MSI telah lama terkenal dengan siri laptop gaming-nya yang hebat. Kali ini, mereka tidak mengeluarkan siri baharu tetapi mereka mengemas kini dengan menukar CPU, GPU dan banyak lagi. Kalau korang nak tahu, MSI Stealth GS66 telah dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2020 dan merupakan antara laptop yang mempunyai prestasi yang padu.
Tetapi apa perbezaan laptop generasi baharu dengan yang lama? Kalau korang nak tahu apa perbezaannya, jom baca review MSI Stealth GS66 daripada saya sampai ke penghujungnya.
Reka bentuk

Tidak banyak perubahan yang dilakukan kepada reka bentuk GS66, ianya masih sama dengan yang kami pernah review pada 2 tahun lalu. Perubahan yang dilakukan adalah seperti USB type A telah digantikan dengan Type-C dan sensor cap jari di bahagian atas kiri touchpad.
Kalau korang nak tahu, GS66 adalah antara laptop gaming yang nipis pernah MSI keluarkan dengan reka bentuknya yang padat. Laptop ini datang dengan saiz 35.8cm lebar dan 24.8cm panjang bersama beratnya 2.2kg. Bagi saya, ianya ringan jika nak dibandingkan dengan laptop gaming yang lain dan mudah untuk dibawa ke mana sahaja.

Daripada penampilan yang ditunjukkan oleh MSI, ia tidak seperti laptop gaming dan rasa lebih selesa jika nak digunakan di tempat awam seperti perpustakaan, kafe dan banyak lagi. Chassis GS66 diperbuat daripada besi dan permukaan hitam matte yang ditampilkan nampak berkualiti tinggi. Dah nama pun matte, sudah pasti ianya tidak akan meninggalkan kesan cap jari pada permukaan laptop.
Untuk chassis profil rendah seperti ini, saya rasa ketahanan pada laptop ini cukup baik. Namun, pada bahagian keyboard dan touchpad agak sedikit lentur apabila ditekan dengan kuat. Saya tidak merasakan yang ianya bukan masalah besar kerana hampir semua laptop mempunyai masalah ini.

Seperti siri GS66 sebelum ini, lid yang didatangkan pada GS66 ini membenarkan pengguna membukanya hingga 180o dan yang lagi best, ianya boleh dibuka dengan satu tangan sahaja. Jika lihat pada bahagian atas keyboard, terdapat satu grill besar yang digunakan untuk pengudaraan.
Jika nak berkata tentang kamera, ini adalah laptop yang salah satunya dihadirkan bukan sahaja kamera berkualiti HD tetapi ia juga didatangkan dengan pengecaman wajah IR. Jadi, anda boleh menggunakan ciri yang serba canggih untuk log in.
Kita bergerak ke bahagian port pula. Di bahagian kiri laptop, terdapat port pengecas, 1x Type-C yang boleh digunakan sebagai USB, Display port, Thunderbolt 4 bersama pengecas PD (Power delivery), 1x (8K @ 60Hz / 4K @ 120Hz) HDMI dan 1x Type-A USB3.2 Gen2. Di bahagian kanan pula, terdapat 1x RJ45, 2x Type-C sebagai USB3.2 Gen2 dan Display Port, 1x Type-A USB3.2 Gen2 and bicu audio.
Keyboard & Touchpad

Nama pun laptop gaming, mestilah keyboard yang disediakan sesuai untuk digunakan semasa bermain game. Tidak sah jika laptop gaming tidak mempunyai lampu RGB pada keyboard. Jadi, keyboard yang didatangkan untuk GS66 adalah istimewa iaitu Per key RGB SteelSeries KB. Semasa saya bermain game dengan menggunakan keyboard ini, ia memberikan tindak balas yang boleh dikatakan tactile tetapi senyap.
Apa yang saya boleh katakan adalah keyboard ini sangat baik bukan sahaja untuk bermain game tetapi untuk kerja yang menggunakan banyak menaip kerana laptop ini tidak didatangkan dengan numpad. Oleh itu, saiz keycap pada setiap huruf adalah besar dan mempunyai ruang yang cukup untuk anda tidak salah taip.

