Capcom bersedia untuk membawa revolusi dalam siri Monster Hunter dengan kemunculan Wilds, menjanjikan pengalaman memburu yang lebih seronok dan dinamik. Dalam sesi previu untuk versi PS5, kami berpeluang merasai sendiri bagaimana game ini menggabungkan mekanik klasik dengan inovasi baharu yang mengagumkan.
Tanpa melengahkan masa, berikut adalah pendapat awal kami bagi Monster Hunter Wilds.
Dunia Yang Lebih “Hidup“
Monster Hunter Wilds membawa lonjakan besar dalam aspek world-building dan reka bentuk persekitaran. Berbeza dengan entri lama, kali ini ekosistem permainan terasa lebih nyata dan saling berkaitan, di mana penempatan manusia wujud secara semula jadi dalam landskap.

Setiap kawasan mempunyai “base camp” tersendiri, dengan watak seperti Alam, Gemma, dan Nata yang sentiasa menemani perjalanan anda. Ketika meneroka kawasan baru, kumpulan ini akan berpindah bersama anda, menubuhkan kem baru sambil bertemu NPC lain seperti Werner di Scarlet Forest.
Lebih daripada sekadar medan memburu, game ini menunjukkan bagaimana manusia bertahan dan beradaptasi dalam dunia yang mencabar ini.

Semasa sesi previu di PS5, kami berpeluang menjelajah tiga kawasan utama: Windward Plains, Scarlet Forest, dan Oilwell Basin. Peralihan antara kawasan ini berlaku dengan begitu lancar, dibolehkan oleh kelajuan loading PS5 yang mengambil masa hanya beberapa saat.
Ini memberikan sensasi dunia yang benar-benar bersambung dan hidup, tanpa gangguan skrin loading yang panjang.
Dalam temu bual bersama Pengarah Kaname Fujioka, beliau mendedahkan bahawa salah satu ciri unik game ini—perubahan warna air menjadi merah—pada awalnya hanyalah eksperimen reka bentuk. Namun, ciri ini akhirnya berkembang menjadi elemen ekologi yang lengkap.
“Apabila kami mengubah warna air menjadi merah, kami mula memikirkan keseluruhan ekosistem di sekelilingnya. Kami kembali meneliti sebab saintifik dan logik di sebalik perubahan warna ini,” jelas Fujioka.
Pertempuran: Falsafah Baru Semasa Memburu
Sistem pertempuran dalam Monster Hunter Wilds membawa perubahan besar kepada mekanik pemburuan raksasa. Salah satu inovasi paling ketara ialah “focus mode”, yang membolehkan Hunter menyusun semula serangan dengan lebih tepat, menyasarkan titik lemah raksasa, dan melancarkan serangan secara lebih lancar.
Tidak seperti game sebelumnya yang lebih menekankan strategi defensif, Wilds menggalakkan gaya pertempuran yang lebih agresif.

Dari segi rentak permainan, Wilds menggabungkan keseimbangan antara Monster Hunter: World dan pergerakan pantas dalam Monster Hunter: Rise. Walaupun Rise membolehkan Hunter bangkit dengan pantas menggunakan wirebug, Wilds mengambil pendekatan yang lebih taktikal, di mana pemulihan memerlukan perancangan yang lebih berhati-hati.

Dalam Wilds, apabila seorang Hunter terkena serangan kuat dan tumbang, satu-satunya cara untuk pulih ialah dengan memanggil Seikret (mount) untuk melarikan diri dan menyembuhkan diri. Ini menjadikan pertempuran lebih mencabar berbanding sistem pemulihan pantas dalam Rise.
Dari segi kesukaran keseluruhan, game ini terasa setanding dengan Rise, tetapi mekanik pergerakan dan pemulihannya lebih menyerupai World, yang menuntut pendekatan lebih berstrategi.
Ketika sesi previu, kami berpeluang mencuba sistem pertempuran baharu ini menggunakan pelbagai jenis senjata dalam pertarungan menentang raksasa seperti Quematrice, Congalala, Lala Barina, Doshaguma, Balahara, Uth Duna, Rompopolo, dan Nerscylla.

