Dari manga ke anime ke game dan sebagainya, francais Gundam telah wujud di setiap jenis platform dan media. Kini tampil dengan game baru yang dibangunkan oleh B.B. Studio dan diterbitkan oleh Bandai Namco, ini adalah review (lewat) saya untuk Mobile Suit Gundam Battle Operation: Code Fairy!

Bagi mereka yang tidak tahu, Code Fairy adalah game “single-player adventure ” yang terdiri daripada tiga jilid berbentuk episod. Mengandungi adegan anime dan aksi tempur mecha vs mecha, Code Fairy mempunyai gameplay berdasarkan game engine Mobile Suit Gundam: Battle Operation 2, serta menyokong “cross-game content”, di mana pemain yang memiliki kedua-dua Code Fairy dan Battle Operation 2 boleh unlock kandungan eksklusif apabila maju dalam cerita.
Naratif dan latar belakang

Dengan perubahan kepada naratif, Code Fairy menceritakan perspektif Principality of Zeon dalam garis masa “One Year War” dan bermula dengan Alma Striner (watak utama) yang diperkenalkan kepada divisi tentera bernama Noisy Fairy. Ini adalah skuad wanita yang diasaskan oleh Kycilia Zabi, dengan Killy Garrett sebagai ketua. Di bawah pimpinannya adalah:
- Mia Brinkmann
- Helena Hegel
- Irmela Gruber
- Barbara Hahil
- dan Alma yang akan dikawal oleh pemain.

Berdasarkan naratif, Code Fairy mempersembahkan cerita baru yang masih terikat dengan dunia Gundam, terutamanya “One Year War”. Saya menganggap diri hanyalah peminat Gundam “biasa” yang tidak mengetahui secara mendalam tentang apa yang berlaku dalam keseluruhan naratif francais. Oleh itu, pendapat saya adalah ceritanya sangat mudah diakses oleh pendatang baru serta peminat tegar.
Code Fairy dibahagikan kepada bab-bab di mana setiap jilid atau “Volume” dibahagikan kepada lima bahagian (jumlah total 15). Memandangkan Volume 2 sudah keluar, saya hanya akan bercakap tentang peristiwa di Volume 1. Pada asasnya, kita boleh anggap Volume 1 sebagai pengenalan, di mana setiap bab menampilkan tutorial mengenai mekanik permainan.

Saya tidak tahu jika anda semua boleh faham tetapi Code Fairy hampir sama seperti game Sakura Wars (2019). Jika dipandang dari satu perspektif, ia seperti anime yang boleh anda bermain. Dengan format episod siap lengkap dengan lagu pembukaan dan penutup, kami mempunyai adegan animasi> bahagian dialog > bahagian customization > bahagian pertarungan > adegan animasi untuk tutup bab > ulang.
Kembali ke topik asal, kami akan mengikuti Alma Stilner, ketika dia memimpin medan perang sambil menghadapi beberapa masalah peribadi sebagai ketua skuad. Pada masa yang sama, pasukan Earth Federation akan menjadi halangan terutamanya Lilith Aidan yang akan kita lawan dalam “Boss Fight” di penghujung Vol 1. Dengan mengikuti naratif, kisah-kisah tertentu dari keseluruhan Gundam Universe akan disebut. Sebagai contoh: Killy dan Barbara akan bercakap tentang unsur-unsur politik yang berlaku di antara Federation dan Zeon, kematian Garma Zabi akan dinyatakan, dan ada seorang “newtype” dalam Noisy Fairy.

Jenis rujukan ini hanya berfungsi sebagai bukti bahawa Code Fairy wujud dalam garis masa “One Year War”. Bagi mereka yang benar-benar tidak tahu apa yang berlaku, itu tidak mengapa dan tidak akan merosakkan keseronokan anda. Bagi peminat tegar, anda pasti akan menyukainya kerana game ini penuh dengan rujukan dan easter egg di mana korang pasti akan faham apa yang berlaku. Memandangkan ini adalah game single-player, elemen teras pastinya adalah jalan cerita. Buat masa ini, Volume 1 lebih kepada pengenalan dan memberi “hint” bahawa lebih banyak perkara menarik akan datang.

