Walaupun Final Fantasy XVI memberi penamat yang konklusif, ramai peminat tertanya-tanya sama ada masih ada beberapa misteri lain untuk diterokai nanti melalui kandungan DLC. Sebagai respon kepada peminat yang masih mahu menikmati pengembaraan Valisthea, Square Enix mengumumkan dua DLC baharu untuk Final Fantasy XVI iaitu Echoes of the Fallen dan The Rising Tide.
Khususnya, Echoes of the Fallen dikeluarkan secara rasmi sejak 8 Disember sebagai sebahagian daripada Expansion Pass dan juga boleh dibeli secara berasingan. Tetapi memandangkan ini adalah DLC pendek, saya mengesyorkan agar korang mendapat pakej Expansion Pass yang sudah termasuk kedua-dua DLC tersebut.
Jika korang masih belum beli dan tidak pasti sama ada ingin menyelami pengembaraan Echoes of the Fallen atau tidak, mari membaca review kami di bawah!
Bagaimana Untuk Mengakses DLC

Echoes of the Fallen termasuk DLC endgame yang hanya boleh diakses selepas anda mencapai hujung jalan cerita dalam game utama, lebih khusus lagi, selepas semua Mothercrystal dalam Valisthea telah dimusnahkan dan Origin muncul di World Map.
Selain itu, anda juga perlu menyelesaikan misi sampingan “Where There’s a Will” dan “Priceless”. Supaya pemain tidak terlepas kandungan baharu, misi Echoes of the Fallen telah ditanda khas seperti Main Story tetapi dengan simbol berbeza berwarna ungu.

Jadi bagaimana dengan mereka yang telah pun menamatkan game? Anda masih boleh mengakses save data lama sejurus sebelum melawan Ultima, atau jika masih bermain, maka anda boleh maju dalam jalan cerita mengikut tempo sendiri.
Sebagai amaran – jika pemain berada di NG+, maka cabaran yang ditawarkan juga menjadi lebih ketara, kerana DLC ini direka untuk memberikan pengalaman yang sengit menerusi dungeon endgame dengan Super Boss yang tidak boleh dipandang rendah.
Muncul lah The Sagespire

Sebelum DLC ini diumumkan secara rasmi, kita dapat melihat petunjuk tentang Echoes of the Fallen iaitu kewujudan menara Fallen di rantau Rosaria. Tetapi sebelum DLC ini dikenalkan, menara ini tidak boleh diakses, yang sudah tentu mengundang tanda tanya di kalangan peminat. Ternyata kami semua betul kerana menara ini akhirnya menjadi tumpuan utama dalam DLC dan diperkenalkan sebagai dungeon baharu yang dipanggil The Sagespire.

Sebelum menerokai menara ini, Clive dan kumpulannya siasatan terhadap penyebaran Dusk Crystal sejak kemunculan Origin. Kita tahu bahawa kristal ini masih mempunyai fungsi yang sama – iaitu membantu kehidupan seharian dengan memberi magic, tetapi kualitinya sangat buruk sehingga hanya boleh digunakan sekali sahaja. Punca masalah ini nampaknya datang daripada kelahiran Mothercrystal baru yang merupakan ciptaan Fallen di Sagespire, di mana kristal di dalamnya mula merebak kerana tindakan watak baru bernama Famiel.

Walaupun memberikan konteks yang cukup menarik kepada jalan cerita utama dan memperkenalkan watak baru, fokus DLC ini sebenarnya lebih tertumpu kepada pertempuran kerana keseronokan utama adalah ketika mengembara di dungeonnya.
Seperti biasa, dungeon ini masih direka secara linear tanpa teka-teki atau laluan bercabang yang membuatkan kita terpaksa backtrack, tetapi sekurang-kurangnya ada lebih banyak cabaran mini-boss yang menguji kemahiran anda. Sesetengah mini-boss menumpukan pada serangan jarak dekat dan jarak jauh, jadi semasa meneroka dungeon ini, anda dikehendaki lebih mahir untuk menyesuaikan diri dalam pertempuran.