Antara ciri yang paling menonjol ialah “focus mode”, yang membolehkan Hunter menyesuaikan arah serangan dengan lebih tepat untuk menyerang titik lemah raksasa. Bagi senjata berat seperti hammer, gunlance, dan greatsword, mod ini benar-benar mengubah cara bermain.
Pemain kini boleh mengubah sasaran dengan pantas tanpa mengganggu kombo serangan, menjadikan pertempuran lebih lancar. Setiap raksasa mempunyai sekurang-kurangnya lima titik lemah, memberi peluang kepada Hunter untuk menerapkan gaya permainan yang lebih agresif dan taktikal.

Tambahan pula, semua senjata melee kini dilengkapi dengan pergerakan khas seperti “counter, block, dan evasion” yang boleh digunakan sejak awal permainan. Pendekatan baharu ini menghapuskan sekatan lama, membolehkan pemain lebih kreatif dalam gaya pemburuan mereka.
Sistem kemahiran senjata kini lebih terintegrasi dengan kemahiran peralatan, membuka lebih banyak pilihan penyesuaian dan strategi.
Bagi senjata jarak jauh, Wilds membawa banyak peningkatan yang memudahkan pemain. Peluru level 1 seperti “piercing” dan “spread” kini tidak terhad, menghapuskan keperluan untuk mengisi semula selepas setiap misi. Bagi pengguna bow, anak panah kini boleh dicas semula, mengurangkan kebergantungan kepada sumber yang terhad.
Raksasa: Rekaan yang Lebih Natural
Senarai raksasa yang diperkenalkan dalam previu ini mencerminkan falsafah rekaan baharu Capcom.
Berbanding mengambil inspirasi daripada makhluk mitologi atau spesies yang telah pupus, raksasa seperti Quematrice (Brute Wyvern yang menyerupai ayam) dan Uth Duna (yang mirip biawak) lebih menonjol dengan perilaku yang berpandukan ekologi haiwan sebenar.

Setiap raksasa memperlihatkan ciri unik mereka: Congalala mengekalkan tabiat tidur di tengah pertempuran serta kebolehannya mengganggu penggunaan item, sementara Uth Duna menunjukkan interaksi menarik dengan persekitarannya, mencipta gelombang air semasa bertarung di Scarlet Forest. Lala Barina, sejenis Temnoceran, memperkenalkan mekanik unik seperti serangan lumpuh berbasis bunga, manakala Nerscylla kembali dengan corak serangan web dan rahangnya yang dikenali dalam siri terdahulu.

Pelbagai jenis raksasa yang diperkenalkan—daripada Brute Wyvern hingga Leviathan dan Temnoceran—menawarkan pengalaman pemburuan yang seimbang, menggabungkan elemen lama yang dikenali dengan raksasa baharu yang segar dan mencabar.
Penceritaan: Naratif yang Lebih Mengasyikkan
Tidak seperti game lama Monster Hunter, Wilds menampilkan penceritaan yang lebih bersifat sinematik. Previu yang kami cuba menampilkan banyak adegan sinematik dan dialog yang memberikan konteks lebih luas tentang bagaimana manusia bertahan di dunia ini.
Pemain boleh meneroka Windsong Village di Kunafa, melihat kanak-kanak bermain, penduduk kampung berinteraksi dengan Seikret, serta mengalami sendiri cabaran kehidupan dalam dunia yang liar dan penuh bahaya.
Menurut pengarah permainan, Kaname Fujioka, pendekatan ini dilakukan dengan sengaja:
“Tema utama masih mengekspresikan ekologi raksasa, tetapi kali ini kami ingin menambahkan elemen manusia, menggabungkan interaksi antara raksasa dan manusia, serta menghubungkannya kembali kepada watak Hunter itu sendiri.”
Walaupun sesetengah pemain mungkin berasa bahawa unsur naratif ini memperlahankan rentak permainan, matlamat utama pasukan pembangunan adalah untuk menjadikan dunia Wilds terasa lebih nyata dan hidup.

Namun, bagi pemain yang lebih mengutamakan aksi dan tidak mahu terlalu terikat dengan elemen penceritaan, Fujioka menegaskan bahawa kebebasan pemain tetap menjadi keutamaan:
“Jika pemain hanya ingin fokus pada aksi dan menyelesaikan misi pemburuan satu demi satu, itu masih boleh dilakukan sepenuhnya.”
Walaupun pemain bebas untuk melangkau bahagian penceritaan, beliau turut menyatakan bahawa “melewatkan naratif mungkin menyebabkan pemain kurang memahami cerita yang ingin kami sampaikan.”
Inovasi Teknikal dan Mekanik Gameplay
Previu ini memperlihatkan beberapa sistem baharu yang menarik, dengan sistem masa dan angin menjadi tambahan yang paling ketara dalam mekanik gameplay. Kitaran masa dalam game berubah secara dinamik sepanjang misi, di mana waktu siang berlangsung kira-kira 10 minit, senja sekitar 6 minit, dan malam bertahan selama 7 minit.
Walaupun kesan penuh daripada perubahan masa ini masih belum dapat dinilai sepenuhnya, ia dijangka menambah elemen strategik dalam perburuan.

Sistem angin pula memberikan interaksi persekitaran yang lebih mengasyikkan. Pemain akan melihat perubahan dramatik pada landskap, seperti pergerakan pasir di kawasan gurun dan pelbagai jenis angin yang boleh mempengaruhi jarak penglihatan serta tingkah laku raksasa.
Dalam previu, keadaan angin ternyata mempengaruhi persekitaran perburuan secara halus, menambahkan lagi cabaran dan pertimbangan taktikal dalam setiap ekspedisi.

Dari segi “equipment customization”, Wilds memperkenalkan sistem yang lebih fleksibel. Kini, pemain boleh membawa dua senjata yang sama, sesuatu yang tidak dibenarkan dalam game dahulu. Set perisai juga mengalami perubahan besar dengan sistem “group skills” yang lebih mudah diaktifkan.
Jika dalam game Monster Hunter sebelum ini pemain perlu melengkapkan 3 hingga 5 bahagian perisai untuk mendapatkan bonus set tertentu, Wilds menawarkan lebih banyak variasi dalam keperluan jumlah bahagian perisai untuk mengaktifkan bonus. Ini membolehkan pemain bereksperimen dengan kombinasi perisai yang lebih bervariasi dan mencipta build yang lebih unik.
Dari segi reka bentuk perisai dan senjata, setiap set perisai kini hadir dalam dua variasi—satu untuk pemburu jarak dekat dan satu untuk pemburu jarak jauh. Walaupun setiap variasi menampilkan skil berbeza, perubahan ketara kali ini ialah kedua-duanya mempunyai stats pertahanan dan ketahanan elemen yang sama.
Ini menghapuskan jurang ketahanan antara perisai jarak dekat dan jarak jauh yang wujud dalam game terdahulu.

Selain itu, kemahiran khusus senjata kini lebih terintegrasi dengan sistem peralatan. Pemain boleh menggabungkan skil dari senjata dan peralatan untuk meningkatkan kesan status, menawarkan tahap customization yang belum pernah ada sebelum ini.
Skil seperti Rapid Morph dan Guard kini lebih dinamik, memberikan lebih banyak pilihan untuk mencipta gaya perburuan yang unik dan efektif.
Pendapat
Monster Hunter Wilds bukan sekadar satu lagi kesinambungan dalam siri ini. Dengan menekankan reka bentuk raksasa yang lebih natural, dunia permainan yang lebih mengasyikkan, serta mekanik pertempuran yang dikemas kini, Capcom berusaha untuk membawa francais ini ke tahap yang lebih tinggi.

Salah satu aspek paling menarik dalam Wilds ialah keseimbangan antara aksesibiliti dan strategi.
Penghapusan pengurusan sumber untuk peluru asas dan pergerakan pertempuran yang lebih lancar menjadikan game ini lebih mesra kepada pemain baru, manakala sistem pemulihan yang lebih mencabar serta focus mode yang strategik mengekalkan cabaran yang sinonim dengan siri ini. Sistem perisai yang telah dirombak turut membuka lebih banyak pilihan dalam membina gaya permainan yang unik dan fleksibel.
Selain itu, tumpuan yang lebih besar pada elemen kehidupan manusia dan penempatan di dalam dunia permainan memberikan dimensi baharu kepada francais ini. Kini, pemain bukan sahaja memahami ekologi raksasa, tetapi juga kesan kewujudan mereka terhadap tamadun manusia.
Selepas sesi previu ini, Wilds dilihat masih mengekalkan teras utama Monster Hunter, sambil memperkenalkan inovasi bermakna yang mampu menarik perhatian pemburu veteran dan pemain baharu.
Dengan pelancaran penuhnya semakin hampir, keterujaan semakin meningkat game permainan yang berpotensi menjadi satu pengalaman yang benar-benar mengubah landskap siri ini.
Monster Hunter Wilds akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam pada 28 Februari 2025. Jika berminat, anda boleh pre-order di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post