SEGA terkenal dengan barisan permainan seperti siri Yakuza dari pembangun Ryu Ga Gotoku, yang juga membangunkan permainan penyiasatan Judgment. Sekuel Judgment iaitu Lost Judgment telah dilancarkan 24 September lalu di beberapa platform seperti PS4, PS5, Xbox One dan Xbox Series X|S. Anda boleh dapatkan permainan ini di laman web SEGA. Mari kita lihat perkara baru yang tersedia dalam sekuel terbaru ini!
Kisah Lost Judgment
Permainan ini berlangsung selepas peristiwa yang berlaku dalam Judgment, di mana watak utama, Takayuki Yagami bersama rakannya Masaharu Kaito masih menerima kerja sebagai detektif persendirian di Kamurocho. Suatu hari mereka menerima panggilan dari Fumiya Sugiura dan Makoto Tsukumo yang sudah membuka agensi detektif mereka sendiri di Yokohama dan memerlukan bantuan dengan kes buli di Seiryo High School.
Ia nampak seperti kisah detektif yang biasa tetapi kes ini sebenarnya lebih besar dari apa yang mereka jangkakan. Yagami dan rakan-rakannya berakhir dengan misteri yang lebih besar kerana mereka secara tidak sengaja terlibat dengan kes pembunuhan kejam yang menjadikan Akihiro Ehara, seorang bekas pegawai kanan juga dituduh melakukan gangguan seksual, sebagai suspek utama kes itu.

Tema cerita Lost Judgment masih sama dengan permainan sebelumnya iaitu mencari keadilan atau kebenaran dan bukannnya hanya mengikut undang-undang secara membuta tuli. Berbanding dengan permainan pertama, dimana anda terus terlibat dengan kes pembunuhan bersiri, kisah Lost Judgment sebenarnya tidak begitu menarik dan nampak biasa sahaja. Walaupun begitu, permainan ini telah memperkenalkan gameplay dengan baik dan tambahan tempat baru seperti Yokohama.
Saya rasa seronok apabila cuba menangani kes buli ini kerana ia mengingatkan saya pada Great Teacher Onizuka, di mana anda seorang gangster yang pandai bertarung malah seorang cikgu yang kena menguruskan pelajar nakal di sekolah. Ini membuatkan saya ingin melihat Ryu Ga Gotoku membuat permainan GTO.
Yokohama
Yokohama adalah kawasan baru di luar Kamurocho yang akan menjadi tempat bermain baru untuk anda. Kawasannya lebih besar berbanding Kamurocho yang menjadikan penjelajahan lebih menarik kerana ada lebih banyak tempat untuk dikunjungi. Anda boleh menggunakan skateboard atau gunakan khidmat teksi untuk pergi ke lokasi berbeza dengan mudah.

Meneroka kawasan sekitar Yokohama sememangnya menyeronokkan dari Kamurocho yang terasa lebih sesak. Walaupun begitu, saya banyak kali ditipu dengan dinding halimunan yang terdapat di Yokohama. Ini kerana kawasan itu nampak seperti boleh dijelajahi tetapi anda tidak boleh mengaksesnya.
Anda mungkin akan berjumpa dengan watak tertentu yang mempunyai ikon merah atau ungu atas kepala mereka. Watak itu merupakan samseng yang berlegar di kawasan itu dan akan berlawan dengan anda tanpa sebab. Anda boleh melawan mereka untuk mendapatkan SP atau item. Kadang-kadang akan muncul watak yang mempunyai health yang lebih tinggi yang menunjukkan mereka sebagai bos mini. Oleh itu, jika anda bermain dengan kesukaran tinggi, anda perlu kerap menyimpan item recovery dan gunakan aplikasi Skill untuk upgrade diri anda.

Yokohama juga dipenuhi dengan begitu banyak kemudahan seperti kedai serbaneka, tempat makan malam, atau arked. Anda dapat menjimatkan masa jika anda hafal kedudukan tempat-tempat ini kerana anda boleh pergi ke lokasi pilihan tanpa perlu memeriksa peta.
Gaya pertempuran
Pertempuran dalam Lost Judgment sama seperti permainan pertama tetapi ia mempunyai lebih banyak variasi! Malah soundtrack untuk setiap gaya juga berbeza. Yagami yang pandai berkung-fu, mempunyai tiga gaya pertempuran yang berbeza seperti berikut:
Crane: Ia merupakan gaya yang berfokuskan crowd control dan mobiliti. Serangan Yagami akan menjadi lebih luas dan dapat menyerang ramai musuh sekaligus.Dia juga dapat mengelak secara berturut-turut dan dapat combo dengan serangan udara dengan Sky Dancer. Ia merupakan pergerakan mengelak baru. Jika anda membuka skill baru, anda boleh gabungkan Sky Dancer dengan special attack dan juga menggunakan aksi EX.

