Pada Julai yang lalu, Netflix telah menyatakan hasrat mereka untuk memperkenalkan pakej langganan yang lebih murah tetapi ia akan hadir bersama iklan. Nampaknya hasrat tersebut dapat direalisasikan dan akan bermula pada November ini. Jom kami ceritakan secara ringkas kepada anda.

Melalui pengumuman daripada Netflix, pakej terbaru tersebut akan mempunyai ciri yang hampir sama seperti pakej Basic tetapi ia mengandungi iklan. Sudah tentu harganya juga datang dengan lebih murah. Walaupun begitu sudah tentu ada sedikit perubahan yang diberikan pada pakej ini.
Kalau anda ingin tahu, pakej Basic akan boleh menonton video dengan kualiti sehingga sehingga 720p/HD, tidak kiralah ada iklan ataupun tidak. Iklan yang ditayangkan akan mempunyai purata 4 hingga 5 minit untuk setiap jam. Video yang tersedia juga tidak boleh untuk dimuat turun.

Ada satu lagi perbezaan yang rasanya ramai tidak suka. Walaupun ia menggunakan pakej Basic sebagai base, nampaknya pakej terbaru ini tidak mempunyai bilangan kandungan yang sama. senang cerita, akan ada banyak filem dan siri yang tidak boleh ditonton kerana sekatan pada pelesenan. Walaupun begitu, pihak Netflix sedang berusaha untuk membawa kesemua kandungan mereka untuk pakej iklan ini.

Bercerita tentang iklan tersebut, setiap iklan akan mempunyai purata 15 hingga 30 saat dan akan dimainkan sebelum dan semasa video dimainkan. Untuk anda yang risau mengenai iklan yang ditayangkan nanti, sebarang kandungan yang tidak konsisten dengan jenama mereka seperti seks, grafik ganas dan sebagainya akan dihalang. Jadi tidak akan ada iklan “berbahaya” akan ditayangkan nanti.
Buat sementara ini, hanya negara terpilih seperti Australia, Brazil, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea, Mexico, Sepanyol, UK dan AS sahaja yang dapat mencuba pakej iklan Netflix ini. Jangan risau kerana Netflix akan melancarkannya di negara-negara lain pada masa hadapan. Kita tunggu sahaja apabila tiba masanya.
@gamersantaimy
Discussion about this post