Sangat terkenal dalam siri manga/anime Naruto, Akatsuki merupakan sekumpulan ninja yang ingin “mencipta dunia lebih baik”, dan sanggup menggunakan apa-apa cara atau taktik kejam. Setiap ahli Akatsuki tidak ada masalah untuk buat jahat selagi impian itu dapat direalisasikan, dan ini berkait rapat dengan asal-usul masing-masing. Setiap tragedi yang berlaku telah menguatkan dan menggelapkan hati mereka tetapi apa sebenar yang berlaku? Di sini, saya akan senaraikan kisah tragis setiap ahli Akatsuki (utama) dan bagaimana masing-masing berubah menjadi jahat.
Senarai ini berdasarkan; “Makin tinggi makin tragis“
Hidan
Berasal daripada Yugakure (Hidden Steam Village), Hidan merupakan seorang pengikut ajaran sesat yang sanggup mengorbankan nyawa tak bersalah demi dewanya, “Lord Jashin”.
Selepas Yugakure berubah dari sebuah kampung shinobi ke tapak pelancongan, Hidan tidak boleh terima perubahan dan berubah sikap. Dia mengalami halusinasi lalu membunuh jiran-jirannya sebelum meninggalkan Yugakure. Di sinilah, dia menganut agama sesat bernama Jashin, di mana ajaran utama adalah untuk membunuh orang tanpa belas kasihan. Selepas bereksperimen dengan teknik rahsia Jashin, Hidan dikurniakan kuasa hidup abadi. Tidak lama selepas itu, dia menyertai Akatsuki selepas menarik perhatian Itachi, Konan dan Kakuzu.
Deidara
Semasa masih lagi ninja di Iwagakure (Hidden Stone Village), Deidara berkenalan dengan Ōnoki dan belajar menggunakan jurus Explosion Release. Walaupun dipuji tinggi untuk ukiran tanah liatnya, Deidara ingin mencapai tahap seni yang lebih tinggi. Oleh itu, dia membuat keputusan untuk mencuri satu Kinjutsu rahsia (merupakan jutsu turun menurun di Iwagakure) yang membolehkan dirinya menguli chakra kepada sejenis bahan unik.
Bersama Kinjutsu ini, dia berjaya mencipta gaya seni idaman iaitu tanah liat meletup atau nama rasminya, Isshun no Geijutsu. Sejak itu, Deidara melarikan diri dari Iwagakure dan menawarkan perkhidmatan rahsia sebagai seorang pengebom. Dia menjadi semakin terkenal dan ini menjadikannya sebagai calon yang menarik untuk menyertai Akatsuki, memandangkan dia berkongsi visi untuk membentuk semula dunia.
Zetsu
Kita ada dua versi Zetsu tetapi versi yang saya sedang merujuk adalah Black Zetsu. Black Zetsu asalnya dicipta oleh Otsutsuki Kaguya sebelum dia dikalahkan oleh Hagoromo/Hamura. Ditugaskan dengan misi untuk mengembalikan tuannya, Black Zetsu cuba menghasut Indra (anak Hagoromo) selama bertahun-tahun tanpa henti tetapi pelannya akhirnya membuahkan hasil apabila Indra membuat keputusan untuk berperang dengan adiknya, Asura kerana cemburu Hagoromo menamakan Asura sebagai pemimpin seterusnya.
Walaupun Indra dan Asura sudah tiada, Black Zetsu tidak berhenti dan selama berabad-abad, dia memanipulasi penjelmaan semula dua beradik tersebut (Uchiha Madara/Senju Hashirama). Black Zetsu juga merupakan dalang di sebalik kebanyakan peristiwa sedih yang berlaku, termasuk serangan Obito ke atas Konoha dan peperangan Uchiha Madara bersama seluruh dunia shinobi.
Seperti saya kata tadi, Black Zetsu dilahirkan semata-mata untuk mengembalikan Kaguya. Memandangkan dia dicipta untuk memenuhi satu tujuan jahat, dia bukan kes “watak baik jadi jahat”, tetapi sememangnya sudah lahir jahat.
Kakuzu
Semasa di bawah servis kampung Takigakure (Hidden Waterfall Village) sebagai ninja elit, Kakuzu harus menjalankan misi untuk membunuh Hokage pertama, Hashirama Senju. Malangnya, misi ini berakhir dengan kegagalan. Walaupun terpaksa melalui pelbagai jenis situasi bahaya, apa yang menanti semasa dia pulang hanyalah hukuman.
Sanggup mempertaruhkan nyawa dan badan untuk kampungnya, Kakuzu terkejut dengan keputusan ini lalu perasaan benci yang kuat telah mula timbul dalam hatinya. Ketika melarikan diri dari penjara, Kakuzu membunuh semua warga penting dalam kampung, mengambil hati mereka, dan melarikan diri selepas belajar tentang teknik terlarang kampung Takigakure.