Tiger: Tiger adalah gaya yang lebih seimbang dengan pelbagai gerakan ofensif, defensif, dan mengelak yang lebih fokus ketika anda bertarung dengan seorang musuh. Ianya sangat sesuai digunakan apabila melawan bos. Gaya ini dapat memberikan banyak damage selepas menggunakan Rush Combo. Ia juga mampu membuat musuh terbang seketika atau memecahkan pertahanan mereka.

Snake: Ia merupakan gaya pertempuran baru yang ditambahkan dalam permainan ini. Gaya ini berfokuskan pada serangan pantas dan serangan balas. Ia sangat sesuai untuk mereka yang membawa senjata. Snake agak perlahan untuk digunakan tetapi mempunyai pertahanan yang tinggi. Saya suka menggunakan gaya ini dan lebih menarik lagi soundtracknya sungguh hebat!

Secara ringkasnya, anda boleh menukar gaya pertempuran dengan mudah untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza. Contohnya menggunakan Crane ketika melawan sekumpulan besar musuh, Tiger ketika anda hanya fokus melawan seorang musuh atau bos yang kuat, atau Snake untuk melucuti senjata atau melawan musuh dengan serangan kuat seperti Wing Chun master.
EX Action & EX Boost – Semasa dalam pertempuran, anda boleh mengisi EX gauge yang membolehkan anda melakukan teknik bergaya dalam pelbagai situasi. Ia lebih kuat daripada serangan biasa anda dan memberikan damage tinggi kepada bos. Terdapat juga mod khas yang dipanggil EX Boost yang perlahan-lahan menggunakan EX Gauge apabila dicas sepenuhnya. EX Boost adalah mod power-up yang meningkatkan kelajuan serangan anda dan menyerap damage musuh. Tetapi anda hanya dapat melakukan EX Action tertentu ketika EX Boost aktif.

Sejujurnya saya masih suka dengan gaya pertempuran ini mungkin kerana prestasi PS5 yang memberikan frame rate lebih baik, membuatkan pertempurannya lebih lancar dan responsif. Ia masih sama dengan Judgment tetapi variasi baru seperti Snake dan EX Action baru membuatkannya kelihatan jauh lebih hebat daripada permainan pertama.
Anda akan mempunyai banyak Skill Point (SP) yang penting untuk menaikkan kemampuan Yagami. Jadi, jangan lupa untuk memeriksa Skill Tree anda dari telefon pintar. Bukan itu sahaja, anda juga boleh memakai Gear yang berfungsi seperti armor untuk meningkatkan status watak.
Mod Detektif Lost Judgment
Lost Judgment merupakan permainan detektif, jadi anda boleh mengharapkan banyak penyiasatan dan penyelesaian misteri sepanjang permainan. Sejujurnya, Judgment yang pertama tidak kendalikan bahagian ini dengan baik yang membuatkan saya cepat bosan dengan permainannya.

