Untuk mengadaptasikan permainan papan Dungeons & Dragons ke layar perak seolah-olah mustahil, terutamanya kerana konsep uniknya yang terdiri daripada beratus-ratus cerita. Walau bagaimanapun, kedua-dua peminat lama dan penonton baharu pasti dapat menikmati Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves, yang diarahkan oleh John Francis Daley dan Jonathan Goldstein.
Hakikatnya, saya tidak mempunyai banyak pengalaman bermain D&D, tetapi masih kagum dengan cara filem itu menyampaikan elemen fantasi dan magic daripada permainan. Dalam kisah fiksyen ini, ternyata highlight adalah chemistry antara pelakon dan penggunaan visual yang hebat.
Honor Among Thieves tidak pernah menghilang daya tarikan Dungeons & Dragons, tetapi kekurangan daripada segi plot watak dan jalan cerita yang terlalu laju. Apa ulasan saya secara keseluruhan? Berikut adalah pendapat saya.
Jalan cerita fantasi tinggi tetapi tempo laju amat

Bagi mereka yang kurang tahu, movie ini berdasarkan permainan papan klasik di mana seorang Dungeon Master (DM) membuat quest/jalan cerita untuk para pemain, yang kemudian mereka akan lakonkan. Oleh itu, setiap permainan D&D amat unik dan “Honor Among Thieves” dianggap sebagai antara kempen terbaik pernah dibuat untuk permainan itu.
Dalam filem Honor Among Thieves, kami mempunyai sekumpulan ‘pencuri’ yang terdiri daripada Bard/penyair profesional – Edgin Darvis (Chris Pine), si barbarian kasar – Holga la Barbare (Michelle Rodriguez), Sorcerer yang masih belum buka kemampuannya – Simon Aumar (Justice Smith), dan penipu licik – Forge Fletcher (Hugh Grant).
Selepas Edgin bersetuju melakukan sebuah misi berbahaya dengan harapan untuk memperoleh artifak yang dapat menghidupkan semula isterinya yang mati, malangnya dia dan Holga ditangkap manakala yang lain berjaya melarikan diri.
Dua tahun selepas dipenjarakan, kedua-dua Edgin dan Holga menyusun rancangan untuk melarikan diri dan kembali kepada anak perempuannya Edgin Kira (Chloe Coleman). Adegan mereka melarikan diri pun lucu dan melibatkan seekor aarakocra, salah seorang daripada makhluk burung dalam dunia D&D.
Walau bagaimanapun, Kira tidak gembira melihat mereka kerana percaya ayahnya lebih mementingkan harta dan kekayaan. Selepas menyedari mereka telah dikhianati oleh Forge, Edgin dan Holga merekrut rakan lama Simon; dan juga rakan baharu si Druid dan Tiefling – Doric (Sophia Lillis), dan Paladin – Xenk (Rege-Jean Page).
Mereka berusaha untuk memenangi semula kepercayaan anak perempuan Edgin, mendapatkan artifak dan melindungi semua orang daripada Sofina, seorang Red Wizard dari That (Daisy Head), yang mempunyai rancangan jahat untuk penduduk Neverwinter.

Sejujurnya, plot Honor Among Thieves penuh dengan tema generik yang mudah untuk diramal tetapi beberapa plot twist spesifik ditambah ke naratif untuk beri kejutan. Rentak filem ini bergerak pada kadar yang pantas tetapi kami sempat melihat beberapa lokasi terkenal di Forgotten Realms (dunia dalam permainan).
Walaupun ia memuaskan untuk melihat beberapa lokasi ikonik seperti Neverwinter dan Underdark yang dicipta semula dengan butiran dan visual luar biasa, ia mengecewakan bagi saya kerana kita dicampak dari satu tempat ke tempat lain tanpa memahami dengan jelas apa yang sebenarnya berlaku dalam jalan cerita.

Disebabkan itu, watak-watak turut terkesan kerana penonton tidak mempunyai cukup masa untuk mengenali mereka. Latar belakang dan asal-usul beberapa watak tidak dapat dikembangkan, dan apabila ‘adegan penting’ mereka tiba, kami tidak mempunyai faham ataupun berkait dengan perasaan mereka.
Sebagai contoh, ia rasa filem ini rugi kerana tidak menjelaskan identi Doric sebagai Tiefling. Spesies ini sering dilabelkan sebagai orang luar dan sentiasa dianiaya dan dikutuk di alam semesta D&D. Jika mereka menceritakan asal-usul Doric, mungkin naratif terasa lebih baik.

Tambahan pula, plot keseluruhan amat lemah dan direka semudah mungkin untuk menarik minat seramai mungkin orang. Walaupun begitu, saya menikmati penceritaannya yang simple, terutamanya apabila melihat filem itu berjaya mencipta dunia berskala besar Dungeons & Dragons.
Visual padu, terutamanya pada makhluk dan sihir D&D

Visual ajaib D&D ditampilkan penuh dalam filem! Peminat lama dari seluruh dunia serta-merta akan kenal binatang/makhluk mitos yang ditunjukkan kerana CGI mengagumkan berjaya ‘menghidupkan’ reka bentuk mereka ke platform 3D. Ini khas untuk reka bentuk Doric di mana dia berubah kepada Owlbear (salah satu makhluk unik D&D).
Selain itu, filem ini menggunakan kesan praktikal selagi boleh, terutamanya untuk watak humanoid. Saya dapat lihat sepasang ibu dan anak Tabaxi, seekor Aarakocra, Yuan-ti, Dragonborn, dan mayat – yang semuanya menggunakan kesan praktikal. Ini memberikan filem itu sedikit daya tarikan dan ketulenan tanpa terlalu bergantung pada CGI.

