Dragon Age: The Veilguard merupakan entri terkini dalam francais RPG terkenal oleh BioWare, yang pada asalnya dikenali sebagai Dragon Age: Dreadwolf. Menyambung kisah daripada judul dahulu, game ini mengajak pemain untuk meneroka dunia Thedas, sebagai protagonis yang boleh disesuaikan, bernama Rook. Berdepan dengan ancaman baharu, kita ditugaskan untuk menyelamatkan dunia sekali lagi, dengan bantuan rakan lama dan baru.
Bersama pelbagai perubahan, kemajuan, dan tambahan baru, ramai meluahkan minat dan kebimbangan. Jadi untuk menjawab segala persoalan anda, kita akan meneroka jika jalan ceritanya cukup menarik; jika perkembangan watak cukup asyik, dan jika mekanik gameplay cukup padu dalam game ini.
Tanpa melengahkan masa, inilah reviu kami untuk Dragon Age: The Veilguard.
Pilihan Anda Membentuk Jalan Cerita
Dragon Age: The Veilguard meneruskan tradisi francais dengan naratif yang kaya dan berfokuskan watak, sambil menyuntik tema baru dan dilema moral yang mendalam. Berlatar dunia yang dilanda kesan perbuatan Solas, di mana sisa usahanya untuk menguasai kekuatan dewa-dewi elven masih terasa, game ini membuka jalan untuk kisah yang lebih gelap, dengan tema kuasa, pengorbanan, dan penebusan yang menjadi nadi siri ini.
Naratif utama berkisar pada watak pemain, Rook, seorang protagonis baru yang menghadapi kacau-bilau akibat kegagalan Solas dalam mengawal kekuatan dewa-dewi elven. Dunia dipenuhi kuasa-kuasa gelap, terutamanya apabila Blight muncul kembali dan mula menghancurkan kawasan seperti D’Meta’s Crossing.
Pemain perlu membuat pilihan penting yang akan mempengaruhi perjalanan cerita, hubungan, dan bahkan struktur dunia Thedas itu sendiri.
Misi-misi dalam game ini mengupas dilema moral yang kompleks, memaksa pemain membuat keputusan besar. Sebagai contoh, dalam misi di D’Meta’s Crossing, pemain dihadapkan dengan pilihan mengenai nasib seorang datuk bandar korup—sama ada membiarkannya tewas di tangan Blight sebagai hukuman atau memberinya peluang penebusan.
Penulisan dalam The Veilguard memiliki kekuatan tersendiri, namun terkadang terasa terlalu menerangkan. Watak cenderung mengulang titik plot atau memberi komen berlebihan tentang pilihan yang dibuat, yang kadangkala mengganggu aliran cerita dan meremehkan pemahaman pemain terhadap naratif.
Ini menimbulkan kebimbangan bahawa game mungkin kurang percaya pada kemampuan pemain untuk memahami kerumitan cerita tanpa panduan terus-menerus.
Walaupun begitu, interaksi dengan rakan seperjuangan adalah salah satu kelebihan utama. Dialog-dialog ini mengekalkan kedalaman emosi dan gaya penulisan yang menarik, seperti yang diharapkan peminat BioWare.
Adegan teman seperjuangan mendapat fokus yang signifikan. Pemain boleh meneroka pelbagai jenis hubungan, sama ada romantik atau platonic, melalui perbualan dengan mereka. Ini mengingatkan pada game-game terdahulu dalam siri, di mana membina hubungan dengan teman-teman memainkan peranan penting dalam jalan cerita.
Pada masa yang sama, misi Companion Quest benar-benar menekankan aspek ini dan akan memberikan kesan langsung bagaimana jalan cerita berkembang.
Mencipta Watak Sendiri Terasa Memuaskan
Sistem penciptaan watak dalam Dragon Age: The Veilguard telah diluaskan dengan ketara, memberikan pemain kebebasan penuh dalam penyesuaian. Pemain boleh memilih dari empat bangsa—Elf, Qunari, Human, dan Dwarf—masing-masing dengan sifat dan keistimewaan unik. Pemain kemudian dapat memilih dari tiga kelas: Rogue, Warrior, dan Mage.
Sistem ini membolehkan customization fizikal yang mendalam, termasuk warna kulit, ciri wajah, parut, tatu, dan sistem rambut. Pemain juga bebas memilih jantina. Unsur-unsur tambahan seperti solekan dan tatu yang relevan secara budaya menambah kedalaman estetik watak.