Salah satu contoh terbaik adalah tailing mission, di mana sasaran yang anda ikuti nampak seperti sesat dan bermain-main dengan anda. Tetapi di Lost Judgment, tailing mission ditangani dengan lebih baik malah tambahan seperti “Acting Casual” membuatkan anda tidak perlu lari atau berlindung apabila dikesan sasaran.
Selain tailing, berikut adalah beberapa perkara lain yang anda lakukan sebagai detektif:
- Photo Missions: Ini adalah penyiasatan di mana anda perlu menangkap foto pada waktu yang tepat untuk dijadikan bukti. Setiap misi mempunyai syarat yang mesti anda penuhi, seperti mengambil gambar dari sudut yang sempurna dan fokus yang tepat.
- Search Mode: Ini adalah mod di mana kamera akan beralih menjadi perspektif first person supaya anda dapat menyiasat beberapa perkara dengan dekat. Ia merupakan mod yang paling tidak disukai oleh saya kerana anda tidak dapat keluar dari mod ini tanpa mencari semua butiran yang diperlukan. Bukan itu sahaja, anda akan sering zoom in untuk mencari butiran terperinci.
- Search Target: Sama seperti Search Mode tetapi anda akan mencari sasaran tertentu dengan memadankan perincian wajah mereka dengan perincian yang anda dapat. Mod ini jauh lebih mudah, kerana anda hanya perlu mencari NPC dan dapat menjumpai sasaran anda tanpa perlu memeriksanya dengan dekat.
- Chase: Kadang-kadang anda harus mengejar dan menangkap sasaran yang melarikan diri. Semasa segmen ini, anda akan mengejar sasaran secara automatik dan cuba mendekati mereka dengan mengelak halangan. Beberapa elemen juga telah ditambah membuatkan anda dapat bergerak lebih baik di ruang yang sempit. Anda juga akan terpisah dengan dengan sasaran anda dan perlu memilih jalan yang betul untuk mengejar mereka. Jika salah permainan akan berakhir.
- Lock Picking: Skill ini tidak penting untuk seorang detektif tetapi ianya tersedia dalam permainan ini. Anda boleh membuka kunci pintu dengan menggunakan pick untuk mendorong setiap pin ke atas dengan perlahan sehingga semuanya sejajar dengan sempurna. Pada mulanya ia mudah tetapi dia menjadi lebih mencabar lagi-lagi bila ada had masa.
- Sneaking Around: Ini adalah elemen permainan baru di mana anda dapat menyelinap untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh. Sejujurnya, ia sangat senang kerana permainan ini banyak memberi tahu tempat berlindung atau masa yang tepat untuk anda mengalihkan perhatian pengawal dengan membaling syiling atau melemparkan bom asap. Ia memang benda baru yang membuatkan permainan ini lebih bagus dari permainan pertama.
- Parkour: Tambahan lain yang menarik untuk bahagian penyiasatan adalah parkour, di mana anda boleh memanjat barang seperti paip dan bingkai keluli. Parkour sering berpusat di sekitar menyelinap atau mencapai tempat yang sukar diakses. Terdapat meter pegangan setiap kali anda melakukan parkour, jadi awasi kerana anda boleh jatuh dan kehilangan banyak HP, yang akhirnya memaksa anda mengambil jalan jauh hanya untuk kembali ke tempat asal.
- Disguises: Kadang kala anda juga perlu menyembunyikan identiti anda dengan menyamar. Segmen ini terikat dengan cerita, di mana anda pada asasnya perlu menyusup ke pelbagai tempat untuk mengumpulkan maklumat tanpa terperangkap.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, bahagian penyiasatan dalam permainan ini ditangani dengan lebih baik dan lebih menyeronokkan daripada Judgment yang asal. Terdapat pelbagai mekanik baru seperti sneak dan parkour yang menyemarakkan permainan. Terdapat juga Drone, Noise Amp dan anjing detektif yang memudahkan penyiasatan anda.
Kembali ke sekolah
Mengikuti kes pertama, Yagami dan rakan detektifnya akan segera menangani kes besar di Seiryo High School. Saya sangat menyukai bahagian ini kerana kebanyakan siasatan anda akan berlaku di sekolah seperti mengintip pembuli dan menyiasat kes pembunuhan yang entah bagaimana berkaitan dengan pelajar di sana. Bagi saya, “School stories” merupakan bahagian yang paling saya suka kerana ia seperti mengimbau kembali zaman sekolah.
Bahagian utama dari School Stories adalah menghentikan kegiatan delinquent sekolah di mana Yagami mesti menyusup sub-komuniti dalam sekolah itu. “Komuniti” boleh dikatakan sama dengan kelab sekolah, di mana anda boleh melakukan aktiviti yang menyeronokkan seperti menari dengan gerakan kung fu, mengambil bahagian dalam pertandingan robotik yang serupa dengan Crush Gear, dan banyak lagi.

School stories lebih menyeronokkan bagi saya sampai kadang-kadang saya lupa apa permainan sebenar Lost Judgment. Begitu hebatnya cerita sampingan yang dibangunkan oleh Ryu Ga Gotoku. Semakin anda melakukan School Stories, “Leadership” Yagami akan lebih meningkat dan membolehkannya mengambil bahagian dalam lebih banyak aktiviti. School Stories juga terikat dengan pelbagai keadaan dan masa, jadi jika anda tidak menghabiskan satu cerita, anda mungkin akan membuka cerita lain. Jadi lebih elok jika anda membuat pelbagai jenis cerita pada masa yang sama.

