APAC Predator League 2025 Valorant Group Stage telah secara rasmi berakhir, menampilkan pertarungan sengit, strategi luar biasa, dan detik-detik yang tidak dapat dilupakan. Selepas persaingan sengit di kalangan 16 pasukan, hanya empat pasukan yang berjaya mara: Crest Gaming ZST, Alter Ego, Xipto, dan ZOL Esports.
Pasukan-pasukan terbaik ini telah berjuang untuk merebut tempat ke Grand Final, di mana mereka akan bertembung dalam pertempuran yang penuh tekanan untuk meraih Predator Shield yang berprestij.
Sebelum Grand Final, kami berpeluang untuk duduk bersama para finalis bagi mendengar pandangan mereka tentang perjalanan mereka setakat ini, cabaran yang telah mereka hadapi, dan harapan mereka untuk pertarungan akhir.
Xipto Esports
Berasal dari Malaysia, Xipto Esports telah muncul sebagai salah satu pasukan paling menarik dalam Predator League. Mewakili tanah air kita dengan penuh kebanggaan, pasukan ini terdiri daripada Fixy (Amirul Zaqwan), Riza (Sirajul Azrie), Iceyyy (Lionel Tay Zi), markL (Mark Lester), Flaring (Henri Forichon), dan jurulatih Skeltzy.
Xipto Esports mara di Group Stage dengan cemerlang, mempamerkan kemahiran melalui kemenangan yang meyakinkan.
“Kami alami hari yang sangat baik. Kami langsung tidak memberikan mata kepada mana-mana pasukan,” ujar mereka.
Keupayaan pasukan untuk beraksi di bawah tekanan, terutamanya dengan pemain muda seperti Iceyyy dan Fixy yang tampil menyerlah, telah meningkatkan keyakinan menjelang peringkat playoff.
Mewakili Malaysia di tanah air sendiri menambah tanggungjawab bagi Xipto Esports. “Ia satu perasaan yang hebat untuk mewakili Malaysia, terutamanya dalam kejohanan yang begitu berprestij,” kata pasukan.
Mereka juga menganggap markL, yang berasal dari Filipina tetapi telah lama menetap di Malaysia, sebagai sebahagian daripada pasukan, sekali gus menekankan kesatuan dalam skuad.
Xipto Esports mengakui kekuatan pesaing mereka, khususnya Alter Ego, Crest Gaming Zst, dan ZOL Esports, yang masing-masing membawa cabaran unik.
“Crest sangat kuat dari segi asas dan bermain di peta yang membuat kami keluar dari zon selesa,” jelas mereka. “ZOL lebih huru-hara—mereka suka bertarung dan bergantung kepada kemahiran individu, yang sepadan dengan gaya agresif kami. Dan Alter Ego memberikan cabaran peribadi kerana kami telah banyak kali berhadapan dengan mereka dan tahu kekuatan mereka.”
Pendekatan Xipto terhadap persaingan berasaskan keupayaan menyesuaikan diri. “Kami akan menyesuaikan diri apabila perlu, tetapi fokus utama kami adalah bermain mengikut kekuatan,” kata pasukan. Keupayaan mereka untuk menghadapi pasukan yang terstruktur dan lawan yang huru-hara telah diasah melalui latihan yang ketat dan bimbingan yang berdisiplin.
Penambahan Iceyyy ke dalam barisan pemain juga membawa elemen kejutan, menjadikan Xipto lebih sukar diramal. “Dengan Iceyyy, kami menambah satu lagi lapisan dalam gaya permainan,” kata mereka.
Apabila ditanya tentang perbezaan antara pasukan amatur dan profesional, jurulatih menekankan gabungan faktor: komunikasi, kerjasama pasukan, ketahanan mental, dan kemahiran asas. “Ramai pemain amatur mempunyai potensi, tetapi mereka memerlukan sistem yang baik dan pendedahan kepada permainan yang teratur,” jelasnya.
Jurulatih pasukan, seorang warga Australia yang terkenal dengan standard tinggi dalam disiplin dan prestasi, menyatakan kepuasan terhadap kemajuan Xipto.
