Mesti lagi bersemangatkan bila dapat bersenam sambil ditemani Digimon? Bandai kini telah melancarkan jam fitness tracker mereka sendiri, iaitu Digimon Vital Bracelet yang boleh memantau kesihatan dan memotivasikan pengguna untuk lebih kerap bersenam sambil melatih Digimon.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Impulse Gaming kerana telah memberikan saya peluang untuk mencuba Vital Bracelet yang sangat cool ini. Anda boleh membaca ulasan pandangan pertama saya menggunakan Vital Bracelet dengan menekan pautan ini.
Saya telah mencuba bracelet ini dalam rutin harian saya selama seminggu. Disamping itu, saya dapat rasakan perbezaan yang ketara dari segi kesihatan dan kecergasan kerana bersenam sambil bermain Digimon didalamnya. Jadi tanpa berlengah lagi, ini adalah review penuh saya sepanjang menggunakan Digimon Vital Bracelet.
Fungsi bracelet dan cara bermain Digimon
Digimon Vital Bracelet berfungsi seperti Tamagotchi dan V-Pets, di mana pengguna bracelet perlu menjaga dan membesarkan Digimon mereka. Cara menjaga Digimon agak mudah di bracelet ini berbanding kebanyakan simulator V-Pet yang lain, kerana tiada lagi sistem pooping di dalam mekanisme permainan.
Seterusnya, Digimon juga tidak lagi mempunyai jangka hayat, kecuali ianya akan mati jika kalah dalam pertarungan secara berturut-turut, atau pengguna berhenti menggunakan bracelet selama seharian. Dengan penjagaan Digimon yang betul, ianya dapat membantu pengguna mengumpul setiap Digimon dan boleh disimpan dengan selamat dalam aplikasi.
Pengguna bracelet perlu sentiasa berinteraksi bersama Digimon mereka dengan melakukan misi dan perlawanan. Permainan ini berjaya memberikan saya pengalaman bersenam lain dari yang biasa. Semasa melakukan Adv mission, pengguna perlu melakukan beberapa langkah senaman yang hardcore. Disebabkan Digimon tidak mempunyai jangka hayat, saya boleh bersenam dan tingkatkannya mengikut kemampuan saya sendiri. Kelebihan ini memberikan saya motivasi untuk bersenam lebih kerap.
Setiap Digimon mempunyai statistik tertentu, iaitu DP, HP dan AP. Saya telah memilih kad Dim Ancient Warrior yang mengandungi data Veemon. Hasil dari senaman dan latihan yang saya buat, saya berjaya membawa GoldVeedramon ke peringkat Ultimate. Sayangnya, ia memiliki statistik yang rendah dari Veedramon. Mengikut statistik saya, Veedramon mempunyai kadar kemenangan 80%+ berbanding GoldVeedramon yang mempunyai 60%+ sahaja. Tidak dinafikan juga, semasa Adv mission, GoldVeeDramon kadangkala tewas menentang Digimon peringkat Champion.
Juga, setiap Digimon mempunyai 15 tahap Adv yang berbeza perlu diselesaikan, dimana setiap satu menampilkan musuh Digimon yang berbeza. Saya perasan dimana hanya Digimon yang terkandung dalam kad Dim yang sama akan menjadi musuh. Sebagai contoh, Veemon tidak akan berlawan dengan Agumon atau salah satu dari Digivolution-nya, tetapi akan berlawan dengan Veemon serta Digivolution-nya yang lain sebagai musuh. Dari sini saya dah boleh mengagak musuh apa yang akan saya lawan.
Bermain Digimon dalam Vital Bracelet
Kini, terdapat 79 Digimon yang tersedia dalam permainan dengan lebih banyak lagi yang akan datang dalam kad Dim. Vital Bracelet juga menandakan debut Digimon yang baru dalam francais, seperti Pulsemon.
Bagi saya, semua Digimon di Vital Bracelet ini mempunyai sprite yang comel dan menarik, seperti idle, tidur dan bersenam. Sprite berwarna nampak lebih ekspresif dari simulator peliharaan lain yang ada di pasaran. Selain itu, saya rasa agak seronok semasa mengumpul Digimon baru. Tambahan pula, sambil mengumpulkan Vital Points, saya juga dapat melakukan senaman yang boleh mengeluarkan peluh.
Untuk memastikan rutin harian saya tidak diganggu Digimon dalam bracelet ini, saya telah menyesuaikan tetapan masa Vital Bracelet supaya mereka akan tidur semasa saya melakukan kerja. Digimon biasanya akan tidur sekitar 12 jam, jadi penting untuk setkan ketika waktu Digimon anda aktif kerana ia adalah masa yang sesuai anda boleh bersenam.