“Bagaimana dia hidup dari zaman Hokage pertama hingga Naruto?” – Itu kerana Kakuzu merobek jantung shinobi yang masih hidup untuk memanjangkan jangka hayat dan senjata sendiri. Selepas membuat nama di pasaran gelap, dia menyertai Akatsuki.
Hoshigaki Kisame
Asalnya, Kisame harus menjaga Cypher Division (skuad perisikan rahsia Kirigakure – Hidden Mist Village) di bawah arahan pegawai atasannya, Fuguki Suikazan. Apabila kumpulan itu dikepung oleh ninja dari Konoha semasa melakukan misi, Kisame terpaksa membunuh ahli Cypher Division seperti yang diarahkan oleh Fuguki demi memastikan maklumat tidak dibocorkan.
Akhirnya, dia mendapat tahu bahawa Fuguki sebenarnya menjual maklumat ke kampung lain, dan dalam keadaan marah, Kisame membunuhnya lalu menjadi tuan baru pedang Samehada. Walaupun dipuji oleh Mizukage ke-4 atas kesetiaannya kepada Kirigakure, aksi membunuh rakan seperjuangan menyebabkan Kisame menjadi gila dan menyedari bahawa dunia sebenarnya dipenuhi dengan penipuan.
Sebagai ahli terbaru Swordsmen of the Mist, Kisame kemudian meninggalkan Kirigakure lalu dikutip oleh Akatsuki.
Konan
Konan ialah salah seorang pengasas asal Akatsuki bersama Nagato dan Yahiko tetapi telah digunakan oleh Hanzo (ketua Amegakure) sebagai tebusan.
Kisahnya begini; Konan diculik oleh konco-konco Hanzo dan dibawa ke lokasi mesyuarat. Di sini, Hanzo mengarahkan Nagato untuk membunuh Yahiko sebagai pertukaran untuk nyawa Konan. Tidak ingin membahayakan nyawa rakan-rakan, Konan meminta mereka untuk melarikan diri, tetapi seperti mana-mana anime, “persahabatan adalah nombor satu”.
Nagato dalam dilema tidak tahu untuk buat apa tetapi Yahiko membuat keputusan untuk menikam dirinya sendiri dengan kunai di tangan Nagato. Dalam keadaan marah, Nagato menyelamatkan Konan lalu membunuh semua shinobi jahat di situ. Dibina untuk keamanan, inilah permulaan Akatsuki di sisi jalan yang gelap.
Sasori
Semasa masih muda, ibu bapa Sasori dibunuh oleh Hatake Sakumo (ayah Kakashi) lalu diletakkan di bawah jagaan neneknya, Chiyo. Apabila nenek Chiyo cuba untuk menggembirakan Sasori dengan mengajarnya cara-cara membuat boneka, dia mula melihat bakat sebenar Sasori. Bakatnya sangat hebat hingga Sasori boleh mencipta dua boneka dengan rupa hampir mirip seperti ibu bapanya.
Apa yang orang ramai tidak tahu (kecuali nenek Chiyo) adalah semuanya hanya untuk membuang perasaan sunyi yang dirasakan oleh Sasori. Namun, disebabkan boneka itu tidak dapat memberi kasih sayang yang sama seperti ibu bapa sebenar, Sasori hilang minat dan mula berfikir secara lebih drastik.
Ini mengakibatkan dirinya membentuk sifat yang kejam dan sadis terhadap orang lain. Tanpa sebarang sebab, Sasori akan menyerang ninja yang tidak bersalah dan membentuk tubuh mereka menjadi anak patung, supaya dapat ditambah ke koleksi “teman-temannya”. Akhirnya, Sasori hilang kemanusiaan apabila mula menggantikan hampir seluruh tubuhnya dengan anggota boneka.
Uchiha Obito
Kehidupan Obito penuh dengan tragedi, bermula dengan sebuah misi malang bersama Kakashi dan Rin. Selepas separuh badannya dihempap oleh batu, Obito memberikan mata Sharingan kiri ke Kakashi sebagai hadiah perpisahan terakhir sebelum dianggap mati. Sebenarnya, Obito telah diselamatkan oleh White Zetsu di bawah arahan Madara. Malangnya tidak semua kecederaannya dapat dirawat, jadi bahagian badan Obito yang terlalu rosak telah digantikan dengan anggota badan tiruan daripada sel Hashirama Senju a.k.a Hokage pertama.
Dalam proses pemulihan, White Zetsu memaklumkan kepada Obito bahawa Kakashi dan Rin berada di kawasan terdekat tetapi dikejar oleh shinobi Kirigakure. Risau akan keadaan mereka, Obito bergerak. Sampai sahaja di tempat lokasi, dia terkejut apabila melihat Kakashi “membunuh” Rin. Dalam keadaan marah, dia berjaya membuka Mangekyō Sharingan , satu proses yang turut menyebabkan Kakashi pengsan. Selepas melihat segala yang berlaku, Obito membunuh semua ninja Kirigakure. Selesai sahaja itu, Obito memapah tubuh Rin yang tidak bernyawa.