Tetapi apabila CGI digunakan, visualnya memang bagus sekali. Antara contoh adalah seperti babak kejar-mengejar dan adegan pertempuran. Bagi saya, satu bahagian terbaik dalam filem adalah apabila seekor naga bernama Themberchaud mengejar geng Edgin. Daripada nampak kuat, naga itu sebenarnya gemuk selepas makan begitu banyak mangsa di Underdark.
Satu lagi contoh adalah apabila Doric melarikan diri dari Istana menggunakan abiliti Wild Shape di mana dia berubah kepada macam-macam jenis haiwan untuk melarikan diri daripada askar istana; dan adegan lucu Simon dan sekumpulan penonton teater di mana dia menggunakan sihir graviti untuk terbalikkan semua orang ke bumbung.

Watak filem juga kerap menggunakan istilah Dungeons & Dragons seperti ‘Mordenkainen’ dan ‘Attuning’ (spellcasting). Istilah ini memainkan faktor besar dalam identiti permainan D&D dan saya yakin hanya pemain D&D yang tahu istilah ini. Dengan itu, saya nampak kesungguhan pengarah untuk membawa identiti D&D ke dalam bentuk filem. Yang pastim peminat lama pasti akan menghargai usaha ini.
Chemistry antara pelakon terserlah

Setiap pelakon, tidak kira watak utama atau watak sokongan, mempunyai chemistry yang hebat. Saya paling suka melihat empat hero utama kami berinteraksi dalam cara yang sangat natural sedangkan ada yang baru bekerjasama buat kali pertama dalam filem ini.
Berbeza dengan imej hero aksinya, Chris Pine sangat kelakar dalam filem ini dengan menukar kisah fantasi ini kepada naratif yang yang lucu dan tidak terlalu serius. Pada masa yang sama, saya suka melihat dia dan Rodriguez berlakon bersama.

Seperti saya kata tadi, Pine melakonkan watak ‘penyair’ yang tidak mempunyai banyak pengalaman berlawan jadi dia perlu bergantung pada Rodriguez yang memainkan watak barbarian kuat. Rodriguez pula nampak meyakinkan apabila berlawan, mungkin kerana pengalaman masa lalunya dalam filem aksi seperti Fast & Furious dan sebagainya. Adegan lawannya memang mantap, dan menjadi semakin lawak apabila Pine memberikan ayat komedinya.
Untuk pelakon, Lillis memberi aura dan karisma mistik pada wataknya. Memandangkan dia adalah makhluk mistik (Tiefling), dia tidak begitu faham tentang dunia manusia dan berwaspada kepada ancaman mereka. Namun wataknya amat penting dan menunjukkan kehebatannya apabila keadaan memerlukan.

Sebaliknya, Smith yang melakonkan watak Simon the Sorcerer memberi adalah watak yang tidak yakin dengan sendiri, kelakar dan ‘relatable’. Kawan-kawannya kerap memberi idea bodoh dan berbahaya tetapi dialah satu-satunya orang yang akan memberi respon natural seperti manusia normal.
Hugh Grant juga adalah antagonis yang mengejutkan. Memang jarang untuk melihatnya menjadi orang yang jahat kerana saya selalu melihatnya berlakon dalam filem romantik dan komedi.

Dan akhir sekali kita ada Rege Jean Page yang benar-benar mencuri perhatian walaupun penampilannya dalam filem agak singkat. Wataknya adalah seorang Paladin, dan dia melakonkan watak itu dengan sempurna. Pada masa yang sama, dia juga memainkan peranan komedi kerana wataknya terlalu serius dan tidak faham apabila seseorang sedang menyindir.
Pendapat

Luar daripada sangkaan saya, Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves sebenarnya adalah filem yang bagus. Saya tidak akan beri 10/10 tetapi ia cukup bagus untuk tonton di pawagam.
Saya sendiri amat ragu-ragu kerana menghasilkan komedi fantasi tinggi berdasarkan permainan papan yang popular amat mencabar. Nasib baiklah, usaha ini berjaya. Bersama adegan yang lucu dan chemistry bagus antara warak, pihak produksi dapat menangkap beberapa bahagian dunia D&D lalu memindahkannya ke bentuk serba baharu. Itu sahaja sudah membuatkan saya cukup kagum.

Kelemahan filem ini ialah ia tidak meneroka atau memberikan latar belakang bagi watak-watak utama, kerana terlalu tergesa-gesa dalam jalan cerita. Saya ulang sekali lagi; watak-watak D&D mempunyai latar belakang yang sangat menarik jadi rugi mereka tidak memanfaatkan hal itu. Perkara lain yang perlu ditekankan ialah jalan cerita utamanya agak tipikal dan sering digunakan dalam filem fantasi.
Penonton biasa mungkin tidak kisah tentang butiran ini, tetapi komen saya khusus untuk peminat veteran yang benar-benar bermain dan menyukai permainan D&D.

Secara keseluruhan, saya memberi rating 7.5/10 untuk Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves dan sanggup kembali jika mereka menghasilkan sekuel! Buat mereka yang berminat, filem ini akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 30 Mac.
@gamersantaimy
The Review
Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves
Bersama adegan yang lucu dan chemistry bagus antara warak, pihak produksi dapat menangkap beberapa bahagian dunia D&D lalu memindahkannya ke bentuk serba baharu. Itu sahaja sudah membuatkan saya cukup kagum.
Discussion about this post