Selepas berdekad-dekad dikenali dengan nama FIFA, EA Sports kini melancarkan era baru dengan EA Sports FC. Kini di edisi EA Sports FC 25, entri ini dihasilkan dengan teknologi Hypermotion V yang menjanjikan animasi lebih halus dan pergerakan pemain yang lebih realistik, yang pasti membawa perubahan besar dari segi gameplay dan visual.
Peminat juga boleh teruja dengan pelbagai mode baharu dan penambahbaikan seperti FC IQ serta mode arked Rush 5v5. Dalam reviu ini, kami akan meneliti kelebihan dan kelemahan game ini, sambil menilai sama ada EA Sports FC 25 mampu mengangkat pengalaman bola sepak digital ke tahap seterusnya.
Gameplay Lagi Realistik
EA Sports FC 25 menggunakan teknologi Hypermotion V, yang dicipta berdasarkan data Volumetric Hypermotion, di mana mereka dapat merakam 1.2 bilion bingkai animasi daripada pergerakan pemain sebenar.

Bagi saya, pergerakan pemain terasa pantas dan lebih lancar berbanding game sebelumnya. Tiada lagi “kelambatan” seperti game dahulu, menghasilkan masa reaksi yang cepat, dribbling yang realistik, dan kawalan bola yang lebih rapat ke kaki.
Menghantar bola, menyepak, dan bertahan pun terasa lebih tepat, dengan mekanik yang natural, menjadikan pengalaman gameplay keseluruhan menarik dan menyeronokkan.

Dribbling dan Defending juga lebih intuitif kali ini. Dribbling terasa tepat, membolehkan pergerakan yang lancar dan kreatif, sementara pertahanan telah ditambah baik dengan posisi pemain yang lebih baik, menghasilkan tindakan interception dan tackle yang semula jadi.
Berkenaan AI dalam EA FC 25, AI musuh kini menyesuaikan diri dengan bijak terhadap taktik anda, menjadikan perlawanan lebih dinamik. Sebagai contoh, jika anda bergantung banyak pada sayap atau hantaran bola panjang, AI akan bertindak balas dengan mengetatkan pertahanan di bahagian sayap atau menurunkan pemain lebih dalam untuk mengelakkan serangan balas.
Tingkah laku adaptif ini mencabar pemain untuk mengubah strategi mereka dan mengelakkan daripada menjadi terlalu mudah untuk diramal.

Penambahbaikan AI bukan hanya untuk tahap kesukaran yang lebih tinggi. Walaupun pada tahap yang rendah, AI menyesuaikan taktiknya, menjadikan game lebih seimbang untuk pelbagai jenis pemain.
Pada pendapat saya, ini bagus kerana ia memastikan, tidak kira jika anda seorang pemain kasual atau veteran, pengalaman yang mencabar dan menghiburkan.
Gameplay Mendalam Bersama FC IQ
EA Sports FC 25 memperkenalkan beberapa penambahbaikan penting yang menjadikan pengalaman bola sepak lebih responsif berbanding pendahulunya.
Sistem FC IQ baru menawarkan fleksibiliti taktikal yang tinggi, membolehkan anda memberikan peranan hibrid kepada pemain seperti inverted fullback atau deep-lying midfielder, memberikan lebih banyak strategi dalam pengurusan pasukan.

Sebagai contoh, dengan menggunakan FC IQ, anda boleh mengarahkan seorang wingback untuk bergerak ke tengah padang semasa menyerang, mewujudkan kelebihan di tengah padang.
Atau, anda boleh membenarkan defensive midfielder untuk turun lebih dalam, berfungsi sebagai center-back ketiga untuk memberikan pertahanan tambahan apabila berada di bawah tekanan. Atau membenarkan midfielder menyerang menjadi second striker.

Bagi saya, ciri ini sangat sesuai untuk pemain yang ingin tetapan taktikal yang terperinci, menawarkan eksperimen tanpa had untuk melihat apa yang terbaik dalam situasi yang berbeza.
Walaupun ciri ini maju, pemain kasual tidak dipaksa untuk memahaminya, kerana player role default pun sudah cukup berkesan untuk formasi asas. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menguasai elemen taktikal, FC IQ boleh mengubah permainan dengan menyediakan kawalan yang mendalam terhadap cara pasukan anda bermain.
Career Mode

Career Mode, yang menjadi kegemaran ramai, telah menerima peningkatan yang besar dalam FC 25. Perubahan paling ketara ialah interface yang dipermudahkan, direka agar pengurusan pasukan lebih mudah diakses.
Task List baru menggantikan peti mesej yang berselerak, memberikan objektif utama dan peringatan untuk keputusan pengurusan anda. Saya sangat menghargai perubahan UI ini, kerana kami sudah bosan dengan UI yang sama selama hampir sedekad.