Selain memilih kelas dan bangsa, pemain juga dapat memilih puak seperti Veil Jumpers, Grey Wardens, The Mourn Watch, Lords of Fortune, Antivan Crows, atau Shadow Dragons, yang boleh menjadi sekutu yang penting sepanjang permainan.
Pilihan puak ini mempengaruhi latar belakang watak Rook, pilihan dialog, dan bahkan keseimbangan kuasa di benua yang berpecah ini. Menyokong puak tertentu akan memberi kesan besar pada bagaimana cerita anda berakhir.
Sistem Pertempuran Bersifat Aksi, Bukan Sepenuhnya Taktikal
Salah satu perubahan terbesar dalam Dragon Age: The Veilguard adalah sistem pertempurannya yang kini lebih berfokus pada aksi. Ini bertujuan mencipta pengalaman yang lebih lancar yang mengingatkan kepada RPG moden, berbanding pendekatan taktik yang dilihat dalam tajuk sebelumnya seperti Dragon Age: Origins dan Inquisition.
Sebagai pemain veteran, saya pada awalnya memiliki perasaan campur aduk tentang perubahan ini, namun semakin saya bermain, semakin saya menyukai rentak baharu ini dan tidak merasa ia mengurangkan elemen strategi yang menjadi tanda francais ini. Pemain berperang secara real-time dengan penekanan pada kelancaran dan mekanik kombo, memberikan interaksi dinamik dalam pertempuran.
Saya menghargai variasi senjata untuk setiap kelas. Sebagai Rogue, misalnya, pemain dapat menggunakan pedang dua bilah atau busur, sementara saya memilih Warrior yang boleh menggunakan pedang dan perisai atau Great Axe. Anda boleh memilih antara Reaper, Slayer, atau Champion, yang menjadikan pertempuran lebih bervariasi, membolehkan pemain menukar gaya mengikut musuh atau situasi.
Game ini memperkenalkan sistem parry untuk kelas Rogue dan Warrior. Mujurnya, mekanik ini tidak terlalu berkuasa seperti yang sering ditemui dalam RPG aksi lain. Penanda kuning muncul di atas kepala watak akan muncul apabila tiba masanya untuk menangkis serangan.
Namun, ada beberapa masalah: kadang-kadang warna terang dalam game ini menjadikan penanda itu sukar dilihat, menyebabkan saya kerap terlepas masa yang tepat untuk parry. Selain itu, sistem lock-on musuh kadangkala tidak konsisten; apabila musuh hilang dari pandangan, mereka tidak kunci secara automatik apabila muncul semula.
Gameplay yang lebih lancar juga memerlukan pemain bijak menyusun combo dan ahli parti mereka. Terdapat pelbagai kombinasi skill yang mampu, sebagai contoh, membuat musuh stagger. Apabila musuh dalam keadaan stagger, pemain boleh melakukan serangan hebat dengan damage besar.
Perubahan besar dalam sistem parti juga berlaku dalam The Veilguard, dengan pengurangan saiz pasukan daripada empat kepada tiga ahli. Pemain akan membawa hanya dua rakan seperjuangan pada satu masa. Setiap rakan seperjuangan mempunyai abiliti unik yang menyumbang kepada strategi pertempuran yang unik.
Pada pendapat saya, saya menyukai perubahan gameplay dalam Dragon Age: The Veilguard yang lebih cenderung ke arah aksi. Ia menjadikan game terasa lebih dinamik dan memuaskan. Ditambah dengan sistem pasukan dan combo, stagger, setiap pertempuran terasa memuaskan dan membuatkan saya ingin terus bermain tanpa rasa bosan.
Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang kurang saya gemari tentang sistem pertempuran ini: pemain hanya boleh menggunakan tiga Active Skill dan satu Ultimate pada satu masa. Setelah bermain Inquisition, ini agak membatasi kreativiti saya dalam pertarungan.
Dengan pelbagai Skill Tree dan pilihan Build yang tersedia, potensi yang tersedia berkurangan apabila hanya beberapa Skill boleh diakses secara langsung.
Meneroka Dunia Luas Tapi Bukan Open-World
Eksplorasi dalam Dragon Age: The Veilguard menjadi ciri utama yang memadukan persekitaran yang indah dengan latar yang kaya. Namun, ini bukanlah dunia terbuka sepenuhnya seperti Inquisition, tetapi lebih kepada peta berdasarkan misi. Pemain masih boleh melakukan fast travel dan menjelajah setiap kawasan untuk mencari harta, menyelesaikan side quest, dan meneroka setiap pelosok.
