Sebuah filem aksi baru telah pun hadir ke pawagam baru-baru ini iaitu Top Gun: Maverick. Kalau anda ingin tahu, ia merupakan filem sekuel untuk “Top Gun” yang ditayangkan pada tahun 1986. Berbeza dengan filem aksi sekarang, ia memaparkan ketenteraan udara, penuh dengan aksi di udara. Ingin tahu filem best atau tidak, jom baca review daripada kami! Tengok dahulu trailer filem Top Gun: Maverick sebelum mula membaca.
Filem drama aksi ini, tertumpu pada Kapten Tentera Laut, Pete Mitchell ataupun Maverick (dilakonkan oleh Tom Cruise) melatih sekumpulan juruterbang elit dari Top Gun untuk satu misi khas. Penceritaannya sangat mudah kerana misi yang diberikan memerlukan juruterbang untuk memusnahkan fasiliti haram yang mempunyai bahan Uranium berbahaya. Jadi, juruterbang elit tadi akan dilatih untuk bersedia untuk misi tersebut dan akan ditapis. Tiada orang jahat atau pengintip, cuma satu cerita mengenai ketenteraan yang senang diikuti oleh penonton.
Pada permulaan filem, anda akan melihat Maverick membawa jet pejuang yang merupakan salah satu program yang dibatalkan oleh orang atasan. Ia memberikan pengenalan sedikit mengenai perangai Maverick yang keras kepala serta kebolehan hebatnya dalam mengendalikan jet tersebut. Disebabkan itu jugalah, dia telah dihantar semula ke Top Gun untuk melatih juruterbang elit yang dipilih tadi.

Aksi yang mudah diikuti
Saya bukanlah seseorang yang minat sangat pada filem berkenaan ketenteraan, filem prekuelnya juga tidak ditonton. Tetapi saya mengaku Top Gun: Maverick berjaya menarik perhatian saya dengan persembahan filemnya yang hebat. Segala visual yang dipaparkan tidak kiralah semasa kelas ataupun latihan udara, anda boleh rasa lebih dekat dengannya. Ia tidaklah memakai CGI yang begitu gah seperti Avengers atau filem aksi lain. Mungkin sebab itu saya rasa tahap realistiknya sangat padan dengan dunia sebenar. Tetapi kalau mengenai jet pejuang pada awal filem rasanya agak mustahil juga untuk anda selamat dengan kelajuan tinggi Mach 10. Saya pun bukanlah pakar dalam bab ini, jadi terserahlah kepada anda bagaimana untuk nilai tahap realistik tentang jet tersebut.
Scene “dog fight” dalam filem ini sangat mudah untuk diikuti, anda memang tidak akan keliru semasa mereka terbang di udara. Walaupun ia kelihatan seperti pertempuran pantas antara juruterbang, anda masih boleh mengetahui segalanya yang terjadi. Sudut serta jarak kamera sangatlah membantu dalam scene seperti ini, malah anda dapat melihat setiap perspektif juruterbang.

Watak
Bercerita tentang watak, semuanya mempunyai peranan masing-masing, dan sudah tentu Maverick merupakan watak yang bagus. Kita boleh nampak kesemua konflik yang berlaku di sekelilingnya dan bagaimana dia mula selesaikannya. Tetapi dalam banyak-banyak watak yang ada, hanya Maverick yang dikembangkan dengan elok. Watak-watak lain seperti, Iceman,Rooster, Phoenix, Bob, Hangman dan banyak lagi hanya sekadar wujud untuk menyokong mereka ini. Ramai lagi watak yang terus saya lupakan disebabkan jarang melihat mereka dan tiada impak yang besar datang daripada mereka. Anda hanya diperkenalkan secara ringkas pada permulaan filem selepas itu sedikit demi sedikit dilupakan.

Tetapi kalau ada antara juruterbang tadi yang paling mudah ingat, rasanya Rooster dan Hangman. Daripada pergaduhan antara kedua watak ini sampailah penghujung filem, memang agak susah untuk lupakan mereka ini. Rooster dengan konflik masa lampaunya dan Hangman yang angkuh, mendapat layanan khas daripada filem ini. Kalau ingin tahu lebih lanjut, pergilah menontonnya di pawagam sekarang.

Kesimpulan
Seperti yang saya katakan diatas, filem ini memang seronok untuk dilayan, tiada konflik yang menjengkelkan dan plot twist yang merosakkan “mood”. Paling tidak pun anda hanya boleh rasakan debarannya apabila mereka mulakan misi yang diberikan. Rasanya kalau mereka berikan masa untuk watak lain untuk dikembangkan, mungkin ia lebih menarik. Teringin juga ingin tahu bagaimana mereka semua mengenali antara satu sama lain sebelum dikumpulkan. Apapun persembahan daripada pelakon-pelakon memang hebat. Sinematografik untuk filem ini juga memang mantap. Kalau boleh sebelum menonton filem ini, baik anda tonton prekuelnya untuk lebih memahami mengenai konflik dalaman Maverick mengenai kisah lampaunya.

Apapun, ia merupakan sebuah filem hebat yang saya syorkan untuk tonton. Anda bolehlah menempah tiket untuk menontonnya di pawagam berdekatan. Untuk membaca review filem lain daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post