Kita ada macam-macam jenis game strategi bagus di PC, dan sehingga hari ini, genre tersebut masih kekal popular di kalangan pengguna Steam. Dicipta oleh Warcave, Black Legend merupakan pendatang terbaru dalam genre turn-based strategy RPG dan berlatar belakang zaman abad pertengahan dahulu. Sempena pelancaran rasminya hari ini, saya menyediakan review Black Legend ini untuk sesiapa yang berminat untuk mencuba!
Selain daripada gameplay yang mencabar (di mana saya akan ceritakan kemudian), Black Legend agak menonjol kerana keseluruhan suasana dan seni bina. Diinspirasikan oleh aspek fantasi, persekitaran permainan banyak diilhamkan oleh infrastruktur abad pertengahan yang seram untuk kita teroka. Setelah berkenalan dengan game ini selama beberapa hari, saya agak yakin untuk menjelaskan serba sedikit tentang aspek-aspek permainan dan apa kelebihan serta kekurangannya. Mari kita mulakan review Black Legend ini!
Latar belakang & naratif
Kisah Black Legend berlangsung di kota Grant pada abad ke-17. Seorang alkemis gila telah melepaskan kabus maut di kota untuk membuat semua orang turut menjadi gila, dan dalam keadaan huru-hara, semua orang berusaha untuk bertahan hidup manakala para ahli kultus menjadi semakin kuat di bawah pengaruh kabus. Kita akan bermain sebagai sekumpulan tentera upahan yang datang ke kota Grant untuk menyelamatkan penduduk kota dan mengalahkan ancaman kultus gila sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Secara visual, Black Legend berjaya menepati estetika abad pertengahan. Dengan jalannya yang suram dan sempit, tanah perkuburan yang diliputi kabus, kawasan dok yang berbahaya, dan lain-lain, semuanya bersatu untuk mewujudkan suasana yang beratmosfera misteri. Prop di dalam permainan pun bukanlah hiasan semata-mata kerana kereta sorong dan tong yang terbalik boleh dijadikan sebagai tempat pelindung apabila diperlukan, manakala lorong-lorong yang sempit boleh digunakan untuk menavigasi melepasi musuh tanpa dikesan.
Selalunya, permainan mempunyai beberapa kawasan pilihan untuk kita “grinding” dan “looting“. Ia selalunya ditambah untuk memberi efek ekstra tetapi kawasan optional ini terasa lebih natural dalam Black Legend di mana saya tidak rasa ia leceh untuk kita terokai persekitaran sekeliling. Hasilnya adalah dunia permainan “luas” yang agak menarik minat saya.
Gameplay & sistem asas
Daripada segi gameplay, kita mengumpulkan sebuah pasukan tentera upahan, meneroka kota Grant, dan harus bertarung secara “turn based“. Musuh sebenarnya boleh dilihat dengan jelas dari jauh (tidak ada perjumpaan secara rawak), tetapi kita sebagai pemain boleh mengelak dari mereka. Malangnya, untuk maju dalam permainan, kamu harus bertarung dengan musuh spesifik bagi meneruskan jalan cerita.
Pada masa yang sama, kita akan bertemu dengan NPC yang akan memberikan misi sampingan atau cabaran lain-lain. Malangnya, aspek misi sampingan tidaklah begitu menarik dan mempunyai dialog yang minimum. Ini mungkin bagus untuk orang lain, tetapi saya sebenarnya suka sedikit naratif untuk apa-apa misi saya. Selepas menyelesaikan misi, beberapa NPC tertentu boleh menyertai parti kita.
Seperti yang saya kata di atas, sistem pertempuran adalah berdasarkan “turn-based“, dengan meter aksi di bahagian atas skrin yang menunjukkan setiap aksi kita boleh gunakan untuk watak. Setiap watak mempunyai had mata untuk berapa banyak tindakan yang boleh mereka buat selama satu giliran, di mana semakin banyak mata yang tidak digunakan, semakin lamalah giliran seterusnya. Walaupun kita boleh bertarung memakai senjata, fokusnya adalah pada kombo alkimia tetapi topik ini saya akan jelaskan dengan lebih lanjut di bawah.
15 kelas berbeza
Parti kita terdiri daripada kombinasi tentera upahan dan NPC (kadang-kala dikendalikan oleh AI), di mana masing-masing dibahagaikan kepada 15 kelas berlainan yang semuanya mempunyai kebolehan dan peralatan unik. Kelas ini boleh dibuka dengan mencari barangan yang sesuai untuk kita pakaikan pada watak, dan merupakan pendekatan baik yang mendorong kita untuk meneroka setiap pelosok jalan.