Apa yang kurang ialah mungkin animasi 3D dan visualnya mungkin tidak begitu bagus di mata beberapa orang. Apa yang boleh saya katakan ialah model watak kelihatan sedikit seperti grafik dari era PS2/PS3 manakala beberapa bahagian animasi 3D amat kekok dan terasa robotik. Namun, animasi 2D-nya memang lawa dan seakan-akan anime!
Gameplay asas

Mekanik permainan sebenarnya sama seperti Mobile Suit Gundam Battle Operation 2 buat sesiapa yang pernah main. Memang sangat perlahan, Code Fairy memerlukan kita berfikir dengan lebih taktikal daripada menyerang secara membuta tuli.
Kita hanya boleh menggunakan Alma manakala watak lain akan dikawal oleh AI. Di samping itu, setiap Mobile Suit (MS) mempunyai satu senjata utama, satu senjata jarak dekat dan sekumpulan sub-senjata. Sebelum memulakan misi, kita boleh “sortie” (customize) setiap MS ini dan juga rakan sepasukan.

Dalam setiap episod, ada pelbagai objektif yang terdiri daripada mengalahkan tentera musuh menggunakan sistem kelemahan bernama Rock-Paper-Scissors (akan saya terangkan di bawah). Pada masa yang sama, setiap peta juga mempunyai misi sampingan yang akan memberi kami EXP dan peralatan baru. Untuk sesiapa yang fikir misinya bervariasi, anda silap. Game ini dengan mudah menjadi repetitif.
Sepanjang durasi misi, kita boleh menangkap Beacon yang merupakan alat penting untuk memenangi pertempuran. Beacon boleh digunakan untuk seru balik rakan sekutu jika MS mereka dimusnahkan dan membaiki MS kami. Tetapi untuk menangkap sesebuah Beacon, anda perlu keluar dari MS dan menggunakan Alma. Pastikan kawasan sekeliling tiada musuh kerana jika tidak, kamu pasti akan mati ditembak.
Sistem Rock-Paper-Scissors

Terdapat beberapa jenis Mobile Suit yang terdiri daripada Raid, General dan Support. Setiap jenis mempunyai kelemahan tertentu dan dibentuk seperti ini: Raid > Support > General > Raid. Memahami sistem ini juga sama penting untuk melakukan damage maksimum dan tidak membazirkan peluru. Makin lama, anda akan mendapat akses kepada jenis MS lain yang akan membantu dalam jangka masa panjang.
Mekanik dalam pertempuran

Seperti yang saya katakan di atas, ini bukan game di mana anda boleh sesuka hati spam kombo. Termasuk cooldown dan tempoh reload bagi setiap senjata (jarak dan melee), semuanya memakan masa. Malah pergerakan MS pun terasa terhad kerana mengelak dan dash boleh membuatkan MS kami “overheat”.
Anda perlu belajar untuk tidak spam pada butang serang dan hanya menyerang pada masa yang sesuai. Di samping itu, kita juga boleh menukar jenis senjata untuk sambung melakukan damage sambil menunggu cooldown tamat. Ini menjadikan pertarungan dalam Code Fairy agak lama, kerana setiap pergerakan perlu berhati-hati. Bagi mereka yang inginkan game Gundam yang “fast-paced”, ini bukan untuk anda. Buat pemain baru yang masih ingin cuba, anda mungkin akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri kepada sistem tetapi pemain veteran pasti suka kerana ia menambah sedikit realisme. Jika saya mengawal sebuah MS, saya yakin beginilah rasanya.

