Baru-baru ini, ASUS Vivobook 15X (K3504) diperkenalkan sebagai salah satu model baru di bawah barisan Vivobook yang semakin berkembang. Tidak sama dengan varian OLED, 15X memiliki pemproses Intel dan paparan IPS yang direka khas untuk membantu dalam urusan produktiviti anda. Turut dipasarkan sebagai laptop kerja mampu milik, adakah ASUS Vivobook 15X dapat membantu dalam kerja seharian anda?

Kami menguji produk ini dan berikut adalah hasilnya:
Spesifikasi rasmi
CPU | Intel Core i5-1335U Processor 1.3 GHz (12MB Cache, up to 4.6 GHz, 10 cores, 12 Threads) |
GPU | Intel UHD Graphics |
Paparan | 15.6-inch FHD (1920 x 1080) 16:9 aspect ratio |
Storan | 512GB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD |
RAM | 8GB DDR4 RAM |
Wireless | Wi-Fi 6E(802.11ax) (Dual band) 1*1 + Bluetooth 5.3 Wireless Card |
Port I/O | 1 x USB 2.0 Type-A | 1x USB 3.2 Gen 1 Type-C support power delivery | 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A | 1x HDMI 1.4 | 1x 3.5mm Combo Audio Jack | 1x Headphone/Headset | 1x DC-in |
Bateri | 42 WHrs 3-cell Li-ion battery, 65W AC adapter |
OS | Windows 11 Home & Student 2021 |
Berat | 1.6 kg |
Dimensi | 35.97 x 23.25 x 1.79cm |
Harga | MYR 3,199 |
Reka bentuk
Reka bentuk Vivobook 15X nampak anggun dengan skema warna Cool Silver dengan plat berwarna yang menunjukkan logo “ASUS Vivobook” dan reka bentuk berjalur di sisi. Sejujurnya, saya lebih suka motif kelabu metalik untuk versi OLED yang kami uji sebelum ini, tetapi warna kelabu untuk model ini masih memberikan rupa yang premium pada laptop.
Satu lagi kelebihan adalah 15X mempunyai penutup yang diperbuat daripada aluminium – ini merupakan peningkatan dari varian OLED yang majoriti diperbuat daripada plastik. 15X juga ada engsel 180° yang membolehkan kita menolak skrin ke bawah untuk membolehkan lebih ramai orang melihat apa yang ada pada skrin dengan mudah.

Jika anda terbalikkan laptop, kita dapat melihat engsel bawah yang bantu “meninggikan” laptop sedikit, lalu menjadikan reka bentuk terasa lebih ergonomik sambil bantu melepaskan haba dengan lebih banyak melalui aliran udara.
Dari segi saiz, 15X sebenarnya sangat padat dengan dimensi 35.97 x 23.25 x 1.79cm. Walaupun beratnya 1.6 kg, ia bukan laptop paling ringan di pasaran, tetapi masih cukup ringan untuk dibawa ke mana-mana jika anda sering dalam perjalanan.
Paparan

Vivobook 15X menampilkan skrin paparan 15.6″ Full HD (1920×1080) IPS LCD dengan aspek ratio 16:9 dan refresh rate 60Hz. Jika dibandingkan, kualiti paparan mestilah tidak sehebat versi OLED. Warna tidak setepat seperti apa yang saya peroleh apabila menggunakan laptop dengan paparan OLED, tapi ia cukup baik untuk kegunaan harian, dengan syarat jika anda tidak buat sebarang kerja design atau jenis kandungan lain yang memerlukan ketepatan warna tinggi .
Skrin ada kecerahan puncak 250 nits, yang sesuai untuk digunakan dalam rumah/bangunan. Walau bagaimanapun, ia tidak mampu melawan kecerahan matahari luar. Jika anda merancang untuk bekerja di luar rumah, pastikan anda membuka laptop di kawasan yang berteduh.

Satu ciri yang ASUS bawa semula dari model laptop lama ialah “shutter privasi fizikal” di mana anda boleh menutup webcam secara manual memakai jari. Ini sentiasa jadi ciri yang bagus kerana menambah satu lagi lapisan privasi pada kehidupan seharian kita.
Keyboard dan Trackpad

Keyboard pada Vivobook 15X adalah sama seperti varian lain. Tetapi ini bukanlah perkara yang buruk kerana setiap keyboard Vivobook mudah dan selesa untuk menaip.
Daripada pengalaman saya, setiap kekunci mempunyai travel distance yang pendek, dan lantunan yang mencukupi apabila menekan yang membuatkan sesi menulis rasa selesa. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan keyboard ini, terutamanya kerana saya tidak perlu gunakan terlalu banyak daya apabila menekan kekunci. Keyboard juga dilengkapi dengan number pad yang terselit kemas di bahagian tepi, dan ini pun boleh membantu masa dalam pelbagai tugas kecil seperti memasukkan data.

