekat dalam ingatan Murakami. “Jika saya perlu pilih satu, saya akan sebut Cassette Boy oleh Wonderland Kazakiri. Ia memenangi anugerah kami tahun lepas, dan bagi saya, ia benar-benar menonjol,” katanya.

Tetamu BitSummit Drift (Julai 2024) | Kredit: BitSummit

“Game ini mempunyai visual yang mengingatkan saya kepada gaya klasik Game Boy, tetapi digabungkan dengan mekanik tiga dimensi. Apa yang paling menyentuh hati saya ialah kisah di sebalik pembikinannya—projek ini dibangunkan sepenuhnya oleh seorang individu, dan anaknya sendiri turut membantu dalam proses debugging. Sentuhan peribadi seperti itu benar-benar memberi kesan.”

Menyokong Pembangun Indie Jepun

Apabila ditanya tentang keperluan paling penting bagi pembangun indie Jepun, Murakami menekankan dua aspek utama: sokongan kewangan dan pengetahuan perniagaan.

“Ramai pembangun Jepun kini bercita-cita membawa game mereka ke peringkat global, tetapi mereka tidak tahu bagaimana melakukannya dengan berkesan,” jelasnya. “Mereka sering mencari pelabur—terutamanya dari luar negara—tetapi kurang mahir membentangkan idea, kurang yakin berbincang soal kewangan, dan tidak memahami proses penerbitan di luar Jepun.”

Foto Berkumpulan BitSummit Drift (Julai 2024) | Kredit: BitSummit

Bagi mengatasi cabaran ini, pasukan Murakami menganjurkan program pendidikan di ruang mereka di Shibuya, dengan menjemput pakar industri kewangan untuk berkongsi pengetahuan tentang aspek perniagaan yang sering menjadi halangan kepada para pembangun.

Komuniti yang Semakin Mantap

Bermula sebagai pertemuan kecil antara pencipta yang bersemangat, BitSummit kini telah berkembang menjadi acara industri berskala besar—sebuah cerminan evolusi dunia game indie di Jepun. Namun, matlamat utama festival ini kekal utuh: menyokong pencipta dan membina hubungan tanpa mengira sempadan.

Seperti yang dirumuskan oleh Masahiko Murakami, “Game mempunyai kekuatan untuk menyatukan orang, dan kami mahu BitSummit menjadi platform di mana pencipta dari pelbagai negara saling menyokong.”

Foto Berkumpulan BitSummit Drift (Julai 2024) | Kredit: BitSummit

Dengan pertumbuhan yang konsisten dan komitmen terhadap bakat unik, BitSummit bukan sekadar menjadi simbol kreativiti indie di Jepun—ia juga semakin berperanan sebagai jambatan penghubung antara pembangun Jepun dan komuniti gaming global.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi acara.

Jangan lupa untuk ikuti kami di TikTok!
@gamersantaimy
Tags: BitSummitEksklusifMasahiko Murakami
ShareTweetSend
Previous Post

Co-op Roguelite Shooter ‘SWAPMEAT’ Akan Dilancarkan Tahun Ini, Playtest Bermula 15 Mei

Next Post

Persona 5: The Phantom X Bersedia Untuk Pelancaran Global Pada 26 Jun 2025

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Persona 5: The Phantom X Bersedia Untuk Pelancaran Global Pada 26 Jun 2025
Berita

Persona 5: The Phantom X Bersedia Untuk Pelancaran Global Pada 26 Jun 2025

May 15, 2025
Co-op Roguelite Shooter ‘SWAPMEAT’ Akan Dilancarkan Tahun Ini, Playtest Bermula 15 Mei
Berita

Co-op Roguelite Shooter ‘SWAPMEAT’ Akan Dilancarkan Tahun Ini, Playtest Bermula 15 Mei

May 15, 2025
Death Stranding World Strand Tour 2 – Konsert Istimewa Sempena Death Stranding 2
Konsert

Death Stranding World Strand Tour 2 – Konsert Istimewa Sempena Death Stranding 2

May 15, 2025
Next Post
Persona 5: The Phantom X Bersedia Untuk Pelancaran Global Pada 26 Jun 2025

Persona 5: The Phantom X Bersedia Untuk Pelancaran Global Pada 26 Jun 2025

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Anime Sakamoto Days Part 2 Akan Ditayangkan Julai 2025, Trailer Baru Diperkenalkan
Anime

Anime Sakamoto Days Part 2 Akan Ditayangkan Julai 2025, Trailer Baru Diperkenalkan

May 14, 2025
Siapakah Ibu Anime Terbaik? Ini Pilihan Peminat Jepun Sempena Hari Ibu!
Anime

Siapakah Ibu Anime Terbaik? Ini Pilihan Peminat Jepun Sempena Hari Ibu!

May 12, 2025
Under 18 x KLEPET – Kolaborasi Komik Terbaru Gempak Starz & Filem Lokal
Tempatan

Under 18 x KLEPET – Kolaborasi Komik Terbaru Gempak Starz & Filem Lokal

May 12, 2025
DAN DA DAN: Evil Eye Akan Tayang di Pawagam Malaysia – Tarikh, Sinopsis & Bonus Eksklusif
Anime

DAN DA DAN: Evil Eye Akan Tayang di Pawagam Malaysia – Tarikh, Sinopsis & Bonus Eksklusif

May 9, 2025
Goblin Slayer Ⅱ & BrownDust2 Bergabung Dalam Kolaborasi Fantasi Anime!
Berita

Goblin Slayer Ⅱ & BrownDust2 Bergabung Dalam Kolaborasi Fantasi Anime!

May 8, 2025
‘Nintama Rantaro: Invincible Master of the Dokutake Ninja’ Tayang di Malaysia 22 Mei Ini!
Anime

‘Nintama Rantaro: Invincible Master of the Dokutake Ninja’ Tayang di Malaysia 22 Mei Ini!

May 8, 2025
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd