Akhirnya! Filem animasi Monster Hunter: Legends of the Guild telah pun tiba di aplikasi streaming Netflix pada 12 Ogos 2021 dan ianya diadapatasi dari francais Monster Hunter. Filem ini telah dihasilkan oleh Pure Imagination Studio dengan Steve Yamamoto sebagai pengarah, dan diterbitkan oleh Capcom sendiri. Studio ini pernah menghasilkan beberapa filem animasi Lego hebat seperti Lego Marvel, Lego The Simpsons, Lego Ninjago dan Lego Jurassic World.
Jadi, sebagai peminat Monster Hunter, saya telah menonton filem ini sebaik sahaja ia dilancarkan di Netflix! Kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca tentang ulasan filem Monster Hunter: Legend of the Guild, bersama ringkasan cerita dengan sedikit spoiler! Tanpa membuang masa, jom baca review yang saya sediakan ini! Sebelum itu, anda boleh lihat video trailer filem ini dibawah.
Watak
Aiden (VA Dante Basco)

Anak yatim piatu yang berazam ingin menjadi salah seorang Hunter di masa akan datang. Aiden diambil menjadi anak murid kepada Julius dan mengikutinya dalam mencari jejak Elder Dragon yang menuju ke arah kampungnya. Penduduk Timben mempercayainya kerana dia seorang yang peramah dan mesra dengan setiap keluarga di kampung.
Julius (VA Brandon Eaton)

Seorang Hunter kelas Ace yang mahir menggunakan Dual Blades dan dihantar oleh Guild untuk memberi amaran kepada setiap kampung mengenai ancaman Elder Dragon. Julius mengambil Aiden sebagai anak muridnya dengan mengajar cara menggunakan senjata dan bagaimana untuk menjadi seorang Hunter yang hebat. Penduduk Timben pada awalnya tidak mahu mempercayainya kerana dia hanyalah orang luar, tetapi dengan bantuan Aiden, dia telah berjaya meyakinkan mereka dan berusaha melindungi orang kampung.
Nadia (VA GK Bowes)

Seorang Gunner kelas Ace yang mahir menggunakan heavy bowgunner dan dihantar oleh Guild untuk memberi amaran kepada setiap kampung. Nadia membantu Julius dalam mengetuai pasukan mereka seperti mengalahkan Nerscylla, Congalala, Deviljho dan Elder Dragon Lunastra. Sebagai seseorang yang mengenali Julius, Nadia amat memahami setiap rancangan, tindakan serta bahasanya. Malah, hanya Nadia sahaja yang menyukai jenaka Aiden di sepanjang filem ini.
Mae (VA Yu Shimamura)

Mae adalah seorang pengumpul data untuk diberikan kepada Guild. Pada mulanya jurnal Mae telah dicuri oleh Nox, tetapi Aiden dan Julius memulangkannya kembali. Pertama kali dia bertemu dengan mereka berdua ketika cuba menyelamatkan Aiden dari serangan Nerscylla, dan menyertai pasukan Hunter’s Guild kerana mahu mendapatkan data mengenai Lunastra serta melindungi Timben.
Ravi (VA Yugo Sekiguchi)

Dulunya Ravi adalah seorang Hunter yang hebat, tetapi disebabkan sikap tamak suka membunuh monster demi memuaskan hobinya. Ravi kemudian telah dibuang oleh Guild dan menjadi seorang blacksmith di kawasan terpencil. Pada mulanya dia tidak mahu membantu pasukan Hunter’s Guild dalam membuatkan senjata baru, tetapi setelah diberi kesedaran oleh Aiden dia mula menyertai mereka. Ravi membantu kampung Timben dalam menghasilkan senjata pertahanan dari serangan Lunastra dan ikut serta melawannya.
Nox (VA Stephen Kramer Glickman)

Nox adalah seekor Lynian monster spesies Melynx yang boleh bercakap. Aiden menjumpainya ketika dia cuba menyerang tempat persembunyian Nox dan menemui jurnal milik Mae. Nox kemudian dibawa mengikuti Aiden dan Julius dalam menjejaki Elder Dragon, serta diperintah mengangkat barang mereka sepanjang perjalanan sebagai denda. Walaupun kecil dan lemah, tetapi Nox banyak membantu pasukan dalam setiap pertempuran monster serta selalu mengacau Julius.
Ringkasan cerita
Monster Hunter: Legends of the Guild mengisahkan tentang Aiden, seorang pemuda kampung Timben yang terpencil dan bercita-cita ingin menjadi seorang Hunter. Suatu hari, dia berhadapan dengan monster dikenali sebagai Velocidrome dan cuba membunuhnya, tetapi Aiden diselamatkan oleh Julius serta memberitahu jejak yang dijumpainya bukanlah milik monster itu. Sebaliknya adalah perangkap yang dibuat oleh seekor Melynx.

Aiden kemudian menyerang tempat persembunyian Melynx dan menjumpai Nox, dia juga terkejut kerana monster itu boleh bercakap serta agak lincah, tetapi masih terkena perangkap yang dipasangnya sendiri. Aiden membawa Nox ke kampung bersama barangan yang dicurinya, di situ juga dia bertemu semula Julius yang sedang berbincang dengan Elder Daazel mengenai laluan migrasi Elder Dragon Lunastra. Julius memberi amaran kepada penduduk Timben, tetapi mereka tidak mempercayainya kerana dia hanyalah orang luar. Aiden menawarkan diri untuk mengikuti Julius dan membawa Nox sebagai saksi mengenai bencana yang akan melanda mereka dalam masa seminggu lagi.
Sepanjang perjalanan mereka, Julius memberi tunjuk ajar dan ilmu Hunter-nya kepada Aiden serta menghadiahkan suit armor baru bagi melindunginya dari serangan monster. Mereka berjaya menjumpai jejak Lunastra melalui kemusnahan api yang dihasilkannya, dan Julius menjelaskan kepada Aiden jika dia tidak pulang memberi amaran kepada Timben, maka semuanya akan mati!

Semasa pulang ke Timben, mereka bertemu dengan Mae yang sedang mengkaji Nerscylla dan diserang oleh monster itu. Setelah berjaya mengalahkan Nerscylla hasil dari bantuan Nadia, mereka bersepakat untuk menyelamatkan kampung dari serangan yang bakal tiba. Aiden juga memulangkan jurnal milik Mae dan membuatkannya mahu mengikut pasukan itu kerana ingin mengkaji mengenai Lunastra.
Mereka berlima bertemu dengan Ravi di bengkel miliknya, dan Julius teringat mengenai seorang Hunter yang pernah membelot pegangan Guild kerana memburu monster sesuka hati. Ravi menyertai pasukan itu dan mahu menewaskan Lunastra bagi mencari keampunan untuk dirinya, dan membina beberapa senjata untuk mereka.
Ketika Lunastra mula menyerang Timben, senjata utama untuk melawan monster itu telah mengalami kerosakan dari api yang dihasilkan. Untuk memberi masa kepada Mae dan Aiden membaikinya, Ravi telah bertindak berhadapan sendiri dengan Lunastra bagi mengalih perhatiannya. Apabila mereka berjaya menembak monster itu menggunakan senjata yang dibaiki, Mae cuba menyelamatkan salah seorang penduduk kampung tetapi diserang oleh Lunastra yang terjaga semula.

Disebabkan senjata Nadia mengalami masalah, Aiden telah pergi ke empangan dan meletupkannya supaya Lunastra itu hanyut dibawa sungai. Pertarungan telah pun selesai dan kampung Timben berjaya diselamatkan oleh pasukan Hunter’s Guild. Namun, Lunastra mungkin akan kembali semula kerana dia hanya hanyut dibawa arus dan tidak mati disebabkan itu.
Ulasan ringkas mengenai filem dengan beberapa spoiler!
Dari segi grafik, saya perlu beri pujian kepada Pure Imagination Studio kerana mereka telah berjaya menghasilkan Monster Hunter: Legends of the Guild dengan visual yang cantik. Walaupun ia tidak begitu hebat seperti animasi terkini, tetapi gambaran suasana alam, ketelitian setiap monster yang ada dalam filem dan aksi pertarungan watak bersama monster berjaya disampaikan dengan cantik.

