God of War Ragnarok merupakan sekuel langsung kepada God of War (2018) original dan masih tertumpu kepada Kratos dan anaknya Atreus di mana mereka perlu menghadapi ancaman lebih hebat untuk menghalang peristiwa Ragnarok (hari kiamat dalam mitologi Norse).
Daripada plot pendek ini, ramai menganggap adalah premis game jauh lebih besar berbanding entri sebelum, tetapi adakah Ragnarok dapat meneruskan kejayaan game pertama?
Sebelum meneruskan preview ini, saya perlu beritahu bahawa saya tidak akan bercakap banyak tentang jalan cerita -walaupun untuk review. Apa yang saya boleh beritahu adalah game ini mempunyai banyak adegan dan detik hebat yang pemain harus mengalami sendiri daripada baca di review.
Dengan itu, anda boleh membaca dahulu preview awal saya untuk God of War Ragnarok di mana saya menggambarkan pengalaman 5 jam pertama dalam game ini.
Pengembaraan Kratos dan Atreus masih belum tamat

Saya tidak akan cakap banyak tentang jalan cerita, tetapi korang boleh membaca sinopsis pendek yang saya sediakan di bawah:
“Kratos dan Atreus mesti pergi ke setiap ‘Nine Realms’ untuk mencari jawapan semasa bersiap sedia untuk peperangan yang diramalkan akan menamatkan dunia.
Bersama, Kratos dan Atreus harus meneroka jauh ke dalam Nine Realms untuk mencari jawapan ketika pasukan Asgardian bersedia untuk berperang. Sepanjang perjalanan, mereka akan meneroka landskap mitos yang menakjubkan, mengumpulkan sekutu dari seluruh alam dan menghadapi musuh menakutkan yang datang dalam bentuk dewa dan raksasa Norse.
Apabila ancaman Ragnarok semakin hampir, Kratos dan Atreus mendapati diri mereka harus memilih antara keselamatan keluarga atau keselamatan alam…”

Sepanjang tempoh bermain, saya perasan ada satu elemen yang dikatakan sangat konsisten sejak game pertama iaitu lakonan watak yang penuh emosi. Pihak studio benar-benar meluangkan masa yang banyak di setiap babak untuk benar-benar menyerlahkan emosi setiap watak, tetapi pada masa yang sama, bijak mengekalkan pacing supaya seimbang – tidak terlalu laju, tidak terlalu perlahan.
Anda juga boleh menjangkakan banyak pertarungan hebat antara makhluk mitos dan dewa berkuasa, di mana visual serba baharu dalam siri ini pasti meningkatkan pengalaman pemain. Koreografi berlawan dalam Ragnarok memang antara yang terbaik pernah saya lihat dalam banyak-banyak game. Bab aksi, memang korang akan terpukau sekali.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah betapa bagusnya studio menunjukkan perkembangan/kemajuan Atreus. Saya rasa dia yang paling banyak berubah dan bukan sahaja daripada segi penampilan atau suara, tetapi juga daripada segi cara bertarung dan keyakinan.

Untuk Kratos, dia kini nampak lebih gembira melihat kemajuan anaknya tetapi masih berpegang pada personaliti “ayah yang tegas” dan mengajar Atreus tentang erti disiplin dan cara-cara untuk menjadi “manusia berguna” supaya tidak mengulang kesilapan dirinya pada masa lalu.
Pemain baru mungkin tidak merasakan perubahan watak yang besar, tetapi bagi peminat tegar, hubungan mereka sebenarnya banyak berubah secara dramatik selepas melihat jalan cerita.
Pada masa yang sama, game ini menawarkan Story Recap yang menceritakan kisah dalam game sebelum sekiranya anda sudah terlupa, tetapi ini lebih sesuai untuk pemain baharu yang mungkin ingin terus melangkah masuk ke sekuel.
Malangnya, saya tidak mengesyorkan pemain baru untuk buat begitu kerana game pertama sangat penting untuk memahami jalan cerita dan menawarkan pengalaman gameplay yang hebat. Di samping itu, ia juga tersedia secara percuma di PlayStation Plus, jadi tiada sebab untuk tidak mencuba game pertama.
Gameplay sama dengan beberapa tambahan baru

Tidak banyak yang berubah daripada aspek gameplay. Ia masih sama dari segi kawalan dan serangan, tetapi kini anda boleh menggunakan Blade of Chaos pada awal permainan. Mungkin ramai yang inginkan mekanik atau cara bertarung baru untuk Kratos, tetapi tidak semua sekuel harus berubah secara drastik. “Jika yang asal sudah bagus, mengapa kita perlu buat perubahan lagi?”
Dalam situasi tertentu, saya lebih suka Ragnarok mengekalkan gameplay teras supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan mudah ke bahagian pertempuran.
Pertempuran, seperti biasa sangat smooth tetapi dengan penambahan DualSense yang menyokong Haptic Feedback dan Adaptive Trigger, gameplay terasa lagi lebih seronok lagi-lagi apabila membaling dan menangkap Leviathan Axe. Itu semua berkat perkakasan PS5, yang membolehkan kita alami dunia Ragnarok dengan mendalam terutamanya dalam adegan aksi.

