Selepas pengalaman yang sangat positif daripada sesi hands-on dengan Shin Megami Tensei V: Vengeance, jangkaan kami untuk game lengkap memang sangat tinggi. Kebetulan, kami dapat bermain game lengkap beberapa minggu lebih awal bagi tujuan reviu dan ternyata ia masih mengagumkan! Akhirnya, ini adalah versi definitif yang setiap peminat idamkan untuk Shin Megami Tensei V!
Apabila membaca tajuk di atas, mungkin ada bimbang jika beberapa perubahan akan menjejaskan pengalaman gameplay, terutamanya untuk mereka yang menyukai game original. Di sini, kami akan menjawab segala kebimbangan anda dengan reviu khas untuk Shin Megami Tensei V: Vengeance!
Teruskan membaca!
Jalan Cerita
Bagi jalan cerita, perbezaan terbesar dan sorotan utama Shin Megami Tensei V: Vengeance pasti adalah route “Canon of Vengeance”. Untuk mengakses plot baharu ini, anda harus memilih antara dua laluan berbeza pada permulaan game, yang akan menentukan arah naratif utama untuk keseluruhan game.
Lebih khusus lagi, watak anda akan menemui seorang gadis misteri, yang dapat dibebaskan daripada nasibnya apabila kita menghulurkan tangan kepadanya (Canon of Vengeance). Mengabaikan pilihan ini sepenuhnya akan membawa anda ke Canon of Creation, iaitu laluan sama seperti di dalam game original.
Pemain lama yang kembali bermain Vengeance pasti tidak akan menghadapi masalah untuk memilih laluan mana kerana kebanyakan akan fokus kepada Canon of Vengeance – memandangkan di sinilah segala kandungan baharu. Untuk pemain baru, ini ialah pengalaman pertama mereka dengan Shin Megami Tensei V, jadi anda tiada masalah untuk memilih mana-mana laluan.
Atlus juga telah membuat beberapa perubahan pada laluan Canon of Creation dengan menambah pelbagai side quest baharu, mekanik baharu dan beberapa perubahan besar pada gameplay dan ciri Quality-of-Life.
Kisah Shin Megami Tensei sentiasa mengisahkan tentang tema pengakhiran dunia dan konflik antara “demon” dan “angel”, sesuatu yang masih digambarkan dengan kuat dalam game ke-5 ini. Untuk laluan Canon of Vengeance, temanya memfokuskan kepada “balas dendam” yang turut memperkenalkan beberapa watak original menarik seperti Yoko Hiromine, dan kumpulan antagonis Qadištu yang terdiri daripada empat wanita demon diketuai oleh Lilith.
Setiap watak meninggalkan impak besar dari awal. Malah watak original juga mendapat perhatian, contohnya, rakan sekolah anda yang menyertai sebagai ahli parti akan tampil dengan lebih lama untuk mengukuhkan lagi kehadiran mereka dalam cerita.
Canon of Vengeance juga memberikan pelbagai kandungan baharu yang tidak ada dalam jalan cerita lama, salah satunya adalah transformasi baharu Nahobino iaitu Tsukuyomi dan region baharu di Da’at. Dari aspek cerita, saya rasa Canon of Vengeance agak padat dan secara keseluruhan, terasa seperti playthrough terbaik untuk menghargai kisah Shin Megami Tensei V sepenuhnya.
Da’at Berwajah Serba Baharu
Da’at masih akan menjadi ruang bermain utama dalam Shin Megami Tensei V: Vengeance, yang merupakan Netherworld/dunia alternatif dari Tokyo yang dihuni oleh demon. Walaupun persekitaran Da’at tidak berubah secara drastik, terdapat pelbagai sistem baru yang menjadikan penerokaan lebih mudah.
Salah satunya adalah Magatsu Rail yang membolehkan pemain mencapai kawasan jauh dengan cepat dan juga berguna untuk membuka jalan pintas. Selain itu, navigasi menjadi lebih mudah dengan ciri sky view yang membolehkan kita melihat kawasan sekitar dari perspektif langit.
Mungkin ada yang rasa ciri ini kurang berguna memandangkan kita sudah ada mini map, tetapi ada kalanya anda akan meneroka kawasan lebih rumit yang memerlukan pandangan jelas, contohnya kawasan baharu Shinjuku.