Walaupun pertarungan awal dapat dikendalikan dengan parti yang terdiri dari satu kelas, saya dengan cepat perlu mempelbagaikan kepada kelas serangan jarak jauh, kelas yang fokus pada alkimia (sihir) dan kelas yang bersifat defensif. Ini penting untuk pertarungan kemudian, kerana ada banyak cara untuk memenangi sebuah pergaduhan sukar daripada kita “grinding” level sia-sia.
Permainan tidak mahu kita fokus kepada satu kelas sahaja dan ingin kita mengubahsuai strategi untuk pertarungan akan datang. Kadang-kadang saya memerlukan watak yang bertindak sebagai tank, dan kadang-kadang, saya memerlukan watak yang laju. Pertukaran kelas juga membolehkan kita menguasai kemahiran aktif dan pasif yang berkaitan dengan kelas tersebut. Sebaik sahaja kita dapat memahirkan abiliti itu, pemain dapat menggunakan abiliti tersebut ke kelas lain. Berikut adalah senarai kelas yang ada dalam permainan:
Alchemist: Terlatih dalam seni alkimia, individu berperisai ini menyokong sekutu dan melemahkan lawan dengan campuran serbuk, letupan dan ramuan.
Buccaneer: Dengan pilihan jarak dekat dan jarak jauh, mereka menggunakan pelbagai alat dan hampir agar boleh menjadi paling versatil bagi krew.
Commander: Pakar taktik ini menunjukkan sasaran, memberi inspirasi kepada rakan-rakan dan menimbulkan ketakutan pada musuh, sambil membawa momentum bersama sekutu melalui kemampuan serangan pasukan.
Doppelsoldner: Orang yang terlatih dalam seni pertempuran greatsword ini bergantung pada damage besar dalam pertempuran untuk membantu rakan sekutu, di mana ayunan mereka yang luas dapat menyerang banyak musuh sekaligus.
Dragoon: Sangat pantas dan hebat dalam dalam ilmu pirokinetik, Dragoon tidak memikirkan tentang keselamatan mereka sendiri, dan menghadapi musuh sehingga mereka menjadi abu.
Duelist: Pakar pedang ini menggunakan pelbagai jenis taktik untuk memastikan kemenangan dalam pertempuran. Kekuatan, kepantasan dan kemahiran mereka hanya boleh ditandingi oleh beberapa orang sahaja.
Executioner: Dengan berpakaian perisai yang berat, mereka boleh membunuh musuh dengan cepat dan cekap, menggunakan kapak atau senjata api.
Guard: Perisai mereka boleh menepis serangan yang paling dahsyat, manakala menyerang balas pada masa yang sama. Dalam pertempuran, seseorang memerlukan rancangan ofensif yang kuat untuk mengatasi pertahanan mereka yang mengagumkan.
Inquisitor: Pemburu yang berkeliaran di jalanan, untuk mencari korupsi dalam apa-apa jenis bentuk. Berdedikasi untuk melindungi manusia, dia sendiri tertanya berapa banyak kemanusiaan yang masih ada.
Landsknecht: Pengguna lembing dan tombak yang megah. Latihan menjadikan mereka yang paling pantas di medan pertempuran ketika menggunakan perisai berat, dan hebat dalam mengurangkan mobiliti musuh ketika di pihak ofensif.
Marauder: Senjata berat dan perisai ringan menentukan taktik keseluruhan yang digunakan oleh watak ini, dan bergantung pada kekuatan dan kepantasan sedia untuk mengalahkan pihak lawan.
Mercenary: Tidak mempunyai ilmu untuk teknik pertempuran yang canggig tetapi boleh menyesuaikan diri dengan apa-apa situasi dengan memakai semua senjata dan baju besi.
Plague Doctor: Dapat menyembuh dan juga membunuh, kajiannya yang berterusan telah menjadikan mereka watak yang bahaya dan juga sahabat yang luar biasa.
Rogue: Tangkas dan licik, mereka dapat mengenal pasti kelemahan dan menyerangnya dengan mudah, sebelum beredar ke kawasan yang selamat.
Sharpshooter: Pakar memanah dan senapang api, tentera ini dapat membunuh sasaran jauh dengan ketepatan yang tinggi.
Pertarungan memerlukan perancangan strategi yang menyeluruh kerana arah watak pun memainkan peranan. Walaupun pada tahap kesukaran yang rendah, ia sangat senang untuk kita membuat kesalahan yang membuatkan ahli parti terdedah. Bersama dengan jumlah pertarungan yang banyak (bergantung pada kesukaran), dan betapa panjangnya satu pertarungan, ia mungkin agak membosankan untuk kawan-kawan yang baru hendak cuba game strategi.
