Bersama tambahan OLED dan CPU serba baru, ASUS telah memperkenalkan barisan ZenBook Flip serba baru ke pasaran dunia. Baru sahaja sampai di Malaysia beberapa minggu lepas, kami telah menerima unit Asus ZenBook 14 Flip OLED baru, yang merupakan sebuah laptop 2-in-1 yang boleh ditukar ke tablet.
Khas untuk urusan produktiviti dan belajar, ramai mungkin tertanya jika Asus Zenbook 14 Flip OLED berbaloi atau tidak? Untuk menjawab soalan anda, saya menggunakan laptop ini selama beberapa minggu dan berikut adalah pendapat saya.
Unit saya datang dengan spesifikasi: CPU AMD Ryzen 7 5800H, 16GB RAM, paparan OLED 14′ 2.8K, storan 512GB M.2 NVMe™ PCIe® 3.0 SSD dan Windows 11. Nilai harganya adalah RM5,499.
Reka bentuk

Sama seperti model ZenBook Flip sebelum, ZenBook Flip 14 OLED tidak mengalami banyak perubahan pada reka bentuk dan kualiti bahan. Laptop ini masih sangat nipis dengan sisi yang anggun, cuma ia hanya tawarkan dalam warna hitam (secara lebih khusus: Jade Black) dengan kemasan matte. Secara keseluruhan, reka bentuk kelihatan premium dan memberikan rupa yang berkelas. Malangnya, ia tidak bebas daripada cap jari yang boleh dikesan jika anda lihat dengan teliti.
Diperbuat daripada aloi aluminium, laptop ini berasa kukuh dan mempunyai reka bentuk ergo-lift dengan putaran 360 darjah yang juga meningkatkan ruang pengudaraan di bawah casis untuk pelesapan haba yang lebih baik. Walaupun diperbuat dari bahan tahan lasak, ZenBook 14 Flip mempunyai berat hanya 1.4Kg, yang bermaksud ia sangat ringan dan sesuai untuk urusan mudah alih.

Selain itu, ASUS memberitahu bahawa laptop itu disertakan dengan sijil MIL-STD 810H bagi mengesahkan daya ketahanannya.
Sambungan I/O pada ZenBook 14 Flip OLED terdiri daripada 2x port USB 3.2 Gen2 Type-C yang menyokong pemindahan data, “charging” serta output video. Pada masa yang sama, 1x port USB 3.2 Gen2 Type-A, 1 x HDMI 2.0 standard, 1 x pembaca kad microSD dan 1 x 3.5mm bicu audio juga tersedia. Untuk sambungan wayarles, ZenBook 14 Flip OLED menawarkan Bluetooth 5.0 dan Wi-Fi 6 yang menyokong kelajuan internet sehingga 2.4Gbps.


Yang sedihnya adalah port USB Type-A tak banyak, jadi susah nak sambung mouse atau aksesori lain.
Keyboard dan trackpad

Nama pun bukan gaming laptop, jadi janganlah harapkan lampu RGB. Dengan hanya backlit keyboard , saya mendapati papan kekunci memberi maklum balas yang baik kerana ruang antara kekunci yang terasa cukup selesa walaupun saiznya kecil.
Seterusnya, terdapat satu butang “mute” khusus yang membolehkan kita menutup audio dan video dengan cepat – ini pasti berguna dalam mesyuarat online atau semasa kecemasan lain. Akhir sekali kita ada butang kuasa (power) yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari bagi keselamatan tambahan.

Tadi keyboard, sekarang kita bercakap tentang trackpad pula. ZenBook 14 Flip OLED mempunyai trackpad (touchpad) yang lancar dan responsif serta merupakan pengganti kepada numpad – ini merupakan cara bijak untuk menjimatkan ruang laptop ini yang terhad.
Dengan menyentuh sekali di bahagian atas kanan trackpad, kita boleh menghidupkan atau mematikan numpad. Dari sini, korang boleh memilih daripada dua tahap kecerahan dengan hanya menekan ikon di bahagian atas kiri.
Paparan OLED dan audio

Sebagai laptop 2-in-1, ZenBook 14 Flip baru mempunyai paparan touchscreen. Apa yang istimewa sangat adalah laptop ini datang dengan paparan OLED touchscreen 14 inci dengan resolusi 2.8K (2880 x 1800 piksel) yang menawarkan pengalaman tonton hebat.
Mungkin ada yang tidak tahu, tetapi skrin OLED terkenal dengan warnanya yang lebih kaya berbanding LED dan LCD. Setiap gambar yang muncul pada skrin nampak lebih menarik dan lebih mudah untuk mengenal pasti di mana warnanya memang tajam dan terang. Oleh itu, kerja penyuntingan pasti terasa lebih lancar dan tepat pada paparan ini. Sama ada gaming, mengedit, membaca atau menonton video – saya tidak ada apa-apa aduan tentang paparan Zenbook 14 Flip OLED.