“Mereka telah bekerja keras untuk memperbaiki isu asas dan telah sepenuhnya memenuhi jangkaan saya. Keputusan ini membuktikan usaha mereka,” katanya.
Crest Gaming Zst
Crest Gaming Zst, salah satu pasukan esports hebat dari Jepun, telah muncul sebagai pesaing hebat dalam Predator League tahun ini. Diwakili oleh sakurai (Souta Sakurai), Brofeld (Fumiya Satou), Kapi (Naoya Matsuyama), KEN (Kim Yun-seung), bazz (Hiroto Kameyama), dan jurulatih Nerufi, CGZ bersedia untuk mempamerkan gaya permainan yang bermetod dan strategik.
Dalam perlawanan terakhir Group Stage, CGZ berdepan dengan Team Secret dalam perlawanan yang sangat sengit. Walaupun tidak berjaya meraih kemenangan, pasukan ini menunjukkan ketahanan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri.
“Kami tidak dapat menewaskan mereka, tetapi cuba menyesuaikan diri dan melakukan apa sahaja yang kami mampu,” kata pasukan.
Ketika CGZ bersiap sedia untuk peringkat Semi-Finals, fokus mereka adalah mencari keseimbangan antara menyesuaikan diri dengan lawan dan kekal dengan perancangan permainan. “Kami percaya sepenuhnya bahawa kami boleh menang esok,” tambah mereka dengan penuh keyakinan. Walau bagaimanapun, pasukan ini sedar akan cabaran besar yang menanti, terutamanya daripada pesaing utama, Alter Ego.
Kemas kini terbaru yang memperkenalkan Tejo dan beberapa pelarasan lain dalam game menambah lapisan kerumitan tambahan dalam kejohanan. Walaupun CGZ mengakui mereka belum sepenuhnya biasa dengan kemas kini tersebut, mereka bersedia untuk menghadapi perubahan dinamik.
Salah satu cabaran unik yang dihadapi oleh CGZ adalah menyesuaikan diri dengan gaya permainan agresif yang biasa dilakukan oleh pasukan dari negara-negara Asia lain.
“Pasukan Jepun biasanya kurang agresif,” jelas sakurai. “Di sini, pasukan-pasukan bukan sahaja fokus kepada titik tertentu tetapi juga melihat permainan secara keseluruhan. Ia adalah pendekatan yang lebih konsisten dan agresif.”
ZOL Esports
ZOL Esports, sebuah pasukan yang berasal dari Filipina, sedang mencipta nama dalam dunia esports. Dengan barisan pemain yang agak baharu, pasukan ini yang terdiri daripada ZYND (Christian David A. Lopez), Kevzii (Franz Kevin Y. Dingal), Emman (Emmanuel M. Morales), Hotsauz (Yousef Imad B. El-yousef), Kakarot (Oscar B. Farin Jr.), dan jurulatih JCL (John C. Lim) telah menunjukkan potensi luar biasa dalam perjalanan melalui Predator League.
Bagi ZOL Esports, Predator League bukan sekadar kejohanan biasa—ia adalah peluang untuk membuktikan kemampuan walaupun dengan barisan pemain yang hanya bersama selama dua minggu. Walaupun dengan masa persediaan yang singkat, pasukan ini telah melebihi jangkaan. Mengenang prestasi mereka, ZYND berkata:
“Ini adalah kejohanan pertama kami dengan barisan baharu ini, dan kami tidak berasa tertekan kerana kepercayaan yang kami miliki antara satu sama lain. Walaupun dengan latihan terhad, kami berjaya mengatasi halangan, termasuk menewaskan pasukan seperti BOOM, yang merupakan detik besar bagi kami.”
Falsafah mereka jelas: nikmati perjalanan dan berikan yang terbaik. Sokongan daripada pemilik pasukan dan jurulatih mereka memperkukuhkan perspektif ini. “Bos kami selalu berkata, menang atau kalah, asalkan kami menikmati permainan, dia gembira. Itu benar-benar membantu kami kekal tenang,” tambah pasukan.
Esok adalah hari penting bagi ZOL Esports apabila mereka akan berdepan dengan Xipto, lawan yang hebat di tanah air kita. Namun, pasukan ini berasa tidak berasa langsung tekanan.