Selain itu, Digimon anda akan melalui pelbagai peringkat semasa jangka hayat mereka yang bermula dari bentuk baby sehingga bentuk Mega. Semasa di peringkat Rookie hingga Ultimate, Digimon anda akan Digivolve setelah beberapa jam (tidak termasuk waktu tidur mereka) bergantung kepada jumlah Vital Point, Trophy, Battles Win dan peratus Win Rate.
Jogress atau DNA Digivolution juga ciri yang terdapat dalam Digimon Vital Bracelet. Buat masa ini, cuma Wargreymon dan MetalGarurumon, serta versi Black mereka yang boleh DNA Digivolve ke Omnimon dan Omnimon Zwart. Dengan lebih banyak Digimon yang akan datang, pemain pastinya mengharapkan lebih banyak variasi DNA Digivolve yang tersedia nanti.
Menariknya tentang Digivolution di bracelet ini ialah pengguna boleh membatalkan Digivolution Digimon mereka. Ianya suatu peningkatan yang sangat baik kerana pemain boleh memilih untuk membiarkan Digimon mereka Digivolve atau kekal di peringkat itu. Bagi pemain lain, mungkin mereka akan memilih untuk Digivolution secara semula jadi supaya pemain boleh mendapat Digimon tertentu.
Vital Bracelet membantu memberi motivasi
Sebagai sebuah peranti kecergasan, Vital Bracelet mampu mengesan dan mengukur langkah serta degupan jantung penggunanya. Bracelet ini bukanlah fitness tracker yang tepat kerana ia akan tetap mengukur langkah penggunanya walaupun sedang memandu. Namun bagi saya, bracelet simulator pemeliharaan ini sangat mesra-permainan walaupun tidak dapat mengukur jumlah langkah harian saya dengan tepat.
Dari segi jangka hayat bateri, Vital Bracelet ini agak singkat kerana ia mampu bertahan lebih kurang 18 jam sahaja. Jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan fitness tracker lain yang mampu untuk bertahan selama hampir seminggu tanpa perlu dicas. Untuk mengecas bracelet anda sepenuhnya, Bandai mengesyorkan pengecasan selama 4 jam menggunakan mikro USB kerana Vital Bracelet tidak sesuai untuk dicas menggunakan pengecas pantas. Pengguna bracelet dibekalkan kabel pengecas pendek yang disertakan dalam kotak Digimon Vital Bracelet.
Pada ciri fizikal Vital Bracelet, terdapat dua butang iaitu butang atas yang berfungsi untuk memilih pilihan seterusnya, dan butang bawah berfungsi untuk mengesahkan atau membatalkan pilihan. Pemain boleh membatalkan pilihan mereka dengan menekan butang bawah selama beberapa saat. Menu di skrin bracelet mudah untuk difahami kerana ia menggunakan ikon, simbol dan perkataan bahasa Inggeris yang mudah. Perkataan Jepun di antara muka bracelet hanya pada nama Digimon anda dan tahap Digivolutionnya.
Tambahan pula, Vital Bracelet dibuat tidak kalis air atau tahan debu. Bandai mencadangkan pengguna bracelet untuk membuka gelang jika ingin mencuci tangan. Bracelet tidak akan mengalami masalah jika ia terkena peluh dan tidak akan terus rosak jika tidak tenggelam sepenuhnya ke dalam air ataupun terjatuh ke dalam jamban.
Vital Bracelet ini seperti jam tangan biasa yang selesa dipakai. Tetapi harus diingatkan, pengguna perlu sedikit berjaga-jaga semasa memakai bracelet ini. Aktiviti fizikal yang kasar perlu dielakkan bagi menjaga badan belakang bracelet terutamanya kerana ia mudah tercalar. Saya mencadangkan anda untuk memasang pelindung skrin (ianya dijual berasingan dan akan datang pada bulan Ogos nanti) dan fitness tape pada Vital bracelet.
Selain dari penjagaan yang cermat, salah satu aspek yang agak kurang memuaskan bagi saya terhadap Vital Bracelet adalah saya perlu menetapkan semula tetapan masa dan tarikh setiap kali menghidupkan semula bracelet saya. Nasib baiklah bracelet ini tetap menyimpan data Digimon saya dan Digivolution-nya, walaupun agak leceh untuk saya tetapkan semula tetapan pada bracelet ini.
Sokongan dari applikasi Vital Lab
Untuk pengetahuan pembaca, Digimon Vital Bracelet juga mempunyai aplikasinya sendiri, iaitu Vital Lab. Anda boleh memuat turun secara percuma aplikasi ini di Google Play Store dan Apple App store. Tetapi sedikit masalah bagi pengguna di Malaysia kerana aplikasi ini menggunakan bahasa Jepun sepenuhnya. Mungkin tiada masalah dalam menggunakan aplikasi ini jika anda fasih atau tahu serba sedikit bahasa Jepun.
