Di Summer Game Fest hari ini, Metronomik bersama Shueisha Games telah mengumumkan No Straight Roads 2 (NSR2), sekuel kepada game aksi-rhythm kegemaran ramai, No Straight Roads, yang berasal dari Malaysia.
Sekuel ini akan dilancarkan pada tahun 2026 untuk platform PC dan konsol, dengan janji untuk mempertingkat segala aspek yang digemari peminat dalam game asal. Versi Steam untuk NSR2 kini sudah tersedia untuk ditambah ke Wishlist.
Dalam NSR2, pasangan bintang rock Mayday dan Zuke kembali beraksi. Kali ini meninggalkan jalanan Vinyl City untuk menjelajah pentas-pentas global dalam usaha mencapai kemasyhuran antarabangsa.
Mereka kini turut disertai oleh dua ahli kumpulan baharu yang boleh dimainkan, masing-masing membawa gaya muzik tersendiri dan kemahiran unik ke formasi kumpulan Bunkbed Junction. Bersama, mereka bakal menentang pelbagai bos muzik yang unik dalam usaha untuk mendominasi carta.

NSR2 mengekalkan campuran aksi penuh gaya dengan sistem combat berasaskan muzik, kini dengan sistem combat yang dipertingkatkan: yang memberi penekanan kepada serangan lagi hebat dan kombo antara watak.
Pemain juga boleh menantikan runut bunyi baharu daripada James Landino, Falk Au Yeong, Garrett Williamson, dan Midas Klare dari Inverted Silence, serta penampilan artis-artis jemputan yang mengejutkan.

Kali ini, pengembaraan NSR2 membawa pemain menjelajah lebih jauh dari Vinyl City, menaiki bas jelajah untuk meneroka pelbagai lokasi penuh muzik.
Dari pusat rakyat yang penuh tradisi ke hab jazz eksperimental, kubu rock pemberontak hingga ke metropolis pop digital, setiap hentian memperkenalkan komuniti tempatan yang hidup dengan budaya muzik mereka yang tersendiri.

“Kami sangat teruja untuk berkongsi pandangan pertama NSR2 dengan peminat,” kata Wan Hazmer, CEO dan Game Director di Metronomik.
“Kami telah mengambil inti No Straight Roads dan tingkatkan ke tahap 11 dengan muzik yang hebat, bos-bos yang gila, dan bandar-bandar imaginatif untuk diterokai dalam jelajah rock global ini. Kami tidak sabar untuk pemain menyelaminya pada tahun depan.”
Tomoya Tanaka, Pengurus Pemasaran Global di Shueisha Games turut menyatakan keterujaan mereka dalam menjayakan projek ini.
“Kami gembira untuk bergabung tenaga dengan Metronomik dalam pengembaraan muzikal epik ini. Dengan warisan kami dalam mencipta watak dan naratif yang tidak terlupakan, NSR2 sangat sesuai dalam barisan kami. Kami sudah bersedia untuk menyatukan kembali kumpulan ini pada 2026.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post