Berita baik buat peminat animasi di Malaysia! Pada hari semalam, Primeworks Studios dan Wau Animation secara rasmi telah mengumumkan Musim 3 untuk siri animasi popular, Ejen Ali, yang bakal disiarkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar mulai 2022! Berikut adalah teaser:
Secara lebih khusus lagi, berita ini diumumkan semasa acara Disney+ Hotstar APAC Content Showcase, di mana pihak studio telah mendedahkan teaser pertama di atas untuk animasi Ejen Ali Musim 3 buat peminat yang lama menunggu. Diakui sebagai kerjasama pertama antara Primeworks Studios, Wau Animation dan Disney+ Hotstar, penonton boleh melihat kesinambungan Ali dan rakan-rakan ketika mereka menghadapi lebih banyak misi berbahaya.

Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi Malaysia yang diterbitkan oleh Primeworks Studios bersama WAU Animation dan ditayangkan secara perdana di TV3 mulai 8 April 2016. Kisahnya mengenai “seorang murid sekolah rendah bernama Ali yang tanpa sengaja melibatkan dirinya dalam dunia perisikan. Semuanya bermula apabila Dos seorang ejen jahat yang cuba mencuri sebuah alat berteknologi tinggi yang mampu mengubah dunia iaitu I.R.I.S (Infinity Retinal Intelligence System) yang dicuri daripada pusat latihan M.A.T.A (Meta Advance Tactical Agency).”
“Ketika Dos cuba menyerahkan alat itu kepada rakannya, tanpa dirancang Ali telah mendapatkan bungkusan berisi I.R.I.S. Dos dan Trez cuba mendapatkannya semula tetapi dalam insiden itu, Ali telah mengaktifkan sistem I.R.I.S sehingga hanya dirinya sahaja yang mampu menggunakan alat tersebut. Oleh sebab itu, Ali terpaksa menjadi ejen baharu M.A.T.A dan menyelamatkan Bandar Cyberaya daripada sebarang ancaman bahaya. Malah menerusi tugasan baharunya itu nanti, Ali bakal menemui potensi dirinya yang sebenar.”
Pada masa yang sama, anda juga boleh tonton filem penuh Ejen Ali: The Movie di Disney+ Hotstar yang asalnya ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei pada 28 November 2019. Berikut adalah sinopsis:
Ejen Ali semakin cergas dengan misinya di MATA. Tetapi, konflik timbul apabila Ali tahu bukan lagi dia seorang sahaja yang mampu menguasai IRIS. Kini MATA telah menaiktarafkan IRIS kepada IRIS NEO yang akan dijadikan peranti asas bagi semua ejen. Ini membuatkan Ali persoalkan kegunaannya di MATA. Ketika ini, seorang individu bernama Niki mendekati Ali dan mendakwa dia tahu sebab kehilangan ibunya.
Sekarang, Ejen Ali perlu lakukan misi aksi dan merungkai misteri ini yang mengancam bandar Cyberaya, serta pertaruhkan kesetiaan kepada MATA sebelum terlewat. Bolehkan dia berjaya?
Untuk segala liputan kami tentang siri Ejen Ali termasuk game MOBA-nya, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post