Shinjuku ditambah sebagai region besar baharu di Da’at yang boleh diakses selepas pemain mencapai separuh kedua kisah Canon of Vengeance. Sebagai kawasan baharu, sudah tentu mempunyai cabaran tersendiri termasuk ancaman demon yang mendiami sesuatu kawasan.
Contoh terbesar ialah Mad Gasser, di mana demon ini sering muncul secara tiba-tiba dalam kumpulan lalu membentuk barisan untuk menghalang pemain dan melakukan serangan dengan semburan gas.
Mereka adalah musuh yang mencabar, dan taktik serangan hendap mereka tidak pernah gagal untuk memerangkap pemain melainkan anda telah menghafal pada titik mana mereka akan muncul di atas peta. Sama seperti Mad Gasser, kebanyakan demon lain di rantau ini juga sama mencabar.
Di samping itu, anda juga boleh mendapatkan akses ke dungeon baharu di Shinjuku bernama Shakan – yang dihuni oleh demon-demon kuat , dan reka bentuk yang sangat mengelirukan.
Satu ciri yang saya sangat suka ialah tambahan sejenis base untuk berehat bernama Demon Haunts. Kita boleh mengaksesnya dari awal lagi, di mana anda boleh berinteraksi dengan demon dan watak penting lain, serta menggunakan ciri Free Camera untuk mengambil gambar dalam Photo Mode.
Pertempuran Terlalu Mencabar
Semua orang tahu bahawa pertempuran Shin Megami Tensei sangat kejam, dan Shin Megami Tensei V: Vengeance tidak terkecuali. Mengetepikan segala perubahan besar yang dibawa untuk menjadikan pengalaman bermain lebih mudah, semua itu tidak mempengaruhi tahap kesukaran langsung.
Pertempuran dalam game ini masih memerlukan persediaan yang teliti dan strategi yang tepat di mana satu fasa pusingan boleh berakhir dengan maut jika anda tidak dapat menyesuaikan diri. Jika tidak berhati-hati, senario di mana parti anda akan disapu bersih boleh menjadi perkara biasa walaupun pada tahap kesukaran paling rendah.
Sistem pertempuran masih sama, di mana anda dipersembahkan dengan format turn-based. Biasanya setiap ahli parti akan diberikan satu tindakan sebelum beralih ke fasa giliran musuh, tetapi anda boleh mendapat maksimum sehingga 8 pusingan asalkan berjaya menyerang musuh mengikut kelemahan mereka.
Pelbagai elemen lain seperti efek status, jenis resistance, rundingan dengan syaitan, dan skill Magatsuhi masih ada tanpa perubahan ketara.
Daripada mengubah sistem combat yang sudah mantap, Atlus sebenarnya memperkayakan pilihan lama sambil menambah ciri-ciri berguna. Antara contoh besar ialah lebih 50 skill Magatsuhi berbeza telah ditambah ke dalam game. Lebih banyak skil baharu, lebih banyak lah pemain boleh bereksperimen!
Transformasi Baharu, Demon Baharu
Pasti ramai yang ingin tahu tentang transformasi baharu Nahobino, tetapi malangnya kami tidak akan membincangkan hal ini terlalu mendalam kerana takut terberi spoiler tentang kisah Canon of Vengeance.
Secara ringkas, Nahobino/watak utama akan mendapat akses kepada transformasi baharu: Tsukuyomi yang bukan sahaja mengubah penampilan keseluruhan kepada gaya shinobi, tetapi juga memberinya akses kepada skil baharu yang lebih hebat. Boleh dikatakan; apabila Nahobino berjaya mendapatkan transformasi Tsukuyomi, pada saat itulah dia mendapat kuasa sebenar.
Selain daripada watak utama, demon juga tidak kurang pentingnya dalam Shin Megami Tensei. Khususnya, tambahan ramai demon baru seperti Dormarth, Gremlin, Halphas, Karasu Tengu, Unicorn, Tzitzimitl , Fenrir dan banyak lagi. Seperti biasa, semua demon ini bukan sahaja akan menjadi musuh tetapi juga rakan baru untuk direkrut ke dalam parti anda.
