PUBG Mobile dan Garena Free Fire adalah dua permainan Battle Royale yang sangat naik terutama dalam komuniti esports. Banyak peminat sering membanding-bandingkan sama ada PUBG Mobile yang terbaik, atau ada yang menyatakan Free Fire lebih seronok. Sering kali juga di Malaysia ramai yang menyatakan Free Fire ini game untuk “bocah” sahaja, kerana tidak terlalu kompetitif seperti PUBG Mobile dan juga dalam pembandingan terbaru, Call of Duty: Mobile. Wow, macam-macam kalau nak dengar orang bandingkan PUBG Mobile vs Free Fire ni kan!
Tetapi, dengar cerita baru-baru ini dengar cerita Free Fire melonjak naik peminatnya, tetapi di Amerika Syarikat lah bukan di Asia Tenggara sehingga mencecah 1 juta pemain.
Ini mungkin kerana, tahun ini Garena Free Fire membuat rombakan terhadap permainannya dengan memberi kolaborasi yang hebat-hebat seperti bersama Christiano Ronaldo, juga anime terkenal One Punch Man dan Attack on Titan. Walau bagaimanapun, PUBG Mobile meneruskan penguasaannya ke atas pasaran global, memperoleh pendapatan sebanyak $744 juta – peningkatan 3.2 peratus dari Q1 tahun 2020. PUBG Mobile juga tidak ketinggalan dengan memberi pelbagai kemaskini yang menarik dalam acara-acaranya termasuk acara esports yang besar untuk menarik lebih ramai pemain.
Kalau diikutkan perbalahan pemain, memang tidak akan habis, peminat PUBG Mobile sering mengata-ngata Free Fire, sama juga sebaliknya. Tetapi, adakah anda tahu bahawa keduanya mempunyai kelemahan? Dan apa sebenarnya perbezaan dalam kedua permainan Battle Royale ini? Maka dengan baik hatinya, saya nak mengongsikan perbandingan antara kedua permainan ini kepada anda semua, mana tahu kot lepas ini anda nak beralih arah, atau lebih mudah, main sahaja kedua-duanya!
Grafik pada phone yang berspesifikasi hebat
Saya tahu, ada diantara kita menggunakan telefon pintar di bawah RM1000 atau atas RM1000. Dari situ, tetapan pada kedua permainan memberi kita pilihan untuk mendapatkan grafik terbaik pada permainan. Pertama sekali, kedua permainan ini mempunyai grafik yang baik, tetapi, sudah semestinya PUBG Mobile adalah pemenang dari bingkai ke bingkai jika di pandang dari setiap maklum balas pemain.
PUBG Mobile telah menggunakan Unreal Engine 4 yang ramai tahu ianya menghasilkan grafik yang sangat cantik untuk permainan PC. Jadi inilah sebabnya PUBG Mobile menjadi pemenang kalau dibanding dari segi grafik. Ianya lebih lancar dan nampak lebih realistik. Bukan itu sahaja, peta dan persekitaran yang ada di dalam PUBG Mobile lebih terserlah dan terurus dalam warna. Jika anda menggunakan telefon berspesifikasi tinggi seperti ROG Phone, atau Black Shark, lebih senang cerita untuk telefon pintar atas dari RAM 6gb, anda berkemungkinan besar dapat menikmati 90FPS! Jadi memang dah nampak hasil HD, UHD dan 4K yang menampilkan grafik realistik!
Manakala untuk Free Fire, ianya lebih kearah kartun dan agak arked. Ia tidak mempunyai pendekatan yang realistik dan dengan itu membuat permainan terasa lepu. Walaupun begitu, permainan ini juga menggabungkan pelbagai warna dan bingkai kontras yang menarik untuk menarik pemain. Fokus utama Free Fire adalah memenuhi keperluan pemain telefon pintar yang spesifikasi rendah. Jadi itu yang terbaik untuk pemain yang memiliki telefon pintar biasa bersama merasai keseronokan battle royale tersebut.
Peta dan Mod yang tersedia
Kedua permainan ini sering memberikan yang terbaik dalam kemaskini patches dan acara dalam permainan. Memberi peta dan mod baru adalah salah satu taktik yang berjaya membuat pemain gembira. Seperti peta di PUBG Mobile, mereka mempunyai konsep sendiri, separuh dari peta asalnya dibawa dari versi PC dan konsol PUBG. Peta yang tersedia hingga kemaskini April 2021 adalah termasuk Erangel, Karakin, Miramar dan Sanhok. Manakala Livik adalah peta tersendiri untuk PUBG Mobile.
Pemain PUBG Mobile mesti tahu yang Karakin adalah terbaru dalam mod BR menggantikan Vikendi, ramai peminat tempat bersalji itu kecewa, tetapi jangan risau, Vikendi kini dalam perancangan dikemaskini dan jika anda rindukannya, kan ada Custom Room!