Pemain juga dapat menemui peristiwa dunia yang mengubah landskap atau keadaan penduduk berdasarkan tindakan mereka. Sebagai contoh, kehadiran Blight menambahkan rasa mendesak dan bahaya, ketika pemain melintasi kawasan yang terikat secara visual dan bertema kepada konflik utama permainan.
Eksplorasi melibatkan lebih daripada sekadar bergerak; ia juga merangkumi penyelesaian teka-teki. Pemain boleh menggunakan skill rakan seperjuangan untuk melepasi cabaran, membina platform, atau berinteraksi dengan persekitaran, yang menekankan pentingnya kerjasama dan strategi.
Pilihan Accessibility Untuk Semua Jenis Pemain
Secara jujur, saya menghargai fleksibiliti dalam pengaturan tahap kesukaran dalam game ini. Jika ada bahagian yang terasa terlalu sukar atau jika anda mahukan cabaran tambahan, anda boleh menyesuaikan elemen seperti masa parry, kekuatan aim assist, nyawa musuh, damage musuh, atau keagresifan musuh melalui ciri-ciri accessibility yang komprehensif.
Pilihan tambahan juga termasuk penyesuaian elemen UI, dengan HUD boleh disembunyikan atau dimatikan sepenuhnya, bahkan mengeluarkan nyawa Rook, objective tracker, dan Mini Map. Sari kata sepenuhnya boleh disesuaikan, di mana pemain boleh mengubah saiz, kegelapan, warna, dan menamakan watak yang sedang bercakap.
Sistem Kemajuan Menyeluruh Termasuk Untuk NPC
Aspek kemajuan dalam Dragon Age: The Veilguard hadir dalam beberapa kategori, iaitu watak sendiri, Peralatan, dan NPC, di mana pemain juga boleh menaik taraf NPC dalam game ini.
Watak Sendiri
Seperti dalam RPG lain, pemain memiliki akses kepada Skill Tree yang membolehkan mereka menyesuaikan abiliti dan gaya pertempuran mengikut citarasa. Setiap kelas menyediakan Skill dan pengkhususan unik, yang menggalakkan pemain untuk meneroka pelbagai jenis Build dan pendekatan strategik dalam pertempuran.
Saya memilih kelas Warrior, dengan fokus untuk menggunakan perisai dan menguatkan pertahanan. Namun, Warrior juga boleh mengakses Great Axe untuk membina DPS, menawarkan fleksibiliti dalam cara watak boleh dibina.
Untuk pemain berdedikasi yang ingin mencapai kesempurnaan, semua pilihan dalam Skill Tree boleh dibuka melalui sesi grinding yang panjang, kerana setiap Level Up hanya memberikan satu Skill Point, menjadikan perjalanan ini sangat mencabar.
Rakan seperjuangan juga mempunyai misi peribadi yang menambah latar belakang mereka serta mempengaruhi jalan cerita dan perkembangan pemain. Menyelesaikan misi ini menawarkan ganjaran besar, termasuk peralatan atau abiliti baru untuk pemain dan rakan seperjuangan.
Peralatan
Pemain boleh memilih pelbagai senjata mengikut gaya pertempuran, seperti pedang, tongkat, busur, dan pisau. Setiap kelas mempunyai peralatan khusus yang sesuai dengan abiliti mereka. Perisai tersedia dalam kategori Heavy, Medium, dan Light, dan tiada had untuk penggunaannya; jika Warrior memilih Light atau Medium Armor yang sesuai dengan build mereka, mereka tetap boleh memanfaatkannya.
Sistem loot yang diperkenalkan juga memberi insentif kepada pemain untuk terus bertarung dan menjelajah. Loot boleh didapati dalam pelbagai jenis, dari Common hingga Unique, masing-masing dengan statistik dan elemen khas yang meningkatkan abiliti atau damage.
Sistem ini memotivasi pemain untuk meneroka dan melibatkan diri dalam pertempuran untuk memperoleh peralatan yang lebih baik.
Saya amat menyukai sistem upgrade senjata dalam game ini. Dengan adanya rarity dari common hingga unique, peralatan yang sama boleh dinaik taraf ke rarity yang lebih tinggi, yang bermakna walaupun memperoleh item yang sama, peningkatan rarity memastikan ia kekal relevan hingga end-game.
