ASUS masih mengekalkan usaha mereka untuk mengeluarkan laptop gaming yang boleh dimiliki oleh orang ramai. Kali ini, kami diberikan peluang untuk review ASUS TUF Gaming F17 yang telah dikemas kini daripada versi sebelum ini.
Dengan kombinasi CPU Intel i5 dan GPU NVIDIA RTX 3050, ia boleh menjadi laptop yang diinginkan oleh orang ramai pada harga mampu milik. Sebelum korang membeli, mesti korang nak tahu macam mana prestasi laptop ini semasa bermain game dan membuat kerja kan. Jadi, ini adalah review kami berkenaan ASUS TUF Gaming F17.
Reka Bentuk
Semasa saya membuka kotak, saya dapat rasakan yang ASUS TUF Gaming F17 adalah laptop yang bersaiz besar dan tebal. Ia didatangkan dengan saiz 39.5cm lebar, 26.4cm panjang dan ketebalannya pula ialah 2.54cm di mana ia agak tebal bagi saya.
Namun, saiz dan ketebalan itu tidak menjadi masalah bagi saya. Yang menjadi masalah adalah beratnya iaitu 2.6 kg dan sudah pasti ianya agak sukar untuk dibawa ke mana sahaja.
Perkara yang saya agak suka pada laptop ini adalah reka bentuk yang didatangkan nampak sangat berlainan dengan laptop gaming yang lain. Reka bentuk “lid” didatangkan dengan logo TUF pada bahagian tengah dan pada setiap penjuru mempunyai reka bentuk skru yang sangat ringkas.
Permukaan laptop ini juga didatangkan dengan matte yang agak kasar dan secara tidak langsung mengurangkan kesan cap jari padanya. Dengan permukaan yang sebegini, saya amat gembira semasa membuat kerja, bermain game dan macam-macam lagi.
Sementara laptop gaming lain meletakkan lampu “LED indicator” secara mendatar atau menegak, TUF Gaming F17 didatangkan dengan lampu “LED indicator” berbentuk “X”. Lampu “LED indicator” ini terletak pada bahagian atas keyboard dan ianya sangat jelas.
ASUS TUF Gaming F17 juga didatangkan dengan lubang angin yang sangat banyak. Ia terletak pada bahagian kiri, kanan, belakang dan juga bawah. Nak tahu ia berfungsi atau tidak, teruskan membaca.
Malang sekali, lid laptop ini tidak boleh dibuka dengan menggunakan satu tangan sahaja dan terpaksa menggunakan kedua-dua tangan untuk membukannya.
Keyboard & Touchpad
Banyak ciri-ciri hebat yang didatangkan pada laptop ini seperti jarak “travel” yang diperlukan sangat bagus iaitu pada 1.7mm. Tindak balas yang diberikan oleh keyboard juga cukup baik dan agak senyap.
Tetapi anda perlu meletakkan tekanan yang tinggi untuk memastikan key yang anda tekan itu didaftar. Saya cuba untuk menaip dengan laju pada tekanan yang saya biasa gunakan tetapi hasilnya adalah sangat teruk dan banyak typo yang telah saya lakukan.
Semasa menaip, saya merasakan yang menekan setiap butang, malang sekali tekanan yang saya berikan tidak cukup kuat untuk mendaftar key yang ditekan. Jadi, untuk meneruskan menaip, saya memperlahankan cara menaip dan tekan pada setiap key dengan tekanan yang tinggi.
Selain itu, jarak antara key juga memainkan peranan yang penting dalam ini. Laptop ini didatangkan dengan saiz 17 inci, jadi jarak pada setiap key agak jauh yang juga menyebabkan salah satu punca typo.
Untuk reka bentuknya pula, key WASD didatangkan dengan “semi-transparent” sama seperti laptop TUF sebelum ini. Keyboard laptop ini juga mempunyai lampu RGB di mana ia boleh ditukar kepada warna yang anda mahukan.