Ini juga diaplikasikan kepada musuh normal/mob, kerana sesetengah musuh dapat melancarkan sihir Hearthflame untuk melindungi sekutu mereka. Sihir ini merupakan “bebola terbang” yang boleh mencederakan anda jika terkena. Sihir Hearthflame boleh dimusnahkan, tetapi dengan menggunakan sihir dari jauh.
Selain itu, saya rasa puas hati dengan pacing dan cabaran yang ditawarkan, terutamanya daripada semua mini-boss baharu yang direka menjadi mekanikal berbanding bis dalam game utama. Malangnya, agak kekurangan daripada segi visual kerana beberapa mini-boss sebenarnya klon kepada musuh dalam game utama.
Super Boss Omega

Pada pendapat saya, bahagian yang paling epik dan sorotan utama DLC pastinya adalah kehadiran Omega. Dia kembali sebagai super boss terakhir untuk dungeon dan menjaga mothercrystal buatan para Fallen. Walaupun Omega digambarkan sebagai Eikon, sebenarnya DLC ini tidak mempunyai pertempuran antara Eikon.
Tetapi jangan kecewa kerana pertempuran boss masih sangat menarik dan sengit terutamanya apabila memasuki fasa akhir, yang memaksa saya untuk melancarkan sebanyak mungkin kombo untuk damage maksimum sambil mengelakkan serangan berturut-turut daripada Omega.

Setiap saat adalah penting dan jangan membuang masa untuk mendapatkan damage tambahan yang diperlukan untuk mengalahkannya. Ini kerana fasa akhir mempunyai timer yang sangat pendek dan pemain akan sentiasa didesak sehingga tiada peluang untuk menyerang. Jadi manfaatkan setiap saat yang ada.
Tanpa ragu, saya boleh kata bahawa Omega adalah bos yang paling sukar dalam Final Fantasy XVI, lebih sukar daripada Ultima dan semua bos daripada misi Hunting Board. Selain daripada HP yang sangat tebal, kita akan berhadapan dengan beberapa fasa dengan tahap cabaran yang semakin sukar. Bukan itu sahaja, serangan terunggulnya juga mampu membuatkan Game Over dalam sekelip mata.

Jadi bagi saya, kehadiran Omega adalah jawapan kepada pemain yang sentiasa mengadu “game ini terlalu mudah.”
Pelbagai Collectible Baru

Bersama DLC ini, terdapat pelbagai Collectible baru yang anda boleh dapatkan.
Sebahagian daripada ini termasuk aksesori legenda yang boleh dikumpulkan dengan meneroka Sagespire serta bahan-bahan rare yang diperlukan untuk membuat Omega Weapon. Omega Weapon merupakan senjata paling kuat untuk diperoleh di playthrough pertama dengan stats Attack dan Stagger sebanyaj 410. Memang ini adalah pilihan yang jauh lebih baik daripada Gotterdammerung lagi-lagi kerana proses rumit untuk mendapatkannya.

Di samping itu, beberapa runut bunyi Echoes of the Fallen baharu juga tersedia dalam Orchestrion Roll yang boleh dimainkan di Hideaway. Saya sendiri amat menyukai lagu The Worm Mounts yang memberi suasana tenang nyaman.
Kesimpulan

Secara keseluruhan, Echoes of the Fallen tidak menawarkan banyak kandungan, kami sendiri berjaya menamatkan DLC ini dalam tempoh 3 jam sahaja. Walaupun pendek, ia masih menyeronokkan daripada segi pertempuran bos epik.
Sebenarnya, saya menjangkakan DLC ini sebagai sekuel dan bukannya DLC yang berlaku sebelum penghujung cerita, tetapi sebaliknya yang terjadi. Walaupun begitu, DLC ini akan menambah pengalaman gaming baru untuk pemain yang ingin mencuba Final Fantasy XVI atau bagi pemain yang mengharapkan cabaran lebih sukar dalam bentuk dungeon endgame.

Harga yang ditetapkan untuk DLC agak berpatutan pada RM40, tetapi saya mengesyorkan agar korang mengambil pakej Expansion Pass yang berharga RM100 (dan mengandungi DLC ke-2)
Nampaknya The Rising Tide akan muncul sebagai DLC yang lebih fokus kepada naratif, bersama kehadiran Eikon Leviathan dan kawasan baharu untuk diterokai. Tetapi kerana kedua-duanya berlaku sebelum ending game utama, mungkin lebih bagus untuk pemain yang baru hendek mencuba Final Fantasy XVI.

Rising Tide akan dikeluarkan pada musim bunga 2024, jadi kita pun tidak perlu tunggu lama untuk main DLC ini.
Final Fantasy XVI boleh didapati sekarang di PlayStation 5. Baca segala berita kami tentang game ini di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post