Sistem alkimia & kepentingannya
Salah satu fitur yang paling menarik dalam Black Legend adalah sistem alkimia. Kebanyakan serangan utama berkait dengan salah satu daripada lima elemen iaitu: albedo, citrinitas, nigredo, rubedo atau catalyst. Empat yang pertama adalah unsur tradisional alkimia di mana masing-masing dikategorikan kepada warna putih, kuning, hitam, dan merah.
Apabila menyerang musuh, musuh akan ditandakan dengan warna yang berhubung dengan serangan tersebut. Sudah tentu, setiap serangan boleh “stack” pada musuh. Apabila digabungkan, semua elemen ini akan menghasilkan pelbagai kesan khas yang melakukan kecederaan besar kepada musuh. Berikut adalah senarai:
- Gangsa: kombinasi antara rubedo dan ctrinitas, yang mewakili Disease.
- Merah: rubedo, mewakili External Bleeding.
- Crimson: kombinasi antara rubedo dan nigredo, mewakili Internal Bleeding.
- Hitam: nigredo, mewakili Heavy Impact.
- Perak: kombinasi antara Albedo dan Nigredo, mewakili Poison.
- Putih: Albedo, mewakili Sharp Weapons.
- Emas: kombinasi antara Albedo dan Ctrinitas, mewakili Weakness of the Mind and Soul.
- Kuning: Ctrinitas, mewakili Explosives.
Merah dan putih tidak bercampur, sama juga dengan hitam dan kuning, tetapi yang lain boleh dicampurkan untuk menghasilkan efek di atas. Sebaik sahaja kamu mempunyai sekurang-kurangnya satu “stack” pada musuh dan menyerang mereka dengan “catalyst“, kombinasi alkimia ini akan hilang dan melakukan kecederaan besar.
Ini adalah konsep yang cukup menarik dan menambah kelebihan yang unik pada sistem pertempuran. Anda boleh menyerang musuh menggunakan cara biasa, tetapi peningkatan damage dari sistem alkimia sangat besar sehingga ia merupakan cara terbaik untuk kita menewaskan musuh. Terdapat juga barang-barang khas yang dapat menambahkan kesan tambahan pada kombinasi tertentu, dan ada juga beberapa musuh yang hanya lemah kepada satu kombinasi alkimia. Memang jelas kita harus memilih musuh dengan bijak kerana mereka juga dapat menggunakan sistem alkimia yang sama untuk mencederakan kita.
Gabungan ini membuatkan Black Legend sangat mencabar. Pada tahap kesukaran yang sukar, kita memerlukan lebih banyak fokus pada aspek mekanik yang lebih rumit – terutamanya sistem alkimia. Menguasai sisten ini adalah kunci kepada kemajuan kita dan merupakan satu-satunya cara untuk menewaskan musuh dengan cepat sambil mengelakkan diri daripada kalah.
Pendapat

Saya berani mengaku yang saya lebih berminat dengan jalan cerita dan latar belakang daripada sistem pertempurannya yang mekanikal, jadi itu bukanlah kesalahan game ini. Walaupun pada tahap kesukaran yang rendah, game ini tidak begitu “beginner-friendly” kerana saya masih mempunyai masalah untuk menewaskan musuh pada kesukaran yang rendah. Sejujurnya, ini adalah game yang sangat seusai untuk pemain pintar yang suka bereksperimen dengan strategi mereka sendiri.
Antara banyak-banyak game strategi pernah saya cuba, Black Legend memang antara pilihan yang menarik. Walaupun ada sedikit kekurangan (penampilan menu dan UI yang tidak menarik), tetapi dari apa yang telah saya lihat setakat ini, ia mempunyai sejenis “unsur” yang membuatkannya istimewa. Itu sahaja untuk review Black Legend ini, game tersebut kini boleh didapati di PC, PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X, dan Nintendo Switch bermula hari ini! Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Video gameplay

@gamersantaimy
The Review
Black Legend
Saya berani mengaku yang saya lebih berminat dengan jalan cerita dan latar belakang daripada sistem pertempurannya yang mekanikal, jadi itu bukanlah kesalahan game ini. Walaupun pada tahap kesukaran yang rendah, game ini tidak begitu "beginner-friendly" kerana saya masih mempunyai masalah untuk menewaskan musuh pada kesukaran yang rendah.
Discussion about this post