Aplikasi ini membolehkan pemain mengesan kemajuan pengguna dan pembesaran Digimon mereka. Tambahan pula, ia satu-satunya cara untuk anda menyimpan dan membekukan Digimon berkali-kali jika anda rasa bosan melihat Digimon yang sama muncul selalu. Menariknya, aplikasi ini membantu pemain melakukan cabaran, mengatur Misi SP dan membeli barang termasuk Misi SP lebih lagi di kedai dalam permainan.
Selain itu, Vital Lab mempunyai ciri lain iaitu Tamer Rank yang tidak digunakan sepenuhnya buat masa ini. Anda boleh meningkatkan Tamer Rank anda dengan mengumpul EXP melalui menyiapkan Misi SP atau Digivolve-kan Digimon anda. Buat masa ini, tiada lagi fungsi lain yang berguna kerana bagi saya, tiada ganjaran atau keistimewaan lebih yang diberikan kepada saya apabila mencapai Tamer Rank yang tertinggi.
Fungsi Misi SP adalah memberikan Trophy dan EXP kepada pengguna apabila berjaya meningkatkan Tamer Rank mereka. Disebabkan Misi SP perlu dilakukan dalam masa yang ditetapkan, ianya mungkin agak sukar untuk pengguna menyelesaikan beberapa Misi SP kerana kekangan. Contohnya, saya pernah diberi Misi SP dimana saya perlu selesaikan 6000 langkah dalam masa 60 minit. Bagi menyelesaikan masalah ini, anda perlu menetapkan masa yang sesuai sebelum keluar bersenam pada bracelet anda kerana kiraan masa bermula saat Misi SP dimasukkan ke Vital bracelet.
Fungsi lain Vital Lab juga adalah untuk memudahkan anda memindahkan Digimon ke aplikasi dan sebaliknya. Proses ini memerlukan telefon yang mempunyai NFC (Near Field Communication). Saya perasan ketika memindahkan Digimon dari aplikasi ke Vital bracelet sedikit rumit dan kadang-kadang boleh berlaku kesilapan. Masalah ini boleh dibetulkan dengan membiarkan telefon anda dalam keadaan idle semasa aplikasi disambungkan ke bracelet.
Sekiranya telefon tidak mempunyai NFC, anda masih lagi boleh meningkatkan dan melatih Digimon sepenuhnya dengan Vital Bracelet dan kad Dim. Cuma kurangnya disini ialah, anda tidak dapat mengesan kemajuan, mengatur Misi SP, menyimpan Digimon ataupun mengakses kedai dalam permainan.
Penutup
Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dan seronok menggunakan Digimon Vital Bracelet walaupun terdapat beberapa kekurangan. Bracelet ini sangat mudah untuk digunakan walaupun saya tidak memahami bahasa Jepun. Vital Bracelet pastinya akan membawa lagi banyak Digimon, kemas kini dan kandungan seperti Raids di masa akan datang.
Bagi saya, ini adalah peranti yang bagus untuk membantu penggunanya lebih bermotivasi untuk bersenam. Peminat Digimon semestinya perlu mendapatkan bracelet mereka sendiri kerana anda boleh Digivolvekan Digimon sambil mengekalkan gaya hidup yang sihat.
Ianya pembelian yang berbaloi kerana banyak keseronokkan dan kebaikan yang terdapat dalam bracelet ini. Vital bracelet ini adalah teknologi baru untuk mereka yang minat bermain Tamagotchi dan simulator peliharaan.
Bagi mereka di Malaysia, anda boleh membuat pra-pesan Vital Bracelets dan kad Dim di Impulse Gaming:
- Digital Monster Vital Bracelet Standard Edition [White] – RM 229
- Digital Monster Vital Bracelet Standard Edition [Black] – RM 229
- Digital Monster Vital Bracelet Special Edition [Green] – RM 259
- Digital Monster Vital Bracelet Dim Card [Adventure] – RM 69
- Digital Monster Vital Bracelet Dim Card [Vol.01] – RM 69
- Digital Monster Vital Bracelet Dim Card [Vol.02] – RM 69
Anda juga boleh membeli (tiada pra-pesan) Special Edition Green Vital Bracelet berharga RM 399.
Dari penerangan review yang saya kongsikan ini, korang mesti teringin nak ada Digimon sebagai workout buddy kan? Jom kita ramai-ramai hidup kekal cergas dan sihat sambil jadi seorang Digimon Tamer! Sekian dari saya, salam gamer!
@gamersantaimy
The Review
Digimon Vital Bracelet
PROS
- Pengalaman pemeliharaan yang mudah
- Sangat berbaloi untuk dimiliki
- Bagus untuk memotivasikan pengguna bersenam
- Mempunyai aplikasi yang membantu pengguna mengumpul Digimon mereka
CONS
- Pertarungan Digimon tidak melibatkan pelbagai Digimon dan tidak terjangka
- Tetapan masa Vital Bracelet dan masa tidur Digimon yang agak menggangu.
Discussion about this post