Streaming merupakan salah satu cara untuk kita berhubung dengan komuniti gamer dan berseronok dalam permainan dalam talian. Terdapat beberapa platform yang digunakan oleh streamer seperti Twitch, Youtube, dan semestinya Facebook. Terdapat beberapa lagi platform lain yang anda boleh gunakan. Anda boleh baca artikel kami mengenai 6 platform lain untuk anda melakukan live stream. Kali ini, kami ingin mengajar cara mudah untuk anda kongsikan gameplay anda tidak kira platform apa di Facebook Live.
Game PC
Untuk live stream game PC, caranya sangat mudah untuk anda pelajari kerana caranya tidak rumit. Anda hanya perlukan aplikasi live stream di komputer anda untuk mula berkongsi gameplay permainan.

Aplikasi yang boleh digunakan ialah Facebook Gaming. Ia telah dilancarkan oleh Facebook untuk gamer mencipta kandungan gaming dan menonton secara siaran langsung. Ia juga dibangunkan untuk bersaing dengan platform streaming lain seperti Twitch, Youtube dan Mixer. Pengguna bukan sahaja dapat melakukan stream malah dapat bermain game kasual yang tersedia dalam aplikasi itu. Siaran langsung yang dilakukan melalui aplikasi ini juga mudah dikongsikan ke halaman Facebook masing-masing. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini, anda boleh baca liputan kami di sini.

Jika anda tidak berminat dengan Facebook Gaming, anda boleh menggunakan OBS. OBS merupakan salah satu aplikasi live stream yang banyak digunakan oleh streamer lain. Ia juga merupakan aplikasi percuma, jadi anda tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli aplikasi live stream. OBS sangat bagus untuk memaparkan gameplay di pelbagai platform. Penggunaannya mungkin sedikit mengelirukan pada mulanya, tetapi tidak akan menjadi masalah sekiranya anda terus menggunakannya. Anda boleh memuat turun aplikasi OBS di laman web rasmi di sini. Selepas itu, anda boleh set up aplikasi tersebut pada komputer anda. Jangan risau , kami ada menyediakan cara-cara untuk set up OBS anda kepada Facebook Live dan beberapa tips lain mengenai OBS.
Aplikasi lain yang anda boleh gunakan ialah GeForce Experience. Anda hanya perlu tekan beberapa butang untuk menghidupkan overlay GeForce Experience dan anda boleh terus stream. Rakan anda dapat melihat permainan anda, serta memberi reaksi dan komen semasa anda stream. Anda juga boleh menambahkan kamera web dan mikrofon anda untuk lebih banyak interaksi dengan penonton anda. Selepas stream, video anda juga akan tersedia untuk ditonton oleh rakan di timeline anda.
Game Konsol
Jika anda pemain konsol, jangan risau. Anda juga boleh stream gameplay permainan konsol di Facebook Live. Anda boleh stream menggunakan peranti khas atau siaran terus menggunakan konsol.

Peranti khas yang disebutkan ialah capture card. Ia merupakan peranti yang digunakan untuk menangkap kandungan di skrin konsol pemain. Kandungan tersebut akan di encode supaya boleh dimainkan dalam streaming. Peranti ini sering digunakan kerana ia memudahkan streamer untuk berkongsi gameplay mereka kepada penonton. Gameplay dari konsol seperti PS4, PS5 dan Switch juga boleh dikongsikan melalui peranti ini. Anda boleh menggunakan capture card berjenama seperti Elgato dan Razer Ripsaw untuk mendapatkan kualiti gameplay yang terbaik. Kami juga ada menyediakan cara untuk anda gunakan capture card di sini.

Jika anda tidak mahu mengeluarkan modal untuk capture card, anda boleh stream permainan anda terus menggunakan konsol masing-masing. Untuk konsol PS4, anda boleh menggunakan aplikasi PS Remote Play. Ia merupakan cara paling mudah dan percuma! Aplikasi ini membolehkan anda stream di komputer bersama OBS. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini, anda boleh rujuk artikel kami di sini.

Anda juga boleh stream gameplay PS4 dan PS5 dengan menggunakan skrin Youtube ke Facebook Live menggunakan fungsi screen record. Cara ini tidak memerlukan modal tetapi sedikit sukar untuk di setup. Ia juga mempunyai beberapa kelemahan kerana bergantung pada encoder CPU anda. Stream anda boleh menjadi lag dan mengalami masalah framerate. Jika anda ingin mencubanya, anda boleh baca tutorial ini.
Game Mobile
Untuk pemain mobile, anda juga boleh menggunakan Facebook Gaming untuk stream game mobile terus menggunakan aplikasinya di fon anda. Terdapat alternatif lain yang anda boleh gunakan, jadi mari saya perkenalkan alternatif tersebut.

Yang pertama, aplikasi Omlet Arcade. Aplikasi ini merupakan platform yang banyak digunakan untuk berkongsi game mobile. Ia merupakan salah satu platform yang sangat popular dan menyokong banyak permainan mobile seperti PUBG Mobile, Mobile Legends, Roblox dan lain-lain. Melalui aplikasi ini, anda boleh menetapkan akaun Facebook anda melalui tetapan yang tersedia. Anda boleh terus live stream di Facebook Live selepas itu. Anda juga dapat menambah kenalan dengan pemain lain yang menggunakan aplikasi ini.

Jika anda tidak mahu menggunakan Omlet Arcade, anda boleh menggunakan Streamlabs. Aplikasi ini sama seperti Omlet Arcade tetapi ia lebih mudah digunakan kerana sistem hotkey yang tersedia. Jadi, lebih mudah untuk anda berkongsikan pengalaman permainan anda kepada semua pengguna di Facebook. Anda juga boleh gunakan capture card atau screen monitoring untuk disambungkan pada streamlabs. Aplikasi Streamlabs bagus kerana ia mempunyai akses terus ke akaun Twitch dan Youtube memudahkan anda untuk chat sekiranya anda membuat live stream ke pelbagai platform dalam satu masa. Anda boleh lihat senarai aplikasi lain untuk stream mobile game yang disediakan oleh kami.
Itu sahaja cara mudah yang kami boleh cadangkan kepada anda memulakan live stream di Facebook Live. Anda boleh mencuba cara-cara ini untuk memilih cara terbaik untuk anda berkongsi gameplay anda. Selamat mencuba!
@gamersantaimy
Discussion about this post