Apa yang Obito tidak tahu adalah Rin memaksa Kakashi untuk membunuhnya kerana dia tidak dapat mengawal bijuu dalam badannya dan tidak mahu membahayakan rakan-rakan atau Konoha.
Obito kembali ke Madara dan selepas mendengar rancangan jahatnya, telah bertekad untuk mencipta realiti di mana dia, Rin dan Kakashi masih gembira seperti dulu. Dengan itu, dia secara langsung telah terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan Akatsuki ke sisi gelap.
Nagato
Akatsuki asalnya diasaskan oleh Yahiko semasa Perang Dunia Shinobi ke-3 bersama dua rakan karibnya, Nagato dan Konan. Sebagai warga Amegakure (Hidden Rain Village) yang terpaksa menjadi anak yatim piatu selepas Perang Dunia Shinobi ke-2, trio ini mencipta Akatsuki dengan harapan dapat membawa keamanan ke negara mereka.
Hanzo (ketua Amegakure) mendekati Akatsuki dan menawarkan bantuan untuk memudahkan perjanjian perdamaian antara Konohagakure, Iwagakure dan Sunagakure. Apabila Yahiko, Nagato, dan Konan tiba di tempat mesyuarat, bagaimanapun, mereka diserang hendap oleh konco-konco Hanzo dan ahli Root milik Danzō, yang kemudian menjadikan Konan sebagai tebusan.
Menggunakan Konan sebagai tebusan, Hanzo mengancam untuk membunuhnya jika Nagato tidak membunuh Yahiko. Supaya Nagato tidak perlu rasa serba salah atas apa yang terjadi, Yahiko menikam dirinya sendiri pada kunai Nagato. Setelah kehilangan kawan karibnya, Nagato membunuh semua ninja di kawasan tersebut dan menyelamatkan Konan. Dia juga membentuk semula Akatsuki dengan visi “kejam” dan tidak akan berehat sehingga Konoha dan empat negara besar lain – mengalami derita sama yang dia alami.
Uchiha Itachi
Watak terakhir dalam senarai ini dan rasanya semua orang tahu adalah Itachi iaitu abang Sasuke. Tidak mengapa, saya cuba recap balik supaya semua tahu.
Dibesarkan sebagai “prodigy” dalam keluarga Uchiha dan kampung Konoha, Itachi mempunyai kebijaksanaan dan abiliti yang teramat tinggi walaupun masih muda. Malangnya, hubungan puak Uchiha dan kampung Konoha sudah amat renggang (ini pun kerana Black Zetsu) dan kerana sudah tidak tahan dengan layanan tersebut, puak Uchiha merancang untuk melawan balik.
Itachi tahu bahawa kampung lain juga akan bercampur tangan dan kejadian ini mungkin akan memulakan satu lagi Perang Dunia Shinobi, jadi dia membuat keputusan untuk tidak menyokong rancangan Uchiha. Sebaliknya, dia melaporkan tindakan puaknya kepada Hokage ke-3 dan Majlis Konoha dengan harapan dapat mencari solusi secara aman.
Walaupun Hokage ke-3 ingin berunding dengan Uchiha, Shimura Danzō sedar bahawa tidak ada solusi lagi untuk menjaminkan masa depan puak Uchiha. Dia menjelaskan perkara ini kepada Itachi dan memberinya pilihan: menyokong rancangan puak Uchiha dan dibunuh bersama seluruh puaknya, termasuk Sasuke atau membunuh setiap ahli Uchiha sebelum rancangan mereka bermula dengan jaminan Sasuke hidup. Itachi memilih adiknya.
Pada satu malam, Itachi (dengan bantuan Obito) membunuh seluruh ahli puak Uchiha. Itachi juga mengambil tanggungjawab untuk membunuh ibu bapanya. Walaupun dikhianati oleh anak sendiri, ibu bapa Itachi tidak menyimpan dendam, dan memberitahu mereka bangga dengannya dan meminta agar sentiasa menjaga Sasuke. Serba salah atas apa yang berlaku, Itachi anggap Sasuke adalah satu-satunya insan yang layak menjatuhkan hukuman atas dosa-dosanya.
Daripada menjelaskan perkara sebenar kepada Sasuke, Itachi menyertai Akatsuki untuk sambung misinya demi “menjaga keamanan dunia” dari angkara jahat.
Maka tamatlah senarai saya bagi kisah tragis setiap ahli Akatsuki dan bagaimana setiap satu berubah menjadi jahat. Untuk segala liputan kami tentang francais Naruto, sila tekan pautan ini.
Sumber – Narutopedia
@gamersantaimy
Discussion about this post