Sony merupakan antara jenama paling terkenal dalam bidang audio di mana anda tidak perlu mempersoalkan kualiti produknya yang termasuk speaker, Hi-Fi, headphone, earbud dan macam-macam lagi. Cuma kebanyakan produk ini amat mahal. Jadi baru-baru ini, Sony mengumumkan sepasang lagi earbud lebih mampu milik bernama WF-C700N yang menjanjikan kualiti lebih kurang sama pada nilai harga bawah RM600.

Earbud TWS baharu ini menawarkan banyak ciri yang ada pada produk premium termasuk bunyi mengasyikkan, ciri noise cancellation canggih dan jangka hayat bateri sehingga 15 jam tetapi pada harga yang lebih murah. Bukan itu sahaja, ia juga merupakan noise-canceling earbud paling ringan oleh Sony setakat ini.
Adakah Sony WF-C700N sehebat seperti yang disangkakan? Teruskan membaca review ini.
Reka bentuk

WF-C700N datang dalam kotak mesra alam yang diperbuat daripada bahan kitar semula. Anda boleh mendapatkannya dalam warna hitam, putih, lavender dan hijau (unit yang kami terima adalah warna putih). Keseluruhan pakej termasuk earbud, charging case, ear tip silikon bersaiz S dan XL, dan kabel USB-C untuk mengecas.
Earbud disimpan di dalam charging case yang berbentuk seperti pil dengan bahagian bawah yang rata. Sama seperti earbud, charging case pun diperbuat daripada plastik dan mempunyai kemasan bertekstur. Apabila membuka casing, kita boleh melihat earbud tersebut yang mempunyai reka bentuk bujur dengan butang besar di sisi. Harap maklum, ini bukan butang ala touchscreen tetapi fizikal di mana ia menyokong fungsi click, double-click dan press-and-hold.
Menurut laman rasmi, earbud direka untuk menggabungkan bentuk yang sepadan dengan telinga manusia dan reka bentuk ergonomik bagi lebih kestabilan. Selepas mencuba buat beberapa jam, saya pun merasakan ia lebih selesa berbanding earbud lain yang saya sering pakai. Bukan itu sahaja, permukaannya yang bertekstur juga membantu kita memakai dan mencabut earbud tanpa masalah, sangat berbeza daripada produk lain yang luarannya licin.

Satu lagi perkara yang saya suka adalah Sony WF-C700N sangat-sangat ringan. Setiap earbud memilik berat hanya 4.6g dan charging case pula seberat 31g. Cukup ringan dan boleh dibawa ke mana sahaja. Sesetengah earbud dan casing terlalu besar dan berat, jadi ia boleh jadi melecehkan. Sony WF-C700N tidak menghadapi masalah ini.
Butang Pairing boleh didapati di bahagian belakang manakala LED di hadapan akan menunjukkan tahap bateri. Malangnya, pengecasan wayarles tidak ditambah, tetapi saya tidak terkejut memandangkan ini adalah varian yang lebih bersifat bajet.
Keseluruhan produk disahkan kalis air IPX4 yang bermakna produk dilindungi daripada percikan air dari mana-mana sudut. Jika korang suka pergi buat aktiviti luar atau pergi gim, ini memang rakan yang sesuai.
Ciri-ciri yang ditawarkan

WF-C700N menyokong format audio AAC dan SBC melalui Bluetooth 5.2 tetapi ciri aptX HD dan LDAC, yang diperlukan untuk penstriman Bluetooth berkualiti tinggi, tidak ditambah. Itu tidak mengapa kerana ciri ini biasanya dikhaskan untuk produk audio wayarles Sony yang lebih mahal. Cuma saya faham jika ada yang kecewa dengan kekurangan tersebut.
Nasib baiklah, ia mempunyai sokongan teknologi 360 Reality Audio milik Sony, dan Digital Sound Enhancement Engine (DCEE) yang memampatkan sumber muzik original untuk menghasilkan bunyi berkualiti tinggi lebih mirip dengan audio asal. Earbud ini juga menyokong Google Quick Pairing pada peranti Android.
Seterusnya, WF-C700N mempunyai fungsi noise cancellation yang menggunakan teknologi Adaptive Sound Control dan bunyi ambien. Semua ini boleh dikawal melalui aplikasi Sony | Headphones Connect pada Android dan iOS dan nak guna pun mudah kerana reka bentuk-nya yang simple dan straightforward. Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah aplikasi memerlukan GPS untuk sentiasa aktif supaya dapat berfungsi dengan baik.

Secara umum, aplikasi ini memberikan kawalan penuh ke atas audio equalizer. Apabila anda mengaktifkan kawalan bunyi Adaptive, ia akan bertukar secara automatik antara mode noise reduction dan ambien bergantung pada persekitaran anda. Ia mempunyai empat profil – Stay, Walk, Run, dan Transport.
Walk dan Run akan menghidupkan bunyi ambien supaya anda boleh mendengar persekitaran semasa anda bergerak (ini penting untuk keselamatan pengguna), manakala dua lagi mode ditetapkan kepada mode noise reduction. Pada masa yang sama, earbud ini dapat mengesan apabila anda bercakap dengan orang di sekeliling dan segera menghidupkan mode ambien tanpa perlu pause audio.
Malangnya, WF-C700N tidak mempunyai sensor wear detection. Ini agak mengecewakan kerana ia merupakan ciri standard pada masa kini. Jadi, anda perlu pause atau menghentikan sebarang muzik secara manual apabila mencabut earbud.