“Tekanan ada pada mereka, bukan kami,” kata pasukan dengan yakin. “Kami hanya di sini untuk bermain yang terbaik dan percaya antara satu sama lain. Strategi kami mudah: nikmati permainan dan fokus pada saat ini.”
Walaupun pasukan ini pernah berdepan pesaing dari Filipina dalam pusingan kelayakan, pentas antarabangsa memberikan dinamik baharu. Ketika ditanya tentang perbezaan gaya permainan, mereka menjelaskan, “Pasukan Asia, terutamanya di Asia Tenggara, cenderung bermain secara agresif. Ia adalah mentaliti yang biasa bagi kami, tetapi juga sesuatu yang kami sangat selesa dan cemerlang.”
Alter Ego
Alter Ego, sebuah pasukan unggul dari Indonesia, telah mengukuhkan dirinya sebagai salah satu kuasa besar dalam Predator League. Dengan barisan pemain yang terdiri daripada Nakya (Alehandro Fabian), ray4c (Rayvaldo Chandra), Valdyn (Rivaldy Nafian), Cud (Thomas Alfiantino), gotten (Davin), dan jurulatih asteriskk (Nanda Rizana), pasukan ini telah menggabungkan kemahiran, sinergi, dan pengalaman untuk mencapai kedudukan teratas.
Apabila ditanya tentang jangkaan besar yang diletakkan ke atas mereka, dengan ramai pihak meramalkan Alter Ego sebagai finalis, pasukan ini tetap tenang. “Tiada tekanan,” kata Nakya dengan yakin. “Kami telah bermain bersama selama setahun dan menyertai banyak kejohanan offline. Ini hanyalah satu lagi pentas bagi kami.”
Sikap tenang mereka menjadi ciri utama, walaupun dalam situasi tekanan tinggi. Pasukan ini bergantung kepada ketenangan kolektif dan saling memberi semangat untuk mengekalkan sinergi.
“Kami bernafas, bertenang, dan saling mengingatkan bahawa kami sudah bersedia untuk ini. Kekal tenang adalah kuncinya,” jelas pasukan.
Dalam persiapan menuju separuh akhir, strategi Alter Ego adalah mudah tetapi berkesan: fokus kepada permainan mereka sendiri. Pasukan ini telah tekun mengkaji lawan seterusnya, Crest Gaming Zst dari Jepun, sambil menyesuaikan sesi latihan mereka.
“Kami yakin dengan persiapan. Jika kami berpegang pada rancangan, kami boleh sampai ke final dan membawa pulang trofi,” kata pasukan itu.
Setelah mendominasi Group Stage, Alter Ego melangkah ke separuh akhir dengan momentum di pihak mereka. Kemenangan meyakinkan mereka telah meningkatkan keyakinan, namun mereka tetap berhati-hati dan menghormati lawan.
“Bagi kami, Crest Gaming Zst akan menjadi cabaran paling sukar, diikuti oleh ZOL Esports dari Filipina, dan kemudian Xipto Esports.”
Untuk menghadapi tekanan sebagai pasukan pilihan, Alter Ego mengambil pendekatan unik. Mereka memberi tumpuan lebih kepada diri sendiri daripada lawan. “Kami lebih baik apabila tidak terlalu memikirkan tentang musuh. Satu-satunya pasukan yang boleh mengalahkan kami ialah diri kami sendiri,” mereka kata dengan penuh keyakinan.
Grand Finals Menanti
APAC Predator League 2025 Valorant Grand Final bermula hujung minggu ini! Sertai kami pada 11 dan 12 Januari 2025 di MITEC, KL untuk aksi epik, persembahan secara langsung, dan banyak lagi. Saksikan semua di hadapan mata, atau ikuti dari keselesaan rumah melalui siaran langsung rasmi. Pertarungan untuk mahkota APAC Predator League 2025 Valorant bakal mencapai kemuncaknya—siapakah yang akan muncul sebagai juara? Nantikan!
Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial rasmi Predator Gaming.
@gamersantaimy
Discussion about this post