Dari segi jalan cerita pula, ianya agak pendek kerana kurang dari satu jam sahaja sudah sampai ke babak pengakhiran cerita. Secara jujurnya saya tidak puas dengan filem ini kerana ia kurang babak pertarungan hebat antara watak dan monster. Malah, semasa mereka menjelaskan mengenai migrasi Elder Dragon, saya membayangkan cerita ini akan menampilkan sekurang-kurangnya pertarungan sama ada dua atau tiga monster kelas itu, tetapi hanya Lunastra sahaja yang ada. Mungkin jika pengarah menyediakan pasangan Lunastra, iaitu Teostra dalam filem ini sudah pasti ianya akan memberikan babak akhir pertarungan menjadi lebih epik!
Dari segi persembahan watak, walaupun kita nampak Aiden sebagai karakter utama, tetapi secara keseluruhan filem ini dia nampak seperti kurang berfungsi kerana tidak dibekalkan dengan senjata dan tiada babak hebat dia mengalahkan Lunastra. Adegan Aiden hanya benar-benar membantu dalam filem ini cuma ketika dia meletupkan empangan supaya Lunastra hanyut dibawa arus. Mungkin selepas menonton filem ini, anda akan menganggap Julius adalah watak utama kerana dia mempunyai banyak babak pertarungan dengan monster.

Satu perkara yang saya perasan mengenai watak sampingan seperti Mae, Nadia dan Ravi adalah mereka sangat membantu watak utama dalam misi menyelamatkan Timben dari serangan Lunastra. Nadia juga menunjukkan skilnya menggunakan heavy bowgunner semasa bertarung dengan Congalala, Deviljho dan Lunastra yang bagi saya memang sangat bergaya! Malah, jika ingin dibandingkan watak Ravi yang hanya muncul kurang dari lima minit dengan Aiden, saya boleh katakan Ravi lagi berfungsi darinya.
Sesuai untuk dilayan pada malam minggu
Secara keseluruhannya, filem ini sesuai untuk mereka bukan dari kalangan peminat Monster Hunter dan penonton yang ingin menonton cerita ringan serta tidak begitu rumit. Mungkin selepas menonton filem ini, anda pasti mahu melihat monster-monster hebat lain untuk tiba kerana kemunculan Lunastra sahaja tidak cukup untuk membuatkannya dipanggil sebagai filem animasi hebat. Sinematografi filem juga tidak terlalu berat, jadi anda boleh menonton Monster Hunter: Legends of the Guild bersama ahli keluarga dan pasangan di malam minggu.

Sampai di sini sahaja ulasan saya mengenai filem ini! Jika berminat, anda boleh sahaja menonton Monster Hunter: Legends of the Guild di Netflix sekarang! Anda juga boleh membaca ulasan kami mengenai animasi Netflix lain seperti Godzilla Singular Point dan Mobile Suit Gundam: Hathaway.
@gamersantaimy
The Review
Monster Hunter: Legend of the Guild
Sesuai untuk mereka bukan dari kalangan peminat Monster Hunter dan penonton yang ingin menonton cerita ringan serta tidak begitu rumit. Boleh ditonton bersama ahli keluarga dan pasangan di malam minggu.
PROS
- Sinematografik tidak terlalu berat
- Mudah untuk difahami walaupun bukan seorang peminat tegar Monster Hunter
CONS
- Kurang adegan pertarungan bersama Monster
- Watak utama kurang berfungsi dalam filem ini
Review Breakdown
-
Sesuai untuk mereka bukan dari kalangan peminat Monster Hunter dan penonton yang ingin menonton cerita ringan serta tidak begitu rumit. Boleh ditonton bersama ahli keluarga dan pasangan di malam minggu.
Discussion about this post