Kualiti bunyi dan audio

Untuk prestasi bunyi, WF-C700N menggunakan driver 5 mm dengan diafragma pematuhan tinggi untuk memastikan bass sentiasa kuat dan kualiti vokal yang jelas serta membawakan profil bunyi yang seimbang dari julat pendengaran 20 Hz – 20,000 Hz. Lebih daripada itu, pengalaman anda akan menjadi lebih
Bunyi tetapan lalai pada EQ sudah cukup okay, tetapi untuk menggandakan pengalaman, saya mengesyorkan korang untuk mengubahsuai tetapan EQ memainkan. Sebanyak lapan preset dan tiga profil custom boleh dipilih, selebihnya terserah kepada anda untuk menentukan mana yang sesuai bagi telinga anda. Tidak kira apa jenis lagu yang anda dengar, anda boleh menukar EQ agar sesuai dengannya.
Melalui aplikasi Sony, anda juga boleh mengutamakan “sound quality” atau “stable connection”. Di sini, saya mengesyorkan anda untuk sentiasa mengutamakan kualiti bunyi dari awal. Saya juga mencadangkan agar anda sentiasa menghidupkan Sony DSEE (Digital Sound Enhancement Engine) yang meningkatkan fail audio digital beresolusi rendah kepada kualiti yang lebih tinggi – hasilnya sentiasa mengagumkan dan tidak pernah mengecewakan pengalaman saya.

Beralih ke ciri lain, WF-C700N menawarkan kualiti noise cancellation yang agak okay. Saya hanya perlu meletakkan peranti di telinga dan serta-merta ia akan menurunkan bunyi bising di sekeliling. Ciri ini sangat berguna jika anda ingin berehat atau mahu fokus tanpa sebarang gangguan.
Apabila berjalan-jalan, earbud masih akan mengurangkan bunyi luar tetapi ia tidak akan mengasingkan kita sepenuhnya daripada realiti. Seperti saya kata tadi, perkara ini dibuat sebagai langkah keselamatan agar anda masih boleh fokus tentang keadaan sekeliling apabila bergerak dan berwaspada jika apa-apa berlaku. Memandangkan WF-C700N lebih murah, saya terkejut yang fungsi noise cancellation cukup setanding dengan barang premium.
Lagu okay tapi bagaimana dengan gaming?
Saya cuba bermain Mobile Legends, kesannya berbunyi jelas dan kuat; untuk game FPS seperti CODM, semua tapak kaki dan tembakan juga jelas dan saya boleh tahu dari mana datang bunyinya. Bunyinya pun tiada lag, jadi pengguna tidak perlu risau. Hakikatnya, walaupun earbud ini tidak dicipta untuk gaming, ia masih berfungsi dengan baik dan lebih bagus daripada jangkaan saya.
Kualiti panggilan juga adalah penambahbaikan daripada earbud dengan harga yang sama. Mereka yang sudi bereksperimen dengan saya melaporkan bahawa bunyi suara saya cukup jelas dan natural sama seperti bercakap memakai telefon.

Jangka hayat bateri

Dalam ujian, earbud ini bertahan selama 7.5 – 8 jam dalam keadaan “aktif tanpa henti” bersama mode noise cancellation dihidupkan, manakala casing akan memanjangkan jangka masa kepada 15 jam. Malangnya, jangka hayat bateri ini dua kali lebih rendah daripada earbud tipikal. Satu hal lagi yang mengecewakan adalah casing boleh mengecas sepenuhnya earbud sekali selepas baterinya pun habis sekali.
Ini bermakna kita perlu mengecas peranti dengan lebih kerap dan pengguna di luar perlu berhati-hati kerana takut baterinya boleh habis pada bila-bila masa.
Pengecasan penuh untuk earbud mengambil masa kira-kira 90 minit, manakala charging case mengambil masa tiga jam untuk capai 100%. Pengecasan pantas 10 minit membolehkan peranti hidup kira-kira selama satu jam. Pengecasan wayarles tidak disokong, jadi anda perlu menggunakan USB-C untuk mengecas.
Pendapat

Secara keseluruhan, Sony berjaya menambah sepasang earbud wayarles bagus ke katalog mereka. Bunyi dan audio WF-C700N terbukti sangat bagus sekali memandangkan harganya lebih bersifat bajet dan mampu milik. Kualiti sebegini memang susah untuk dapatkan, lagi-lagi di dalam pasaran yang sangat kompetitif.
Selain itu, ciri noise cancellation pun berfungsi dengan berkesan; earbud dan casing cukup ringan untuk dibawa ke dalam poket dan di telinga untuk masa yang lama; dan ia mempunyai EQ sendiri supaya pengguna dapat menentukan pengalaman audio mereka sendiri.

Cuma, ia masih ada kekurangan. Jangka hayat bateri tidak sebaik seperti yang disangkakan dan boleh habis dengan cepat jika anda aktifkan segala ciri. Pada masa yang sama, kapasiti charging case hanya mampu mengecas bateri sekali sahaja sebelum terpadam. Walaupun kekurangannya tidak banyak tetapi hati-hati, ia masih boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seharian.
Namun, jika anda tidak kisah semua itu dan ingin memiliki earbud TWS berharga bawah RM600 (harga rasmi adalah RM549), saya akan mencadangkan Sony WF-C700N. Dengan semua kelebihannya, anda pasti tidak akan menyesal.
Untuk maklumat lanjut korang boleh layari laman web rasmi Sony di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post