Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Tales of Graces f Remastered – Pengembaraan Nostalgia Diberi Sentuhan Moden!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
January 16, 2025
in Artikel, Berita, Game Review, Nintendo Switch, PC, PS4, PS5, Review, RPG, Steam, Xbox One, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Tales of Graces f Remastered – Pengembaraan Nostalgia Diberi Sentuhan Moden!
Share on FacebookShare on Twitter

Tales of Graces f Remastered menghidupkan semula sebuah klasik yang disayangi dari siri Tales ke era moden, lengkap dengan visual berwarna-warni, aksi pertempuran yang pantas, dan jalan cerita yang menyentuh emosi, kini untuk dinikmati generasi pemain baharu.

Pada asalnya dilancarkan di PlayStation 3, versi definitif ini memperkemas gaya seni berinspirasikan anime dan menambah pelbagai ciri untuk kemudahan pemain, sambil mengekalkan keunikan yang menjadikannya salah satu kegemaran ramai.

Dengan watak-wataknya yang memikat, sistem pertempuran inovatif berteraskan mekanik “Style Shift,” serta naratif yang mendalami tema persahabatan, perkembangan peribadi, dan tanggungjawab, adakah Tales of Graces f Remastered benar-benar satu peningkatan yang ketara, atau hanya sekadar menyajikan pengalaman yang sama?

Mari kita selami lebih lanjut!

Memberi Nafas kepada sebuah Kisah Klasik

Bagi mereka yang mungkin tidak tahu, Tales of Graces f sebenarnya adalah versi yang telah dipertingkatkan daripada game original yang dikeluarkan di Nintendo Wii dengan judul “Tales of Graces.”

Peningkatan ini tidak kecil – dari pengembangan kandungan cerita hingga sistem pertempuran yang jauh lebih baik, termasuk tambahan ciri seperti “Accelerate Mode.”

Jika dibandingkan dengan kebanyakan keluaran semula tajuk Tales yang lain, peningkatan yang dilakukan pada Graces f terasa sangat ideal dan berjaya meletakkannya sebagai salah satu siri utama terbaik sehingga kini.

Oleh sebab itu, kekurangan yang ada pada game ini mungkin hanya berkisar pada aksesibiliti, terutama apabila peminat terpaksa menunggu selama 15 tahun sebelum mendapatkan versi remastered.

Kredit: Bandai Namco

Melalui Tales of Graces f Remastered, Bandai Namco turut memperkenalkan “Remastered Project” untuk francais Tales sebagai bukti komitmen mereka dalam menghidupkan semula lebih banyak judul klasik.

Walaupun beberapa remaster utama lain seperti Tales of Vesperia: Definitive Edition telah dikeluarkan, Graces f nampaknya menerima perhatian tambahan. Hal ini kerana ia hampir tidak kekurangan dalam pelbagai aspek.

Saya akan mengulas lebih lanjut tentang elemen baharu yang dibawa oleh remaster ini, tetapi satu perkara yang pasti adalah Bandai mungkin telah mengambil maklum balas peminat dengan lebih serius untuk memastikan versi remaster kali ini benar-benar berkualiti tanpa menambah masalah baharu.

Kredit: Bandai Namco

Beralih kepada jalan cerita, Tales of Graces f memfokuskan kepada kisah seorang pemuda bernama Asbel Lhant yang memulakan pengembaraan epik bersama rakan-rakannya untuk menyelamatkan Ephinea daripada ancaman sumber kuasa misteri.

Walaupun sinopsis ini mungkin kelihatan biasa, saya sengaja tidak mahu mendedahkan terlalu banyak kerana tema dalam Graces f sangat berpusat kepada watak-wataknya.

Persahabatan mereka, pengorbanan yang perlu dilakukan, serta konflik peribadi menjadikan naratif ini terasa lebih intim dan bermakna berbanding kebanyakan siri Tales yang lain.

