Predator Triton 500 SE (Special Edition) merupakan sebuah laptop gaming yang baru dilancarkan oleh Acer semasa acara Next@Acer 2021 pada hujung bulan Mei lalu. Seperti model Predator Triton sebelumnya, laptop ini lebih ringkas tetapi mempunyai kemampuan untuk melakukan pelbagai tugasan harian yang menjadikannya serba boleh. Malah, disebabkan ia dari siri Predator, maka Triton 500 SE mempunyai spesifikasi sesuai untuk anda jadikan sebagai laptop gaming!
Baru-baru ini, Acer telah menghantar sebuah Predator Triton 500 SE kepada kami untuk membuat ulasan. Setelah melakukan pelbagai percubaan ke atas laptop dari segi prestasi serta bermain beberapa game, jom baca ulasan kami ini!
Rekaan yang ringkas!

Pada awalnya, kami menyangkakan Acer menghantar peranti yang salah kerana ia tidak mempunyai rekaan seperti laptop gaming lain. Setelah disemak semula, baru kami tahu yang mereka memberikan Predator Triton 500 SE reka bentuk keseluruhan yang lebih ringkas, kemas dan nampak begitu moden. Rekaan laptop ini nampak begitu kemas kerana tiada lagi logo besar Predator terletak pada permukaan, tetapi ia masih mempunyai logo itu dalam saiz kecil di sudut kanan atas. Rekaan model Predator lain biasanya mempunyai kesan pencahayaan RGB, tetapi tidak model ini. Jadi bagi gamer yang kurang minat dengan kesan pencahayaan RGB, mungkin anda boleh cuba untuk mendapatkanya.
Berbanding dengan siri Triton sebelumnya, kali ini ia mempunyai penampilan yang sangat berbeza dan lebih baru. Sekiranya anda mengeluarkannya dari kotak, pasti tidak akan sangka yang ini adalah sebuah laptop gaming kerana ia nampak lebih seperti ke arah komputer riba pejabat! Acer juga menjadikan laptop ini lebih mudah alih dengan mempunyai berat hanyat 2.4KG dan ketebalan hanya 19.9mm menjadikannya mudah disimpan dalam beg serta tidak memakan banyak ruang.
Disebabkan rekaan laptop ini sangat ringkas, jadi ia hanya memiliki beberapa port sambungan sahaja untuk anda gunakan seperti di sebelah kiri laptop ada port kuasa, port Ethernet, port USB 3.2 Gen 2, port Thunderbolt 4 dan bicu headphone. Manakala sebelah kanan laptop pula terdapat antara muka HDMI 2.1, USB 3.2 Gen 2, antara muka Thunderbolt 4, dan slot kad SD.
Papan kekunci dan mousepad yang selesa

Predator Triton 500 SE dilengkapi dengan papan kekunci yang dihiaskan dengan lampu latar RGB 3-zon penyejukan dan pelbagai kesan pencahayaan yang boleh anda sesuaikan. Bagi saya laptop ini mempunyai papan kekunci yang sangat selesa digunakan bukan sahaja membuat tugasan menaip kerja pejabat, tetapi juga untuk bermain game! Namun, ada sedikit kekurangan bagi mereka yang sering menggunakan butang Ctrl, kerana ia agak kecil dan sukar untuk ditekan. Tetapi jangan risau, secara keseluruhan papan kekunci laptop ini sangat bagus dan ia tidak akan menyebabkan anda kekok menekan kekuncinya.
Selain itu, terdapat butang PredatorSense eksklusif di papan kekunci yang membolehkan pengguna memantau, melakukan overclock atau mengendalikan kipas laptop secara real time. Peranti ini juga terdapat sebuah butang Turbo di atas papan kekunci supaya pengguna boleh mengaktifkan kipas laptop, serta fingerprint reader di kiri atas touchpad untuk menjadikan laptop anda lebih selamat dengan sistem keselamatan.
Paparan 16 inci yang besar sesuai untuk pemandangan gaming lebih luas!

