Diumumkan tahun lepas, Wo Long: Fallen Dynasty ialah game soulslike terbaharu oleh Koei Tecmo dan bakal dilancarkan esok untuk semua platform utama. Dicipta oleh Team Ninja (yang merupakan pencipta siri Nioh), game ini mempunyai struktur yang sama, tetapi terdapat pengaruh besar daripada Sekiro: Shadows Die Twice.
Adakah ia susah seperti game soulslike lain? Adakah ia seronok untuk dimainkan? Teruskan baca review ini untuk mengetahui lebih lanjut!
Jalan cerita

Seperti kebanyakan game soulslike, kita akan disambut dengan Character Creation cukup komprehensif yang membolehkan anda mencipta watak dengan penampilan fizikal yang sangat terperinci. Cadangan saya ialah untuk memberi perhatian khusus kepada penampilan watak, terutamanya wajah mereka, kerana Wo Long menampilkan banyak cutscene berkualiti tinggi di mana watak anda akan ditunjukkan termasuk model watak, animasi dan ekspresi muka yang kualitinya sama tinggi seperti watak utama lain.
Tidak seperti Nioh, yang berdasarkan mitologi Jepun, Wo Long: Fallen Dynasty membawa anda ke pengembaraan baharu yang meneroka era Three Kingdoms dengan tema fantasi gelap. Lebih khusus lagi, kisah ini berlaku di Dinasti Han, China pada tahun 184 Masihi, yang dipenuhi dengan konflik dan peperangan untuk bertahan dari pemerintahan syaitan yang kejam di seluruh rantau ini.

Kita bermain sebagai seorang askar biasa yang suatu hari berjaya membangkitkan kuasa tersembunyi dalam dirinya, dan akan bangkit sebagai seorang wira bercita-cita tinggi untuk membebaskan seluruh tanah daripada syaitan dan memburu dalang misteri di sebalik konflik ini.
Nasib baik, anda tidak bersendirian kerana Wo Long menampilkan watak ikonik berdasarkan sejarah Three Kingdoms seperti Zhao Yun, Guan Yu, Zhang Fei, Liu Bei, Cao Cao dan ramai lagi. Selain daripada memainkan peranan dalam beberapa peristiwa penting dalam cerita, mereka juga boleh menemani anda sebagai watak teman yang boleh membantu dalam game.

Daripada segi naratif, saya menghargai usaha Team Ninja dalam menyampaikan cerita yang lebih menyeronokkan. Konsep ini agak standard, tetapi apa yang menjadikannya hebat ialah banyak cutscene yang dikoreografi secara sinematik – itu saya anggap adalah yang terbaik daripada mana-mana game mereka setakat ini.
Sistem pertempuran

Bahagian paling penting dalam mana-mana game soulslike pastinya pertempuran. Tidak kira betapa mudah atau kompleks sistem itu, pemain harus menikmati gameplay mencabar yang akan menguji kesabaran mereka. Untuk bahagian ini, saya rasa Wo Long mempunyai pertarungan yang lebih menarik daripada siri Nioh, dan sebabnya terutamanya adalah inspirasi jelas daripada Sekiro: Shadows Die Twice.
Saya tidak suka menggunakan perbandingan seperti ini, tetapi persamaannya jelas dalam aspek mobiliti di mana watak anda boleh bergerak lincah dalam pertempuran serta parkour merentasi peta seperti seorang ahli kung fu yang hebat.

Pertempuran juga memberi lebih tumpuan pada sistem parry (Deflect) dan postur (Spirit) yang akan mengingatkan anda serta-merta tentang Sekiro. Semasa dalam pertempuran, watak dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata di mana anda boleh membawa dua senjata jarak dekat, dua senjata jarak jauh dan beberapa senjata lontaran seperti pisau dan bom sebagai pilihan menyerang sambil menjaga jarak.
Di samping itu, setiap senjata yang anda gunakan mempunyai kemahiran mempertahankan diri khas untuk menangani damage yang tinggi semasa menembusi pertahanan musuh, yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa (cuma saya lebih suka menggunakannya sebagai penyudah kombo).

Di samping itu, permainan ini menyediakan empat slot untuk Wizardry Spells yang terdiri daripada ofensif atau support. Sistem sihir dalam game ini berdasarkan falsafah Wuxing 五行 yang mengawal hubungan lima unsur Kayu, Bumi, Air, Api dan Logam. Sistem ini jauh lebih kompleks daripada yang saya jangkakan, dan memerlukan kita memahami potensi kekuatan dan kelemahan setiap elemen untuk mengekalkan gaya permainan yang cekap.
Contohnya, Kayu mengatasi Bumi, Api mengatasi Logam, Air mengatasi Api, Logam mengatasi Kayu, dan Bumi mengatasi Air. Setia[ elemen mempunyai kegunaannya dalam pelbagai situasi, dan sesetengah mungkin tidak begitu berkesan apabila digunakan terhadap bos, jadi game ini benar-benar menggalakkan kita untuk terus bereksperimen dengan kombinasi baharu.