Ini tidak bermakna jalan cerita utamanya lemah, tetapi anda akan mendapati hubungan emosi dengan watak-wataknya, dari zaman kanak-kanak mereka hingga ke dewasa, yang turut diterokai dalam epilog.

Kredit: Bandai Namco

Sebagai game yang keluar sebelum peralihan francais Tales ke era JRPG moden melalui Tales of Xillia, Graces f masih mengekalkan sentuhan klasik yang jelas. Dari model watak chibi, eksplorasi dalam gaya overworld, hingga sudut kamera yang tidak boleh dikawal secara bebas, semuanya memberikan nuansa nostalgia yang kuat.

Walaupun beberapa elemen ini mungkin membuatkan peminat baharu merasa sedikit sukar untuk menyesuaikan diri, daya tarikan klasik ini tetap kuat. Bahkan, gaya yang sama turut digunakan dalam Tales of the Abyss, salah satu game yang sering diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam francais ini.

Salah Satu Sistem Pertempuran Terbaik dalam Siri

Antara aspek yang menjadikan Tales of Graces f begitu istimewa, sistem pertempurannya sememangnya yang paling menonjol. Bagaimana tidak? Game ini terus diakui oleh ramai peminat sebagai tajuk dengan sistem pertempuran terbaik dalam siri Tales.

Sama ada anda bersetuju atau tidak, itu bergantung pada pandangan masing-masing, tetapi saya tidak dapat menafikan bahawa Graces f mempunyai asas sistem pertempuran yang sangat kukuh dan wajar diterokai semula pada masa hadapan.

Secara ringkasnya, Tales of Graces f menawarkan pertempuran tanpa sekatan yang menjadi lebih memuaskan bergantung kepada kemahiran pemain.

Tanpa sekatan di sini bermaksud tiada penggunaan Mana, kerana semua tindakan dalam pertempuran – terutamanya pelaksanaan skil atau Arte – hanya bergantung pada CC (Chain Capacity) yang sentiasa terisi secara automatik sepanjang pertempuran.

Kredit: Bandai Namco

Walaupun CC mudah untuk diisi semula, ini tidak bermakna anda boleh terus menggunakan skil yang sama secara berulang-ulang. Terdapat irama tertentu yang perlu diikuti untuk melaksanakan kombo dan tindakan lain dengan lebih lancar, seperti perfect dodge untuk memulihkan CC.

Ini menonjolkan satu lagi aspek penting dalam game, iaitu kombo. Tales of Graces f sangat menekankan pelaksanaan kombo. Lama-kelamaan, anda akan memperoleh pelbagai skil A-Arte dan B-Arte dengan keperluan CC yang berbeza. Oleh itu, anda perlu menyusun strategi kombo berdasarkan jumlah CC dan skil yang serasi.

Kredit: Bandai Namco

Malangnya, versi remaster ini masih tidak membolehkan pemain menyesuaikan Arte dengan bebas. Anda hanya boleh melaksanakan kombo berdasarkan slot yang telah ditetapkan oleh game atau menggunakan ciri tambahan seperti Arte shortcut untuk kemudahan akses dan variasi tambahan.

Hal ini mungkin menyebabkan pengalaman menjadi sedikit repetitif. Namun, Graces f berjaya mengatasinya melalui mekanik Weakness, yang menjadi elemen penting dalam sistem pertempuran. Tidak kira seberapa mahir anda dalam melakukan kombo, jika anda tidak sasar kelemahan musuh, anda akan sukar menguasai pertempuran.

Oleh itu, game ini menggalakkan anda menyesuaikan urutan kombo berdasarkan jenis musuh. Pendekatan ini membuatkan sistem pertempuran terasa lebih organik, sekali gus mendorong eksperimen dengan kombo baharu, terutama sekali dengan watak-watak yang mempunyai gaya bertarung unik masing-masing.

Kredit: Bandai Namco

Inilah kelebihan utama sistem pertempuran dalam Tales of Graces f – ia memberi tumpuan kepada keseronokan tanpa terlalu banyak sekatan, sambil tetap menuntut kemahiran untuk memahami mekaniknya, dengan ganjaran yang sepadan untuk usaha anda.