Sama seperti vivobook lain, 15X juga dilengkapi dengan trackpad yang agak besar, jadi urusan kerja tanpa mouse masih boleh dilaksanakan dengan selesa. Trackpad juga memiliki sensor cap jari yang terletak di sudut kanan supaya pengguna dapat log masuk serta-merta tanpa leceh.
Sambungan I/O

Vivobook 15X dilengkapi dengan beberapa port berguna: 1x USB 2.0 Type-A, 1x USB 3.2 Gen 1 Type-C, 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1x HDMI 1.4, 1x bicu audio 3.5mm dan 1x DC-in.
Cuma saya adalah satu masalah (yang pernah disebutkan dalam review lama). Saya tidak faham kenapa mereka meletakkan majoriti port di sebelah kanan laptop. Sama seperti laptop Vivobook lain, orang tangan kanan mungkin terasa sedikit janggal terutamanya jika anda menyambung pelbagai peranti lain.
Bukan itu sahaja, kedua-dua port USB 3.0 juga terletak di sebelah kanan, yang membuatkan keadaan menjadi lebih leceh jika saya mahu menggunakan port berkelajuan tinggi. Jika anda tidak kisah dengan semua itu, atau bukan jenis orang yang suka menyambung pendrive, hard disk, dan macam-macam lagi – itu tidak akan menjadi masalah.
Jangka hayat bateri

Vivobook 15X dilengkapi dengan bateri Li-ion 3-sel 42WHrs dan saya sempat menguji kira-kira sekitar 4-5 jam semasa membuat kerja dengan YouTube di latar belakang pada kecerahan 50% dan mode Best Power Efficiency.
Ia tidak mempunyai jangka hayat bateri yang terbaik berbanding laptop lain di pasaran, tetapi ia cukup bagus untuk pakai dan masih boleh bertahan hampir sehari bekerja, dengan syarat anda tidak membuka sebarang program yang terlalu intensif.
15X juga menyokong pengecasan pantas di mana anda boleh mengisi semula bateri laptop dari 0 hingga 60% dalam masa 49 minit melalui port DC-in.
Ujian Benchmark
3DMark: 935

PCMark 10: 4828

Cinebench Single Core: 1506 pts

Cinebench Multi Core: 7213 pts

Vivobook 15X bukanlah laptop gaming, jadi buat sesiapa yang merrancang untuk bermain game AAA, seeloknya anda mencari alternatif. Walau apapun, ia tetap boleh memainkan game yang kurang intensif, dengan syarat anda merendahkan grafik.
Berikut ialah tiga game yang kami uji dengan Vivobook 15X:
- Dota 2: 53 Avg FPS (Lowest Settings), 23 Avg FPS (Max Settings)
- Hades: 60 Avg FPS
- JoJo’s Bizarre Adventure: All-Star Battle R: 45 Avg FPS
Vivobook 15X menjalankan Dota 2 dengan lancar, dengan purata 53 FPS pada setting paling rendah, walaupun semasa teamfight yang serius. Walau bagaimanapun, meletakkan game pada setting tertinggi akan menurunkan prestasi keseluruhan. Bagi saya, game seperti ini bagus untuk dimainkan pada setting paling rendah, kerana itu bukan sebab utama orang bermain Dota. Kesnya pun sama untuk game FPS. Lebih rendah FPS anda, lebih bagus.
Max Settings:

Min Settings:

Mencuba Hades, game ini turut berjalan lancar dan secara konsisten mencecah purata 60 FPS, walaupun banyak kesan dan musuh muncul pada skrin. Untuk game jenis indie, anda tidak perlu terlalu risau tentang frame rate.

Game terakhir yang saya uji pada 15X ialah JoJo’s Bizarre Adventure: All-Star Battle R. Semasa bermain, saya rasa purata FPS agak tidak konsisten. Game ini masih boleh dimainkan, tetapi pengalamannya kurang selesa.

Pendapat

Secara keseluruhan, ASUS Vivobook 15X (K3504) ialah laptop produktiviti yang pasti dapat menyelesaikan setiap jenis kerja yang diberi. Jika anda mencari laptop mampu milik yang tugas utamanya adalah untuk bekerja dan tidak ada niat untuk bermain game AAA, Vivobook 15X adalah pilihan yang baik.
Tetapi disebabkan produk ini lebih murah daripada biasa, beberapa ciri premium seperti skrin OLED terpaksa dibuang. Visual tidak muncul dengan terang dan warna tidak setepat yang anda boleh lihat di skrin OLED. Pada masa yang sama, jangka hayat bateri tidak begitu menakjubkan. Jangan tersilap, ia masih mampu tahan lama dengan syarat anda hanya menggunakannya untuk tugas harian biasa.

Walaupun ada beberapa kelemahan, Vivobook 15X masih adalah laptop kompak di mana anda boleh bawanya dengan mudah dan ada beberapa peningkatan berbanding dengan varian OLED dengan kualiti bahan yang lebih premium. Sebagai tambahan, keseluruhan keyboard yang direka dengan baik dan seronok untuk menaip, jadi Vivobook 15X ialah laptop kerja yang pasti banyak membantu anda.
Bagi mereka yang berminat, ASUS Vivobook 15X (K3504) dijual pada harga RM3,199.00. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
Untuk baca segala liputan kami tentang produk ASUS, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post