Bukan setakat itu, School Stories juga terdiri daripada babak cerita yang berbeza, di mana Yagami yang mengambil peranan baru sebagai penasihat untuk Mystery Research Club (MRC) mesti menyiasat kes lain mengenai orang yang mencurigakan yang mengganggu kehidupan sekolah Seiryo yang dipanggil “Professor”. Yang paling saya gemari tentang School Stories adalah bagaimana permainan ini berkait menjadi satu cerita. Oleh itu, bukan sahaja anda dapat menikmati permainan yang sama seperti cerita utama, di mana anda menyiasat dan bertarung malah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kelab untuk mencapai kemajuan. Yagami memerlukan kepercayaan daripada ahli di kelab yang berbeza sebelum mereka dapat menerima dan memberikan lebih maklumat untuk membantu kes utama.
Permainan mini
Setiap permainan Ryu Ga Gotoku tanpa permainan mini untuk anda mainkan sebelum menyambung misi seterusnya. Saya hanya main sedikit sahaja daripadanya dan dapat mengenal pasti permainan tradisional dan permainan arcade yang tersedia. Antara permainan tradisional tersedia dalam Lost Judgment ialah Mahjong, Batting Center, Shogi, Drone League, Paradise VR, dan Casino. Untuk permainan arcade pula, anda boleh memainkan beberapa permainan digital seperti Fantasy Zone hingga Secret Commando. Malah ada permainan mini bonus yang anda boleh dapati dengan membeli DLC. Anda boleh lihat senara permainan arcade di pautan ini.

Walaupun permainan mini ini menyeronokkan, saya tidak begitu peduli tentangnya dan fokus pada kisah dan kes sampingan. Saya rasa School Stories lebih menarik kerana ia mempunyai kisah mereka sendiri.
Prestasi Lost Judgment di PS5
Masalah terbesar saya dengan versi Judgment PS4 sudah semestinya masa loading yang lama. Tetapi masalah ini hilang ketika saya bermain versi remaster di PS5, jadi anda boleh rasa peningkatan terbaru ini ada dalam sekuel baru ini. Secara visual, jelas kelihatan lebih baik dan lebih realistik pada kesan pencahayaan berbanding versi PS4, tetapi jika dibandingkan dengan versi PS5 permainan pertama, ia kelihatan seperti permainan yang sama walaupun ianya berbeza.

Salah satu peningkatan yang terbaik bagi saya adalah prestasi, di mana anda boleh bermain dengan resolusi terbaik dan 60fps yang konsisten di PS5. Fps yang lebih tinggi memberi banyak kesan kepada keseronokan saya secara keseluruhan, kerana pertempuran terasa lebih responsif dan lebih lancar.
Dan benda terbaik yang ada ialah masa loading yang sangat pantas. Saya juga menghargai mereka kerana memberikan pilihan untuk memindahkan save data dari versi PS4, yang merupakan masalah yang masih melanda permainan seperti Judgment Remastered dan Yakuza: Like A Dragon.
Kesimpulan
Dari luar Lost Judgment mungkin kelihatan seperti DLC yang diperbaharui, tetapi ia adalah sekuel yang membawa banyak peningkatan yang benar-benar membuat pengalaman bermain lebih seronok. Terdapat banyak variasi permainan dan ciri, di mana anda boleh melakukan perkara yang lebih menarik. Penambahan Yokohama sebagai tempat baru juga memperluas tempat bermain anda dengan ketara. Tidak kiralah untuk cerita atau gameplay, anda tidak lagi terperangkap di satu kawasan yang kecil. Sejujurnya semuanya hanyalah peningkatan, bahkan gameplay yang sudah ada sebelumnya disempurnakan, seperti misi tailing yang kadang-kadang sangat membosankan.

Tetapi satu sahaja benda yang mengecewakan saya iaitu ceritanya. Ia masih mempunyai plot yang bagus tetapi memerlukan masa yang lama sebelum aksi bermula dan tidak seronok seperti permainan sebelumnya. Salah satu sebabnya mungkin kerana saya sudah kenal dengan beberapa watak utama, jadi pengalaman bermain tidak seperti yang disangkakan. Ia juga merangkumi perincian kecil seperti bagaimana setiap watak masih mempunyai reka bentuk kostum dan perincian wajah yang sama. Tetapi saya suka bagaimana Lost Judgment tidak terlalu bergantung pada plot permainan pertama, jadi sesiapa yang belum bermain Judgment tidak akan ketinggalan.
@gamersantaimy
The Review
PROS
- Cerita yang bagus untuk pemain baru
- Penambahbaikan yang banyak pada gameplay dan ciri utama
- Lebih banyak kandungan dan kawasan utama baru untuk diterokai
- School Stories yang sangat menyeronokkan
- Prestasi yang mantap di PS5 dengan sokongan cross-save
CONS
- Plot utama tidak menarik seperti permainan pertama
- Dialog watak boleh berlarutan terlalu lama
Discussion about this post