Nintendo kini telah melancarkan Nintendo Switch App untuk peranti iOS dan Android di Malaysia, yang boleh dimuat turun secara percuma mulai semalam.
Aplikasi ini direka untuk mempertingkat pengalaman bermain bagi pengguna Nintendo Switch dan Switch 2, menawarkan pelbagai fungsi seperti sambungan sosial, perkongsian media, dan ciri khusus dalam game.

Melalui aplikasi ini, pemain boleh berhubung dengan komuniti mereka dengan mudah. Ia membolehkan akses ke senarai rakan Nintendo Switch atau Switch 2, melihat siapa yang sedang online, game yang sedang dimainkan oleh rakan, serta menerima notifikasi apabila rakan log masuk.
Menambah rakan juga menjadi lebih mudah menerusi imbasan kod QR atau pertukaran kod rakan secara langsung dalam aplikasi.

Pengguna turut boleh memindahkan gambar dan video dari album Nintendo Switch 2 ke telefon pintar mereka, lalu menyimpannya atau berkongsi terus ke media sosial. Aplikasi ini menyokong paparan sehingga 100 gambar atau video terkini dalam tempoh 30 hari, dan ciri ini tidak memerlukan langganan Nintendo Switch Online.

Untuk beberapa game terpilih, aplikasi ini turut menyokong voice chat semasa bermain online. Sistem ini akan disesuaikan secara automatik mengikut aktiviti dalam game. Sebagai contoh, dalam game seperti Splatoon 3, pemain boleh memilih untuk bersembang hanya dengan rakan sepasukan.
Namun, voice chat ini memerlukan langganan Nintendo Switch Online dan tidak tersedia untuk game eksklusif Switch 2.

Selain itu, aplikasi ini juga menyediakan fungsi khas untuk beberapa game utama Nintendo:
- Animal Crossing: New Horizons – Pemain boleh memindahkan reka bentuk custom dari versi Nintendo 3DS ke New Horizons, dan menghantar mesej dalam game melalui telefon pintar mereka.
- Super Smash Bros. Ultimate – Pengguna boleh menonton video yang dimuat naik, memuat turun peringkat yang direka pengguna lain, dan menerima notifikasi tentang acara yang akan datang.
- Splatoon 3 – Pemain boleh melihat status online rakan, semak keputusan perlawanan secara terperinci, statistik Salmon Run, kedudukan ranking, dan jadual terkini.
- The Legend of Zelda: Breath of the Wild & Tears of the Kingdom (versi Switch 2) – Ciri “ZELDA NOTES” membolehkan navigasi suara yang membantu pemain mencari kawasan atau shrine yang belum dijelajahi, termasuk panduan bersuara oleh watak Zelda dan lain-lain dalam lokasi tertentu.

Rancangan Masa Depan
Aplikasi Nintendo Switch kini boleh dimuat turun secara percuma melalui iOS App Store dan Google Play Store di Malaysia. Sesetengah ciri seperti pemindahan media boleh digunakan tanpa langganan, tetapi fungsi seperti voice chat dan kandungan khas dalam game memerlukan langganan Nintendo Switch Online.
Walaupun aplikasi telah tersedia, Nintendo Switch Online dan Nintendo eShop masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Namun, Nintendo telah mengesahkan bahawa mereka merancang untuk membawa kedua-dua perkhidmatan ini ke pasaran tempatan, dengan pengumuman lanjut bakal dibuat tidak lama lagi.
@gamersantaimy
Discussion about this post