Malang sekali, anda tidak boleh menggunakan sebarang efek yang ada pada Armoury Crate. Hal ini kerana ia hanya dilengkapi dengan single zone RGB sahaja. Jadi, anda hanya dibenarkan untuk menukar satu warna kepada satu warna sahaja.
Bergerak kepada touchpad, ASUS TUF Gaming F17 mempunyai touchpad yang besar dan dilengkapi dengan logo TUF pada bahagian kanan atas. Kedudukannya juga sangat sempurna kerana ia langsung tidak terganggu semasa menaip. Touchpad laptop ini sangat lancar dan agak responsif.
Paparan & Audio
ASUS TUF Gaming F17 didatangkan dengan skrin bersaiz 17.3 inci FHD IPS panel yang beresolusi 16:9. Untuk refresh rate-nya pula agak tinggi iaitu pada 144Hz. Ciri lain yang melengkapi laptop ini adalah suis MUX dan memberikan sokongan AdaptiveSync.
Dengan skrin IPS panel, saya beranggapan sRGB yang tinggi tetapi apa yang diberikan adalah 62.50% sahaja dan sekali gus menyebabkan saya tidak suka pada laptop ini. Saya tahu ini laptop gaming tetapi ramai yang menggunakannya untuk membuat kerja lain seperti menggunakan Adobe Illustrator, Photoshop dan banyak lagi.
Bagi saya, warna yang dihasilkan pada skrin setiap laptop adalah sangat penting kerana setiap warna memainkan peranan yang penting untuk content creator. Namun, tahap “brightness” pada skrin laptop ini tidak teruk seperti yang disangka. Perbezaan antara paling malap dan paling terang nampak sangat ketara.
Untuk audionya pula, saya agak terkejut dengan hasil yang dikeluarkan oleh speaker stereo ini. Saya sememangnya menggunakannya untuk menonton filem. Walaupun anda duduk jauh daripada laptop, bunyi yang dihasilkan sangat kuat dan kualitinya langsung tidak turun. Manakala ketepatan bunyi stereo juga sangat tinggi.
Prestasi & Benchmark
ASUS TUF Gaming dilengkapi dengan CPU Intel i5-12500H dan GPU NVIDIA GeForce RTX 3050 serta 8GB RAM DDR5. Dengan 8GB RAM yang didatangkan, saya langsung tidak menetapkan harapan yang tinggi untuk ujian benchmark dan gaming.
3DMark – 5562
PCMark 10 – 6863
Ghostwire: Tokyo
Saya agak terkejut dengan hasil yang diberikan oleh laptop ini. Sedangkan saya bermain dengan tetapan grafik tertinggi tanpa DLSS dan FPS yang diberikan adalah 50. Ini bermaksud Ghostwire: Tokyo boleh dimainkan dengan sangat lancar.
Apabila saya menghidupkan tetapan DLSS, ia memberikan pengalaman yang lebih baik dengan memberikan FPS sebanyak 70-90 FPS. Walaupun ianya agak tidak stabil, ia masih boleh dimainkan dengan lancar tanpa sebarang lag.
Jika korang berminat nak bermain Ghostwire: Tokyo dengan menggunakan Ray Tracing, saya mencadangkan untuk mengubah tetapan grafik kepada yang paling rendah. FPS yang diberikan pun nampak stabil pada 50FPS.
Stray
Saya cubalah bermain game kegilaan ramai buat masa sekarang iaitu Stray. Saya mengenakan tetapan grafik paling tinggi dan pengalaman yang saya dapat sangat seronok. Bermain dengan sangat lancar tanpa sebarang lag. FPS yang diberikan pun cukup baik iaitu atas 100FPS.
Apex Legends
Untuk game kompetitif, saya cuba bermain game Apex Legends. Saya dapat bermain dengan sangat lancar. FPS pun cun je dalam 70-90 FPS.