Untuk musuh, saya rasa setakat ini mereka melakukan kerja yang sangat bagus dengan variasi musuh, di mana anda sentiasa melawan musuh yang baru; bukannya Troll A, Troll B, dan sebagainya seperti game pertama. Ini penting kerana setiap musuh mempunyai corak berlawan sendiri yang perlu anda pelajari dan memahami.
Namun, itu bermaksud Ragnarok menjadi semakin taktikal. Sejujurnya saya kurang biasa dengan pendekatan ini di mana kita perlu bermain dengan lebih strategik, memandangkan dalam game lama God of War (GoW 1,2,3), pemain boleh terus membantai musuh tanpa belas kasihan.
Dalam Ragnarok, dia masih lagi sangat kuat, cuma gameplay moden tidak membenarkan kita membunuh musuh sesuka hati dan menambah tahap kesukaran. Mengikut pengalaman saya, 3 atau 4 serangan daripada musuh kuat boleh membunuh Kratos jika kita tidak berhati-hati. Apa yang kelakar adalah saya bermain game ini pada tahap “Normal -Give Me Balance”.

Dunia lebih besar untuk teroka

Terdapat beberapa perubahan yang cukup besar kepada aspek penerokaan. Ini jelas apabila anda sampai ke Svartalfheim -serta-merta saya boleh nampak bahawa dunia permainan sangat luas dengan lebih banyak misi sampingan (Favors).
Seperti saya kata tadi, saya baru bermain bahagian awal. Semakin banyak kita maju dalam cerita, mungkin lebih banyak dunia akan dibuka untuk teroka. Jika ada yang anggap dunia dalam game pertama cukup luas, korang silap! Sekuelnya lagi besar dan mempunyai lagi banyak aktiviti untuk dibuat, jadi anda tidak akan pernah bosan.

Satu lagi penambahan bagus kepada aspek penerokaan ialah Kratos kini boleh berayun-ayun daripada satu tempat ke tempat lain dengan Blade of Chaos untuk mencapai lokasi yang tinggi atau jauh.
Sekilas pandang, mekanik ini mungkin nampak basic kerana banyak game action adventure sudah melakukan perkara yang sama, tetapi korang kena tahu, mekanik ini tidak wujud dalam GoW 2018, jadi ini adalah sesuatu yang unik untuk Kratos serta adalah mekanik baru untuk bantu pemain meneroka game.

Buat mereka yang pernah mencuba GoW, korang pun pasti faham bahawa Kratos versi moden sangat perlahan berbanding zaman Yunani-nya. Saya lebih suka jika kita boleh mengawalnya seperti dalam game lama, tetapi syukurlah dengan apa yang ada.
Sekurang-kurangnya, aksi menghayun ini merupakan percubaan bagus untuk mengembalikan zaman kegemilangannya, jadi saya gembira dengan tambahan tersebut buat masa ini.
Pendapat (setakat ini)

Saya baru bermain dalam anggaran 5 jam gitu tetapi Ragnarok terbukti adalah game yang sangat menyeronokkan. Jangkaan saya untuk Ragnarok memang sangat tinggi sejak game ini pertama kali diumumkan lagi-lagi memandangkan God of War (2018) sangat sempurna, tetapi ternyata, ia berjaya mengatasi jangkaan saya dengan permulaan yang bombastik.
Walaupun gameplay masih sama di beberapa bahagian, pengalaman yang saya peroleh cukup hebat untuk sekuel, yang merupakan sesuatu yang positif secara keseluruhan. Buat masa ini saya lebih tertarik untuk meneroka lebih dalam ke Midgard dan melihat sama ada game itu boleh mengejutkan saya secara konsisten hingga ke penghujung atau tidak.
Nantikan review penuh saya bagi God of War Ragnarok pada 4 November jam 12 pagi. Bagi sesiapa yang berminat, game ini akan dikeluarkan di PS4 dan PS5 pada 9 November 2022. Untuk segala liputan kami tentang GoW, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post