Tak best lak keyboard dah RGB tapi tak boleh tukar warna lampu. Korang jangan risau, MSI membenarkan korang untuk mengubah setiap lampu yang ada pada keyboard melalui aplikasi Steelseries GG. Dengan menggunakan aplikasi yang diberi, banyak efek RGB yang boleh digunakan seperti Disco Mode, Rainbow dan banyak lagi. Jika tidak berminat dengan efek yang diberikan, korang boleh je ubah suai setiap lampu yang ada pada keyboard.

Bercakap tentang touchpad, kebiasaannya touchpad yang disediakan bersaiz panjang ke hadapan tetapi untuk GS66 memang sangat lain. Ia didatangkan dengan touchpad yang lebarnya 14cm. Senang cerita, ianya memang sangat lebar. Walaupun ianya lebar, kualitinya tetap terjaga dengan permukaannya yang lancar dan sangat sesuai untuk kegunaan harian.
Tetapi terdapat satu masalah yang saya hadapi semasa menggunakannya. Ianya adalah berkaitan dengan tempat rehat pergelangan tangan kanan yang akan terletak pada atas touchpad semasa menggunakan keyboard. Saya rasa ini bukannya masalah yang besar tetapi ianya lebih baik jika pemain menggunakan external keyboard dan mouse.
Paparan & Audio

Untuk paparan GS66, ia didatangkan dengan panel IPS yang meliputi hampir 100% DCI-P3 warna dan dilengkapi dengan 240Hz refresh rate. Bukan itu sahaja, resolusi yang hadir pada laptop ini juga besar iaitu 2K bersamaan dengan 2560 x 1440 QHD. Saiz paparan pula 15.6 inci dengan nisbah 16:9. Pada saya, hampir semua laptop yang terkini mempunyai saiz yang lebih kurang sama. Jadi ianya tidak mempunyai sebarang masalah untuk korang yang nak mencari laptop baharu dengan saiz paparan yang sama.
Selain itu, kontras yang dihadirkan adalah 1,000: 1 manakala 0.25cd/m2 untuk black level di mana ianya sangat baik. Walaupun ianya didatangkan dengan hampir 100% DCI-P3, ketepatan warna dan kecerahan pada GS66 agak kurang cemerlang dan sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih baik.

Jika korang terasa tidak selesa dengan warna yang dipaparkan oleh laptop ini, ianya boleh ditukar di aplikasi MSI Center. Pada aplikasi tersebut, banyak preset paparan yang tersedia termasuk anti-blue untuk menjaga mata dan ianya rasa lebih selesa.

Untuk bahagian audio, saya rasa tidak banyak yang boleh dikatakan. Kualiti audio yang dihasilkan adalah baik tetapi ia mempunyai kelemahan bass yang saya rasa itu adalah perkara biasa pada hampir semua laptop. Jika audio yang dimainkan pada volume sederhana dan kuat, ianya boleh didengarkan dengan sangat jelas dan baik.
Prestasi & Benchmark

Walaupun reka bentuknya nampak seperti laptop biasa, hardware yang berada di dalam adalah lagi penting yang boleh memberikan prestasi yang mantap dan padu. MSI Stealth GS66 didatangkan dengan Intel Core i7 12 gen bersama NVIDIA GeForce RTX3070 Ti 8GB. Ia juga dilengkapi dengan 32GB RAM dan 1TB NVMe PCIe SSD.
Untuk menguji prestasi, saya bermain 4 game termasuk Days Gone, Horizon Zero Dawn, Shadow of Tomb Raider dan Apex Legends. Kesemua game tersebut saya menetapkan grafik yang tertinggi dengan resolusi 2K dan 240Hz.
Days Gone

Game berjalan dengan lancar pada purata FPS adalah 65. Sudah pasti kipas laptop akan berbunyi tetapi ianya tidak terlalu kuat seperti bunyi hujan di luar.
Horizon Zero Dawn

Ianya boleh dimainkan dengan lancar dan FPS yang diberikan pun sangat baik iaitu 72 secara purata. Untuk bunyi kipas, ianya sangat kuat berbanding Days Gone.
Shadow of Tomb Raider

Jika game-game baharu seperti Days Gone dan Horizon Zero Dawn boleh dimainkan dengan lancar, sudah pasti game ini boleh dimainkan dengan lebih baik. FPS yang ditampilkan juga lebih elok dengan purata 127 dan saya tidak dengar sebarang bunyi yang dihasilkan oleh kipas.
Apex Legends

