Untuk menonjolkan diri di pasaran gaming, baru-baru ini Xiaomi telah memperkenalkan ultrawide curved monitor seluas 34” baharu untuk para gamer, yang diberi nama Xiaomi Curved Gaming Monitor G34WQi!

Walaupun pasaran penuh dengan monitor jenis ini, apa yang menarik ialah nilai harganya yang bersifat bajet sedangkan monitor lain di segmen harga sama tidak menawarkan spesifikasi dan ciri yang mewah sebegini. Hanya bernilai RM1,499, monitor ini menampilkan resolusi WQHD 3440×1440, panel VA, response time 1ms, refresh rate 180Hz, kelengkungan 1500R – di antara ciri-ciri yang Xiaomi tawarkan dalam produk baharu ini.
Kebetulan kami dapat peluang untuk review, jadi mari kita lihat bagus mana monitor G34WQi dan jika ia adalah pilihan yang baik untuk para gamer dan para profesional kreatif!
Reka Bentuk

Pertama sekali, Xiaomi Curved Gaming Monitor G34WQi mempunyai paparan ultralebar 34″ dengan kelengkungan 1500R dan aspek ratio 21:9. Bahagian belakang monitor menggunakan plastik hitam yang kelihatan kukuh tetapi tidak terlalu istimewa. Terdapat juga lampu ambien RGB untuk memberi estetika “gamer” tetapi cahayanya agak malap.
Tapak stand yang dibungkus sekali dalam kotak mempunyai cengkaman kuat yang membantu menstabilkan monitor dan juga tidak mengambil banyak ruang berbanding monitor ultralebar lain, yang kadangkala mempunyai stand besar yang mengambil ruang hampir separuh meja.

Sekilas pandang, G34WQi tidak memberi efek terlalu gah. Ia disalut dengan plastik hitam matte dan separuh berkilat yang nampak dan terasa okay tetapi tidak begitu istimewa. Satu-satunya pujian pada reka bentuk ialah stand, yang ramping dan mempunyai kemasan berkilat hitam ala piano untuk memberi sentuhan kelas.
Di bahagian belakang adalah satu port kuasa DC IN, dua port HDMI, dua port DP dan satu port audio. Malangnya tiada port USB, jadi anda tidak boleh menggunakan monitor ini sebagai hab USB. Monitor juga tidak menawarkan pembesar suara jadi anda perlu menggunakan headset atau speaker tambahan.

Kekurangan ciri seperti ini boleh difahami dengan mengambil kira harganya yang lebih murah. Walaupun ini bukan masalah besar (kerana majoriti PC memang memakai headset atau speaker external), sesetengah orang mungkin mencari produk yang lebih lengkap secara menyeluruh.
OSD

Apabila membuka halaman OSD (On-Screen Display), anda boleh menyemak refresh rate, response time, HDR dan FreeSync Premium untuk memastikan semua ciri ini diaktifkan dan ditetapkan kepada tetapan yang betul.
Monitor ini turut mempunyai beberapa preset untuk Picture Mode seperti Standard, Energy Saver, Movie dan Low Blue Light. Sama seperti monitor moden lain, anda juga boleh melaraskan Brightness, Contrast, Colour temperature, Hue, Saturation, Gamma, Response Time, Sharpness, Dark Scene Boost, DCR, dan Color Space.

Bagi pengguna yang mungkin menghadapi isu ghosting, hal ini boleh diperbaiki dengan mengubah response time daripada Fast (default) kepada Faster atau Fastest, atau Standard jika anda ingin menurunkan response time. Untuk para profesional kreatif yang memerlukan ruang warna sesuai bagi projek mereka, anda boleh bergembira kerana G34WQi menawarkan pilihan sRGB, DCI-P3 dan Native untuk menunjukkan segala spektrum warna dengan tepat.
Game Mode, yang boleh didayakan atau dilumpuhkan, menawarkan tiga pilihan: FPS, RPG dan MOBA supaya anda boleh mengubahsuai skrin berdasarkan game yang dimainkan pada ketika itu.

Melalui OSD anda juga boleh menghidupkan FreeSync Premium, HDR dan MPRT.
Prestasi Paparan

Kelengkungan monitor menjadikan pengalaman tontonan sangat selesa apabila kita duduk di tengah tetapi sudut tontonan menjadi isu utama jika dibandingkan dengan monitor lain memandangkan ia mempunyai panel VA. Sebagai contoh, jika dilihat dari sisi, anda akan melihat warna menjadi kabur dan gelap.
Dengan resolusi QWHD (3440×1440), urusan multitasking dan produktiviti semakin lancar apabila menggunakan monitor ini. Membuka pelbagai aplikasi pada masa yang sama tidak menjadi masalah, malah kita boleh membuka sehingga enam window sekaligus dan menyusunnya di sudut berbeza, untuk memanfaatkan sepenuhnya monitor ultralebar.

Walaupun monitor menawarkan HDR, malangnya Xiaomi tidak memperakui DisplayHDR secara rasmi. Ini bermaksud G34WQi tidak betul-betul menawarkan pengalaman HDR tulen.
Prestasi Gaming

Perubahan pertama yang kami perhatikan apabila menghidupkan Game Mode ialah visual menjadi lebih cerah dengan ketara dan warnanya lebih pekat berbanding mode Standard. Kami menguji lagi di beberapa game termasuk Apex Legends, dan Zenless Zone Zero.
Secara keseluruhan, keputusannya benar-benar memuaskan hati, ditambah lagi dengan response time yang pantas dan refresh rate 180Hz tinggi – yang sangat membantu dalam game kompetitif atau game yang bersifat fast-paced.

Pada titik harga ini, ternyata monitor mengagumkan secara visual dari segi kecerahan dan warna. Sesi gaming pada resolusi 1440p dan 144Hz memberi kegembiraan yang tiada tandingan, dan merupakan suatu upgrade yang drastik jika anda selalu bermain game pada 1080p 60Hz.
Pendapat

Bagi saya, Xiaomi Curved Gaming Monitor G34WQi ialah pilihan yang sangat baik untuk para gamer dan profesional kreatif yang berbajet, dengan memberikan prestasi luar biasa pada harga murah, dengan paparan melengkung 34” yang besar, resolusi 1440p, refresh rate 180Hz dan ketepatan warna yang baik.
Beberapa aspek dan ciri reka bentuk terpaksa dikorbankan untuk mencapai titik harga ini, sebagai contoh tiada IPS dan HDR tulen; tetapi saya yakin warga gamer tidak akan kecewa dengan pengalaman gaming yang lancar dan bebas screen tear.

Walaupun G34WQi tidak semestinya mengalahkan monitor gaming ultrawide melengkung lain yang harga lebih mahal, ia masih adalah pilihan yang sangat menarik dan mampu milik bagi mereka yang mencari pengalaman ultrawide yang mantap tanpa mengeluarkan banyak wang.
Jika berminat, anda boleh beli monitor ini sekarang melalui laman web rasmi! Lebih bagus lagi, sekarang ia dijual pada harga promosi RM1,249 berbanding harga original RM1,449!
@gamersantaimy
Discussion about this post