Apa yang membezakan Code Fairy dan Battle Operation 2 (selain naratif) adalah setiap Pilot kini mempunyai abiliti istimewa yang boleh mereka gunakan dalam pertempuran. Contohnya, Alma boleh meningkatkan kelajuan, perisai dan kelajuan cooldown untuk tempoh masa terhad manakala Mia boleh memulihkan 30% HP untuk semua anggota parti. Lebih banyak kemahiran akan dibuka apabila Pilot naik level dan meningkatkan statistik mereka.
Sistem Customization dan senjata

Sepanjang masa bermain, anda akan diberi ganjaran dalam bentuk item yang boleh digunakan untuk meningkatkan MS atau senjata. Item ini mempunyai banyak faedah seperti meningkatkan damage untuk serangan jarak dekat dan jarak jauh, meningkatkan defense, memberikan lebih banyak HP dan sebagainya. Untuk mendapatkan item yang lebih baik, kita sentiasa perlu cuba dapatkan S Rank dalam misi. Jika dapat melakukannya, ganjaran akan bertambah baik untuk menguatkan MS kita.
AI sebenarnya agak bijak

Anggota parti kita dikawal oleh AI, tetapi seperti yang awak semua tahu.. kebanyakan AI tidak begitu pandai. Yang mengejutkan saya adalah sistem AI dalam Code Fairy sebenarnya tidak begitu bodoh dan agak bijak. Selalunya, AI dalam Code Fairy dapat bertindak balas kepada situasi mengikut apa yang saya mahukan di mana saya boleh mengarahkan mereka untuk menyerang sasaran lemah dengan menekan “O”.
Jika dilakukan dengan betul, anda boleh melancarkan “Chain Attack” yang memberikan output damage lebih tinggi.
Aspek replayability lain

Code Fairy mempunyai mode Simulator yang mengandungi tiga mode berbeza:
- Situation: Pemain harus menyelesaikan pelbagai misi seperti Time Attack, Survival dan Battle System: Infantry. Selepas menyelesaikan misi, anda akan unlock beberapa bahagian atau peralatan untuk menguatkan lagi MS.
- Cost Team: Pertarungan ala-ala Team Deathmatch di mana pasukan dengan mata terbanyak akan menang. Hati-hati kerana setiap MS mempunyai kos tertentu (lebih kuat MS tersebut, lebih tinggi kosnya).
- Training: Tutorial sama yang terdapat dalam Story Mode.

Jika sudah selesai dengan Story Mode, maka Simulator Mode mungkin satu-satunya sebab korang akan kembali bermain kerana hanya mode ini sahaja yang kami boleh menggunakan pelbagai MS (sesetengah MS tidak boleh digunakan dalam jalan cerita dan hanya boleh digunakan dalam Simulator).
Pendapat

Secara keseluruhan untuk review ini, saya boleh katakan bahawa jalan cerita dalam Code Fairy boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja, sama ada mereka baru mengenali francais mahupun peminat lama. Masalahnya.. gameplay-nya agak “niche” sebab rentak terlalu perlahan dan mengharuskan kita untuk berfikir lebih taktikal. Oleh sebab itu, Code Fairy hanya akan menarik minat sekumpulan kecil orang sahaja, khususnya peminat Gundam.
Cerita ini menunjukkan banyak potensi dengan “nada yang lebih gembira” bersama sekumpulan watak baru yang mudah disukai tetapi disertakan dengan gameplay yang kurang menarik. Saya tidak ingin memberi komen yang terlalu buruk kerana ini lebih kepada minat individu tetapi selain itu, semuanya bagus. Anggap saja Code Fairy sebagai game anime biasa tetapi dengan sedikit genre taktikal.

Maka, tamatlah review saya untuk Gundam Battle Operation Code Fairy yang kini boleh didapati di PlayStation 4 dan 5. Volume 1 dan 2 sudah tersedia manakala Volume 3 akan tiba pada 3 Disember nanti. Untuk segala liputan kami tentang francais Gundam, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Mobile Suit Gundam Battle Operation: Code Fairy
Cerita ini menunjukkan banyak potensi dengan "nada yang lebih gembira" bersama sekumpulan watak baru yang mudah disukai tetapi disertakan dengan gameplay yang kurang menarik untuk pemain baru.
PROS
- Kisah baru yang meletakkan perspektif lain kepada francais dengan watak yang mudah disukai
- Sistem pertempuran kompleks yang menambah lapisan baru pada pertarungan Gundam
CONS
- Secara visual, ia kelihatan ketinggalan zaman
- Gameplay tidak begitu mesra dan mungkin tidak menarik perhatian orang ramai
Discussion about this post