Perkara yang menarik perhatian saya adalah saiz paparan yang disediakan pada peranti, kerana ia mempunyai 16 inci paparan berbanding kebanyak laptop gaming bersaiz 15.6 inci. Ia juga dilengkapi dengan layar bezel nipis IPS 16:10 WQXGA (2560 x 1600), nisbah skrin-ke-laptop adalah 87% dan menyokong kadar penyegaran skrin 165Hz. Paparan Predator Triton 500 SE mempunyai masa respon 3ms yang boleh dikira sesuai untuk bermain game, serta disokong dengan NVIDIA G-SYNC, gamut warna 100% sRGB dan kecerahan paparan hingga 500 nits.
Tambahan pula, jika anda ingin membuat streaming, laptop ini boleh disambungkan ke monitor lain kerana ia mempunyai antara muka Thunderbolt 4. Monitor kedua anda boleh disambungkan ke dock yang sesuai untuk memaparkan paparan 4K atau 8K, dan ia dapat memindahkan data dengan minimum 32GB sehingga 40GB maksimum.
Bateri tahan lama untuk anda on-the-go!

Spesifikasi Predator Triton 500 SE dilengkapi dengan bateri berkapasiti 99.98Wh dan boleh bertahan sehingga 12 jam. Jadi bagi mereka yang bekerja dan sentiasa perlu bergerak kemana-mana, laptop ini adalah pilihan yang sesuai untuk anda! Namun, kuasa bateri akan semakin pendek bergantung pada cara penggunaan anda. Jika pengguna hanya banyak melayari sosial media, maka bateri laptop akan bertahan selama 6 hingga 8 jam. Manakala jika digunakan untuk sesi gaming, bateri boleh berkurangan dengan sangat cepat menjadikannya hanya boleh bertahan sekitar 2 jam sahaja. Mungkin tidak sesuai untuk anda gunakan laptop ini untuk bermain game tanpa menyambungnya ke plug pengecasan.
Pakai headset atau speaker untuk pengalaman audio lagi baik

Dari segi audio laptop, ia tidaklah teruk tetapi kurang memuaskan jika anda tidak menyambungkan ke output headset. Audio pada Predator Triton 500 SE tidak begitu jelas jika anda tidak meletakkan tetapannya ke tahap paling tinggi. Malah, ia mempunyai masalah yang sama dengan kebanyakkan laptop lain dimana tiada fungsi bass pada peranti ini.
Jadi jika anda ingin mendengar muzik sama ada di Youtube atau Spotify, saya cadangkan untuk menggunakan output headset. Sama juga jika anda ingin menonton Netflix di laptop ini, dialog dimainkan masih jelas tetapi anda tidak dapat kepuasan mendengar muzik latar yang ada dalam filem tersebut.
Sistem penyejukan lebih moden

Di samping itu, salah satu ciri baru utama yang ada pada laptop ini adalah ia mempunyai sistem penyejukan yang lebih moden berbanding model sebelumnya. Predator Triton 500 SE mempunyai tiga kipas yang dibina di dalam, termasuk kipas 3D AeroBlade khas generasi kelima. Terdapat juga lima paip haba yang dikhaskan untuk prosesor dan kad grafik supaya ia dapat menyalurkan haba keluar dan mendapat output udara lebih baik, serta memastikan laptop berfungsi dalam prestasi cemerlang!
Walau bagaimanapun, anda mungkin akan terasa sedikit terganggu dengan bunyi yang dihasilkan oleh kipas laptop ini. Jika anda menghidupkan fungsi Turbo, ia akan menghasilkan bunyi kipas yang agak kuat, terutama ketika bermain game. Tetapi ini tidak menjadi masalah besar kerana bunyi kipas laptop ini sebenarnya tidak begitu kuat, jadi anda tidak rasa segan untuk menggunakannya semasa di luar. Sebagai seorang gamer yang menggunakan laptop untuk bermain game PC, saya rasa ianya tidak menjadi masalah kerana ini memastikan peranti boleh berfungsi dengan baik dan tidak mengganggu momen gaming.
Spesifikasi laptop yang padu memberikan pengalaman gaming sangat lancar!

