One Piece mempunyai pelbagai jenis watak yang menarik. Antaranya ialah Luffy, yang selepas “time skip“, kini dianggap sebagai ancaman besar dalam dunia lanun. Kemudian, kita ada Zoro yang dapat memotong hampir semua objek dengan pedangnya, dan Sanji yang merupakan seorang putera. Walau bagaimanapun, Usopp tidak berada pada tahap yang sama seperti mereka. Kita tahu Usopp tidak dapat menewaskan beratus-ratus musuh seperti Zoro dan Luffy tetapi adakah itu bermaksud dia lemah? Jauh sekali.
Kita bermula dengan latar belakangnya. Jika dibandingkan dengan rakan-rakan lain dalam krew Straw Hat, kisah Usopp tidaklah begitu tragik. Dia dibesarkan di sebuah pulau kecil bernama Syrup Village di East Blue bersama ibu bapanya. Namun, ayahnya, Yassop, meninggalkan keluarga ketika Usopp masih muda untuk menjadi lanun dan menyertai krew Red Hair Pirates yang diketuai oleh Shanks. Tidak lama selepas itu, ibu Usopp jatuh sakit. Usopp mula menceritakan kisah-kisah palsu untuk menghibur ibunya dan untuk menyakinkan dirinya sendiri, dengan memberitahu bahawa Yassop sudah dekat dan akan kembali tidak lama lagi. Malangnya, ibu Usopp meninggal dunia.
Walaupun ayahnya meninggalkan keluarga untuk menjadi lanun, Usopp masih menghormati Yassop dan ingin mengejar cita-cita yang sama iaitu menjadi “pahlawan yang berani di laut”. Namun, dia sentiasa menghadapi masalah “pengecut”, dan takut akan setiap musuh yang dihadapi. Kerana peluangnya untuk menang sangat rendah, apabila Usopp berjaya mengalahkan satu musuh yang kuat, saat itulah yang benar-benar membuatkannya menonjol, dan mengesahkan statusnya sebagai ahli Straw Hat yang kuat.
Sejak kali pertama Usopp bertemu Luffy, Zoro, dan Nami, dia sanggup menipu untuk menampakkan dirinya lebih hebat dengan memberitahu bahawa dia mempunyai 8,000 orang bawahan. Zoro dan Nami tahu perkara ini palsu dan sanggup berperang dengan Usopp. Terkejut dengan keberanian mereka, Usopp menyerah kalah, dan dengan cepat menjadi kawan rapat.
Sehingga hari ini, Usopp masih mudah menyerah kalah. Salah satu contoh adalah semasa Alabasta arc dimana dia bekerjasama dengan Chopper untuk melawan Miss Merry Christmas dan Mr. 4. Selepas menyedari betapa kuatnya duo itu, Usopp yang takut dibunuh, dengan cepat melarikan diri sambil menangis. Ketika Miss Merry Christmas bercakap buruk tentang Luffy, masa itulah Usopp menjadi serius. Walaupun cedera parah, dia tetap bangun untuk bertarung, di mana dia memberikan salah satu “quote” terbaik dalam siri ini;
“Sekiranya kamu seorang lelaki, ada masa kamu harus bertarung. Dan masa itulah adalah bila impian rakan kamu diketawakan.”
Ini adalah satu lagi contoh yang menunjukkan Usopp adalah ahli yang hebat dalam krew Straw Hat. Apabila dia berjaya mengumpul keberanian untuk bertarung, ia biasanya bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk rakan-rakannya.
Dalam arc Water 7, krew Straw Hat mengalami pelbagai jenis masalah besar. Pertama, kapal mereka, Going Merry, tidak dapat diperbaiki, kemudian mereka kehilangan wang. Robin pula menghilangkan diri, Usopp dibelasah oleh keluarga Franky, dan akhir sekali, Usopp membantah keputusan Luffy untuk mendapatkan kapal baru, lantas menyebabkan mereka bergaduh untuk hak memiliki Merry. Usopp tahu dia adalah anggota paling lemah; dan dia selalu memperbaiki Going Merry kerana itu sahaja yang dia mampu buat (ketika itu). Tanpa sengaja, ini mewujudkan emosi yang sentimental untuk kapal tersebut dalam dirinya.
Selepas diberitahu oleh Luffy bahawa mereka terpaksa berpisah dengan Going Merry, Usopp mula berfikiran negatif. Jika semua orang dapat meninggalkan Going Merry dengan begitu mudah, maka dia pun akan ditinggalkan dengan begitu sahaja selepas semua orang menganggapnya tidak berguna.
Selepas kalah kepada Luffy, Usopp meninggalkan krew Straw Hat tetapi kembali semula untuk membantu menyelamatkan Robin dengan menyamar sebagai Sogeking. Ini adalah satu lagi contoh bagus di mana dia menipu untuk meningkatkan keyakinannya. Dia tidak dapat menunjukkan muka kepada krew Straw Hat selepas segala yang terjadi, tetapi ternyata, masih menyayangi mereka sehingga sanggup datang. Setelah semua selesai, krew Straw Hat membuat keputusan untuk meninggalkan bandar Water 7. Ini adalah saat di mana Usopp betul-betul berubah.
Zoro bertegas bahawa Usopp tidak boleh kembali ke krew sehinggalah dia meminta maaf kerana menentang arahan Luffy. Ini penting kerana jika mereka berpura-pura bahawa perkara ini tidak berlaku, pada dasarnya, semua orang telah bersetuju bahawa mereka tidak menghormati Luffy sebagai kapten dan tidak memandang serius tentang cita-citanya.
Semasa krew meninggal bandar Water 7, Usopp memberi alasan demi alasan, sambil berharap salah satu alasannya diterima oleh Luffy. Hanya apabila dia mula menangis dan mengakui kesalahan yang dia buat, barulah Luffy menghulurkan tangannya kepadanya. Ini adalah adegan yang sangat menyentuh hati, ketika Usopp dan Luffy menangis air mata kegembiraan, kerana akhirnya dapat disatukan sebagai “nakama” sekali lagi.
Bagi pendapat saya, Usopp memiliki “character development” yang sangat drastik dari semua ahli Straw Hat. Dari zamannya sebagai seorang pengecut sehinggalah menjadi salah satu “sniper” yang paling bahaya dalam dunia. Ini dibuktikan oleh jumlah bounty nya yang bernilai 200 juta berry. Seorang yang bijak dan suka berjenaka, Usopp adalah individu yang mempunyai keberanian untuk membela rakan-rakannya walaupun tahu banyak bahaya akan menimpa dirinya. Itulah yang menjadikan dia sebagai salah satu ahli terpenting dalam krew Straw Hat.
Untuk segala liputan kami tentang One Piece, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post