Siri One Punch Man memang tidak boleh disangkal bahawa ianya satu siri yang menarik. Sudah tentu ada sahaja yang ingin mengadaptasinya ke media yang lain. Selepas diumumkan oleh Sony Pictures bahawa One Punch Man akan diadaptasi kepada versi live action Hollywood pada tahun 2020, tiada sebarang kemas kini baru yang telah dikeluarkan. Mungkin juga akibat daripada pandemik COVID-19.

Dilaporkan oleh Deadline, filem live action One Punch Man telah mendapat pengarahnya. Pengarah tersebut ialah Justin Lin yang terkenal dengan arahan filem Fast & Furious. Selepas dia keluar daripada francais tersebut, nampaknya kini dia akan terlibat dengan penghasilan filem adaptasi Hollywood ini.
Penulis skrip filem ini pula telah didedahkan semasa pengumuman daripada Sony iaitu Scott Rosenberg dan Jeff Pinkner (Jumanji: The Next Level, Venom) manakala Avi Arad dan Air Arad daripada Arad Productions (Spider-Man, Iron Man, X-Men) akan memantau projek ini yang masih dalam pembangunan.

One Punch Man dihasilkan oleh ONE pada 2009, sebagai web-comic yang mengisahkan seorang hero bernama Saitama. Hero botak itu nampaknya seperti lelaki biasa, tetapi dia sebenarnya adalah orang terkuat di dunia. Dengan kemampuan untuk mengalahkan musuh dengan satu tumbukan, Saitama hanya ingin mencari musuh yang cukup kuat untuk mencabarnya.
Siri ini menjadi semakin popular setelah artis Yusuke Murata melukiskan versi manga. Seterusnya, musim pertama One Punch Man yang dihasilkan oleh Madhouse pada tahun 2015 dan terus popular dalam kalangan peminat anime. Berbeza pula penerimaannya untuk musim kedua yang dihasilkan oleh J.C. Staff. Disebabkan dengan animasinya yang kurang memuaskan, ia gagal menarik perhatian peminat lama malah ramai juga yang berhenti menontonnya sebelum tamat siaran.

Satu-persatu siri anime mendapat adaptasi Hollywood. Boleh trauma juga bila teringat semula pada adaptasi Hollywood terdahulu yang rata-rata mengecewakan. Kami juga ada menyenaraikan beberapa sebab mengapa adaptasi live action ini kurang digemari. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai siri One Punch Man daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post