Pada minggu lepas, Unity Technologies mengumumkan Unity Runtime Fee, sejenis perubahan pelik dalam pakej game engine mereka di mana “bayaran tertentu akan dikenakan ke atas studio/pembangun setiap kali mana-mana pemain install dan bermain game buatan mereka.” Sudah tentu, perubahan ini mencetuskan kontroversi besar dalam kalangan pembangun – tidak kira sama ada kecil atau besar.

Apa sebenarnya fungsi Unity Runtime Fee dan kenapa ramai pemaju membencinya? Izinkan saya menberi penjelasan penuh di bawah.
Menurut info di halaman blog rasmi, secara amnya Unity Runtime Fee adalah cas di mana “setiap kali sebuah game telah dipasang/dimainkan oleh pengguna, pemaju game tersebut akan dikenakan bayaran oleh Unity”. Sedangkan perkara ini tidak dikenakan sebarang cas pun dahulu.
Mengikut rancangan asal, Unity Runtime Fee dijadualkan bermula pada 1 Januari 2024 dan akan mempengaruhi semua game yang telah memenuhi kriteria untung yang ditetapkan dalam tempoh 12 bulan lalu dan jumlah instalasi tertentu.
Yuran akan dikenakan setiap bulan dan berbeza bergantung pada jumlah instalasi game, bermula $0.01 USD hingga $0.20 USD bagi setiap instalasi.
Menurut pengumuman, hanya game yang telah memenuhi kriteria berikut akan layak untuk Unity Runtime Fee:
- Unity Personal dan Unity Plus – Game yang telah menghasilkan $200,000 USD atau lebih dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan sekurang-kurangnya 200,000 instalasi sepanjang hayat.
- Unity Pro dan Unity Enterprise – Game yang telah menghasilkan $1,000,000 USD atau lebih dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan sekurang-kurangnya 1,000,000 instalasi sepanjang hayat.
Syarikat juga telah mengeluarkan maklumat harga baharu:
Seperti yang anda semua tahu, Unity ialah game engine yang popular dan digunakan secara meluas di kalangan pembangun game, daripada indie hingga ke projek berskala besar seperti Genshin Impact, yang memperoleh lebih jumlah muat turun sepanjang hayat.
Dengan polisi baharu ini, ia bermakna pembangun yang menggunakan Unity Personal (lesen perkhidmatan percuma) perlu membayar $0.20 bagi setiap instalasi sebaik sahaja game mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Menimbulkan Kebimbangan dan Kemarahan Para Pemaju
Selepas pengumuman itu, ia menimbulkan banyak perbincangan hangat di kalangan pembangun, terutamanya daripada pembangun indie yang bimbang bahawa Unity Runtime Fee akan menjejaskan keuntungan mereka pada masa hadapan.
Satu lagi kebimbangan adalah mana-mana game yang menerima jumlah instalasi yang banyak semasa jualan besar/promosi diskaun, disertakan ke dalam bundle, atau malah menjadi sebagai sebahagian daripada perkhidmatan langganan seperti Xbox Game Pass boleh termasuk sekali dalam Unity Runtime Fee dan menelan kos yang lebih banyak daripada pembangun.
Innersloth selaku pencipta Among Us berkata;
“Ini akan membahayakan bukan sahaja kami tetapi semua studio game daripada semua belanjawan dan saiz.”
Aggro Crab, sebuah lagi studio game indie berkata;
“Another Crab’s Treasure akan jadi percuma untuk dimuat turun untuk 25 juta pelanggan Game Pass.”
“Jika sebahagian kecil daripada pengguna tersebut memuat turun game kami, Unity boleh mengambil bayaran yang menjejaskan pendapatan dan mengancam kemampanan perniagaan kami,”
“Keputusan ini meletakkan kami dan banyak studio lain dalam kedudukan di mana kami mungkin tidak dapat mewajarkan menggunakan Unity untuk judul masa depan.”
Kris Antoni daripada Toge Productions, yang berpangkalan di Indonesia, turut menyuarakan pendapat dan menggelar model harga baharu Unity sebagai tindakan “peras ugut”, dan mengatakan bahawa syarikat itu juga mungkin cuba menguatkuasakan yuran baharu secara retroaktif pada tajuk yang sudah dikeluarkan.
Klarifikasi daripada Unity

Seperti yang dilaporkan oleh Axios, yang menghubungi Unity untuk mendapatkan penjelasan, syarikat itu telah mengemukakan perubahan pada polisi Unity Runtime Fee. Menurut Unity, bayaran hanya akan dikenakan untuk instalasi awal bagi game, dan muat turun seterusnya tidak akan menyebabkan berbilang caj.
Wakil Unity berkata bahawa ini akan menghalang “install-bombing”, di mana pemain yang marah boleh terus memadam dan install semula game untuk menambaha bayaran bagi mengacau pembangun.
Bagaimanapun, Unity juga menyatakan bahawa mereka masih akan mengenakan bayaran tambahan jika pengguna memuat turun game pada storan kedua seperti Steam Deck selepas memuat turun game yang sama pada PC Windows.
Sebagai tambahan, Unity juga mengesahkan bahawa bayaran tidak akan dikenakan untuk muat turun demo game melainkan ia adalah sebahagian daripada muat turun yang disertakan dalam game penuh.

Bagi perkhidmatan langganan, Unity berkata bahawa bayaran akan dikenakan kepada pengedar dan bukannya pemaju; contohnya, Microsoft perlu membayar yuran untuk setiap game yang dimuat turun daripada Game Pass.
Di samping itu, game yang termasuk dalam badan amal atau dalam bundle akan dikecualikan daripada yuran dan Unity berkata bahawa mereka akan menyediakan kaedah kepada pembangun untuk menandakan game yang ditawarkan dengan cara sedemikian.
Sebaliknya, Unity menyatakan bahawa game yang berada dalam akses awal masih akan dikenakan bayaran untuk instalasi.
Permohonan Maaf daripada Unity
Berikutan rancangan kontroversi ini, Unity telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada orang ramai selepas beberapa hari dan merancang untuk membuat perubahan pada polisi tersebut.
Kenyataan itu dibuat pada akaun Twitter rasmi mereka, di mana mereka mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat beberapa perubahan kepada polisi Runtime Fee yang kontroversi berikutan maklum balas daripada pembangun. Butiran lanjut akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang.
“Kami telah mendengar anda. Kami memohon maaf atas kekeliruan dan kegusaran polisi Runtime Fee yang kami umumkan pada hari Selasa,”
“Kami sedang mendengar, bercakap dengan ahli pasukan, komuniti, pelanggan dan rakan kongsi kami, dan akan membuat perubahan pada polisi. Kami akan berkongsi kemas kini dalam beberapa hari.”
“Terima kasih atas maklum balas anda yang jujur dan kritikal.”
Apa pendapat anda tentang kontroversi Unity? Mengapa mereka tiba-tiba sahaja membuat keputusan untuk mengenakan bayaran sekarang? Jom kongsi pendapat di ruang komen!
@gamersantaimy
Discussion about this post