Kekuatan setiap demon dapat digandakan melalui Innate Skill, iaitu sejenis skil pasif dengan pelbagai efek berbeza, seperti memberi buff atau pelbagai bonus lain bergantung pada syarat. Innate Skill akan meningkatkan lagi potensi yang boleh dicapai dengan kombinasi pasukan tertentu, jadi tidak kira betapa lemahnya demon dalam parti anda, setiap satu akan sentiasa ada potensi untuk menjadi lebih kuat.
Penambahan skil pasif ini adalah sesuatu yang sangat kami hargai, kerana setiap demon mempunyai kelebihan tertentu yang boleh anda pertimbangkan untuk masuk dalam parti.
Perubahan-Perubahan Lain
Jika lihat senarai penuh, penambahbaikan yang dibawa oleh Shin Megami Tensei V: Vengeance benar-benar banyak.
Bermula daripada sistem upgrade Essence Fusion, pilihan Dyad Compendium Fusion, fasiliti Virtual Trainer untuk mengasah kemahiran, meningkatkan Level Cap kepada 150 – itu antara perubahan yang semua orang pasti akan hargai.
Ini tidak termasuk perubahan-perubahan kecil seperti Tutorial Recap, menambah petunjuk untuk subquest, menambah demon dengan peranan Quest Navigator, melaraskan damage mengikut level dan banyak lagi.
Satu lagi bahagian yang tidak kurang penting ialah aspek teknikal. Walaupun tidak 100% sempurna kerana kami masih akan merasa penurunan FPS atau terlihat grafik ala game Switch lama, akhirnya semua orang dapat bermain game ini pada resolusi 4K dan FPS tinggi – yang jauh lebih menyeronokkan.
Ini membolehkan kami menghargai visual Shin Megami Tensei V yang dibuat memakai Unreal Engine, manakala FPS yang tinggi menyumbang kepada gameplay yang lebih lancar dan responsif.
Kesimpulan
Jika game Shin Megami Tensei V original gagal memberikan kualiti yang konsisten di beberapa aspek, maka Vengeance adalah versi sempurna, layak untuk ditempatkan bersama JRPG berjaya lain di bawah Atlus.
Hampir semua aspek telah ditambah baik sambil memastikan game itu masih memberikan pengalaman Shin Megami Tensei yang mencabar. Canon of Vengeance mempersembahkan jalan cerita, watak dan adegan yang lebih menarik berbanding Canon of Creation, tetapi perubahan besar lain pada gameplay dan ciri tambahan bermakna kisah original juga tidak kurang menariknya.
Bagi pemain baru, ia terasa seperti anda bermain dua game dalam satu, manakala peminat veteran boleh bermain semula kisah original yang jauh lebih seronok.
Walaupun kami memuji Shin Megami Tensei V: Vengeance sebagai game yang sempurna, tetapi sudah tentu ia ada beberapa kelemahan lain. Sebahagian datang daripada aspek teknikal yang kami bincangkan di atas di mana penurunan FPS boleh berlaku.
Kami juga agak sedih kerana game ini masih menggunakan sistem DLC berbayar walaupun dibungkus sebagai versi definitif (lengkap). Cuma, saya kurang hairan dengan hal ini kerana ia sudah menjadi amalan biasa oleh SEGA walaupun untuk game baharu seperti Persona 3 Reload.
Bagi mereka yang berminat, Shin Megami Tensei V: Vengeance kini tersedia untuk platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC. Untuk beli, anda boleh melayari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
Shin Megami Tensei V: Vengeance
Jika game Shin Megami Tensei V original gagal memberikan kualiti yang konsisten di beberapa aspek, maka Vengeance adalah versi sempurna, layak untuk ditempatkan bersama JRPG berjaya lain di bawah Atlus.
PROS
- Jalan cerita baharu yang lebih menarik kerana Canon of Vengeance
- Kandungan yang banyak termasuk penambahan pada DLC lama
- Banyak penambahbaikan termasuk QoL yang sangat berguna
- Akhirnya boleh dimainkan dengan grafik dan prestasi maksimum
- Transformasi dan demon yang memperkayakan lagi sistem pertempuran
CONS
- Bahagian teknikal tidak sempurna, seperti FPS yang tidak konsisten
- Beberapa segmen cerita original masih agak membosankan
Discussion about this post