Selain itu, game ini memperkenalkan sistem Wardrobe yang menarik, seperti sistem kostum, yang membolehkan pemain menyembunyikan pakaian yang mungkin kurang menarik tetapi memiliki stats yang kuat. Pemain boleh memilih kostum dari peralatan, membelinya dari NPC, menemuinya dalam harta karun, atau mendapatkannya melalui pre-order atau DLC.
NPC
Bagi NPC utama yang menjual barangan unik atau kostum menarik, pemain perlu menaik taraf mereka dengan bahan tertentu dan membina reputasi melalui misi di kawasan mereka untuk membeli peralatan yang lebih baik. Walaupun proses ini mungkin memakan masa, ia menambahkan cabaran untuk mendapatkan peralatan yang lebih berkuasa.
Visual
The Veilguard mempersembahkan dunia yang kaya dengan pemandangan menakjubkan, menyoroti keindahan dan keajaiban Thedas. Sebagai contoh, Arlathan Forest menonjol dengan keanggunan etereal-nya, di mana tenaga mistik hutan itu divisualisasikan melalui kesan air yang mengalir ke atas.
Game ini mengimbangi keindahan alam dengan kawasan gelap yang terjejas oleh Blight, seperti D’Meta’s Crossing, di mana pemain menemui landskap sunyi dan menyeramkan yang dipenuhi dengan ancaman.
Walaupun aspek persekitaran yang positif memperkukuh jalan cerita, ada elemen yang sedikit mengganggu saya. Secara peribadi, saya merasakan game ini agak kartun, cerah, dan riang. Gaya ini terasa sangat berbeza daripada Origins atau Inquisition.
Pemain baru mungkin tidak menghadapi masalah, tetapi bagi peminat lama, ia mungkin terasa kurang sesuai. Namun, animasi secara keseluruhan berjalan dengan lancar dan berkualiti.
Bagi model watak, sekali lagi, saya merasa game ini tidak cukup menarik secara visual, terutama untuk watak rakan seperjuangan yang menemani anda. Dalam game ini, anda tidak akan menemui watak yang menawan kecuali melalui pembuatan watak sendiri, sedangkan raksasa, terutama naga, kelihatan sangat hebat.
Pendapat
Dragon Age: The Veilguard menawarkan gabungan penceritaan yang menarik dan pertarungan yang penuh aksi, walaupun tidak sempurna. Cerita ini dipenuhi dengan momen mendalam bagi karakter, pilihan moral yang mencabar, dan kembalinya konsep “companion,” semuanya berlatarbelakangkan dunia yang terjejas oleh tindakan Solas.
Pengembangan watak dan dinamik hubungan yang ada adalah ciri klasik BioWare. Namun, ada beberapa bahagian yang terasa terlalu terperinci, yang kadang-kadang boleh mengganggu aliran cerita.
Dari segi gameplay, peralihan kepada pertarungan yang lebih berfokuskan aksi merupakan perubahan yang menyegarkan, menjadikan pertarungan terasa lebih pantas dan menarik bagi pemain moden. Dengan pelbagai jenis senjata, pilihan kelas, dan Skill Tree, terdapat banyak peluang untuk mempersonalisasi gaya pertarungan anda.
Namun, gaya visual yang cerah dan sedikit kartun, serta model watak yang kurang menarik, mungkin terasa janggal bagi peminat lama yang sudah biasa dengan nada yang lebih gelap dan pertarungan taktikal dari tajuk-tajuk sebelumnya.
Meskipun begitu, game ini menawarkan keseimbangan yang baik antara gameplay, perkembangan watak, jalan cerita, dan pilihan yang benar-benar bermakna.
Jika berminat, Dragon Age: The Veilguard akan dilancarkan pada 31 Oktober 2024 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam, EA App dan Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
Dragon Age: The Veilguard
Dragon Age: The Veilguard menawarkan gabungan penceritaan yang menarik dan pertarungan yang penuh aksi, walaupun tidak sempurna. Cerita ini dipenuhi dengan momen mendalam bagi karakter, pilihan moral yang mencabar, dan kembalinya konsep "companion," semuanya berlatarbelakangkan dunia yang terjejas oleh tindakan Solas.
PROS
- Interaksi mendalam bersama rakan-rakan parti
- Pilihan Character Creation yang luas dan solid
- Sistem Pertempuran yang dinamik dan menarik
- Pilihan Accessibility yang terperinci untuk semua jenis pemain
- Persekitaran yang memukau mata
CONS
- Pilihan "Active Skill" yang sangat terhad
- Saiz parti yang dikurangkan
- Gaya visual terasa berbeza dan kurang menarik
Discussion about this post