Di Free Fire pula terdapat peta utama untuk BR iaitu Bermuda, Kalahari, dan Purgatory. Namun, di salah satu catatan media sosial terbaru, Garena menyatakan bahawa Bermuda Remastered yang digemari peminat akan segera ditambahkan ke dalam permainan secara kekal. Mesti ramai peminat Free Fire terujalah dengan kedatangan peta ini kan?
Untuk mod yang tersedia pula Free Fire mendominasi dengan pelbagai mod baru. Tetapi selalunya tidak kekal dan akan bertukar-tukar. Di PUBG Mobile pula yang tersedia seperti berikut:
- Classic: Erangel, Livik, Miramar, Sanhok, Karakin
- Arcade: Quick Match, Sniper Training, War
- EvoGround: Payload 2.0, Power Armor
- Arena: Gun Game, Arena Training, Team Deathmatch, Domination, Assault
Manakala ini mod yang tersedia buat masa kini di Free Fire:
- Ranked Game
- Classic
- Clash Squad (Ranked and non-Ranked)
- Cosmic Racer
Kedua-dua PUBG Mobile dan Free Fire adalah permainan yang sangat baik dan menawarkan peta dan mod permainan yang unik kepada pemain mereka. Walau bagaimanapun, PUBG Mobile adalah pemenang yang jelas mengenai lebih banyak peta dan mod permainan. Terdapat lebih dari 10 mod permainan dan sub-mod, sedangkan Free Fire mempunyai 4-5 dan sering bertukar.
Juga dika dilihat pada Free Fire, jangka masa permainan lebih pendek kerana beberapa faktor, tetapi ini disebabkan oleh peta yang lebih kecil dan maksimum 50 pemain. Untuk PUBG Mobile, ini adalah pertarungan antara 100 orang dalam satu permainan. Jika anda malas nak main terlalu lama, pilih sahaja peta Karakin atau Livik. Okay kita teruskan lagi untuk PUBG Mobile vs Free Fire ini.
Watak, skin, kostum
Dari pendapat saya, saya memang sukakan apa yang dihasilkan oleh PUBG Mobile, mereka sering memberi sesuatu yang baru hingga mencabar keimanan untuk pemain topup UC~ Eh. Tetapi sama juga dengan Free Fire, skin mereka berikan memang tidak terkata. Ada sahaja yang menarik membuat kita nak dapatkannya.
Watak yang ada sememangnya menjadikan Free Fire pemenangnya, setiap watak ada personaliti masing-masing, lagi-lagi Chrono yang menampilkan Christiano Ronaldo sebagai rupanya atau pilihan watak lain seperti Dasha, K, Jai dan banyak lagi. Seperti PUBG Mobile mereka masih baru dalam beberapa watak yang diperkenalkan seperti Victor, Sara, Carlo dan Andy. Tetapi pek suara yang diberikan dari PUBG Mobile memang agak menarik terutama suara Andy yang agak menjengkelkan, tetepi tidak dapat melawan suara Ayam yang terbaru dalam PUBG Mobile.
Kawalan dan Aiming
Aim assist dalam Free Fire juga terasa lebih berkesan daripada PUBG Mobile. Diperlukan waktu lebih lama untuk menjatuhkan musuh di Free Fire tetapi, terasa lebih kompetitif dalam PUBG Mobile. Seperti looting juga, untuk menjadikan lebih kompetitif, PUBG Mobile menggunakan peta mereka yang besar untuk kita lebih rajin mencari barangan yang perlu di loot.
Selain itu, bagi saya yang lebih sukakan realistik, PUBG Mobile mempunyai recoil yang baik untuk peminat permainan BR. Tetapi jika anda agak malas nak menjaga recoil, saya rasa Free Fire lebih mudah untuk penggunaanya. Lebih mudah untuk dibicarakan, ianya lebih kepada cara permainan anda sendiri
Dan terakhir dari segi tetapan, keduanya memberikan cara agak mudah kepada pemain memilih yang paling sesuai dalam kegunaanya. Lagi satu, jika anda bermain dengan telefon pintar yang rendah spesifikasinya, bersedialah untuk menjadi pemain bot, kerana sering akan menjadi lag, bug dan seangkatanya di PUBG Mobile.
Maka mana satu pilihan yang terbaik?
Sejujurnya, ini bedasarkan pilihan sendiri. Tetapi jika tanya saya, sudah semestinya PUBG Mobile lah. Kenapa? Kerana ianya lebih mencabar terutama dalam bidang esports. Jika bedasarkan telefon yang dimiliki, anda semestinya memerlukan telefon yang hebat untuk bermain PUBG Mobile. Untuk keseronokan dalam BR dengan pelbagai acara, dan jika anda mempunyai telefon pintar bajet, jawapannya sudah tentu Free Fire.
Maka, apa pula pendapat anda dengan PUBG Mobile vs Free Fire? Yang mana satu dari pandangan mata anda yang lebih baik dalam Battle Royale di mobile? Adakah PUBG Mobile? Atau Free Fire? Atau anda lebih sukakan Call of Duty Mobile juga Rules of Survival? Jangan segan-segan, dan jom kongsikan di ruangan komen kami ok!

@gamersantaimy
Discussion about this post