Shin Megami Tensei merupakan game yang menjadi sensasi bagi peminat genre JRPG dari seluruh dunia, sebelum Persona mula memintas popularitinya. Walaupun siri Shin Megami Tensei hampir sama dengan Final Fantasy atau Dragon Quest, tetapi siri ini mempunyai keunikannya tersendiri tanpa mengikut jalan cerita antara kebaikan menentang kejahatan dan hero JRPG yang cliche.
Shin Megami Tensei III: Nocturne telah menerima versi HD remaster pada 20 Mei 2021 serta kini tersedia untuk platform Nintendo Switch, PlayStation 4 dan PC melalui Steam. Pembangun permainan video, iaitu Atlus telah memberikan peningkatan grafik terkini untuk Shin Megami Tensei tahun 2003 yang dilancarkan ketika era konsol PlayStation 2. Kami telah berpeluang untuk mencuba game JRPG PS2 popular ini dan menikmati sendiri peningkatan yang ada dalam Shin Megami Tensei III: Nocturne HD Remaster. Tanpa berlengah lagi, jom baca review kami!
Tiada sedikit perubahan jalan cerita
Dalam game ini, anda akan bermain sebagai pelajar sekolah menengah yang terperangkap di peristiwa apokaliptik dikenali sebagai Conception, berpunca dari sebuah kumpulan yang ingin mencipta semula dunia. Watak anda dihidupkan semula sebagai Demi-fiend, iaitu gabungan manusia dan syaitan yang mempunyai kebolehan untuk merekrut syaitan lain bagi menyertai anda. Watak-watak lain dalam game akan membantu atau menggunakan anda untuk menyelamatkan dunia baru ini. Segala pilihan yang pemain buat semasa berinteraksi dengan watak akan menentukan pengakhiran jalan cerita game.
Persembahan game lebih menarik
Dari segi grafik permainan, Atlus telah memberi peningkatan kualiti yang sangat bagus pada setiap model serta watak, dan jika anda pernah bermain versi asal sebelum ini, pastinya anda sangat menghargai usaha pasukan pembangun. Mereka telah berjaya menghasilkan semula Shin Megami Tensei III: Nocturne dengan sangat baik untuk model, suasana serta pencahayaan. Walaupun ianya tidak cukup bagi sebilangan pemain, tetapi bagi saya peningkatan visual pada game ini memberikan saya keseronokan untuk bermain. Namun, cutscene game ini masih lagi kekal pada dalam aspek 4:3 seperti game asal.
Selain itu, pasukan pembangun turut memberi peningkatan dari segi audio. Buat pertama kalinya, versi remaster ini mempunyai lakonan suara dalam Bahasa Jepun dan Bahasa Inggeris, serta mempunyai sarikata Bahasa Jerman, Itali, Perancis dan Sepanyol. Lakonan suara dalam remaster ini telah berjaya menghidupkan perasaan baru pada watak-watak dan keseluruhan game, tetapi mereka masih mengekalkan soundtrack dari versi PS2 dan ia sepatutnya perlu diberi peningkatan. Mereka mempunyai soundtrack rasmi yang telah di remaster di iTune dan Spotify sejak lama dulu, tetapi agak pelik mengapa Atlus tidak menggunakannya untuk versi ini.
Ciri gameplay ditambahbaik untuk lebih keseronokan
Dari segi gameplay, Atlus masih mengekalkan game klasik ini hebat seperti versi asal di PS2. Jadi jika anda menghadapi kebuntuan semasa bermain, anda boleh tonton walkthrough versi 2003 di Youtube. Gaya permainan Shin Megami Tensei III: Nocturne adalah RPG yang sangat mudah kerana anda bermain di dalam dungeon, bertarung secara turn-based dan mempunyai tambahan elemen merekrut syaitan sebagai ahli pasukan sama seperti Pokemon. Ia juga menampilkan “Press Turn Battle System” untuk pemain menentukan berapa kali parti mereka dapat bertindak pada serangan kritikal dan serangan kelemahan keatas musuh. Bonus sistem serangan ini juga memberi tambahan ahli syaitan baru yang anda pilih untuk direkrut.
Untuk merekrut syaitan baru, anda perlu membayarnya dalam bentuk wang atau item bagi memujuk mereka supaya menyertai parti pemain. Kadang-kala taktik ini tidak berfungsi walaupun anda telah membuat tawaran yang menarik pada mereka, dan boleh menyebabkan pemain baru Shin Megami Tensei mudah rasa kecewa kerana mereka tidak biasa berhadapan dengan situasi ini.