Secara peribadi, saya sangat menyukai sistem pertempurannya, walaupun saya agak ragu-ragu untuk mencadangkannya kepada peminat baharu. Ini kerana game ini mungkin terasa agak ketinggalan zaman dalam beberapa aspek, terutamanya kawalan pergerakan empat arah yang mencerminkan gaya klasik siri Tales.

Penambahbaikan besar yang diperkenalkan dalam game baharu seperti Tales of Arise, dengan kawalan yang lebih fleksibel, boleh mempengaruhi tahap keseronokan apabila kembali bermain game lama ini.

Namun begitu, versi remaster ini memberi peluang untuk menikmati sistem pertempuran yang lebih lancar dan responsif, hasil peningkatan prestasi yang diperkenalkan.

Apa Yang Baharu dalam Versi Remaster?

Beralih kepada perkara utama, saya dengan gembira dapat mengesahkan bahawa ini adalah sebuah versi remaster yang sangat mantap. Saya memainkannya di PlayStation 5, dan sepanjang pengalaman saya, tiada sebarang isu teknikal, sama ada berkaitan prestasi, pepijat, atau masalah lain.

Game ini berjalan dengan lancar, sambil menawarkan pelbagai ciri yang benar-benar meningkatkan pengalaman bermain. Salah satu ciri yang paling saya hargai ialah akses kepada Grade Shop, yang kini tersedia serta-merta sebelum anda memulakan game.

Grade Shop boleh dianggap seperti “Cheat Mode” yang memberikan pelbagai bonus istimewa, seperti pengganda EXP, peluang jatuhan item yang lebih tinggi, diskaun di kedai, dan banyak lagi untuk pengalaman yang lebih santai.

Namun, bagi mereka yang mahukan cabaran tambahan, Grade Shop turut menyediakan pilihan untuk mengurangkan perolehan EXP.

Kredit: Bandai Namco

Dari segi visual, peningkatan yang dilakukan cukup memadai. Walaupun tidak terlalu drastik, resolusi yang lebih tinggi menjadikan game ini tampak lebih menarik, ditambah dengan gaya cel-shading yang masih memikat hati.

Memandangkan daya tarikan utama game ini adalah sistem pertempurannya, saya lebih menghargai kestabilan prestasinya. Walaupun ini sudah menjadi standard untuk kebanyakan remaster, dapat bermain semula Tales of Graces f dengan kadar bingkai yang lebih lancar memberikan pengalaman yang jauh lebih memuaskan daripada yang saya jangkakan.

Selain itu, beberapa ciri Quality of Life (QoL) turut ditambah baik untuk memberikan pengalaman terbaik, terutamanya untuk pemain baharu.

Antara penambahbaikan ini termasuk fungsi dash untuk mempercepatkan tempo eksplorasi, pilihan untuk mematikan pertemuan musuh, keupayaan untuk melangkau adegan cerita dan skits, fungsi autosave, penambahan waypoint untuk memudahkan navigasi ke misi seterusnya, dan banyak lagi.

Kredit: Bandai Namco

Secara keseluruhan, ini bukanlah remaster yang terlalu bercita-cita tinggi untuk mengubah banyak aspek permainan, terutamanya dari segi visual. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Tales of Graces f versi asal sudah kukuh kerana ia merupakan versi yang telah dipertingkatkan.

Namun, pengubahsuaian baharu yang memenuhi kriteria pemain moden serta aksesibiliti di platform terkini sudah lebih daripada mencukupi untuk menjadikannya pengalaman yang menyeronokkan dan relevan.

Pendapat

Kredit: Bandai Namco

Setelah sekian lama menanti, akhirnya peluang untuk bermain Tales of Graces f tiba, dan saya tidak boleh lebih puas hati dengan versi remastered ini.

Berdasarkan pengalaman bermain di PlayStation 5, versi ini boleh dianggap sebagai salah satu remaster terbaik dalam francais, menawarkan kualiti yang hampir sempurna dalam pelbagai aspek.