Kalau anda nak pengalaman bermain yang lagi lancar, saya cadangkan untuk menurunkan tetapan grafik sehingga paling rendah.
Armoury Crate
Ini adalah software yang anda akan gunakan sebagai hub untuk buat tetapan yang ada. Anda boleh memantau prestasi laptop, menukar lampu RGB keyboard, menukar mode seperti Silent, Balanced, Performance dan Turbo. Jika anda tidak berpuas hati dengan mode yang diberikan, anda sendiri boleh overclock GPU secara manual dan perkara yang paling penting adalah menukar GPU kepada “discrete GPU.
Bateri
Bateri yang didatangkan pada laptop ini hanya sekadar 56Whr dan hanya mampu bertahan selama bawah 3 jam pada kegunaan yang ringan seperti menaip, melayari internet dan menonton YouTube. Hal ini kerana, saya telah mencubanya dengan membuat kerja menaip dan melayari internet selama 1 jam 40 minit dan bateri yang tinggal hanya sebanyak 24% sahaja daripada 100%.
Dalam masa yang sama, tahap kecerahan skrin yang saya gunakan adalah maksimum dan mode yang digunakan adalah “balanced”. Jika, anda dapat mengurangkan lagi tahap kecerahan skrin dan menukar mode pada “silent”, saya pasti bateri laptop dapat bertahan dengan lebih lama.
Untuk performance semasa bermain game. Saya dapat bermain 3 game iaitu Ghostwire: Tokyo, Stray dan Apex Legends. Saya menetapkan tetapan yang paling tinggi pada setiap game yang saya mainkan.
Thermal
Sudah tiba pada perkara yang ditunggu-tunggu iaitu thermal. Semasa bermain Ghostwire: Tokyo, saya perasan yang suhu pada laptop ini hampir mencecah 100oC dan kipas pula telah mencuba sedaya upaya untuk menyejukkan laptop. Sudah kalau suhu pun hampir mencapai takat didihnya air, jangan tanya pasal bunyi kipas kerana bunyinya yang sangat bising.
Untuk game lain seperti Stray dan Apex Legends, masing-masing memberikan suhu yang lebih rendah berbanding Ghostwire: Tokyo pada sekitar 80oC sehingga 90oC. Demi keselesaan anda semasa bermain, saya tidak mencadangkan untuk anda menggunakan mouse dengan jarak yang dekat pada bahagian kanan laptop kerana disitulah angin panas akan keluar daripada laptop.
Apabila laptop mencapai suhu dalam 90oC, kipas akan berpusing sehingga lebih daripada 40 dBA. Jadi, bunyi yang dihasilkan agak kuat.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, saya agak berpuas hati dengan spesifikasi yang didatangkan pada ASUS TUF Gaming F17. Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang masih boleh diperbaiki dalam versi seterusnya seperti sRGB skrin dan RAM. Alangkah seronoknya jika laptop ini telah didatangkan dengan 16GB RAM, sudah pasti ramai yang akan menyukai laptop ini.
Anda tidak perlu risau kerana ASUS membenarkan korang tambah sendiri RAM sehingga 32GB. Ini adalah satu-satunya cara jika anda ingin menambah RAM pada laptop ini semasa pembelian. Pengalaman bermain game pun tidaklah teruk mana pun sebenarnya, semua game berjalan dengan lancar dan masih boleh berseronok.
Kepada sesiapa yang berminat untuk dapatkan ASUS TUF Gaming F17, saya sarankan untuk korang menyediakan sedikit duit lebih untuk upgrade RAM kepada yang lebih tinggi supaya anda dapat bermain game kesukaan dengan lebih lancar. ASUS TUF Gaming F17 telah tersedia di pasaran sekarang dengan harga RM4,999.
Untuk mendapatkan spesifikasi penuh, anda boleh klik di sini. Dapatkan review lain berkenaan teknologi daripada kami di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post