Walau bagaimanapun, Shin Megami Tensei III: Nocturne telah memberi perubahan pada aspek ini, iaitu dengan menambah buff bagi menjadikan game ini lebih seronok berbanding versi asal. Salah satu perubahan utama diberikan ialah sistem “Demon Fusion“, dimana ia memerlukan gabungan dua atau lebih syaitan yang direkrut bertukar menjadi lebih hebat. Ini mungkin nampak sama seperti Digivolution dari siri Digimon, tetapi ia sangat gempak jika anda melakukannya.
Selain itu, Atlus turut memberi pemain untuk membuat pilihan dalam menetapkan skil tertentu yang dapat diwarisi dari bentuk gabungan syaitan dihasilkan. Ini memberi pemain lebih bebas untuk membuat gabungan syaitan dan tanpa perlu memadam skil penting.
Penambahan lain yang pasti disukai peminat RPG adalah ciri Suspend Save, dimana ia membolehkan pemain menyimpan data kemajuan di mana-mana sahaja tanpa perlu mencari checkpoint. Bagi mereka yang ingin melakukan percubaan semasa bermain di level sukar, ini tidak akan menjadi masalah. Malah, jika anda bermain di Switch, ini lebih memudahkan anda untuk bermain dimana-mana sahaja!
DLC Chronicle Edition menampilkan Raidou Kuzunoha
Di samping itu, perkara menarik di remaster Nocturne ini adalah peminat boleh bermain versi Chronicle Edition yang menampilkan Raidou Kuzunoha dari siri Shin Megami Tensei: Devil Summoner. Versi ini telah diberi pembaharuan dan boleh dikatakan sebagai siri Dante dari Devil May Cry. Namun, untuk mendapatkan versi ini anda perlu membeli DLC berharga $9.99 (anggaran RM41.56) atau di Digital Deluxe Edition yang berharga $69.99 (anggaran RM291.19). Walaupun versi ini nampak lebih menarik untuk dimainkan, tetapi ia masih tidak menjejaskan keseronokan jika anda membeli edisi yang biasa.
Penutup
Secara keseluruhannya, Shin Megami Tensei III: Nocturne HD Remaster sangat seronok untuk dimainkan, walaupun anda tidak pernah bermain mana-mana siri dari francais ini. Dari segi gameplay, ia tidak mempunyai banyak cabaran yang membuatkan pemain berhenti disebabkan kebuntuan, tetapi jika ada sekalipun mereka masih boleh menonton walkthrough dari game versi 2003.
Dengan penambahan beberapa ciri terbaru seperti merekrut syaitan dan membuat Demon Fusion, ianya telah menjadikan versi remaster ini lebih seronok dan tidak bosan untuk dimainkan. Walaupun ada sedikit elemen seperti bermain Pokemon dan Digimon, tetapi ianya mampu memberi kelebihan kepada pemain yang biasa dengan francais lain untuk beradaptasi dengan sistem ini.
Dari segi grafik pula, walaupun ianya adalah versi HD dari versi game PS2, tetapi Atlus telah berjaya memberikan kualiti grafik yang sangat bagus di sini. Watak, model dan pemandangan dari versi remaster ini nampak lebih menarik untuk dimainkan serta memberi perasaan nostalgik zaman PS2 ketika bermain.
Dari segi audio, mungkin lebih baik jika pembangun menggunakan runut muzik asal sedia ada dari versi PS2 berbanding yang digunakan sekarang. Namun bagi pemain Shin Megami Tensei yang baru seperti saya, ianya tidak menjadi masalah kerana bunyi latar dalam game ini masih lagi memberi suasana yang menyeramkan ketika bermain.
Shin Megami Tensei III: Nocturne HD Remaster kini tersedia untuk platform PS 4, Nintendo Switch dan PC melalui Steam. Anda boleh mendapatkan edisi standard game ini pada harga RM229 di Steam dan RM219 di PlayStation Store. Untuk membaca segala liputan kami berkaitan Shin Megami Tensei, anda boleh tekan sahaja pada pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Shin Megami Tensei III: Nocturne HD Remaster
PROS
- Grafik klasik yang telah dimodenkan
- Penambahan sistem gameplay lebih menyeronokkan
- Mesra pemain bagi mereka yang tidak pernah bermain siri Shin Megami Tensei
CONS
- Kualiti audio kurang memuaskan
Discussion about this post