Secara amnya, Predator Triton 500 SE tidak mempunyai penampilan seperti laptop gaming lain, tetapi ia masih memiliki spesifikasi terbaik untuk anda ber-gaming! Dengan prosesor mobile Intel Core i9-11900H 11th gen baru dan frekuensi operasi sehingga 5.0GHz, laptop ini dapat memberikan pengalaman gaming yang sangat lancar dan setanding PC.
Ia juga dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080, DDR4 32GB 32000Mhz RAM yang boleh ditambah sehingga 64GB RAM, dan 2TB SSD untuk ruang simpanan. Laptop ini turut memiliki pengawal Intel Killer E3100G Ethernet dan kad rangkaian Intel Killer Wi-FI 6 AX1650i bagi menjadikannya lebih mantap berbanding model Triton yang lain.

Bagi memastikan prestasinya mencapai tahap spesifikasi gaming yang diidamkan, kami telah mencuba beberapa buah game AAA baru seperti Cyberpunk 2077 dan Watch Dogs: Legion. Ketika bermain Cyberpunk 2077, kami telah menetapkan kualiti gambar ke tahap tertinggi, dan berjaya memainkannya sekitar 50 hingga 70FPS. Manakala jika disesuaikan dengan output yang lebih tinggi, ia akan meningkat menjadi 60 hingga 80FPS, dan akan menurun menjadi 50 hingga 60 FPS apabila light chase dihidupkan.
Kemudian ketika bermain Watch Dogs: Legion bersama beberapa DLC terbaru yang ada di game, kami mendapati PCIe Gen 4.0 sangat membantu bagi memastikan pengalaman bermain menjadi lancar. Kami dapat bermain di sekitar bandar London tanpa ada masalah terencat dan loading time pada game juga sangat pantas. Malah, keputusan spesifikasi untuk FPS ketika bermain game ini hampir setanding dengan Cyberpunk, jadi saya sangat berpuas hati prestasi gaming untuk Predator Triton 500 SE.

Lebih-lebih lagi, laptop ini mempunyai kadar penyegaran sehingga 165Hz, ia sangat sesuai untuk bermain game first-person shooter. Kami juga mencuba bermain Apex Legends dengan tetapan kualiti gambar pada tahap tertinggi. Hasilnya, kami dapat berperang dalam keadaan 90 hingga 110FPS dan menerima kualiti gambar yang sangat cantik!
Kesimpulannya

Secara keseluruhannya, Predator Triton 500 SE merupakan tahap evolusi baru untuk laptop gaming Predator! Walaupun mempunyai reka bentuk luaran yang ringkas dan ramping, tetapi ia mempunyai spesifikasi yang hebat untuk anda menikmati pengalaman gaming sangat lancar. Dengan prosesor mobile Intel Core i9-11900H 11gen yang baru, kad grafik NVIDIA GeForce RTX3080 16GB GDDR6, dan PCI Gen 4.0, anda boleh bermain game seperti di PC gaming dalam versi laptop.
Dengan kelebihan sistem penyejukan yang hebat ada pada laptop ini, anda tidak perlu risau untuk menggunakannya dalam keadaan yang lama kerana prestasinya masih cemerlang. Namun, jika anda ingin bermain game di luar, pastikan ianya disambungkan dengan pengecas kuasa supaya tidak kehabisan bateri ketika bermain.
Bagi mereka yang bekerja di lapangan dan sentiasa on-the-go pula, rekaan laptop yang ringkas, kemas dan tidak memakan ruang pada beg anda menjadikannya pilihan terbaik untuk digunakan! Disebabkan ia mempunyai spesifikasi paparan dan prosesor yang cemerlang, anda boleh melakukan kerja-kerja penyuntingan dimana-mana sahaja tanpa perlu risau mengenai kemampuan laptop ini.

Predator Triton 500 SE akan bermula dari harga RM8,999-RM12,999 mengikut spesifikasi pilihan produk yang tersedia, anda boleh layari laman rasmi Acer untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Bagi yang berminat dengan laptop gaming Acer lain, anda boleh membaca ulasan kami mengenai Acer Nitro 5 baru! untuk membaca segala liputan kami berkaitan Acer, anda boleh tekan sahaja pada pautan yang tersedia.
@gamersantaimy
Discussion about this post