Encore Films Malaysia telah mengumumkan bahawa Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX – Beginning, sebuah tayangan awal bagi siri anime Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX, akan ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 27 Februari 2025.
Filem ini telah pun diusik di media sosial pada Disember lalu dan merupakan hasil kolaborasi antara khara dan Sunrise. Ia berfungsi sebagai kompilasi khas yang menghimpunkan episod awal siri ini sebelum siaran rasminya di televisyen.
Filem ini pada asalnya ditayangkan di pawagam Jepun pada 17 Januari 2025, dengan tiga episod pertama yang telah disunting menjadi satu filem yang padat. Tanpa mengambil masa yang lama, ia terus mendominasi carta box office di Jepun.
Berlatarbelakangkan versi alternatif Universal Century, kisah ini mengikuti perjalanan Amate Yuzuriha, seorang pelajar sekolah menengah yang menjalani kehidupan damai di sebuah koloni angkasa. Namun, kehidupannya berubah apabila dia bertemu dengan Nyaan, seorang pelarian perang yang membawanya ke dalam sukan pertempuran Mobile Suit yang dikenali sebagai Clan Battle.
Menggunakan nama samaran “Machu,” Amate mula bertarung dalam pertempuran sengit menggunakan mobile suit GQuuuuuuX. Namun, keadaan menjadi semakin rumit dengan kemunculan sebuah Gundam misteri yang sedang diburu oleh angkatan tentera angkasa dan pihak berkuasa. Gundam tersebut dipandu oleh seorang pemuda bernama Shuji, yang kemunculannya bakal mengubah masa depan dunia.
MOBILE Suit Gundam GQuuuuuuX – Beginning menjanjikan sebuah pengalaman yang mendebarkan dengan visual yang memukau, sekaligus menjadi permulaan yang sempurna untuk siri anime penuh akan datang. Projek ini diterajui oleh barisan kreatif hebat, dengan Kazuya Tsurumaki sebagai pengarah, serta penulisan skrip oleh Yoji Enokido dan Hideaki Anno. Reka bentuk watak pula dihasilkan oleh Take, manakala reka bentuk mekanikal diserahkan kepada Ikuto Yamashita.
Kolaborasi antara Sunrise, studio yang sinonim dengan francais Gundam, dan Studio Khara, yang terkenal dengan siri Evangelion, menandakan satu era baru yang menarik bagi francais legenda ini.

Dengan ramai yang tidak sabar menantikan siri penuh, peminat Gundam di Malaysia boleh menyaksikan Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX – Beginning di pawagam bermula 27 Februari 2025!
@gamersantaimy
Discussion about this post