Seterusnya, anda dilengkapi dengan satu lagi kuasa handal iaitu Divine Beast. Jika terbiasa dengan Nioh, ini adalah sistem yang hampir sama dengan Guardian Spirit, di mana watak anda boleh memanggil bantuan daripada makhluk dewa apabila sebuah bar istimewa penuh. Setiap Divine Beast mempunyai abiliti serangan dan sokongan yang sangat kuat untuk meningkatkan peluang anda menang.
Yang paling saya gunakan ialah Qinglong kerana keupayaan sokongannya yang sangat bagus, di mana kita boleh sentiasa memulihkan HP dan rakan sepasukan dalam radius bulatan, termasuk mereka yang sudah mati. Ini secara automatik menjadikan anda kebal kepada serangan maut dan boleh menjadi kemahiran penting untuk mendapatkan kemenangan apabila berada dalam fasa terakhir bos, yang biasanya agak sengit.

Namun, keseronokan utama pertempuran terletak pada tumpuan pada sistem parry. Walaupun peranannya dalam Nioh sangat penting, saya sukar membiasakan diri dengan timing-nya. Wo Long sebaliknya memberi jumlah masa yang banyak untuk melaksanakan parry, jadi anda masih boleh membaca pergerakan musuh dan bertindak balas kepada mereka tanpa rasa janggal. Salah satu sebab mengapa saya tidak begitu menyukai Nioh ialah keagresifan musuh, yang boleh menjadi agak kejam. Walau bagaimanapun, masalah ini tiada apabila saya mencuba Wo Long, yang lebih selesa untuk dimainkan.
Setiap parry yang anda laksanakan boleh disusuli dengan serangan balas, tetapi apabila melawan bos, mereka biasanya akan melancarkan serangan bertubi-tubi yang juga mesti kita parry dengan sempurna berturut-turut. Bagi pemain yang masih membiasakan diri dengan sistem ini, anda boleh bergantung pada butang Block, tetapi saya tidak mengesyorkannya kerana musuh dilengkapi dengan serangan khas yang tidak dapat dihadang, makan kitaakan kehilangan Spirit.

Apa yang bagus tentang parry dalam game ini ialah ia boleh menangkis pelbagai serangan termasuk sihir, dan setiap kali anda parry, watak anda juga akan bergerak lebih dekat dengan musuh yang secara automatik sangat berguna sebagai penutup jurang.
Jika diri boleh menguasai parry, setiap pertarungan yang anda lalui akan terasa lebih seronok, menarik dan mudah. Selain itu, apabila bar Spirit penuh, kita boleh melakukan Pukulan Kritikal, yang serupa dengan penyudah Deathblow di Sekiro.
Walau bagaimanapun, saya ingin memberi amaran kepada anda bahawa ia amat penting untuk memastikan berat peralatan anda pada tahap minimum, kerana anda tidak akan dapat menangkis; sebaliknya pergerakan itu bertukar kepada gerakan dodge biasa.
Struktur Permainan / Reka Bentuk Dunia

Selain inspirasi jelas daripada Sekiro di aspek pertempuran, struktur game dan dunianya hampir sama seperti siri Nioh – terutamanya pada reka bentuk level yang dibuat secara berasingan melalui misi. Dari segi reka bentuk level, malangnya tiada apa yang istimewa selain dari kawasan Hidden Village yang cantik, tetapi tempat ini lebih berfungsi sebagai hub.
Saya tidak begitu kisah tentang struktur dunia seperti ini dan sebenarnya lebih menyukai perubahan ini, kerana ia menjadikan skop penerokaan lebih fokus dan meminimumkan tempoh “backtracking (penerokaan sia-sia). Cuma reka bentuk dunianya tidak semenarik seperti yang lain, memandangkan latar belakang fantasi gelap era Three Kingdoms yang potensinya besar.

Selain itu, game ini memberikan anda begitu banyak loot sehingga inventori mudah menjadi penuh. Ada juga kelebihannya kerana ini memberikan kita insentif baik untuk mendapatkan peralatan baharu tanpa perlu membeli atau menaik taraf kepada blacksmith. Satu lagi bahagian yang mengingatkan saya banyak tentang Nioh ialah kuburan pemain lain yang bertaburan di seluruh level , di mana anda boleh menghadapi musuh/raksasa yang telah mengalahkan mereka. Musuh ini biasanya mempunyai Morale yang lebih tinggi, yang merupakan satu lagi sistem penting yang menentukan sekuat setiap musuh yang anda hadapi.
Jika watak anda mempunyai Morale yang lebih tinggi, maka setiap pertempuran akan menjadi lebih mudah, begitu juga sebaliknya. Cuma hati-hati kerana sebahagian daripada Morale kita akan hilang jika kita dikalahkan oleh musuh. Tetapi jika anda tidak takut dengan cabaran dan yakin boleh mengalahkan musuh dengan Morale yang tinggi, maka ganjarannya pasti berbaloi.