Tambahan pula, buat pertama kalinya, EA FC 25 memperkenalkan bola sepak wanita dalam Career Mode, menampilkan lima liga wanita teratas untuk pengalaman yang lebih autentik dalam mode Manager dan Player Career.
Player Career

EA FC 25 memperkenalkan Icon dalam Career, jadi anda boleh bermain sedikit fantasi yang dicampur dengan pemain sedia ada. Ini membolehkan anda bermain dengan beberapa ikon yang pernah kita lihat dalam game.
Anda boleh bermain sebagai Pirlo, Van Nistelrooy, Kelly Smith, atau Thierry Henry. Zidane lawan Bellingham, bagaimana keputusannya? Anda boleh mencipta cerita sendiri.
Selain daripada kehadiran Icon legenda ini, saya secara peribadi tidak merasakan ada perbezaan yang ketara. Malah, kebanyakan cutscene yang saya lihat adalah sama seperti dalam game sebelumnya.
Manager Career
Mode Manager Career dalam EA Sports FC 25 membawa beberapa peningkatan yang bertujuan untuk menjadikan pengurusan kelab lebih mengasyikkan dan mudah.
Anda kini boleh mengautomasikan latihan pasukan dan menyesuaikan elemen seperti kesan cuaca, yang mempengaruhi mekanik bola semasa perlawanan. Ciri lain termasuk Youth Tournament, di mana anda boleh membangunkan pemain muda.
EA juga memperkenalkan Live Start Points dalam Career Mode, yang membolehkan pemain menghidupkan semula jalan cerita besar dari dunia sebenar sambil mereka mengharungi detik-detik penting seperti perpindahan pertengahan musim atau perubahan pengurus.

Salah satu perkara penting lain dalam Manager Career ialah pemain kini boleh meninjau lebih banyak negara. Sebagai contoh, anda kini boleh mencari bakat muda di negara Asia Tenggara seperti Malaysia atau Indonesia. Ini menjadikan perjalanan kerjaya anda sebagai pengurus kelab lebih menarik.
Rush 5v5, Macam Main Futsal

Rush 5v5 dalam EA FC 25 ialah mode arked yang menyediakan alternatif menyeronokkan dan pantas kepada bola sepak tradisional. Diilhamkan oleh bola sepak jalanan, ia mempertemukan dua pasukan lima pemain di atas padang yang lebih kecil.
Mode ini menggabungkan elemen bola sepak dan futsal, memberi tumpuan kepada gameplay pantas dan skil, dengan peraturan lebih sedikit, untuk mencipta pengalaman yang lebih santai dan adrenalin.

Walaupun Rush 5v5 menyeronokkan pada awal main, ia mungkin tidak cukup kuat sebagai mode utama bagi pemain tegar, yang mungkin lebih menyukai Career Mode atau Ultimate Team.
Walau bagaimanapun, ia adalah mode yang menarik untuk sesi pantas dengan rakan-rakan atau apabila anda mahukan sesuatu yang berbeza daripada pengalaman bola sepak biasa. Ini bukan sesuatu yang istimewa, hanya penambahan yang baik.
Ultimate Team

Ultimate Team dalam EA Sports FC 25 telah berubah sedikit dengan beberapa ciri tambahan, menawarkan pengalaman yang lebih seimbang, sambil mengekalkan struktur yang biasa.
Salah satu perubahan paling ketara ialah integrasi sistem FC Rush dan IQ, yang memperkenalkan lebih banyak fleksibiliti taktikal dengan membenarkan peranan hibrid untuk pemain. Namun begitu, mikrotransaksi masih kekal.
Visual
Peningkatan visual dalam FC 25 agak ketara. Model pemain lebih menyerupai kehidupan sebenar, dengan butiran luar biasa pada ekspresi wajah, pergerakan badan, dan juga elemen persekitaran seperti pencahayaan stadium dan keadaan cuaca.
Penambahbaikan kecil seperti peluh yang realistik, rambut yang bergerak ikut logik, dan pergerakan pemain yang natural menjadikan pengalaman permainan lebih seronok.

Kini, pemain terkenal seperti Erling Haaland, Jude Bellingham, dan Kylian Mbappé lebih menyerlah, dengan penampilan game mereka yang hampir menyerupai rakan sejawat mereka di dunia sebenar.

Pada pendapat saya, apa yang menjadikan visual dalam FC 25 sangat hebat ialah bagaimana EA terus menolak had realisme, dengan saat-saat tertentu—seperti cutscene pra-perlawanan yang menunjukkan apa yang berlaku di luar dan dalam stadium, perlawanan hujan, atau sambutan penting.
Verdict
Secara keseluruhan, EA Sports FC 25 sebenarnya adalah game yang solid apabila dilihat dari perspektif ciri tambahan. Anda boleh melihat bagaimana FC IQ menambah lapisan baru pada gameplay dengan taktik yang kompleks, pergerakan pemain yang lancar dan realistik, AI yang pintar, Career Mode yang sedikit dirombak dan penambahan mode FC Rush 5v5.

Jika anda seorang peminat bola sepak sejati atau walaupun tidak pernah membeli mana-mana game bola sepak sebelum ini, EA Sports FC 25 adalah judul yang wajib dimiliki kerana ia menawarkan pakej lengkap sebagai permainan video bola sepak.
Bagi mereka yan berminat, game ini kini tersedia untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, PC, dan Nintendo Switch. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
EA Sports FC 25
Secara keseluruhan, EA Sports FC 25 sebenarnya adalah game yang solid apabila dilihat dari perspektif ciri tambahan. Anda boleh melihat bagaimana FC IQ menambah lapisan baru pada gameplay dengan taktik yang kompleks, pergerakan pemain yang lancar dan realistik, AI yang pintar, Career Mode yang sedikit dirombak dan penambahan mode FC Rush 5v5.
PROS
- Aspek taktikal lebih mendalam dengan FC IQ
- Banyak penambahbaikan pada Career Mode
- AI yang dipertingkatkan, lebih bijak
- Visual cutscene yang lebih realisme dan bagus
CONS
- Mikrotransaksi masih kekal
- Rush 5v5 kurang daya tarikan dan kurang istimewa untuk tahan lama
Discussion about this post