Walaupun purata FPS yang diberikan adalah 90, ia tidak bermakna game ini tidak berjalan dengan lancar. Bunyi kipas yang dihasilkan pun tidak seteruk ketiga-tiga game di atas.
Benchmark
Cinebench R23 (multi core) – 13842
3DMark (Time Spy) – 8323
PCMark10 – 6939

MSI Center

Dengan kehadiran aplikasi MSI Center, semuanya telah tersedia di situ. Daripada mengawal mode prestasi sehingga ke kemas kini driver laptop. Untuk mode prestasi, korang boleh pakai Gaming mode semasa bermain supaya game yang dimainkan itu berjalan dengan lancar.
Selain itu, MSI juga menyediakan User Scenario termasuk ciri-ciri yang sangat baik seperti Smart Auto Ai dan Ambient Silent Ai. Untuk Smart Auto Ai, ia akan mengesan situasi dengan automatik dan secara tidak langsung melaraskan sistem ke dalam mode yang berbeza. Manakala mode Ambient Silent Ai pula, ia akan mengesan bunyi mengikut persekitaran sekeliling secara automatik dan melaraskan prestasi dan bunyi kipas.

Bukan setakat itu sahaja, MSI Stealth GS66 juga mempunyai mode Extreme Performance, Balanced, Silent dan Super Battery untuk kegunaan yang berlainan mengikut penggunanya. Dalam MSI Center juga, korang boleh pantau penggunaan CPU,GPU dan maklumat lain tentang perkakasan. Ia juga boleh digunakan untuk membersihkan Disk dan RAM.
Bateri & Thermal

MSI menyediakan bateri yang cukup besar iaitu 99Wh untuk GS66. Memandangkan laptop ini menggunakan banyak kuasa, bateri tidak dapat bertahan selama 8 jam walaupun dengan kecerahan yang paling rendah dan power saving di tahap maksimum. Untuk melayari internet, ia akan bertahan selama 6 jam dan 46 minit manakala menonton video pula, akan bertahan selama 6 jam dan 1 minit.
Bagi mereka yang risau dengan thermal laptop ini, MSI Stealth GS66 didatangkan dengan teknologi Cooler Boost eksklusif untuk memastikan pelepasan haba pada tahap yang optimum. Tambah pula dengan reka bentuk bilah kipas bermata tajam 0.1mm, Cooler Boost Trinity+ baharu meningkatkan aliran udara kipas dan memberikan pengalaman gaming terbaik.

Untuk isu thermal, ianya sangat bagus tetapi jika korang boleh turunkan lagi tetapan grafik kepada yang paling rendah, saya rasa ia tidak akan mencapai 90oC. Semasa saya bermain game Horizon Zero Dawn, GPU mencapai suhu 77oC dan untuk CPU pula melebihi 90oC.
Pendapat saya

Untuk generasi GS66 kali ini, MSI mengemas kini perkakasan yang paling penting iaitu CPU, Intel Core i& 12 Gen dan GPU, NVIDIA GeForce RTX3070 Ti 8GB. Ia membolehkan korang untuk bermain semua game dengan lancar dalam resolusi 15.6inci QHD 2K. MSI juga menawarkan colour space yang hebat iaitu hampir 100% DCI-P3 untuk pemain, content creator, designer dan banyak lagi.
Malangnya, bateri tidak dapat bertahan dengan lama untuk melakukan kerja tanpa pengecas. Terdapat juga sebab lain yang tidak membenarkan bateri bertahan lama antaranya panel IPS yang disediakan adalah QHD 2K.

Secara keseluruhannya, MSI Stealth GS66 sangat sesuai untuk sesiapa yang berminat bermain game dengan tetapan grafik adalah ultra. Saya rasa apa yang diberikan oleh MSI untuk laptop ini hampir sempurna dan kekurangan yang ada padanya pun tidaklah serius dan boleh diabaikan. Kalau korang berminat untuk mendapatkannya, ianya telah pun mula dijual pada harga RM12,999.
Untuk spesifikasi penuh, korang boleh tengok laman web MSI, di sini. Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan lebih banyak berita menarik mengenai game, anime, teknologi dan banyak lagi daripada kami.
@gamersantaimy
Discussion about this post