Sebagai tanda komitmen Bandai untuk menghidupkan kembali siri klasik Tales, versi ini memberi harapan besar bahawa mereka akan terus konsisten dalam usaha ini, sehingga mungkin suatu hari nanti impian peminat untuk melihat remake penuh menjadi kenyataan.

Kredit: Bandai Namco

Walaupun begitu, penting untuk diingat bahawa Tales of Graces f asalnya adalah game yang dilancarkan 15 tahun lalu. Oleh itu, beberapa elemen mungkin terasa agak ketinggalan zaman, baik dari segi visual mahupun kekuatan utamanya seperti sistem pertempuran.

Bagi mereka yang berminat untuk mencubanya, terutamanya pemain baharu yang mungkin mula mengenali francais ini melalui Tales of Arise, menurunkan jangkaan adalah penting untuk menikmati pengalaman bermain dengan sepenuhnya.

Bagi mereka yang berminat, game ini akna tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One, Switch, and PC via Steam pada 17 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.

Jangan lupa untuk ikuti kami di TikTok!
@gamersantaimy

The Review

Tales of Graces f Remastered

8.5 Score

PROS

  • Remaster yang solid tanpa sebarang isu (versi PS5)
  • Banyak penambahbaikan penting, terutamanya dari segi ciri QoL
  • Grade Shop boleh diakses dari awal permainan

CONS

  • Anda masih tidak boleh menyesuaikan Arte secara bebas
  • Beberapa bahagian mungkin terasa ketinggalan zaman, terutamanya bagi pemain baharu yang mengenali siri ini melalui Tales of Arise

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: reviuTales of Graces f Remastered
ShareTweetSend
Previous Post

[PL2025] Johnxfire & MLPDoTA Kongsi Pengalaman Sebagai Suara Arena di APAC Predator League 2025!

Next Post

Pokémon Play Lab Kini Dibuka di 1 Utama! Jom Lawat Sekarang!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Nioh 3 Diumumkan, Demo Alpha Kini Boleh Dimainkan!
Berita

Nioh 3 Diumumkan, Demo Alpha Kini Boleh Dimainkan!

June 5, 2025
Pandangan Pertama ‘007 First Light’ – Game James Bond Baru Untuk 2026
Berita

Pandangan Pertama ‘007 First Light’ – Game James Bond Baru Untuk 2026

June 5, 2025
Final Fantasy Tactics: The Ivalice Chronicles – Remaster Kepada RPG Taktikal Kesayangan Ramai
Berita

Final Fantasy Tactics: The Ivalice Chronicles – Remaster Kepada RPG Taktikal Kesayangan Ramai

June 5, 2025
Next Post
Pokémon Play Lab Kini Dibuka di 1 Utama! Jom Lawat Sekarang!

Pokémon Play Lab Kini Dibuka di 1 Utama! Jom Lawat Sekarang!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Anime ‘Takopi’s Original Sin’ Bakal Ditayangkan 28 Jun 2025
Anime

Anime ‘Takopi’s Original Sin’ Bakal Ditayangkan 28 Jun 2025

May 26, 2025
Crunchyroll Anime Awards 2025: Solo Leveling Dominasi Sebagai Anime Of The Year
Anime

Crunchyroll Anime Awards 2025: Solo Leveling Dominasi Sebagai Anime Of The Year

May 26, 2025
Filem Animasi ‘KPop Demon Hunters’ Bakal Tayang di Netflix Mulai 20 Jun
Animasi

Filem Animasi ‘KPop Demon Hunters’ Bakal Tayang di Netflix Mulai 20 Jun

May 23, 2025
Reviu Ejen Ali The Movie 2 – Dari M.A.T.A ke Hati Penonton! (TANPA SPOILER)
Review

Reviu Ejen Ali The Movie 2 – Dari M.A.T.A ke Hati Penonton! (TANPA SPOILER)

  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd