Masih mengekalkan status sebagai salah satu fighting game paling popular sehingga sekarang, Tekken sentiasa mencuba untuk bereksperimen bersama game-nya setiap tahun. Bukan sahaja perubahan dari segi kualiti visual, malah mereka cuba untuk mengubah cara game ini dimainkan. Contoh terbaru adalah Tekken 8 selepas pengenalan Heat System. Kami berpeluang mencuba preview Tekken 8 – Closed Network Test anjuran Bandai Namco Entertainment dan berikut adalah info tambahan tentang gameplay baharu.
Adakah Heat System benar-benar menjadikan gameplay lebih rancak, dan agresif? Teruskan membaca preview Tekken 8 di bawah untuk tahu lebih lagi!
Apa itu Heat System?

Heat System boleh dikatakan sebagai salah satu sorotan utama dalam Tekken 8 dan juga perubahan paling drastik daripada segi gameplay. Semasa mencuba CNT, “sistem pip” telah digantikan dengan Heat Energy; yang asalnya direka untuk memberi lebih banyak pilihan pergerakan untuk pemain lakukan dalam Heat Mode, seperti melakukan Heat Dash Cancel untuk memanjangkan kombo atau menamatkan Heat Mode dengan Heat Smash yang kuat.
Hasilnya adalah fokus berlebihan pada ofensif. Daripada membuatkan Heat sebagai power up, ia boleh dianggap sebagai hukuman untuk pihak lawan jika mereka salah teka pergerakan kita. Majoriti perlawanan yang saya menang menggunakan prinsip ini. Digabungkan lagi dengan damage tambahan daripada Rage, sayangnya tiada musuh yang berjaya hidup setakat ini.

Menggunakan Heat Dash atau Heat Smash akan menamatkan Heat dengan serta-merta – jadi daripada hanya memukul musuh, anda masih perlu memikirkan cara paling berkesan untuk menggunakan Heat, supaya tidak mensia-siakan peluang besar tersebut. Memandangkan penggunaan Heat adalah elemen penting, jangan terkejut jika pihak lawan pun mengaktifkan Heat mereka untuk menghabiskan anda dengan lebih cepat.
Satu fakta penting yang saya dapat tahu adalah tidak semua watak mempunyai Heat yang sama dan adil kerana; King dapat mencuri balik meter Heat setiap kali dia dapat menangkap anda dan faktor ini membuatkannya jauh lebih kuat berbanding watak lain seperti Lili, yang sekadar menambah gerakan baru.
Pemain terpaksa menjadi agresif

Walau bagaimanapun, hal ini dipengaruhi oleh faktor-faktor besar lain termasuk backdashing yang tidak sekuat Tekken 7, dan majoriti pergerakan watak yang dirombak semula sehingga gaya permainan paling defensif kini bersifat agresif.
Ini boleh menjadi masalah besar untuk pemain baru. Sama seperti majoriti game Tekken pada masa lalu, perubahan baru akan mengakibatkan pemain menjadi keliru, dan tidak tahu untuk buat apa. Saya pun terpaksa mengaku bahawa Tekken ialah fighting game yang sangat komplek dan pemain memerlukan pemahaman asas yang kukuh jika ingin maju dalam Tekken 8.

Tidak seperti Tekken 7 yang lebih dikenali, Tekken 8 sekurang-kurangnya memberi anda lebih banyak cara untuk menang. Serang bila ada peluang, aktifkan Heat, habiskan lawan. Ia bukan cara yang elegan, tetapi ia cukup untuk kebanyakan pemain yang baru mengenali siri ini. Saya percaya dalam konsep “belajar sambil kerja”, jadi dengan adanya mekanik seperti Heat, ia dapat membantu anda memenangi pertarungan.
Tetapi jangan terpedaya, Tekken 8 masih adalah mimpi ngeri untuk pemain baru. Walaupun ada banyak alat bantuan seperti “combo yang disyorkan” dan “contoh cara-cara melakukan combo”, ia tidak mudah seperti yang disangkakan. Game seperti Street Fighter dan Guilty Gear pun menyediakan panduan ringkas untuk setiap watak, tetapi ia berbeza untuk Tekken 8 kerana senarai kombonya lebih rumit dan boleh memeningkan pemain baharu.

Memandangkan setiap watak sangat kompleks dan boleh menggunakan pelbagai mixup, kombo dan seumpamanya, saya harap ada lebih banyak cara untuk Tekken 8 merapatkan jurang kemahiran antara pemain baharu dan veteran.
Pendapat

Sebagai seseorang yang bermain Tekken selama beberapa tahun, Heat System benar-benar memberi gameplay lebih bervariasi dan intense. Ia memaksa pemain untuk bersikap agresif, tidak kira anda pemain lama atau pemain baharu. Bukan itu sahaja, Heat System juga boleh mengubah tempo gameplay pada bila-bila, bergantung pada pergerakan watak yang digunakan. Kalau dahulu, anda boleh menang sekelip mata – mungkin sekarang anda perlu berfikir semula jika bertemu pihak lawan yang setanding.
Secara tidak langsung, ini menjadikan perlawanan lebih menarik untuk bermain dan ditonton.
Berkenaan ciri-ciri netcode, game ini jauh lebih stabil daripada Tekken 7. Masih ada beberapa isu “stuttering” dan “lag” tetapi insiden ini kemungkinan besar berlaku kerana kekuatan internet pemain; bukannya game.

Maka, tamatlah preview saya untuk Tekken 8, yang kini masih dalam pembangunan aktif untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam. Malangnya, tarikh keluaran rasmi masih belum diumumkan. Untuk baca segala liputan kami tentang Tekken, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post