Untuk sesiapa yang mementingkan kelancaran, kita juga boleh meningkatkan refresh rate ke 90Hz di “advanced display settings”. Walaupun tidak selancar 120Hz atau 144Hz, ia masih memuaskan untuk menonton video dan melayari internet.
Satu lagi perkara yang lancar adalah semasa mengubah laptop ini ke mode berbeza. Dengan melipat beberapa bahagian, korang boleh mengubah laptop ini ke “Tent Mode” untuk menonton filem. Untuk urusan kerja, melukis, atau handheld gaming – korang boleh tukar ke mode tablet.
Ke bahagian audio, ZenBook 14 Flip OLED dilengkapi dengan sepasang pembesar suara Harman Kardon (stereo) yang bagi saya, agak biasa-biasa saja. Ia boleh menonton video tetapi sangat kurang daripada segi volume dan bass.

Jika saya perlu kata apa yang boleh tambah baik, mungkin skrin ini boleh dilindungi dengan lapisan “anti-fingerprint”. Bayangkanlah sehari suntuk pakai, memang macam-macam jenis comot ada di skrin.
Prestasi dan benchmark
Unit ZenBook 14 Flip OLED yang saya terima untuk tujuan review memiliki pemproses AMD Ryzen 7 5800H yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan 1TB M.2 NVMe PCIe 3.0 SSD. Laptop ini tidak ada kad grafik khusus, sebaliknya mempunyai grafik AMD Radeon bersepadu.
Mungkin ada yang risau dengan prestasi ZenBook 14 Flip, tetapi saya ada di sini untuk menyakinkan awak semua. Melalui OS Windows 11 (masih stabil, tiada masalah besar saya jumpa), semuanya pantas dan lancar tidak kira semasa saya sedang melakukan kerja ofis, atau menggunakannya untuk tujuan hiburan. Banyak mana pun beban saya campak, majoriti boleh dikendalikan dengan mudah tanpa lag.
Jika hari sedang sibuk, saya pernah membuka sehingga 10+ tab di Google Chrome, sambil menjalankan beberapa aplikasi lain (Discord, Photoshop, aplikasi kerja) di latar belakang. Lag masih ada ketika itu, tetapi agak minimal.
Dari segi benchmark, berikut adalah keputusan:






Supaya tiada siapa salah faham, ini bukanlah laptop gaming. Jika korang nak, ia masih boleh menguruskan beberapa aktiviti gaming ringan. Berikut adalah hasil kajian:
Genshin Impact: Mampu cecah sekitar 30+ FPS melalui resolusi 2K pada tetapan “Lowest”. FPS boleh meningkat lebih tinggi jika resolusi ditukar pada 1080p. Boleh dimainkan jika anda gamer yang penyabar.
Apex Legends: Mampu cecah FPS sekitar 50+ di resolusi 1080p. Tidak boleh berjalan sama sekali melalui resolusi 2K. Saya agak terkejut ia boleh dimainkan dengan baik di tetapan terendah kerana menjangka game ini terlalu berat.
Bateri
ZenBook 14 Flip OLED mempunyai bateri 63 Whr yang mengambil masa kira-kira 1.5 jam untuk mengecas dengan adapter 100w. Sepanjang saya guna, laptop ini mampu bertahan lebih kurang 6 hingga 7 jam bateri semasa melakukan kerja menaip dan melayari internet pada 90Hz. Jangka hayat bateri boleh dipanjangkan lagi jika anda mengurangkan refresh rate pada 60Hz tetapi boleh habis dengan cepat semasa melakukan kerja penyuntingan dan bermain game.
Pendek kata, saya amat puas hati dengan bateri laptop yang tahan lama dan cepat untuk mengecas.
Pendapat

Persoalannya, berbaloi ke tak untuk beli ASUS ZenBook 14 Flip OLED? Bagi content creator yang inginkan paparan warna yang lebih tepat – laptop ini memang tidak mengecewakan. Bagi usahawan atau mereka yang kerap membuat kerja produktiviti memakai laptop, saya juga jamin laptop ini boleh memenuhi kebanyakan permintaan anda.
Secara keseluruhan, Zenbook 14 Flip OLED ialah laptop 2-dalam-1 yang menawarkan prestasi kerja cukup bagus, bateri yang baik, amat serba boleh dan paling penting sekali, skrinnya yang sangat-sangat lawa. Andai kata korang hanya perlu laptop untuk kerja/belajar, saya memang 100% mengesyorkan ASUS ZenBook 14 Flip OLED.
Untuk sesiapa yang berminat, ASUS ZenBook 14 Flip OLED boleh didapati sekarang pada nilai harga RM 5,499 melalui laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post