Tanah perkuburan pemain dipanggil Burial Flag, tetapi sebelum anda boleh memburu sasaran utama, anda perlu menggunakan Dragon’s Cure Pot sebagai bayaran (item penyembuhan utama dalam game). Bagi mereka yang ingin lebih bersedia sebelum menghadapi musuh kuat , gameini menyediakan pilihan lain seperti memakan Elixir atau berinteraksi dengan Marking Flags yang tersebar di beberapa titik di seluruh level.
Customization

Selain daripada membawa sistem peralatan yang sama seperti siri Nioh, terdapat character customisation yang lengkap. Anda boleh mengaksesnya melalui menu utama Battle Flag.
Pertama sekali, terdapat menu Level Up, yang juga mengikut falsafah Wuxing. Bergantung pada elemen mana yang diutamakan, watak anda akan mempunyai statistik yang sepadan dengan motif utamanya seperti Wood Virtue memfokuskan pada statistik HP, Fire Virtue untuk statistik ofensif , Earth untuk beratperalatan, Metal untuk kapasiti Spirit dan Water yang lebih memfokuskan pada parry. Secara am, ini masih sama dengan sistem Level Up dalam game soulslike, tetapi Wo Long mengkategorikannya dalam cara yang lebih unik dan lebih mudah difahami.

Daripada Battle Flag, anda juga boleh mengakses skill tree untuk sistem sihir yang telah dikategorikan kepada setiap elemen. Ternyata sistem ini dikaitkan dengan level setiap elemen yang anda tingkatkan daripada menu Level Up; jadi walaupun anda boleh mendapat akses kepada skil yang lebih kuat, terdapat keperluan level yang mesti dipenuhi terlebih dahulu.
Sebaik sahaja mempunyai kemahiran yang dimahukan, anda boleh menyusun skil kepada satu set dalam empat slot khas. Game ini juga memberi pilihan untuk menyimpan kombinasi melalui Battle Set supaya anda tidak perlu melalui kerumitan menukar kemahiran satu demi satu.

Bagi selebihnya, anda boleh memilih Warrior untuk membantu dalam pertempuran, malah kita boleh membawa lebih daripada satu jika anda menghadapi masalah dalam satu kawasan atau menghadapi bos yang sukar.
Tetapi bagi mereka yang mahukan cabaran tambahan, Wo Long: Fallen Dynasty telah menyediakan pilihan untuk menghapuskan ciri rakan sepasukan dengan menggunakan item Willow Branch Pada masa yang sama, kita juga akses multiplayer, tetapi setakat ini saya tidak berjaya berinteraksi dengan pemain lain selain melalui Burial Flag.

Pendapat

Walaupun tidak begitu minat siri Nioh, saya sebenarnya sangat berpuas hati dengan Wo Long: Fallen Dynasty yang datang dengan kualiti yang bagus dalam pelbagai aspek. Pertempuran yang mencabar dengan sistem parry lebih responsif, pelbagai pilihan senjata dan sihir dengan konsep lima elemen yang unik, mobiliti watak sangat lincah yang menjadikan penerokaan dan pertempuran lebih menarik serta nilai produksi yang menakjubkan.
Semua aspek ini menyumbang membuatkan saya yakin untuk menggelar Wo Long: Fallen Dynasty sebagai games soulslike terbaik dari Team Ninja setakat ini.

Malangnya, ia bukan tanpa kelemahan, kerana game ini mempunyai pelbagai maklumat penting yang tidak dijelaskan dalam tutorial utama. Sebagai contoh, berat peralatan mempengaruhi pergerakan parry dan itu tidak dijelaskan sama sekali.
Jadi secara tidak langsung. pemain terpaksa melalui proses yang agak menyusahkan sehingga mereka menyedarinya hal itu. Di samping itu, game ini mempunyai reka bentuk dunia yang hambar dan tidak menarik untuk menggambarkan era Three Kingdoms dengan sentuhan fantasi gelap, yang turut mempengaruhi struktur level yang mudah menjadi bosan untuk diterokai.
Wo Long: Fallen Dynasty akan lancar pada PS5, PS4, Xbox One, Xbox Series dan PC melalui Steam pada 3 Mac 2023. Kalau anda ada melanggan Xbox Game Pass, ia juga akan tersedia pada hari pertama pelancaran.
@gamersantaimy
The Review
Wo Long: Fallen Dynasty
Saya sangat berpuas hati dengan Wo Long: Fallen Dynasty yang datang dengan kualiti yang bagus dalam pelbagai aspek. Pertempuran yang mencabar dengan sistem parry lebih responsif, pelbagai pilihan senjata dan sihir dengan konsep lima elemen yang unik, mobiliti watak sangat lincah yang menjadikan penerokaan dan pertempuran lebih menarik serta nilai produksi yang menakjubkan.
PROS
- Pertempuran yang mantap dengan sistem parry yang mudah untuk beginner
- Aspek mobiliti pantas untuk aksi akrobatik semasa penerokaan dan parkour
- Pelaksanaan konsep lima elemen Wuxing yang sangat unik
- Nilai produksi yang mengagumkan
CONS
- Reka bentuk dunia yang hambar membuatkan level bosan diterokai
- UI yang agak comot seperti siri Nioh
- Beberapa tutorial penting disembunyikan
Discussion about this post